Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Untuk memahami peranan Singapura dan gerakan Zionis antarabangsa kita wajib melihat kembali sejarah tanah air kita. Dengan keilmuan dan maklumat yang meledak saya yakin kita akan melihat persamaan dua ‘settler state’ - Singapura dan Israel.

Minggu lalu saya menyatakan bahawa peranan Israel ialah menghuruharakan bumi Arab. Peranan Singapura ialah menghuruharakan dan membuat onar di bumi Melayu.

Isreal pada satu ketika dahulu ialah pangkalan tentera Inggeris. Ia kini menjadi pangkalan tentera Amerika terbesar di Asia Tengah. Singapura pada satu ketika dahulu ialah pangkalan tentera kolonial Inggeris. Seletar, Tengah dan Changi adalah nama lapangan terbang Inggeris dan Australia. Ia kini menjadi pangkalan tentera Amerika. Kini Singapura menjadi tempat kapal tentera laut dan tentera udara Amerika berehat dan diperbaiki.

Singapura menjadi wilayah yang amat penting semenjak Barack Obama mengubah dasar pertahanan Amerika dengan strategi Pasak Asia (Pivot Asia) diumumkan pada tahun 2013. Lebih daripada setengah bala tentera Amerika di seluruh dunia kini dipindahkan ke Asia termasuk ke Filipina.

Dunia hari ini secara berlapik mengakui bahawa Israel ialah ‘settler state’, wilayah penempatan baru untuk kaum pendatang. Singapura juga ialah wilayah penempatan baru yang dibina oleh kaum pendatang.

Israel untuk Yahudi yang dibawa masuk dari Eropah sesudah Perang Dunia Kedua. Kemasukan Yahudi ke Bumi Arab ialah dengan bantuan kuasa Inggeris. Di Tanah Melayu kuasa Inggeris telah membawa masuk penduduk China dan India.

Israel diwujudkan pada tahun 1948. Singapura diwujudkan pada tahun 1965. Ini dua negara ‘settler state’ - dua negara yang artifisial. Ini fakta sejarah.

Singapura diwujudkan melalui 'projek kolonial' Inggeris yang dipanggil Malaysia pada tahun 1963. Dengan putar belit dan janji bermadu warga Kalimantan Utara telah menerima untuk bersama-sama menubuhkan apa yang dipanggil Persekutuan Malaysia.

Saya menulis Kalimantan Utara kerana inilah nama wilayah Sabah, Sarawak dan Brunei. Betul. Istilah ini disailang apabila projek Inggeris berjaya ditelur, dieram dan menetaskan apa yang dipanggil Malaysia.

Malaysia didakwa didirikan untuk mematikan semangat nasionalisme Melayu kiri yang melaungkan slogan Melayu Raya. Malah dalam tahun sebelum dan sesudah projek Malaysia menetas, kedengaran kuat konsep Maphilindo - Malaya, Filipina dan Indonesia. Ini juga fakta sejarah.

Para pembaca diminta jangan malas membaca untuk mengetahui fakta ini. Semua fakta ini boleh kita temui dengan bantuan Lebai Google.

Jangan lupa fakta sejarah bagaimana projek Malaysia ini ditentang. PMIP (Pan-Malaysian Islamic Party) - nama asal parti Islam PAS telah bangun bersama parti Buruh dan Parti Rakyat di Tanah Melayu untuk menentang projek ini. Di Singapura, Parti Rakyat dan Barisan Sosialis juga menentang projek ini.

Penentangan di Kalimantan Utara

Penentangan timbul kerana apa perlu Singapura masuk Malaysia walhal Singapura adalah sebahagian daripada Tanah Melayu. Warga Kalimantan Utara - Sabah, Sarawak dan Brunei – pula memiliki garis perjuangan kemerdekaan mereka sendiri. Pada ketika ini PARAKU (Pasukan Rakyat Kalimantan Utara) sedang mengangkat senjata menentang Inggeris.

Garis nasionalis kiri di Tanah Melayu dan di Singapura cukup ampuh dan hampir berjaya mematahkan projek Inggeris. Bung Karno datang membantu dari tanah seberang.

Inggeris dengan licik mengarahkan agen dan tali barut mereka di Kuala Lumpur dan di Singapura. Akta Keselamatan Dalam Negeri telah digunakan.

Operation Cold Storage pada 2 Februari 1962 telah menangkap puluhan kaum nasionalis kiri di Singapura bawah ISA. Pada tahun 1963, Ahmad Boestamam dan beberapa pemimpin Parti Rakyat pula ditangkap. Pada Januari 1965 Dr Burhanuddin dari parti Islam pula ditangkap. Semua penentang projek kolonial Inggeris telah di-ISA-kan.

Dari fakta sejarah kita melihat bahawa musuh besar kuasa kolonial Inggeris sebelum 1957 dan sesudah 1957 ialah Bung Karno. Sosok ini membawa garis nasionalis kiri dari Sabang hingga Marauke.

Presiden Sukarno ini amat-amat berbahaya kepada kuasa kolonial Inggeris dan kaum pemodal antarabangsa. Ini kerana Bung Karno menyokong teguh, malah menyokong perjuangan bersenjata rakyat Malaya dan Kalimantan Utara untuk menghalau penjajah Inggeris.

Sejarah merakamkan bagaimana Bung Karno - bersama Tito dari Yugoslavia, Chao En Lai dari Tiongkok, presiden Naseer dari Mesir, Castro dari Cuba, Nehru dari India – telah mengadakan Persidangan Bandung 1955. Deklarasi Bandung adalah rujukan untuk permulaan gerakan negara berkecuali dengan garis nasionalis dan antiimperialis.

Kita juga melihat fakta sejarah bagaimana ketika menjalankan penjajahan, kuasa kolonial Inggeris telah memecahbelahkan Bumi Arab. Taktik yang sama telah dijalankan di Bumi Melayu.

Jika di setiap wadi di Bumi Arab diwujudkan sebuah negara dan dinobatkan seorang sheikh untuk menjadi tali barut Inggeris aka emir. Perkara yang sama berlaku di Tanah Melayu. Hampir di setiap dusun durian dinobatkan seorang pemerintah untuk menjadi agen Inggeris, hinggakan Tanah Melayu penuh dengan durian. Ini taktik Inggeris. Ini taktik kolonial - taktik pecah dan perintah.

Sila ambil perhatian, saya menggunakan istilah Inggeris. Saya tidak menggunakan British. Kalau saya menggunakan istilah British, ini termasuk warga Wales, Scotland dan Ireland. Bangsa Wales, Irish dan Scottish seperti Bani Melayu sama dijajah oleh Inggeris. Malah, hingga ke hari ini gerakan ‘mahu merdeka’ di wilayah ini masih membara dan pasti akan meledak.

Berdasarkan fakta sejarah juga, wajib saya terangkan di sini bahawa bukan semua Yahudi itu penganut Zionisme. Juga bukan semua Zionis itu Yahudi. Zionisme ialah gerakan politik yang disokong kuat oleh kaum pemodal antarabangsa. Ini kerana kepentingan kapitalis internasional dapat berkembang melalui gerakan Zionis.

Zionisme ini juga bukan hanya sosok Yahudi. Ada Zionis Melayu, ada Zionis China dan ada Zionis India. Sesiapa sahaja yang menyokong Isreal tidak dapat tidak kiblatnya ialah Zionisme.

Limau Jaffa 1969

Perlu saya nyatakan fakta sejarah di sini, pada tahun 1969 saya belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Pada satu ketika telah menjadi kecoh kerana limau yang diberi kepada kami di dewan makan adalah limau Jaffa. Ini adalah limau dari ladang limau Palestin yang telah dirampas oleh Israel.

Ini kuasa Israel dan jarum licik Zionis yang dapat mempengaruhi negara-negara baru merdeka pada ketika itu.

Pada ketika itu Zionis tempatan berani muncul secara terbuka. Cuba membawa tim bola Isreal ke Kuala Lumpur. Mengimport barang-barang dari Israel. Bukan seperti hari ini, mereka meresap dalam syarikat multinasional untuk mengumpul dana membina dan mempertahankan Israel.

Sekali lagi saya nyatakan bahawa tujuan Zionis ialah untuk menjajah dan menakluk bumi Arab. Justeru perjuangan Palestin ialah perjuangan antikolonial, antipenjajah dan anti-Zionis. Rakyat Palestin bangun mengangkat senjata untuk mengambil bumi Palestin yang telah diduduki oleh kaum Zionis.

Bagaimana Isreal dapat terus berkuasa walhal warga Arab lebih ramai, kendati pun wilayah Arab lebih luas?

Bagaimana Singapura boleh bertahan walhal bani Melayu lebih ramai, bumi Melayu lebih luas? Betapa artifisialnya negara yang dipanggil Singapura hinggakan air minum pun wajib didatangkan dari Johor. Sah terbukti bahawa Singapura ini ialah settler state yang pura-pura menjadi seekor singa.

Jawabnya Isreal dan Singapura ialah pangkalan tentera Amerika. Runtuh Amerika maka runtuhlah pangkalan tentera ini.

Mungkin ada yang tidak yakin apabila saya menyamakan Isreal dengan Singapura. Tetapi buktinya cukup jelas. Tidak perlu bersuluh lagi.

Tiga tahun dahulu kita heboh mendengar berita sebuah syarikat IT didakwa telah diberi projek untuk menambah baik sistem komputer polis. Tup tup diketahui bahawa syarikat ini sebenarnya syarikat Zionis yang menyamar dan mendaftar di Singapura.

Bayangkan sistem komputer polis semuanya ada dalam ‘tangan’ Zionis Isreal. Kita melihat bagaimana Singapura menjadi ladang di mana benih-benih Zionis ditanam untuk disebarkan agar dapat membuat onar ke Bumi Melayu.

Jangan lupa tiga tahun lalu bagaimana portal dan laman web heboh dengan berita dan gambar mendakwa minyak sawit kita dihantar ke Israel. Ini adalah kerja jahat syarikat Zionis yang berpangkalan di Singapura. Jual beli dengan Isreal adalah melanggar sekatan ekonomi yang dipersetujui oleh OIC, Persidangan Negara-negara Islam.

Malah Malaysia tidak ada hubungan diplomatik atau perniagaan dengan Isreal. Pasport Malaysia tidak membenarkan pemegangnya untuk masuk ke Israel. Khalas.

Jangan kita menjadi bebal untuk tidak faham bagaimana barangan dari Israel yang masuk ke Singapura. Barangan import ini diberi jenama baru untuk dapat merentas masuk ke pasaran Tanah Melayu dan Indonesia.


Onar Singapura di bumi Melayu

Ini contoh peranan Singapura membuat onar di bumi Melayu.

Sebelum saya akhiri siri pencerahan tentang Palestin ini ada satu lagi perkara yang wajib kita semua ketahui. Ini adalah fakta pertalian sejarah setiakawan perjuangan rakyat Palestin dengan perjuangan rakyat Tanah Melayu.

Isreal diwujudkan oleh Inggeris. Tanah Melayu/Malaysia didakwa adalah projek Inggeris. Rakyat Palestin bangun angkat senjata dengan Fedayeen. Rakyat Tanah Melayu bangun angkat senjata melawan Inggeris dengan Front Pembebasan Rakyat Malaya.

Inggeris menghantar pegawai tentera ke Palestin untuk menundukkan gerakan Fedayeen. Inggeris menghantar soldadu ke Tanah Melayu untuk mematahkan gerakan bersenjata rakyat Malaya.

Kolonial Inggeris menghantar Sir Henry Gurney ke Palestin sebagai pegawai pentadbir untuk mematahkan gerakan nasionalis rakyat Palestin.

Kuasa kolonial Inggeris menghantar Sir Henry Gurney ke Tanah Melayu dengan tujuan mematahkan gerakan pembebasan rakyat Malaya.

Pada 6 Oktober 1951 musuh bersama rakyat Palestin dan rakyat Tanah Melayu yang bernama Sir Henry Gurney telah ditembak mati oleh Gerila Pembebasan Rakyat Malaya di Bukit Fraser.

Ini bukti hubungan perjuangan rakyat Palestin dengan rakyat Tanah Melayu adalah hubungan setiakawan yang diikat dengan darah perjuangan. Ini fakta sejarah. Justeru inilah pertalian perjuangan menentang kuasa Anglo-Amerikan-Zionis yang masih berjalan.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS