Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Satu hari dalam bulan September 1982, seorang warga Malaysia bernama Ooi Teon Choon mendarat buat pertama kali di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai. Ketika itu, lapangan terbang itu (bawah) hanyalah sebuah lapangan terbang biasa yang tentunya dengan fasiliti asas.

Sebelum itu, Ooi Teon Choon bekerja di Singapura dalam bidang penyelenggaraan pesawat tentera. Dalam tahun 1982 itu juga, Ooi Teon Choon menghadiri temuduga yang dikendalikan oleh Tentera Udara Emiriyah Dubai yang mencari pekerja baharu untuk pesawat yang bakal dibeli.

Dalam wawancara yang diadakan, soalan pertama Ooi Teon Choon kepada penemuduga pihak Tentera Udara Emiriyah Dubai ialah mengenai waktu bekerja.

Soalan yang mengejutkan pihak penemuduga kerana selalunya soalan penting ialah mengenai tawaran gaji dan kemudahan.

Penemuduga tersebut lalu berkata, waktu bekerja dari 7 pagi ke jam 1.30 petang.

Jawapan yang muncul kerana situasi di Singapura ketika itu memerlukan beliau bekerja lebih masa termasuk hujung minggu.

Apabila mendengar pakej gaji, Ooi Teon Choon terus menerima tawaran dari sebuah majikan yang lokasinya, Dubai, tidak pernah difikirkan akan menjadi sebuah tempat yang mengubah kehidupannya.

Waktu bekerja yang singkat dan gaji yang lumayan bagaikan mimpi menjadi nyata.

Kedatangan Ooi Teon Choon (atas) ke Dubai itu berseorangan, tanpa keluarga yang ditinggalkan. Isterinya, Oon Siew Choo menjaga anak perempuan pertama dan kemudian anak kedua di tanah air. Keluarga Ooi Teon Choon hanya menyertai beliau dalam tahun 1985.

Sebaik melaporkan diri, Ooi Teon Choon dihantar ke England untuk menjalani kursus penyelenggaraan pesawat yang baru dibeli oleh majikan selama beberapa bulan.

Apabila bercerita pengalaman dari tahun 1982 itu, tentunya Ooi Teon Choon mempunyai pengalaman unik untuk melihat pembangunan pesat sepanjang berada di UAE. Satu-satunya rakyat Malaysia yang bekerja dan bermastautin sebagai ekspatriat selama tiga dekad setengah.

Ketika itu, masih ada lagi sekatan jalan raya sempadan antara emiriyah Dubai dengan emiriyah Abu Dhabi, juga sempadan antara emiriyah Dubai dan emiriyah Sharjah.

Pertambahan pesat penduduk

Malah, tiada lagi tentera udara peringkat UAE yang hanya kemudian ditubuhkan dengan gabungan tentera udara Abu Dhabi dan tentera udara Dubai. Semenjak beberapa tahun lalu, penyelenggaran pesawat tentera diswastakan.

Penduduk Dubai dalam tahun 1982 sekitar 276,301 orang berbanding kini 2,596,000 orang. Pertambahan yang begitu tinggi sekali.

Jalan raya antara Dubai dan Abu Dhabi, hanyalah selorong satu hala dan satu-satu bangunan ialah Dubai World Trade Centre. Tiada apa-apa bangunan lain, selain di kawasan bandar lama iaitu Deira yang menjadi hab perniagaan.

Menurut Ooi Teon Choon, hanya dalam tahun 1995, Dubai menganjak dengan pembangunan berterusan sehingga kini, dua puluh tahun yang membawa Dubai ke peta dunia. Hari ini, 35 tahun kemudian, Dubai bersama UAE adalah jenama yang memberikan wajah kegemilangan dan kehebatan sebuah wawasan kepimpinan.

Pada tahun 1999, Ooi Teon Choon dan isteri, Oon Siew Choo menerima hidayah dari Allah dan mereka sekeluarga menjadi Muslim.

Ooi Teon Choon, yang asalnya penganut Buddha, dengan nama Islam, Abdul Rahim, dan isterinya, Oon Siew Choo memilih nama Mariam (atas), memberitahu bagaimana mereka mula berminat dengan Islam.

Menurut Mariam, dengan jumlah masjid yang banyak dan merata tempat di Dubai memberikan tanggapan pertama yang membuka hatinya untuk mengetahui mengenai Islam.

Mariam lebih awal memeluk agama Islam.

Manakala menurut Abdul Rahim, dia melihat ada kelainan dalam amalan orang Arab dan Orang Melayu. Sebagai anak Malaysia yang dibesarkan di kalangan orang Melayu Islam, Abdul Rahim merasakan tiada bezanya antara orang Islam dan orang bukan Islam di tanah air.

Ramai orang Melayu, walau solat misalnya, perangai buruk sama sahaja dengan orang bukan Islam. Jadi, apakah bezanya agama Islam dengan agama lain? Tidak perlu menjadi Muslim kalau sama sahaja perangai dan amalan di luar solat.

Apalagi dengan konsep 'masuk Melayu' kalau memeluk agama Islam yang menjadi salah satu benteng untuk orang bukan Islam mendekati agama Islam. Kenapa perlu 'masuk Melayu' , satu bangsa lain?

Manakala, sebagai salah seorang pekerja di kalangan orang Arab tempatan, iaitu Emirati, dia melihat bagaimana orang tempatan melayan dan menghormati beliau dengan begitu baik. Sepanjang bekerja di UAE, semuanya bosnya adalah Emirati.

Dakwah mudah untuk mualaf

Menarik untuk mendengar bagaimana proses pengajaran sebuah pusat dakwah di Dubai yang begitu mudah dan sesuai untuk mualaf.

Solat diajar pada peringkat awal dengan belajar gerakan dan menyebut Allahuakbar di setiap gerak. Sesudah memahami mengenai gerak dalam solat, barulah diajar ayat-ayat dalam solat dan ayat-ayat lazim untuk dihafal.

Pada tahun yang sama, Ooi Teon Choon yang dikenali sebagai Abdul Rahim Ooi berangkat menunaikan haji dengan diberi kelepasan cuti tanpa rekod oleh tentera udara UAE.

Lebih menarik, rakyat Malaysia pertama yang saya temui di UAE ialah Abdul Rahim Ooi, yang membawa saya dan anak-anak ke masjid untuk solat Jumaat dengan kereta Proton Wiranya.

Semenjak hari Jumaat itu, Abdul Rahim Ooi dan Mariam menjadi sebahagian dari 'keluarga' rapat kami di UAE. Bersama 'original team' semenjak tahun 2000, iaitu Hasnol Yunus, Affandy Shaari, Mustafa Agib, Nizalman Abdul Rahman dan Nik Fakhruranwar (bawah) yang menjadi pelopor banyak aktiviti di kalangan warga ekspatriat Malaysia di UAE, termasuk penubuhan persatuan ekspatriat Malaysia.

Setelah 35 tahun, Abdul Rahim Ooi dan Mariam akhirnya kembali ke tanah air bulan Februari tahun ini. Kami meraikan pasangan yang menjadi sebahagian dari kehidupan ekspatriat kami semenjak 18 tahun lalu dengan sebuah majlis yang turut disertai oleh Yang Terutama Duta Malaysia ke UAE, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin.

Kawan-kawan yang hadir turut membawa nostalgia dan memori yang akan kekal sepanjang kehidupan.

Perkara yang sering menjadi jenaka antara kami ialah bagaimana Abdul Rahim Ooi mengekalkan rambut yang lebat dan terus hitam dari dahulu sehingga kini. Rahsia awet muda yang katanya, secara berjenaka kerana kurang menggunakan otak.

Lebih unik buat Abdul Rahim Ooi dan Mariam, anak perempuan pertamanya bertemu jodoh dengan warga Emirati dan keempat-empat cucu (dua lelaki dan dua perempuan) adalah warga Emirati.

Generasi ketiga yang ditinggalkan oleh Abdul Rahim Ooi dan Mariam di UAE adalah anak-anak Emirati!

Manakala, anak perempuan keduanya terus menetap di UAE yang menjadi rumah pertama semenjak kecil.

Begitulah secara ringkas, perjalanan Abdul Rahim Ooi dan Mariam, yang 35 tahun kemudian dari hari pertama Ooi Teon Choon melangkah kaki di Dubai diusia 30han, kembali ke tanah air sebagai warga emas dan pengalaman yang tiada ternilai.

Banyak sekali yang boleh dikongsi dengan generasi masa kini terutama pihak aktivitis dakwah yang boleh belajar banyak perkara dari pasangan bahagia ini.

Buat kami, warga ekspatriat Malaysia di UAE mendoakan agar Abdul Rahim Ooi dan Mariam terus diberi perlindungan dan rezeki terbaik di tanah air!

(Boleh ikuti perjalanan Abdul Rahim Ooi https://youtu.be/pbpUi2RNfmU)


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS