Paling Popular
Terkini

Jika Rome tidak terbina dalam masa sehari, demikian juga dengan tokoh. Ia dibina daripada rentetan pelbagai peristiwa. Menelusuri sirah perjalanan hidup Nabi Muhammad SAW kita lebih-lebih lagi dapat menemui hal-hal yang sama.

Nabi daripada bangsa mulia pemimpin bernasab keturunan Quraisy titih baris Qusai bin Kilab. Nabi yang bergelar al-Amin sejak kecil. Nabi yang menggembala kambing. Nabi yang ditentukan membesar sebagai yatim piatu. Nabi yang didedah ke dalam bidang perniagaan sejak berusia 12 tahun serta mengikuti rombongan bapa saudara baginda ke Syam.

Nabi yang kerasulannya telah diramal oleh pendeta Nasrani bernama Buhaira saat rombongan perniagaannya singgah di Basrah. Nabi yang ditentukan jodoh dengan seorang janda kaya lagi mulia pada usia 25 tahun.

Nabi yang memiliki empat sifat dalam satu yakni siddiq (benar), amanah (tidak khianat), tabligh (menyampaikan) dan fathonah (menguasai kebijaksanaan).

Nabi yang... tak terhitung banyaknya perkara luar biasa yang telah disusun demi mempersiapkan dirinya menjadi pemimpin teragung buat seluruh umat manusia.

Tumbuhnya ada tempat

Ditinjau susur galur kelahiran mana-mana pemimpin dan pendeta agung sekali pun, kita dapat saksikan hal yang sama. Baik khalifah yang empat, Iman Syafie, Imam al-Ghazali, Gandi, Abraham Lincoln, Winston Churchill, Mandela dan Hamka - kita dicamkan dengan jejak-jejak yang bertapak hampir sama.

Begitu juga dengan Nik Abdul Aziz Nik Mat. Kecemerlangan kepimpinan dan nilai hikmah Tok Guru mempunyai sejarah pertumbuhan yang panjang. Ia bertempat tumbuh. Ini menjadikan beliau sering diburu perhatian manusia, baik dari dalam atau luar negara.

Sesuatu yang tak boleh sama sekali sejarah lupakan ialah ketika Nik Abdul Aziz dikunjungi 14 diplomat dari Kesatuan Eropah (EU). Ini sebuah tugu yang menandai sejarah.

Daripada apa yang tertera pada kad pengenalan dirinya - Thierry Rommel - maka mafhumlah kami akan siapa sebenarnya yang mengunjungi menteri besar Kelantan itu.

Rommel ialah ketua delegasi Suruhanjaya Eropah ke Malaysia ketika itu.

Kunjungan hormat yang berlangsung di Pejabat Menteri Besar pada pagi 16 Oktober 2006 lalu disudahi dengan sesi dialog di bilik mesyuarat utama Kota Darul Naim pada sebelah petangnya.

Ia benar-benar menampakkan pengiktirafan EU terhadap peranan sebuah kerajaan kecil di hujung dunia sebelah sini.

Barangkali pada mereka, tentu setidak-tidaknya ada sesuatu yang unik dan menarik sedang berlaku di kota Serambi Mekah pada ketika itu.

Sememangnya mereka tidak memerlukan masa yang lama untuk mengesahkan fakta sedemikian. Daripada perbualan santai dimulai dengan pertukaran maklumat kesihatan, geografi dan demografi negara masing-masing, ia pantas beralih kepada hal-hal yang kian berjejak.

Berikut adalah petikan sesi dialog yang berlangsung di antara Tok Guru dengan Rommel:

Soalan: Tidakkah Kelantan diberikan layanan yang sama rata dalam sistem politik Malaysia yang demokratik walaupun rakyatnya memilih parti pemerintah yang berlainan?
Jawapan: Sistem kerjasama dan pemerintahan yang dipilih Malaysia diawal penubuhannya adalah sistem persekutuan. Jika konsep federalisme dilaksanakan sejujurnya tentu sekali tidak akan timbul masalah. Bagaimanapun, ini tidak semestinya benar dalam amalan di sini. Ada semacam diskriminasi.

Soalan: Bolehkah diketahui contoh-contohnya dari aspek penyediaan infrastruktur di lapangan perindustrian, misalnya?
Jawapan: Oh, memang banyak. Kita tidak diberikan peruntukan yang mencukupi. Misalnya dari segi pembinaan jalan-jalan berturap yang bermutu, baik dan meluas secara berbanding negeri-negeri lain. Kami tiada pelabuhan, tidak ada infrastruktur sokongan lainn yang memberangsangkan untuk dapat melahirkan Kelantan benar-benar berdaya saing dalam bidang perindustrian.

Sedangkan dari aspek tenaga manusia, Kelantan memiliki kelebihan seperti tenaga sokongan yang beriman, berdisiplin, bermutu dan secara relatifnya, murah.

Jika sebuah pelabuhan diberikan peruntukan dari pusat, semestinya Kelantan akan memberi khidmat yang cekap justeru kedudukannya yang strategik baik dilihat dari kepentingan serantau bahkan dunia amnya.

Soalan: Ada pihak yang mengatakan Kelantan tidak memberi kerjasama mencukupi untuk kelancaran dan pelaksanaan projek-projek persekutuan. Apa komen kerajaan negeri?
Jawapan: Biar saya katakan begini - tidak ada satu pun projek persekutuan yang terhalang pelaksanaannya sepanjang 16 tahun kami memerintah. Misalnya, kami pernah meluluskan pengambilan balik tanah seluas 500 ekar di Tangok, Bachok, bagi memberi laluan kepada pelaksanaan sebuah universiti. Baru tiga empat tahun ini sahaja, dua buah sekolah dibina di tapak.

Kini mereka janjikan pula sebuah lagi projek universiti (katanya) mahu dilancarkan di Bachok atau Jeli. Tak apalah, walau di mana sekali pun, kami boleh menerima dan tetap akan memberikan kerjasama.

Semua projek jalan persekutuan, klinik, hospital, gelanggang dan balai raya - semuanya tiada masalah. Pendek kata, kami sentiasa menerimanya dengan penuh kerjasama.

Buat apa pembangunan ini ditolak kerana ia kemudahan rakyat? Lagi pun, duit yang kononnya daripada kerajaan pusat itu pun duit cukai rakyat. Ia daripada rakyat untuk dikembali kepada rakyat. Tidak ada kena mengena dengan parti Umno sebenarnya.

Soalan: Bagaimana dengan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9)? Adakah terdapat tanda-tanda peningkatan dalam peruntukan?
Jawapan: Alhamdulillah, ada peningkatan. Bagaimanapun, dari segi pelaksanaannya, Kelantan tidak diberi ruang untuk memantau dan menyelaraskan perjalanan projek. Soal senarai projek itu, kita sedang tunggulah. Soal jentera pelaksanaan, ini satu masalah.

Peruntukan dari kerajaan pusat disalurkan terus dari Kuala Lumpur ke Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dengan mengetepikan kerajaan negeri.

Ini tidak betul dari segi pelaksanaan pemantauan dan penyelarasan projek kerana kami adalah sebuah kerajaan yang sah dilantik melalui suara rakyat. Kalau nak dicurigai integriti dan ketelusan kami, kerajaan pusat ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di negeri ini.

Jika kami salah, pintu kerajaan Kelantan terbuka 24 jam untuk disiasat. Tetapi dengan by-pass (mengetepikan peranan) kerajaan negeri, maka pusat merampas hak kami untuk mengikuti kemajuan pelaksanaan projek-projek pembangunan secara hands on.

Nampak macam tidak logik bukan? Tapi inilah yang telah dan sedang berlaku sama ada kita percaya ataupun tidak.

Soalan: Bagaimana dengan demokrasi?
Jawapan: Ini yang saya katakan demokrasi ala Malaysia, bukan demokrasi asal seperti yang dikuliahkan kepada kita di universiti-universiti.

Soalan: Boleh Tuan Guru bayangkan masa depan PAS dalam perkembangan ini?
Jawapan: Jika demokrasi benar-benar berjalan dengan baik, jika prinsip-prinsipnya yang dibenarkan berjalan sepenuhnya, insya-Allah PAS mempunyai masa depan yang cerah.

Bagaimanapun kalau akhbar saluran alternatif pun cuma dibenarkan terbit dua kali sebulan sedangkan akhbar yang prokerajaan bersifat harian, kesempatan berceramah pun bukan main susah, radio dan TV sendiri tidak diberi ruang, akta Mesin Cetaklah, Akta Polislah, ISA-lah, OSA-lah, bermacam-macam. Ini semua menyusahkan perjalanan demokrasi yang tentunya bertujuan menyusahkan rakyat.

Soalan: Beralih kita kepada pergolakan di selatan Thai. Adakah sebarang kesan daripada peralihan kuasa di Bangkok?
Jawapan: Tiada kesan, pada saya.

Soalan: Ada tak sebarang hubungan antara kerajaan negeri dengan gerakan pembebasan seperti Pertubuhan Pembebasan Pattani Bersatu (PULO) misalnya, atau mereka diberikan perlindungan?
Jawapan: Oh, tak ada. Bagaimanapun keranan berkongsi sempadan, kami tidak ada upaya menyekat orang kedua-dua tebing dari bergerak keluar masuk. Lagi pun aspek-aspek dokumentasi seperti visa dan pasport berada di luar dari kuasa kami.

Soalan: Bagaimana jika saya katakan perlunya Kelantan mewujudkan rapport agar lahirnya suasana dialog di antara dua kelompok rakyat ke arah melahirkan integrasi sosial bersifat rakyat ke rakyat?
Jawapan: Inisiatif bersifat “G to G” (kerajaan dengan kerajaan) antara Bangkok dan Kuala Lumpur adalah urusan pusat. Untuk melahirkan suasana "people to people", ini kita tiada masalah.

Tanpa diwujudkan saluran hubungan yang berjadual sekali pun, pertukaran idea, rapport antara rakyat berupa komunikasi tak rasmi telah berlaku.

Kami sebenarnya dari rumpun yang sama. Secara sejarah, dari segi agama, budaya, bahasa, dan adat resam, bahkan pertalian darah dan persamaan geografi sserta demografi semakin mengizinkan perkara ini.

Saya juga turut dirujuk melalui hubungan-hubungan rasmi badan-badan asasi, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak-pihak universiti dari Bangkok, Songkhla dan Pattani bagi tujuan ini. Saya selalu tegaskan tiga perkara iaitu:

  1. Perlunya Bangkok mengadakan hubungan dalam bentuk dialog yang sivil dengan penduduk selatan Thai untuk memahami psikologi dan isi hati mereka.
  2. Selatan Thai memerlukan program-program pembelaan ekonomi yang segera kerana setiap kali saya berkesempatan melawat di kawasan-kawasan tersebut (sebelum pergolakan), mata dan hati saya dapat menyaksikan suasana “kering” dari segi kurangnya pembelaan nasib, khususnya dari aspek program-program pemulihan ekonomi.
  3. Penduduk mereka pun tidak dapat tidak, boleh membandingkan dengan apa yang sedang berlaku ke atas saudara-saudara mereka di sebelah Kelantan ini yang dilihat relatifnya jauh baik daripada mereka. (Nota: temu bual ini diadakan pada 2006).

Kekerasan tidak boleh dilawan dengan kekerasan. Sudah beratus-ratus kali agaknya saya menekankan perkara ini. Manusia ini ada naluri melawan secara semula jadi. Walaupun - katakanlah - mereka miskin sekali pun, tetapi kesatuan untuk melawan yang muncul secara semula jadi di kalangan mereka adalah satu kekuatan, a force by itself yang bukan kecil.

Lihat sahaja di Iraq, Palestin, Afghanistan, dan Lubnan. Terkini kita lihat betapa AS sedang terlekat di selut Iraq. Mengikut laporan internet, AS sedang mengalami kekalahan hari demi hari.

Mereka pernah tuduh Iraq mempunyai senjata pemusnah massa (WMD) tetapi sampai sekarang masyarakat dunia tahu bahawa AS berbohong.

Secara setempat dalam konteks politik Malaysia pun, jangan ditindas Kelantan dengan kaedah diskriminasi menggunakan senjata demokrasi yang disalahgunakan. Rakyat Kelantan tidak mudah disilapmatakan melalui kaedah pengkhianatan ini.

ISA misalnya, itu antiperlembagaan, antikemanusiaan. Menuduh lalu mengheret rakyat ke penjara tanpa proses pengadilan melalui saluran mahkamah adalah tidak betul. Ia memag sah zalim. Anak saya sudah lima tahun dinafikan hak keadilan ini.

Kini, dia masih dipenjara tanpa sebarang sebab yang konkrit dan dibuktikan apa kesalahannya.

Di peringkat ini, duta terbabit - Rommel - tunduk dan merenung lantai sambil menarik nafas berat. Menteri besar lalu menambah bahawa masalah kita dengan pemimpin dan manusia pada amnya ialah masalah keikhlasan dan kejujuran.

Beliau dengan pantas menyambung dengan kata-kata: “Honesty and integrity are the lost words in our current world”.

Tok Guru mengambil al-Amin - sifat unggul nabi kita - untuk dikembangkan dengan diangguk oleh Rommel secara berterusan.

MB yang sangat tajam

Pada akhir sesi itu, tetamu berkali-kali mengucapkan terima kasih kerana kesudian kerajaan Kelantan menerima beliau. Setelah bertukar-tukar cenderahati, Rommel membisikkan sesuatu kepada saya.

“Kamu mempunyai seorang menteri besar yang amat tajam. Rugi sekali jika pihak-pihak di Kuala Lumpur tidak mengambil manfaat daripada idea beliau," katanya.

Saya sampaikan mesej itu salin tak tumpah kepada Tok Guru di ketika itu juga.

Setelah diminta Tok Guru menemani diplomat itu kami berpimpin tangan erat menuju ke lif. Beliau meninggalkan saya sehiris senyum termanis dengan sebuah mesej berupa pengiktirafan - a seal endorsement - tentang status kepimpinan seorang Tuan Guru yang mungkin dilihat cukup bersahaja oleh orang-orang biasa.

Tetapi, di sisi mata yang berkeahlian, Nik Abdul Aziz seorang yang sebaliknya. Termenung lama apabila saya cuba-cuba memikirkannya hal ini pada ketika itu.

Hari ini, fikiran saya kencang mengimbas kembali detik-detik cemerlang yang berlalu, dan bagaimana hal ini tidak mampu lagi - atau setepatnya, gagal - diulangi oleh pemimpin sesudah Nik Aziz.

Apa yang ada hanyalah suasana yang meletihkan, banyaknya kayu mati, ramai tersangkut, pemimpin marah-marah dan maki-maki, lalu suburlah persengketaan tersemai di sana-sini.

Dalam keadaan amanah dipersoalkan berikutan kerja tak dibuat, rakyat rata-rata bingung. Mungkinkah suasana "missing link and political mistrust" ini akan hanya pulih lalu segera bertaut semula selepas berlaku sebuah “big bang” lewat pilihan raya umum ke-14 yang akan ditiup wiselnya pada bila-bila masa mulai sekarang?


ANNUAL BAKRI HARON bekas setiausaha politik menteri besar Kelantan dan mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau juga banyak terlibat dalam aktiviti seni termasuk penulisan dan muzik.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS