Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya telah menerangkan dengan jelas bahawa mewujudkan Israel di bumi Arab ialah projek kolonial. Sokongan warga dunia – anak semua bangsa, bangsa semua agama – terhadap perjuangan Palestin kerana ia satu perjuangan adil.

Ini perjuangan antikolonial untuk mengambil kembali bumi dan tanah tanah air Palestin yang telah dijarah dan dijajah oleh kaum Zionis semenjak tahun 1948.

Sejarah merakamkan pada 14 Mei 1948 Israel telah diwujudkan oleh kuasa imperialis Anglo-Amerika. Sebelum 1948 Israel tidak wujud. Bumi yang dipanggil Israel ini ialah Palestin. Bumi Palestin dihadiahkan kepada kaum Zionis kerana pada ketika itu Palestin adalah tanah jajahan British.

Pada tahun 1948, Tanah Melayu adalah juga tanah jajahan Inggeris. Singapura ada sebahagian dari Tanah Melayu.

Semenjak 1948 hingga ke hari ini Israel masih belum memiliki peta sempadan yang diterima dunia. Semenjak 1948 Isreal terus meluaskan tanah jajahan melalui perang.

Pada tahun 1967 Isreal melancarkan perang dan menawan Bukit Golan milik Syria. Seluas 690 batu persegi bumi Syria telah dirampas hingga ke hari ini. Wilayah ini lebih luas dari 277.6 batu persegi bumi Singapura.

Dalam perang 1967 ini juga Israel telah meluaskan tanah jajahan hingga ke sempadan Tebing Barat Palestin dan menawan dan merampas Baitulmuqadis dari jagaan Jordan.

Jika ditanya warga Israel di mana sempadan negaranya, saya cukup yakin tidak ada satu jawapan yang tuntas dan tepat. Ini kerana sebagai projek kolonial Isreal sedang dan masih meneruskan projek menjarah dan menjajah bumi Arab.

Malah telah terbocor beberapa peta sulit kaum Zionis yang memaparkan peta Israel yang sempadannya akan diperluaskan hingga ke lembah Sungai Dajlah di Iraq.

Siapa dia kaum Zionis ini? Dari mana mereka datang?

Sebelum Israel wujud memang telah ada kaum Yahudi yang tinggal di Palestin. Ketika British menjajah Palestin wilayah ini adalah wilayah plural yang penganut Islam, Kristian dan Yahudi hidup sebelah menyebelah sebagai warganegara. Majoriti warga Palestin pada tahun 1948 ialah Arab Islam dan Arab Kristian. Kaum Yahudi wujud sebagai minoriti. Yahudi ini adalah Yahudi asli turun temurun semenjak Nabi Musa.

Di Tanah Melayu pun sama. Sebelum Inggeris menjajah melalui Perjanjian Pangkor 1874, majoriti penduduk adalah Melayu Islam. Kaum China ada wujud bersama di Melaka yang berhijrah bersama Puteri Hang Li Po di zaman Sultan Mansor Shah. Hakikatnya Tanah Melayu adalah Bumi Melayu. Period. Khalas.

Jika Yahudi minoriti di Palestin pada tahun 1948, maka dari mana beratus ribu yang menjadi warga Israel? Jika Melayu majoriti di Tanah Melayu bagaimana ada Cina dan India?

Jawabnya, kaum Yahudi ini meluru masuk ke Palestin kerana mereka dibawa masuk oleh kaum Zionis dan dibantu oleh penjajah Inggeris. Di Tanah Melayu, Cina dan India dibawa masuk oleh Inggeris.

Zionis yang licik

Projek Zionis ini cukup licik. Hitler telah membantai kaum Yahudi di Jerman ketika Perang Dunia. Kaum Yahudi telah dibantai kerana mereka memiliki harta kekayaan yang menguasai ekonomi dan politik Jerman. Ini adalah sebahagian dari punca Perang Dunia Kedua. Ini fakta.

Ketika Perang Dunia Kedua dan sesudah perang tamat, dengan bijak lagi tersusun, para pemimpin Zionis telah mengajukan agar Yahudi di Eropah berpindah ke Palestin. Huru-hara yang dilakukan oleh Hitler ini menjadikan niat dan cita-cita pemimpin Zionis ini tercapai.

Waspada bukan semua Yahudi itu Zionis. Tapi semua pemimpin Zionis itu adalah Yahudi.



Sejarah telah merakamkan bagaimana Amerika sendiri telah menghalang masuk orang pelarian Yahudi dari Jerman lari mencari perlindungan di Amerika. Orang pelarian Yahudi di Eropah semuanya didorong untuk berpindah ke Palestin walau pun niat asal mereka ialah lari ke Amerika.

Kemasukan Yahudi ke bumi Palestin pasti telah menimbulkan penentangan. Tetapi dengan politik, diplomasi dan kuasa senjata Anglo-Amerika, penentangan Arab terhadap Yahudi Eropah yang berduyun masuk ke Palestin ini telah digagalkan.

Sayugia disedari bahawa sebelum Perang Dunia Kedua pecah, pemimpin Zionis antarabangsa telah menyusun Haganah. Haganah adalah kumpulan pengganas Yahudi. Kumpulan ini bergerak juga di Palestin. Haganah ini telah melakukan keganasan di Palestin lama sebelum Isreal diwujudkan.

Pengganas Haganah ini memainkan peranan yang penting membantai dan mengganasi warga Palestin apabila projek kolonial Israel bermula. Haganah menghalau warga Palestin untuk meninggalkan Palestin. Peranan dan taktik Haganah ini sama sapersi apa yang telah dan sedang dilakukan oleh kumpulan Isis ketika Isis bergerak di Iraq dan Syria.

Haganah dan Isis mengebom, sabotaj, meracun dan membunuh. Semua untuk menakutkan orang ramai.

Keganasan Haganah (bawah) ini telah berjaya mengosongkan banyak kampung dan wilayah di Palestin. Wilayah yang dikatakan tak ada penghuni ini akhirnya diduduki oleh pendatang baru.

Pendatang baru - inilah kunci untuk memahami apa itu Israel.

Pendatang baru ini ialah Yahudi dari Eropah. Hakikatnya Israel ini adalah negara pendatang baru. Dalam istilah politik moden Israel ialah settler state. Dalam Bahasa Melayu settler state ialah negara penempatan baru.

Australia, New Zealand, Kanada, Afrika Selatan, Zimbabwe dan Amerika Serikat adalah contoh terbaik negara penempatan baru. Di negara ini, orang putih datang berhijrah dan terus mengakui bumi ini hak milik mereka. Walhal telah wujud masyarakat bumiputera di sana. Warga bumiputera di negara-negara ini akhirnya ditenggelami oleh pendatang asing.

Hanya Zimbabwe dan Afrika Selatan sahaja yang dapat mengalihkan kembali kedatangan pendatang baru ini. Mereka angkat senjata dan menghalau pendatang baru ini.

Singapura oh Singapura

Kepada warga dunia, Palestin telah diuar-uarkan sebagai bumi subur yang kosong tidak berorang. Maka berbondong-bondong pendatang baru masuk. Akhirnya warga Pelestin kini menjadi minoriti di bumi sendiri.

Awas dan sedarilah apa yang berlaku kepada Palestin adalah taktik dan strategi jangka panjang kuasa Anglo-Amerika. Apa sangkut pautnya babak sejarah Palestin ini dengan Tanah Melayu?

Jawabnya Singapura oh Singapura! Singapura yang pura-pura singa. Malah taktik Zionis ini juga yang telah dijalankan kepada Tanah Melayu.

Lihat dan kaji bagaimana Tanah Melayu berubah bentuk dengan kemasukan pendatang baru. Pada satu tahap Bani Melayu telah hampir menjadi Red Indian dalam negara sendiri.

Ini diselamatkan dengan satu lagi projek yang dipanggil Malaysia. Harus diakui bahawa latar belakang projek ini ialah usaha untuk menjadikan kembali Melayu sebagai majoriti di Tanah Melayu.

Baca dan fahami pula bagaimana Singapura wujud. Baca sejarah bagaimana Singapura diambil alih oleh Inggeris pada tahun 1819. Baca dan kaji bagaimana Pulau Temasek ini dipisahkan dari ibunda Tanah Melayu pada tahun 1957. Dan kaji bagaimana Singapura dibawa masuk kemudian dipisahkan sekali lagi dari bonda kandung Tanah Melayu pada 8 Ogos 1965.

Semua ini adalah strategi Inggeris yang berjangka panjang. Singapura ini adalah wilayah penempatan baru. Kalau Isreal untuk bumi Arab maka Singapura adalah Israel untuk Bumi Melayu.

Apa yang saya tulis ini adalah fakta sejarah. Apa yang saya lakukan ialah memberi satu penilaian baru terhadap fakta sejarah ini. Justeru ini bukan labun Hishamuddin Rais.

Kenapa saya berani mengatakan bahawa Israel dan Singapura diwujudkan sebagai taktik dan strategi kuasa Anglo-Amerika jangka panjang?

Teliti rapi-rapi. Baca dengan teliti di setiap negara bekas tanah jajahan Inggeris yang telah ditinggalkan, tapi terus bermasalah. Inggeris sengaja meninggalkan masalah.

Di Uganda, orang India di bawa masuk. Uganda diselamatkan oleh Idi Amin (bawah). Pakistan diwujudkan atas nama Islam. India dan Pakitan memunculkan Bangladesh. Lihat bagaimana Kashmir sengaja ditinggalkan tanpa keputusan ketika Pakistan dan India mahu merdeka tahun 1947.

Hari ini Kashmir membuka kancah perang untuk India dan Pakistan. Ini sama seperti taktik British di Tanah Melayu. Singapura sengaja ditinggalkan apabila Tanah Melayu mahu merdeka tahun 1957.

Lihat pula bagaimana kolonial Inggeris terus berkuasa terhadap Hong Kong hingga tahun 1987 walau pun China telah mendirikan Republik Rakyat pada 21 September 1949.

Seluruh bumi Semenanjung Arab diracik-racik oleh Inggeris dan Perancis. Hinggakan di setiap seribu batang pokok tamar diwujudkan sebuah negara Arab yang dikawal oleh seorang sheikh yang berjubah dan berserban.

Betul semua ini adalah hasil pengalaman pascakolonial untuk negara di Asia, Afrika dan Amerika Latin. Tetapi di belakang semua ini adalah strategi jangka panjang kuasa kolonial Inggeris. Kuasa kolonial ingin negara-negara bekas tanah jajahan terus bermasalah dan akan terus merujuk kepada Old Mother England.

Penjajah berpengalaman

Wajib saya nyatakan di sini. Inggeris ini penjajah yang licik dan berpengalaman. Inggeris telah menjajah Scotland, Wales dan telah menjajah Ireland selama 600 tahun. Elit politik dan elit ekonomi Inggeris licik dan berpengalaman.

Inggeris datang menjajah dunia sesudah kuasa kolonial Sepanyol, Belanda dan Perancis hampir runtuh. Inggeris mengumpul pengalaman dari kuasa Sepanyol dan Belanda. Hasilnya, Inggeris menjadi penjajah yang lebih licik, tersusun dan berstrategi.

Bayangkan, Kota London menjadi pusat jual beli getah asli, jual beli bijih timah, jual beli emas, jual beli bahan bakar petrol. Tetapi tidak ada sebatang pokok getah di London kecuali di Kew Garden untuk pelancong. Dan ia bukan untuk ditoreh.

Bayangkan England hanya sekeping tanah pulau yang basah lagi sejuk, yang hanya memiliki arang batu dan air Sungai Thames yang juga sejuk, tetapi telah berjaya menakluk lebih dari setengah wilayah dunia. London menjadi pusat ekonomi, pusat ilmu dan pusat politik dunia sebelum diambil alih oleh Amerika.

Bayangkan, pada tahun 2017, Jabal Tarik (Gibraltar ) dalam bumi Sepanyol masih lagi dimiliki oleh Inggeris. Ini kuasa Pax Britannia. Kuasa inilah yang mewujudkan Israel dan Sigapura.

Isreal dan Singapura ada dua tanah penempatan baru yang kini memainkan peranan yang sama. Israel kini menjadi pangkalan tentera Amerika. Singapura juga menjadi pangkalan tentera laut dan udara untuk bala tentera Amerika.

Singapura menjadi pusat risikan Amerika dengan kapal terbang AWACS yang mengawal bumi Melayu, Tanah Melayu dan Indonesia. Israel bukan saja memiliki AWACS malah dengan bom nuklear kini menjadi pusat intel Amerika untuk terus mengancam bumi Arab.

Dalam pergolakan politik hari ini Israel dan Singapura menjadi semakin penting. Dua wilayah pendatang baru ini pura pura berlagak seperti singa. Isreal membuat kacau untuk menakutkan warga Arab. Singapura buat onar untuk menakutkan Bani Melayu.

Apa akan terjadi kepada dua negara yang ‘artifisial ini’. Tunggu minggu hadapan. 


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS