Paling Popular
Terkini

Salah satu bandar di Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang diduduki ramai pekerja rakyat Malaysia ialah Al Ain yang terletak dalam wilayah Emiriah Abu Dhabi.

Al Ain turut dikenali sebagai Bandar Taman kerana kehijaunnya dan Bandar Paling Banyak Bulatan Jalan (City of Roundabouts) kerana bilangan roundabout jumlahnya tidak terkira oleh kami setiap kali mengunjunginya.

Selain itu, Al Ain yang bersempadan dengan negara Oman mempunyai penduduk sekitar 700,000 orang. Ia bandar terbesar di kawasan darat (tanpa pantai) dan bandar keempat terbesar UAE selepas Dubai, Abu Dhabi dan Sharjah.

Lokasinya terletak 160km ke timur Abu Dhabi dan 120km dari selatan Dubai. Al Ain istimewa kerana merupakan tempat kelahiran presiden pertama UAE, arwah Sheikh Zayed Al Nahyan dan mempunyai warga Emirati yang tinggi, iaitu 31 peratus daripada jumlah penduduknya.

Al Ain mempunyai sejarah yang panjang serta dikatakan dihuni semenjak 5,000 tahun lalu. Tapak-tapak arkeologi dapat ditemui di Al Hilli selain 500 kubur berusia 5,000 tahun yang terletak di kaki Jabeel Hafeet.

Malah, turut dikatakan, salah seorang sahabat Rasulullah SAW, Ka'ab bin Ahbar telah diutuskan ke Al Ain yang dulunya dikenali sebagai Wadi Buraimi. Ka'ab menghuni dan meninggal dunia di Al Ain.

Tiada bangunan tinggi

Wilfred Thesiger yang terkenal sebagai pengembara dan penulis pernah melawat Al Ain sekitar tahun 1940 sewaktu menjelajah Empty Quarter dari Arab Saudi. Wilfred dikatakan bertemu tokoh kebangsaan UAE Sheikh Zayed dan menumpang di kubu Al Muwaiji.

Sememangnya banyak kubu peninggalan sejarah yang boleh dilawati di Al Ain, selain zoo, muzium dan tempat pelancongan seperti Jabeel Hafeet yang mempunyai ketinggian 1,240 meter yang juga merupakan puncak tertinggi di Abu Dhabi dan kedua di UAE.

Arab Saudi yang terletak bersempadan pernah menakluki Al Ain dan menjadikannya sebahagian daripada koloni mereka sekitar tahun 1952. Dengan bantuan British, bandar ini berjaya ditawan semula oleh Abu Dhabi dan Oman.

Suhu di Al Ain lebih rendah dengan kadar hujan yang lebih kerap berbanding bandar lain di UAE kerana kehijauan dengan ribuan pokok-pokok yang ditanam di sekeliling bandar.

Selain itu, banyak ladang kurma dan kebun sayuran, selain tempat penternakan yang merupakan antara industri utama di Al Ain.

Secara umumnya, Al Ain adalah bandar yang aman, selamat dan santai. Tidak seperti Dubai, Abu Dhabi, Sharjah, atau Fujairah, tiada menara tinggi di Al Ain. Dengan struktur yang mendatar, Al Ain kelihatan permai dengan kehijauan yang memberikan keselesaan.

Struktur bangunan paling tinggi sekalipun hanya enam tingkat yang terletak di kawasan bandar seluas 15,100km persegi itu. Namun, Al Ain tetap mempunyai pusat beli-belah, prasana dan fasiliti yang lengkap, malah dikatakan antara yang terbaik di UAE.

Kemudahan lengkap

Kawasan perumahan di Al Ain juga luas dengan vila-vila besar dan mewah warga Emirati yang tersergam memenuhi pandangan. Warga Emirati mendapat rumah kediaman percuma termasuk air dan api.

Universiti pertama yang dibina di UAE terletak di Al Ain. Selain kampus Universiti UAE yang luas itu, turut didirikan Universiti Al Ain, Universiti Abu Dhabi dan kolej-kolej. Dengan bilangan pelajar yang ramai, Al Ain juga dipanggil bandar universiti.

Kerana tumpuan kepada industri penerbangan, Al Ain kini  bergerak maju sebagai aviation city untuk UAE.

Semenjak mendiami UAE dari tahun 2000, setiap tahun paling kurang saya akan mengunjungi Al Ain sekali untuk bertandang ke rumah kawan-kawan warga Malaysia.

Di kalangan warga Malaysia di Al Ain, lebih 200 orang bekerja di syarikat pembuatan komposit struktur kapal terbang dan lebih 60 orang di syarikat penyelenggaran kapal terbang, selain yang lain sebagai pensyarah, jururawat dan ahli perniagaan.

Jumlah yang agak besar dan semakin bertambah walaupun tidak sebesar di Abu Dhabi dan Dubai yang mempunay 6,000 warga Malaysia.

Dalam kunjungan kali ini, saya sempat menyusur ke puncak Jabeel Hafeet selepas subuh dan melihat panorama alam terbentang bersama fajar. Dari puncak Jabeel Hafeet, dua negara bersempadan iaitu UAE dan Oman menjadi satu kawasan yang tiada sempadan.

Komuniti ekspatriat Malaysia

Semenjak sepuluh tahun lalu, warga Malaysia di Ai Ain mempunyai 'Tok Penghulu' yang menjadi tempat rujukan dan mengadu di kalangan 'anak-anak buah'.

Pak Rasid, atau nama penuh Ab Rasid bin Ismail, 55, dianggap sebagai Tok Penghulu Al Ain. Beliau berasal dari Permatang Binjai, Penaga di Pulau Pinang.

Rumah kediamannya terletak di Shaabiyat Diffa yang didiami bersama isterinya, Ainon binti Yahya yang dipanggil 'umi'. Rumahnya juga menjadi tempat mengadakan kenduri dan majlis terutama pada bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Vila itu juga menjadi kediaman untuk 11 warga Malaysia yang lain. Apabila berada di perantauan, banyak manfaat dapat dikongsi dengan membina komuniti sendiri. Kehidupan tentunya tidak sunyi dari pelbagai masalah dan dengan adanya komuniti ini, susah senang boleh dikongsi bersama.

Walau ada yang merasa sombong dan bangga diri, tidak mahu bercampur sesama perantau yang senegara, terpulanglah kepada sikap dan pendirian masing-masing. Apapun, majoriti ekspatriat Malaysia di UAE tidak termasuk golongan tersebut.

Pada minggu lalu, saya bersama isteri sempat mengunjungi Al Ain kerana jemputan daripada Tok Penghulu Al Ain untuk meraikan pasangan pengantin baharu, Muhammad Adib Haron dan Noor Asyikin Mat Zain yang bertemu jodoh di Al Ain.

Mungkin, itulah kali pertama warga Malaysia di Al Ain mengadakan majlis perkahwinan suami isteri, satu sejarah yang menarik untuk dirakamkan.

Pasangan mempelai ini telah diakad nikah di Malaysia pada November dan majlis kenduri turut diadakan untuk meraikan lima warga Malaysia di Al Ain yang bakal pulang ke tanah air.

Seperti di kampung, gotong-royong untuk memasak bermula pada malam sebelumnya. Persiapan dari segi bahan untuk masakan dibuat bersama. Turut dihidangkan sup kepala kambing yang dimasak khas oleh Pak Rasid, yang saya rasa buat pertama kali.

Mahu kembali ke tanah air

Dalam perbualan mengenai kehidupan dengan para penghuni vila yang baru tiba di Al Ain dalam lima tahun lalu, semuanya merasa bertuah, gembira dan sejahtera. Bukan sahaja dengan pendapatan yang jauh lebih baik daripada tanah air, tetapi juga peluang pekerjaan yang lebih terbuka.

Secara umumnya, sewa rumah dan harga barangan di Al Ain lebih murah daripada bandar-bandar lain di UAE. Semua keperluan mudah didapati dan menjadikan Al Ain menarik untuk didiami.

Hampir semua yang bekerja di syarikat pembuatan komposit dan penyelenggaraan kapal terbang diambil bekerja kerana pengalaman mereka dalam industri yang sama di Malaysia.

Rezeki yang tentunya tidak disangka kerana hanya di Al Ain ada industri pembuatan komposit. Syarikat kepunyaan kerajaan Abu Dhabi itu menjadi rakan kepada pembuat kapal terbang terkemuka dunia seperti Airbus, Boeing dan Leonardo-Finmeccanica Aero-structures Division, selain pembekal taraf pertama kepada FACC AG, SAAB dan S.A.B.C.A.

Seorang daripada mereka berkata, mereka yang bekerja dengan syarikat pembuatan komposit adalah anak-anak muda berumua 20an dan 30an, manakala mereka yang bekerja dengan syarikat penyelenggaraan kapal terbang pula adalah golongan 'otai' atau yang lebih berpengalaman.

Golongan 'otai' ini kebanyakannya terdiri dari pesara yang pernah berkhidmat dengan tentera udara.

Ramai antara mereka yang membawa keluarga masing-masing. Dengan jumlah anak muda yang ramai, aktiviti sukan menjadi sebahagian daripada aktiviti harian warga Malaysia. Sementara Al AIn menyediakan banyak kemudahan bersukan untuk penduduknya.

Kenduri meraikan perkahwinan dan majlis perpisahan itu bermula dari pukul 2 petang selepas solat Jumaat hingga 10 malam. Pelbagai juadah yang dihidang oleh warga vila tok Penghulu, selain yang dibawa oleh tetamu. Pada sebelah malam pula diadakan barbecue.

Majlis seperti ini memberi kesempatan untuk kami yang datang dari luar Al Ain bertemu majoriti warga Malaysia di Al Ain. Kami dapat ,merapatkan siratulrahim di samping bersembang mengenai situasi politik dan ekonomi di tanah air.

Kebetulan isu Palestin dan skandal tanah Felda sedang hangat, maka isu itu menjadi sebahagian daripada perbincangan santai.

Walau jauh berada di perantauan, sikap ambil tahu, prihatin dan bimbang terhadap perkembangan di tanah air menjadi sentimen yang merentas sempadan.

Warga ekspatriat Malaysia di Al Ain, sama ada anak-anak muda atau golongan yang lebih berpengalaman pastinya setia, mahu kembali ke tanah air sendiri apabila tiba masanya. Kerana itu, mereka sepakat mahu negara yang lebih baik daripada sebelum mereka tinggalkan untuk mencari rezeki.

Terutamanya untuk generasi masa depa yang bakal mewarisi negara yang diharap terus berdaulat.

Kerana itu, kehidupan ekspatriat Malaysia yang aman damai, sejahtera, matang dan 'mewah' di Al Ain seakan satu harapan yang realistik untuk tanah air tercinta!

(Untuk mereka yang berminat untuk mencari peluang kerjaya di UAE, boleh ikuti laman https://www.facebook.com/fudzailworld/)


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS