Paling Popular
Terkini

Islam ialah ad-din yang bersifat sejagat. Ia diturunkan Allah SWT kepada seluruh umat manusia. Sifatnya rahmatan llil ‘alamiin.

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (al-Anbiya : 107).

Demikian, saya cuba memancing perhatian Tok Guru di suatu pagi sewaktu kami cuba merangka apa yang akan diperkatakan beliau - secara berteks - dalam ucapan beliau menjelang sambutan alaf baru pada 2000.

Rupanya, usikan itu membuka ruang untuk Tok Guru melanjutkan bicara apa yang sarat ada di mindanya.

Beliau berkata: perlu sangat semua orang peka, sedar, tentang perkembangan teknologi dan perubahan dalam kehidupan sosio budaya masyarakat kita yang sedang berlaku. Kita kena pandai ambil kesempatan.

Matlamat mengambil kesempatan di sini tertuju kepada satu saja iaitu tersebarnya Islam ke seluruh wilayah dunia melalui jalan dakwah yang berhikmah.

“Hanya dengan caro nni jah kito buleh jjadi umat yang berjayo dunia akhirat kerana kita menyampaikan bimbingan yang benar dan mengasuh minda rakyat. Ni baru kena dengan kito ni sebuah kerajaan Islam.

"Ni, dengar baik-baik firman Allah dalam surah ali-Imran ayat 104: Dan hendaklah ada antara kamu sekalian satu umat yang menyeru (manusia) kepada kebaikan dan menyuruh dengan ma’aruf (kebaikan) dan melarang dari mungkar (kejahatan) dan mereka itulah orang-orang yang berjaya," demikian tegas beliau pada hujung Disember yang basah kepada saya di suatu awal pagi.

Dakwah tanggungjawab semua

Tambahnya lagi: pah tu, cuba pula kaitkan dengan aktiviti-aktiviti konvensional seperti memberi ceramah, seminar, syarahan dan sebagainya di tempat-tempat yang khusus seperti di masjid-masjid dan surau-surau, yang kebanyakannya berbentuk lisan dengan tuntutan dakwah secara digital dalam era globalisasi.

Usah hanya dihadkan dakwah hanya melalui kaedah lama. Ini tak betul, ini sempit. Peluah peluah, pelego pelego (Perluas, perluas dan legakan, jangan disempitkan).

Persepsi lama boleh menyebabkan kita mengehadkan jumlah pendakwah kepada hanya segelintir individu yang mempunyai penjurusan dalam sesuatu bidang agama, walhal tugas dakwah ini tanggungjawab semua orang.

Ia terbeban ke bahu seluruh umat Islam di muka bumi.

"Benda ni keno bbeto (perkara ini harus diperbetulkan). Yang penting, kita kena ambil segala kesempatan untuk menyampaikan kebenaran dengan cermat - mengajak semua orang menuju jalan ini.

"Gesa supaya orang buat kerja betul dengan ikhlas dan dengan penuh itqan dan ihkam fil ‘amal, yakni kerja dalam konteks beramal dengan penuh kesedaran kualiti yang bersungguh," katanya.

(Pada ketika itu, hati saya cepat terlintas, konsep ini menyamai istilah self management seperti yang pernah disebut Stephen Covey dalam bukunya Seven Habits Of Most Effective People).

"Masuk abad ke-21 ni, biar kita jadikan Asia ni, milik Islam gak sekali, tok leh ko lagu tu? (tak bolehkah begitu?). Tapi, kita kena fahamlah, Allah tidak akan beri hidayah, taufik dan kemenangan kepada umat yang kufur. Haa, ggitu pulok," tambah Tok Guru.

Beliau memetik firman Allah di dalam surah al-Maidah ayat 67 bermaksud: “Wahai Rasulullah SAW. Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka (bermakna) tidaklah engkau menyampaikan perutusannya-Nya; dan Allah jualah akan memeliharamu daripada (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayat petunjuk kepada kaum yang kufur.”

Dengan beberapa pedoman dan isyarat yang sepadat itu, tahulah saya yang ucapan menyambut alaf baru yang akan berlangsung pada 2 Januari 2000 nanti, terlalu penting di sisi menteri besar Kelantan itu dan ia harus mengalir dalam laluan ini. Ini cabaranlah kepada saya. Payahnya, Allahuakbar!

Setelah bertukang beberapa hari dan menjalani beberapa proses editan yang teliti - baik di pejabat atau di rumah - Tok Guru akhirnya menyampaikan ucapan itu pada hari bersejarah, tepat pada waktunya.

Pada pagi itu, Dewan Teratai di Kota Darul Naim penuh sesak dengan kehadiran semua anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri, ketua-ketua jajahan dan jabatan, serta seluruh jentera kakitangan kerajaan dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.

Visi dan lontaran ke depan

Demikian selayang pandang betapa saktinya kuasa. Tok Guru pandai menggunakan kesempatan kuasa yang dipinjam kepadanya dan kesempatan detik alaf baru yang muncul seribu tahun sekali itu untuk melontarkan sesuatu.

Jika mahu digelarkan dia oportunis, maka oportunislah dia di ketika itu justeru Tok Guru cepat faham mana satu bahagian roti yang bersapu kaya.

Namun, menjadi oportunis yang jujur bertabligh - apa salahnya!

Tok Guru membuka salam perkenalan dengan memetik pengertian daripada ayat ini: "Dan telah Kami tetapkan bagi bulan manzilah-manzilah, sehingga (setelah dia sampai ke manzilah yang terakhir) kembailah dia sebagai bentuk tandan yang tua. Tidaklah mungkin bagi matahari mendapatkan bulan dan malam pun tidak mendahului siang. Dan masing-masing beredar pada garis edarannya.” (Yasin : 39-40).

Beliau kemudian menyampaikan ucapan:
Bersyukur kita kepada Allah Yang Maha Berkuasa kerana dua hari lalu kita melangkau ke satu era yang disebut, Alaf Baru atau Millenium, iaitu tahu Masehi 2000.

Alhamdulillah kita diberi hidayat oleh Allah untuk berkumpul di DewanTeratai, Kompleks Darul Naim hari ini bagi merenung sejenak signifikan peristiwa ini sebagai mematuhi kehendak hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, berfikir sesaat lebih baik daripada beribadat setahun tanpa berfikir.

Menyambut alaf baru bukanlah sesuatu yang kita buat atas dasar ikut-ikutan. Islam itu sememangnya sebuah ikrar yang mengajak kepada perubahan, daripada keadaan yang baik kepada yang lebih baik.

Kita mengambil kesempatan dalam suasana semua pihak mengingati detik-detik alaf baru ini kerana pada lazimnya kelopak hati manusia sedang terbuka sewaktu menghadapi suasana sambutan apa saja.

Mari kita isi suasana keterbukaan ini dengan penuh dakwah Islamiah. Kita yakin kerja dakwah ini harus berpanjangan dan dijalankan pada setiap suasana masa untuk kepentingan hidup umat dari dunia hingga akhirat, kerana mengikut tarbiyah Islamiah, setiap hamba Allah berdepan dengan suasana alaf baru pada setiap pagi, bukannya setiap seribu tahun sahaja.

Sabda Rasulullah SAW yang bererti: "Mana-mana orang yang hidup hari ini serupa dengan hidup kelmarin, maka dia dikira rugi.”

Ini bererti, Islam mendidik supaya umatnya terus meningkatkan mutu hidup di segenap aktiviti dalam segala lapangan pada setiap saat; bukan hanya setiap menjelang hari sambutan tahun baru sahaja.

Allah SWT berfirman maksudnya: "Dan satu tanda kekuasaan (Allah Yang Maha Besar) bagi mereka adalah malam. Kami tanggalkan siang daripada malam itu, maka dengan serta-merta mereka berada dalam kegelapan. Dan matahari pula berjalan di tempat peredarannya. Demikianlah ketetapan Yang Maha Berkuasa Lagi Maha Mengetahui.” (Yasin : 37-38).

Pertukaran waktu - siang dan malam, hari menjadi minggu, minggu menjadi bulan, dan bulan menjadi tahun, tahun menjadi dekad dan dekad menjadi abad - adalah akibat dari perjalanan bulan dan bintang yang tak henti-henti mengedari matahari dengan teratur.

Cabaran dilalui bersama

Ia menjadi bukti tentang adanya Allah Yang Maha Esa lagi Maha Bijak Mentadbir. Jika terlalai sedikit pun nescaya seluruh perjalanan ini akan berselerak sebagaimana kereta api yang tergelincir dari relnya.

Bagi akal yang waras, kita pasti terfikirkan bahawa di sana ada satu kuasa yang mentadbir ke atas semuanya ini.

Kekuasaan Allah jualah yang mengaturnya. Kita sebagai khalifah Allah yang bertugas sebagai pentadbir, sama ada di peringkat diri sendiri, kampung, jajahan, negeri dan negara, perlu selari dengan pentadbiran cakerawala. Ini puncanya kita telah memilih dasar Membangun Bersama Islam.

Perincian dasar ini tidak perlu diterangkan lagi kerana telah acap kali dihuraikan.

Tambahan pula, kita telah memasuki penggal ketiga pemerintahan dan seharusnya semua peringkat pimpinan dan pegawai sudah memahaminya.

Namun saya akan sentuh beberapa aspek demi perhatian bersama. Pelbagai cabaran telah kita lalui bersama dalam usaha membentuk pentadbiran negeri yang mantap, telus, dan efisyen.Kita pun faham; masih ada lagi ruang yang boleh diperbaiki sebagaimana pepatah Inggeris, nobody is perfect

Ke arah ini, sebagai pemimpin politik, pegawai dan kakitangan yang bertanggungjawab, kita mestilah bekerja dengan penuh semangat dan hati penuh ikhlas.

Seperti ibadah sembahyang jugalah, kalau tidak dilakukan bersungguh-sungguh dalam bentuk "iqomatissolah", maka itu bukanlah mendirikan sembahyang namanya. Dalam masa sama, kita mesti sentiasa memohon pimpinan dari Allah kerana kita boleh merancang tetapi Allah akhirnya yang menentukan.

Memasuki gear empat

Allah berfirman yang maksudnya: Dan mereka merencanakan sesuatu yang tak senonoh dengan bersungguh-sungguh. Dan Kami pun merencanakan mereka (pula), sedang mereka tidak menyedari. (an-Naml : 50).

Orang Islam sebenar ialah mereka yang bekerja dengan menggabungkan kesungguhan jasmani dan rohani. Dengan kedua-dua kekuatan inilah umat Islam dahulu merintis kejayaan dalam pelbagai bidang yang menakjubkan dunia.

Mereka berlumba-lumba untuk mencapai kecemerlangan di akhirat sambil tidak lupa bahagian mereka di dunia.

Memasuki penggal ketiga pemerintahan, kerajaan kita kini mesti memasuki gear empat atau lima dalam erti kata ingin memacu kesejahteraan sosioekonomi dan keselamatan rohani yang banyak koyak-rabak kesan daripada pengasingan agama daripada aktiviti hidup.

Sikap sambil lewa, tidak endah atau tidak prihatin mesti dikikis. Pada masa sama, perlu ada perancangan dan penterjemahan daripada rancangan-rancangan yang ditetapkan.

Umpamanya, hasil daripada Seminar Pelan Pembangunan Strategik Kelantan 2000-2010 yang berlangsung pada bulan November 1999 lalu, setiap pihak perlu ada follow-up.

Mulai sekarang, dari peringkat pemimpin tertinggi kerajaan mahu pun di kalangan pemimpin politik kita mesti bersikap result oriented. Itqan fil amal.

Islam melihat bahawa merancang dan menghasilkan output adalah perkara yang penting dan saling berhubungan.

Lebih-lebih lagi ibadat puasa. Kita dilatih untuk menebalkan rasa ikhlas serta tadarus dan tarawih yang dirancang khusus untuk menyemak semula aktiviti kita supaya selari dengan ayat-ayat suci tadi.

Semua ini menambah tekanan ke arah itu. Apalah erti dengan berlapar berpuasa siang hari dan berpenat-penat tadarus/tarawih di malam hari kalau tak ada pun perubahan berbanding sebelumnya.

Pantau dengan rapi

Firman Allah bermaksud: Dan hendaklah seseorang itu melihat apa yang telah dilakukan untuk esok hari (perancangan masa depan) dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah. (al Hasyr : 18).

Kalau orang korporat mementingkan rugi atau untung, kita mesti mengutamakan output kerja yang dilakukan.

Pemantauan dari semasa ke semasa ke atas semua aspek kerja - termasuk setiap projek yang disasarkan perlu dilakukan supaya sasaran dan kualiti kerja - dapat ditepati.

Di sini jelas bahawa Islam menuntut kita untuk merancang masa depan. Kita kena rancang pertumbuhan ekonomi.

Bagi peningkatan output kerja pegawai dan kakitangan perlu mempunyai sasaran kerja tahunan. Strategi untuk meningkatkan hasil-hasil pertanian perlu diperkemaskan.

Jika setiap keputusan dasar (policy decision) yang diputuskan oleh kerajaan disusuli segera dengan program, projek dan aktiviti yang konkrit dan ditetapkan sasaran akan dicapai.

Malah pemantauan yang rapi patut dibuat untuk mengukur tahap pencapaian dan keberkesanan. Jika tidak tercapai dicari sebabnya, kenapa dan jika perlu dibaiki, bagaimana?

Islam segenap segi

Ini Alaf Baru. Kita memerlukan pembaikian sikap. Jika perlu laju dan enjin lama perlu diubah suai, maka tidak salah untuk dibuat pengubahsuaian.

Perbincangan di pelbagai peringkat syura melalui mesyuarat berjawatankuasa harus dimanfaat sepenuhnya ke arah pengisian cita-cita ibadat puasa, tadarus dan terawih yang kita lakukan.

Kita mahu membangun bersama Islam dalam segenap segi - output, kualiti, kuantiti, kecekapan - zero defect product. Niatkan segala sesuatu usaha itu demi mahu menjelmakan Islam dalam bentuk yang dapat dilihat dan dirasai. Segala agenda yang selain daripadanya harus dilenyapkan sama sekali.

Menyentuh tentang output ke arah menjadikan Kelantan sebagai jelapang makanan, sektor pertanian tentunya memerlukan penekanan dan strategi yang lebih kemas kini.

Hasil-hasil keluaran, baik berupa tanaman atau ternakan perlu ditingkatkan. Ini pula perlu disusuli dengan rangkaian pemasaran yang lebih canggih.

Pernah terjadi apabila gesaan untuk meningkatkan tanaman satu komoditi disahut oleh orang kampung dan keluaran pun menjadi berlipat ganda, harga rupanya jatuh daripada RM2.40 sekilo kepada hanya 40 sen sahaja.

Ini yang dikatakan salah satu aspek pemasaran yang perlukan pemulihan. Sungguhpun pihak Fama mempunyai kaedah tertentu dalam mengemaskinikan rangkaian pemasaran tetapi kita percaya di sana masih ada ruang-ruang pembaikian yang masih boleh diikhtiarkan.

Mungkin aspek pengangkutan dan penyediaan kemudahan bilik sejuk (cold room) boleh diperkemaskan lagi bagi tujuan ini.

Ringkasnya, pengeluaran harus ditingkatkan. Rangkaian pemasaran perlu disusun dengan lebih teratur melalui suatu sistem penghantaran (delivery) yang lebih terancang.

Kemudahan-kemudahan bagi memastikan mutu pengeluaran sentiasa segar untuk mempertahankan paras harga optimum menguntugkan para petani adalah antara keutamaan yang memerlukan susulan.

Baru dasar dirasai dinamik

Dalam hal ini, pegawai serta orang politik juga mestilah tekun dan tidak beku. Maksud tidak beku di sini ialah apabila berhadapan dengan masalah harus bijak dalam menyelesaikannya.

Problem solving skills ini mesti ada dan ditingkatkan oleh setiap orang. Tugas dan tanggungjawab ini mesti dilaksanakan dengan hak, mementingkan hak dan menolak apa yang bukan hak baginya. Dalam kata lain, kena jujur dan amanahlah.

Dengan gabungan semua aspek di atas tadi, barulah kita boleh jadikan dasar Membangun Bersama Islam itu hidup dan dirasai dinamik dan bergerak ke hadapan.

Pokoknya di sini, Islam itu tidak bercanggah dengan pembangunan kerana Islam itu sendiri tidak lembab. Hari esok mestilah lebih membangun dari hari ini, dan tahun 2000 mesti lebih bermutu daripada semua aspek berbanding dengan 1999.

Pastikan perancangan masa depan diletakkan ke bahu kita. Letakkan tanggungjawab kolektif ini untuk diharungi bersama.

Dengan itu, manusia Muslim yang dijadikan Allah sebagai makhluk contoh di muka bumi akan sentiasa berada di landasan yang layak dicontohi.

Jangan dengan sengaja terjerumus ke lembah dosa dan kehinaan. Destinasi terakhir kita ialah akhirat, bukannya hari kita mula bersara; ini semua kita kena selalu ingat.

Makanan disuap mesti halal

Sehubungan dengan ini, suka saya ingatkan diri saya dan tuan-tuan supaya sentiasa menjaga kebersihan hati. Kikislah sifat-sifat keji seperti syirik, sombong, tamak, berdendam, suka dipuji, gila pangkat, pemarah, riak dan rasuah.

Hiasilah diri dengan sifat-sifat yang baik seperti reda, sabar, ikhlas, qana’ah dan kesedaran muraqabah yang tinggi. Sebab itu kita selalu diajar - pastikan setiap suap makanan yang masuk ke mulut mesti halal. Seteguk air yang turun ke perut bukan daripada harta rasuah, tuntutan mileage yang palsu, overtime yang bukan-bukan.

Kalau tidak, maka pada lahirnya saja berupa makanan/minuman tetapi pada hakikatnya ia adalah bara api yang akan membakar.

Naluri takut yang tersemat di dalam dada setiap insan adalah nikmat Allah yang cukup berguna. Pandai-pandailah kita gunakannya untuk takutkan hari pembalasan kerana akhirat itu wajib berlaku.

Sarjana Turki, Badiozzaman Said Nursi dalam bukunya Risale I-Nur (Treatise of Light) mengibaratkan penghidupan di bumi umpama ladang untuk kita bercucuk tanam, akhirat pula sebagai musim menuai, manakala syurga dan neraka itu gudang atau baluh tempat menyimpan bijirin.

Manusia mempunyai pelbagai cara untuk menyambut kedatangan alaf baru. Mereka yang tidak berpedoman akan melakukan perkara-perkara mengikut hawa nafsu.

Tradisi sambutan mereka dicemari maksiat termasuk minum arak, bergaul bebas lelaki perempuan di pesta-pesta yang dihiasi tari-menari.

Amat malanglah jika ada umat Islam yang masih terpengaruh dengan perbuatan ini tanpa mempedulikan dosa pahala.

Inilah yang disebut di dalam surah al-Fatihah sebagai golongan yang dimurkai dan golongan yang sesat. Jika boleh berseru, maka saya menyerulah umat Islam supaya merenung kembali kepada bacaan kita sendiri dalam sembahyang.

Itu adalah ajaran Islam yang sebenar. Tiada apa yang boleh menyelamatkan seseorang itu daripada azab neraka kecuali bertaubat dan kembali ke jalan-Nya, jalan yang lurus dan diredai.

Tinggal kulit, tulang

Kita berdoa ke hadrat Allah SWT supaya alaf baru ini membawa keamanan berpaksikan kesedaran world peace demi kepentingan dunia sejagat.

Abad yang lalu penuh dengan peperangan dan sengketa. Kurun ke-20 menyaksikan dua peperangan yang besar dan dahsyat - Perang Dunia Pertama dan Kedua.

Dunia juga turut menyaksikan keruntuhan Empayar Uthamiyah - kuasa Islam terbesar yang terakhir - di Turki.

Umat Islam juga kehilangan Baitulmuqaddis dan Masjid al-Aqsa apabila negara Yahudi ditubuhkan pada tahun 1948 di bumi Palestin.

Sejarah juga menunjukkan umat Islam bersengketa sesama sendiri – Perang lapan tahun Iraq-Iran, Perang Teluk, perang saudara di Afghanistan, di Chechnya dan di benua Afrika pada tahun 1980-an.

Persengketaan dan malapetaka kemarau menyebabkan penduduk Islam kebuluran sehingga ditayangkan di kaca TV kanak-kanak yang sampai tinggal kulit dan tulang.

Oleh itu, umat Islam perlu bersatu di bawah panji-panji Islam sebagai ad-din agar menjadi umat yang kuat dan tidak mudah dipemainkan oleh mana-mana kuasa di dunia.

Nabi Ibrahim AS pernah berdoa maksudnya: Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini sebuah negeri yang aman, dan berilah rezeki kepada penduduknya dengan bermacam-macam buah-buahan (iaitu) orang yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian.

Pohon keamanan dan rezeki

Nabi Ibrahim dengan tegas memohon kepada Allah dua perkara. Pertama, supaya Mekah aman sentosa, tiada peperangan dan sengketa. Kedua, nabi Allah itu memohon supaya diberikan rezeki kepada orang mukmin supaya bertubuh sihat dan cerdas.

Sehubungan dengan itu, jelaslah bahawa keamanan dan makanan menjadi prasyarat yang mutlak untuk membangunkan sesebuah negara.

Ini juga bertepatan dengan konsep Islam itu sendiri yang menganjurkan keamanan dan perpaduan. Dan, inilah falsafah kita: Membangun Bersama Islam yang dijulang pada penggal-penggal lalu dan akan datang, insya-Allah.

Ramai pemikir masa depan turut meramalkan abad ke-21 ini milik Asia. Ini kerana ekonomi Eropah dan AS tepu.

Asia yang mempunyai penduduk ramai menyediakan pasaran yang cukup besar serta mempunyai pelbagai deposit sumber semula jadi yang banyak. Ini dari sudut pasaran.

Semua gagal kawal nafsu

Bagi saya, kurun ke-21 ini mesti dijadikan milik Islam. Kini telah nampak kesedaran di kalangan umat Islam dan bukan Islam yang yakin melihat semua sistem ciptaan manusia - baik nasionalisme, komunisme, kapitalisme, dan sosialisme - semuanya tidak relevan lagi.

Semua sistem ciptaan manusia ini tidak mampu mengawal nafsu buas manusia. Baik nafsu seks, nafsu mengaut harta, nafsu rasuah dan nafsu kroni. Jarang ada ketua-ketua negara dunia yang tidak diseret mahkamah.

Kawalan nafsu ini hanya terdapat dalam Islam. Kaedah-kaedah fikah dan tasawuf telah dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW dan khalifahnya.

Ia terbukti cukup berkesan sehingga ada yang melakukan maksiat telah melapor diri sendiri tanpa lebih dahulu diintip.

Kini, majoriti mulai faham bahawa hanya Islamlah satu-satunya jalan penyelesaian bagi segala pemasalahan di muka bumi.

Revivalist movement untuk melaksanakan Islam ini berlaku di serata tempat di dunia, baik di Eropah, Afrika, mahupun Asia.

Akhir kata saya menyeru semua pihak tanpa mengira fahaman politik supaya bersatu. Kita hadapi pilihan raya yang akan datang dengan penuh semangat keagamaan.

Alhamdulillah, perpaduan rakyat kita - baik orang Islam dan bukan Islam - sedang berada pada tahap yang cukup mengembirakan.”

Akhirul kalam

Pada zaman Tok Guru, kita jarang melihat setiap isu dan kesempatan peristiwa yang melintas tinggal tak berjawab. Jika tiada isu, dicetusnya isu. Ucapan demi ucapan. Makalah demi makalah. Kenyataan demi kenyataan.

Hampir semuanya membuka ruang dan membina. Tidak satu pun dari detik saat yang berdetak pda jam dinding kota di waktu itu dijadikan sia-sia. Saya tidak pasti kenapa semua legasi keilmuan ini boleh terputus.

Bukan tidak ada ucapan dibuat dalam pelbagai majlis sepanjang lima tahun kebelakangan. Namun, ia gagal menarik perhatian justeru kelihatan telah terputus dari akar tunjang amali dan denyut nadi kehidupan rakyat.

Medan Ilmu yang terletak di tengah jantung kota - yang dulunya cukup sesak - kini hampir senyap sunyi.

Ya, orang masih kelihatan bermundar-mandir di setiap pagi Jumaat, tetapi yang dicarinya ialah sekelongsong laksam atau meninjau mata parang atau menghurung warung-warung kopi di sekitar medan kuliah.

Sesetengah leka memilih cincin zamrud. Mereka lebih tertarik mendengar syarah khasiat ubat kuat.

Dan, mereka mungkin lebih pecah liur mendengar kuliah pil gagah di hujung sana daripada terpesona mengikuti pesan-pesan ustaz berlidah panjang yang bertutur tanpa pantang dan acap kali dilihat marah-marah tak menentu.

Inilah fenomena awan tengkujuh yang sedang gelap menyerkup langit negeri Kelantan terkini.


ANNUAL BAKRI HARON bekas setiausaha politik menteri besar Kelantan dan mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau juga banyak terlibat dalam aktiviti seni termasuk penulisan dan muzik.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS