Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pada Ahad 7 Januari 2018 telah berlangsung konvensyen kedua Pakatan Harapan di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam. Gua datang hadir bukan nak tengok-tengok. Dari pagi sampai petang gua di sana memasang niat untuk bersama dalam babak sejarah yang sedang diukir.

Ini sejarah tanah air kita beb!

Gua ingat lagi pada bulan Disember tahun 2004 gua telah menumpang kereta seorang kawan untuk naik ke tok pekong di Ipoh. Bukan tujuan untuk ambil nombor tikam ekor. Tidak. Gua datang untuk menjadi saksi ijab kabul kenduri kahwin Parti Keadilan Nasional (PKN) dengan Parti Rakyat Malaya (PRM).

Hebat sejarah dua buah parti politik ini. Termaktub dalam babak sejarah tanah air dua parti ini berkenduri dalam tok pekong. Ini babak sejarah hebat belum pernah terjadi.

Hanya Parti Komunis Malaya (PKM) sahaja yang pernah membuat mesyuarat penting dalam gua di Batu Caves pada bulan Ogos 1942. Ini di zaman perang Dunia Kedua.

PKM mencari tempat rahsia kerana mereka sedang bergerila melawan soldadu Jepun. PKN/PRM bermesyuarat dalam tok pekong bukan kerana hendak menyorok. Mereka berkongres dalam tok pekong kerana tidak ada sesiapa yang berani menyewakan dewan untuk babak bersejarah ini. Hakikatnya dua parti ini juga sedang bergerila menentang kezaliman.

Biar gua beritahu, setiap kali gua nak hadir ke persidangan, seminar, bengkel, konferensi, ceramah atau konvensyen seperti Ahad lalu gua merasa takut. Gua takut tak ada orang datang. Tidak ada sambutan. Paling takut kalau gua sendiri yang mengatur program. Tak ada yang datang ertinya gua buat kerja gagal. Ini babak gerun lagi menggerunkan.

Tetapi ada lagi yang lebih gerun daripada menggerunkan. Lebih seram dari semua yang menyeramkan. Lebih takut dari Pak Pandir yang takut dengan Tok Tok Kai Serondong Batang Mana Hinggap Tengah Belakang.

Konvensyen kedua Pakatan Harapan diadakan dalam tahun 2018. Bukan tahun 1942 atau 2004. Suasana berbeza. Perang Jepun telah lama tamat. Pulau Pinang dan Selangor sudah bertukar kerajaan. Kini di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

Tapi waspada ini bukan bermakna kezaliman telah tamat. Yang zalim dan jahat kini menjadi pencuri dan penyangak. Dengan kuasa di tangan mereka merompak dana negara secara terbuka di hadapan mata kita.

Dalam suasana inilah kaum kerabat, sanak saudara, penyokong dan pemimpin Pakatan Harapan berkumpul dan berbincang di Shah Alam. Jadi apa yang menakutkan gua?

Apakah gua menjadi takut kerana di pintu masuk itu akan ada kumpulan yang membawa sepanduk dan melaungkan R-E-F-O-R-M-A-S-I.

Atau gua takut kerana diberitakan Jamal Ikan Tongkol akan datang?

Tidak. Bukan ini yang menakutkan gua. Kalau perkara ini yang menakutkan, ia tidak sampai ke taraf karipap King Kong. Semua ini hanyalah tahap ‘kacang putih dan gula singam’. Gua langsung tidak takut.

Mazhab dilarang melarang

Malah gua akan menyokong sesiapa sahaja untuk melakukan apa saja di hadapan pintu masuk ke konvensyen. Ini kerana gua lahir dan menganut mazhab dilarang melarang.

Justeru kalau pun ada tongkol atau sesiapa yang ingin membuat bodoh gua juga tidak akan melarang. Pada hemat gua bodoh mungkin merebak tapi bodoh bukan penyakit berkuman yang berjangkit. Sesiapa nak jadi bodoh gua tidak melarang dan gua tidak takut.

Malah gua sokong hak mereka untuk bersuara. Jangan kita ketepikan atau ditindas hak mereka untuk bersuara. Gua akan menyokong bermati-matian hak mereka untuk menjadi bodoh. Walau pun mereka musuh gua. Jangan sesekali di tindas diketepikan sosok-sosok yang nak menjadi bodoh. Menjadi bodoh itu adalah hak asasi mereka.

Jika hari ini ini kita menindas hak asasi mereka untuk jadi bangang dan bodoh, satu masa nanti kita sendiri akan jadi bangang dan bodoh. Jika mereka tidak setuju dengan cadangan untuk mencalonkan Mahathir, itu hak mereka. Kalau sesiapa nak menjadi Lokman Adam atau Azwan Bro biarkan saja.

Jika semua ini tidak gua takuti, apa yang gua takut? Kalau Tok Tok Kai pun tidak ditakuti, apa yang gua takut?

Gua amat-amat takut bila musuh tidak menyerang gua lagi.

Sekali lagi gua buka kisah Mao Zedong yang lari diburu oleh soldadu Jeneral Chiang Kai-shek. Pengerusi Mao menyorok dalam gua di Yenan Utara China. Dari gua ini pada 26 Mei 1936, Mao telah mengeluarkan satu tulisan kepada anggota Parti Komunis China (PKC).

Tajuk tulisan ini ialah “Diserang oleh musuh bukan satu yang tidak baik tapi satu yang baik”. Tulisan ini menjadi pedoman kepada aktivis, kader, gerila PKC. Malah dalam tulisan ini Mao menunjukkan lagi gila babi datangnya serangan, lagi baik.

Kegilaan serangan membuktikan bahawa antara kita dengan musuh jelas wujud pertelagahan dan perbezaan. Garis dan agenda politik yang berlawanan. Justeru musuh menyerang.

Jika tidak diserang mengikut pandangan Mao bermakna kita telah menjadi lembik atau telah sama setaraf dengan musuh. Yang ini gua takut, bila gua tidak diserang.

Pandangan Mao ini terbukti tepat dan benar. Minggu lalu Subky Latiff penulis dan pemimpin parti PAS tanpa sedar telah membuktikan ajaran Mao ini. Subky dalam tulisan di Harakahdaily pada 6 Januari 2018 telah menerangkan kepada ahli parti PAS tentang betapa bahayanya kedudukan Parti Pas sekarang ini kerana tidak lagi diserang oleh parti United Malays National Organisation. Yang dulu ditakrif sebagai seteru dan musuh ketat.

Malah Si Subky ini amat kecewa kerana dua kali presiden United Malays National ini telah memuji parti Islam ini. Pertama dalam ucapan Najib di Perhimpunan Agong United Malays National Oganistion pada 5 Disember 2017 dahulu. Kedua dalam ucapan tahun baru Najib. Parti Islam dan kepimpinan Hadi telah dipuji.

Berasakan pandangan Mao dan mengikut pandangan Hishamuddin Rais, dalam suasana politik tanah air hari ini sesiapa sahaja yang dipuji oleh Najib adalah hampeh mampeh. Ini amat jelas.

Bayangkan...

Perkara yang ditulis oleh si Subky inilah yang menakutkan gua.

Bayangkan, sesudah Konvensyen Pakatan Harapan Kedua, media membuat laporan. Berita muncul di sana-sini. Media sosial heboh dengan gambar selfie. Tidak lebih dari itu.

Inilah ketakutan gua. Gua paling takut musuh Pakatan Harapan tidak ambil pot. Gua takut Pakatan Harapan tidak diserang. Gua takut media arus perdana milik United Malays National Organisation senyap membisu. Gua amat takut kalau-kalau Geng Cik Gu Bard tak berkata apa-apa. Gua juga takut Haris Ibrahim senyap berkhalwat. Gua akan takut dan kecewa jika Mat Ezam Mat Nor terus angguk kepala tanda setuju. Gua juga takut jika Dr Kua Khoo Soong tidak mengelurkan pandangan sepuluh sennya.

Biar gua cakap jujur jujur. Gua betul betul takut. Gua seram sejuk. Kaki gua menggigil takut.

Jika semua senyap ertinya konvensyen Pakatan Harapan gagal. Meleset gagal. Semua kerja politik sebelum ini gagal. Tulisan gua juga gagal meleset. Gua sendiri dengan sedih hati terpaksa menyenaraikan Tukar Tiub sebagai “Bapa Gagalis Sedunia”.

Sabar dulu, mes amies, wait a moment my friends, not so fast dear comarade…

Apa yang gua takutkan tidak berlaku. Malah Konvensyen belum pun selesai serangan bertalu-talu telah sampai. Tak putus-putus musuh menyerang Pakatan Harapan. Semua cadangan dan pandangan dalam dewan persidangan telah ditibai. Telah dikoyakrabakkan. Telah dibakulsampahkan.

Serangan ini bukan dari nyamuk dan agas. Atau dari pijat dan kutu yang berkumpul di Dewan Cina tetapi dari musuh besar rakyat Malaysia. Musuh utama rakyat Malaysia - seteru politik Pakatan Harapan - telah gila babi menyerang Pakatan Harapan.

Maka mengikut ajaran politik kiri Mao dan juga mengikut pandangan si Subky Latiff, serangan sabegini adalah petanda yang baik. Lagi gila serangan sampai lagi jelas apa yang dilakukan oleh Pakatan Harapan ialah betul dan tepat.

Pagi ini Isnin 8 Januari 2018 gua menggarap tulisan ini. Dari awal pagi gua terus membaca kutukan dan serangan terhadap Pakatan Harapan. Portal berita tidak henti-henti melaporkan serangan terhadap apa yang berlaku kelmarin di konvensyen itu.

Wakil cukong Wee Kia Siong dari MCA mengingatkan rakyat Malaysia terutama penyokong Pakatan Harapan terhadap kezaliman Mahathir. Gua rasa nak genggam kentut dan lepaskan ke muka mamat cukong ini. Di mana wakil cukong ini berada ketika Mahathir menjadi perdana menteri? Apakah mamat cukong ini masih bergelung dalam kelongsong telor ayahandanya.

Gua terbaca komen sedih lagi sayu dari Vell Paari seorang gedebe MIC yang juga peminat siri drama Tamil di RTM. Gedebe MIC ini merasa sedih hingga menitiskan air mata biawak apabila mengenangkan nasib para reformis yang telah dipelangkung oleh Mahathir.

Tapi yang peliknya si Gedebe ini tidak pula menangis sedih apabila seorang pelakon drama TV Tamil didapati mati terbunuh. Walau apa pun gua cukup senang hati mendengar serangan sedih dari seorang gedebe.

Serangan gila babi

Tup tup gua terbaca kenyataan menteri Rahman Dahlan memperli Pakatan Harapan sampai nak rak. Menteri ini menyindir. Pak menteri ini mentertawakan dan memperlekeh isi manifesto Pakatan Harapan. Pak menteri Rahman berkata semua keputusan konvensyen Pakatan adalah satu tragedi.

Aduh! Gua amat amat senang hati kerana mamat ini menganggap Pakatan Harapan ini satu tragedi. Gua tahu kita baru saja menghadapi tragedi apabila Najib memberhentikan Ahmad Maslan dan Hasan Malek dari menjadi menteri.

Hilangnya Hasan Malek dan Mat Maslan ini tragedi kecil kerana kita hanya kehilangan pelawak. Tragedi yang paling besar yang akan dihadapi oleh Pakatan Harapan ialah apabila Rahman Dahlan bersetuju dan menyokong agenda Pakatan Harapan. Bila ini berlaku gua tutup kedai.

Jika Pakatan Harapan tidak diserang oleh menteri Rahman maka pada pendapat gua ini adalah tragedi untuk kurun ini.

Yang paling menyejukkan hati gua, paling berjaya membuat gua senyum puas hati ialah apabila menantu abah bos tingkat empat Khairy Jamaludin menyerang. Waspada, mamat ini tidak pernah berkata apa-apa bila Najib mencuri duit 1MDB. Mamat ini buat dek saja. Mamat ini juga tidak bersuara tentang kes-kes rasuah Felda. Mamat ini buat 'donno'.

Justeru apabila Khairy menyerang Pakatan Harapan ini petanda yang paling baik. Ini fikrah dari lulusan Oxford. Telah terjulur pandangan Khairy untuk menyerang. Mamat ini amat jarang menjulurkan lidah.

Khairy berkata jika Mahathir mengemudikan Pakatan Harapan, maka Malaysia akan menjadi tidak stabil. Ekonomi akan merosot. Ringgit akan merudum. Pelabur lari lintang pukang. Wow! Gua salut dengan saranan ini. Ini serangan berilmiah. Serangan berasaskan ilmu teori ekonomi politik.

Serangan seperti inilah yang gua tunggu-tunggu. Bukan senang Mahathir nak jadikan anaknya perdana menteri atau Mahathir nak menobatkan anak angkatnya Azmin Ali sebagai PM. Pada hemat gua ini Ini bukan serangan politik, ini cerita ketiak masam.

Kisah dan labon ketiak masam ini kita tinggalkan kepada sesiapa sahaja yang nak jadi Lokman Adam atau nak jadi pengikut Azwan Bro.

Gua tersenyum puas apabila Pakatan Harapan terus gila babi diserang. Amin.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS