Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum
Dolores dan kisah di sebalik 10 lagu The Cranberries

Dolores O’Riordan telah pergi pada 15 Januari lalu dalam usia yang begitu muda. Umur 46 tahun belum mencapai kemuncak kreatif. Banyak lagi karya mampu dihasilkan.

Saya terkejut kerana hanya beberapa ketika sebelum ini telah membaca berita tentang band yang dipimpinnya The Cranberries sedang dalam proses merakamkan lagu-lagu untuk album terbaru.

Saya bersedih kerana memang meminati The Cranberries. Muzik yang dibawakan merupakan lagu-lagu pop yang sedikit-sebanyak bernada komersil yang menyentuh jiwa, membawa ketenangan dan sesekali menimbulkan kegelisahan; jujur, pedih, gembira dan pilu.

Dunia fantasi muzik saya bukan sekadar marah-marah punk rock tetapi juga merangkumi gemersik pop dengan lirik yang ikhlas dan kadang-kalanya naif. Minat saya pula bukan sewaktu zaman sekolah tetapi pada era yang cukup dewasa untuk membezakan di antara realiti dan fantasi.

Saya senaraikan 10 lagu The Cranberries yang menjadi kesukaan saya. Ia juga memberi kesan dalam hidup saya, dan mungkin juga hidup anda.

Bagi saya dua album pertama mereka merupakan yang terbaik walaupun empat lagi tidak kurang hebatnya. Ini tidak termasuk rakaman semula lagu-lagu utama mereka dalam bentuk akustik untuk album terakhir Something Else (2017).

1) Linger

Single pertama Linger merupakan lagu yang mana nadanya mudah ditangkap telinga. Yang lebih menarik adalah liriknya. Kisah cinta remaja gadis manis 17 tahun mendapat ciuman sebenar yang pertama; tetapi dalam pertemuan kedua budak lelaki itu sudah lupa gadis yang diciumnya itu.

Linger membawa maksud kesan ciuman yang berlegar-legar di bibir, lidah dan hati sang gadis. Ia kisah benar dalam hidup Dolores. Ia dimuatkan dalam album pertama mereka Everybody Else Is Doing It, So Why Can't We? (1993)

But I'm in so deep. You know I'm such a fool for you/You got me wrapped around your finger, ah, ha, ha/Do you have to let it linger?/ Do you have to, do you have to/Do you have to let it linger?

2) Dreams

Daripada album yang sama, muncul hit yang lebih besar, iaitu Dreams. Ia berkisar tentang cinta pertama Dolores. Pada 1993, saya di pertengahan usia 20-an.

Walaupun saya tidak sedar dengan kelahiran album sulung The Cranberries, Everybody Else Is Doing It, So Why Can't We? yang terbit pada tahun itu, sukar untuk buat-buat tidak dengar apabila lagu hit itu sentiasa berkumandang di merata-rata ceruk pekan dan kampung.

Apatah lagi sepanjang 1994, artis Hong Kong Faye Wong membawakan lagu itu dalam versi Kantonis yang sangat popular di Malaysia.

3) Zombie

Zombie bukan lagu politik walaupun ia menampilkan sifat keji politik apabila menceritakan tentang kematian dua anak kecil, seorang berumur tiga tahun manakala seorang lagi 12 tahun, yang terbunuh akibat letupan bom di Cheshire, England pada Februari 1993.

Ya, 25 tahun lalu pengeboman itu menjadi inspirasi untuk The Cranberries melahirkan sebuah lagu yang membantah tindakan kejam tersebut akibat bom yang dipasang oleh Tentera Republikan Irish (IRA).

Another head hangs lowly/Child is slowly taken/And the violence, caused such silence/Who are we mistaken?

Sebagai anak kelahiran Ireland, Dolores bersama anggota kumpulannya marah dengan keganasan yang dijadikan alat politik. Lagu itu mengingatkan perang di bumi Ireland sejak 1916 yang masih diteruskan sehingga akhir alaf lama. Sedangkan yang menjadi korban adalah kanak-kanak yang tidak berdosa.

It's the same old theme/Since nineteen-sixteen/In your head, in your head, they're still fighting/With their tanks, and their bombs/And their bombs, and their guns/In your head, in your head, they are dying

Lagu ini daripada album kedua mereka No Need To Argue (1994) yang mana bersama album pertama menjadi seperti cinta pandang pertama buat saya. Sekali dengar terus suka.

Kedua-duanya mengisi kekosongan jiwa apabila genre punk semakin mengelirukan buat saya dengan munculnya gabungan crossover di antara thrash metal dan punk serta pelbagai genre berkaitan. Semuanya bingit belaka, kebanyakannya politikal, sama ada bersifat lokal atau global.

4) Ode to My Family

Daripada album kedua itu juga ditampilkan lagu Ode to My Family yang membawa rasa rindu Dolores kepada ibu bapanya di kampung Limerick di Ireland. Ketika itu The Cranberries yang mula popular di seluruh dunia terpaksa menghabiskan masa dengan persembahan di merata tempat.

My mother, my mom/She hold me, she hold me/When I was out there/My father, my father/He liked me, oh, he liked me/Does anyone care?/Understand what I've become/It wasn't my design/And people everywhere think something/Better than I am

5) Ridiculous Thoughts

Juga daripada album yang sama, lagu ini merupakan catatan tentang kisah cinta Dolores, walaupun interpretasinya berbeza.

Ridiculous Thoughts dalam bentuk lagu rancak ini dikatakan tentang populariti sebagai selebriti memberi kesan kepada kehidupan Dolores bersama kekasihnya; namun ada pula yang menganggap ia menceritakan tentang kepedihan hidup bersama kekasihnya yang kadang-kadang ganas.

Twister, oh, does anyone see though you/You're a twister, oh, an animal/But you're so happy, oh/I didn't go along with you/So happy, oh, na na na/But you're gonna have to hold on/You're gonna have to hold on…/Or we're gonna have to move on/Oh, we're gonna have to move on…

6) Dreaming My Dreams

Dreaming My Dreams jelas sebuah lagi lagu tentang percintaan. Cuma tidak jelas siapa cinta hati Dolores pada masa itu. Ada yang menganggap ia tentang cinta bersama kekasihnya yang sama itu, ada pula yang mengaitkannya dengan kekasih baru yang kemudian menjadi suaminya.

All the things you said to me today/Changed my perspective in every way/Then things come to mean/Too much to me/Into my faith you/And your baby/It's out there/If you want me/I'll be here/It's out there/I'll be dreaming my dreams with you

7) No Need to Argue

Lagu daripada tajuk album kedua ini saya hanya mampu gambarkannya sebagai haunting. Dengan suara Dolores yang merdu – kisah perpisahan dengan kekasihnya - ia sentiasa berjaya menyejukkan hati saya ketika panas, dan sesekali menitiskan air mata apabila kenangan-kenangan lama muncul di benak. Jiwang, kata orang. Saya amat sukakan lagu ini.

There's no need to argue anymore/I gave all I could/But it left me so sore/And the thing that makes me mad/Is the one thing that I had/I knew, I knew, I'd lose you

You'll always be special to me/And I remember all the things we once shared/Watching TV movies on the living room armchair/But they say it will work out fine/Was it all a waste of time/'Cause I knew, I knew, I'd lose you

You'll always be special to me/Will I forget in time/You said I was on your mind/There's no need to argue/No need to argue anymore/There's no need to argue anymore

8) Salvation

Daripada album ketiga, To the Faithful Departed (1996), lagu rock ini membawa mesej antidadah heroin. Saya tidak begitu kisahkan sangat liriknya – agak lemah kerana bersifat propaganda – kerana saya lebih sukakan rentak bingitnya. Malah video muziknya juga menarik hati dengan gaya tarian twist Dolores.

9) When You’re Gone

Juga daripada album ketiga itu, sebuah lagi lagu sentimental yang pada mulanya tentang cinta dan perpisahan, kemudian menjadi tema lain bagi Dolores yang melihatnya sebagai pemergian atau kematian orang yang disayang.

And in the night, I could be helpless/I could be lonely, sleeping without you/And in the day, everything’s complex/There’s nothing simple, when I’m not around you/But I miss you when you’re gone/That is what I do, Baby/And it’s going to carry on

10) Just My Imagination

Lagu daripada album keempat Bury the Hatchet (1999) ini merupakan luahan rasa mencari escapism, sama ada daripada seorang artis yang mencari ruang aman atau seorang ibu yang mahu ketenangan selepas berhempas-pulas bersama anak-anak kesayangan yang memenatkan jiwa raga.

There was a game we used to play/We would hit the town on Friday night/And stay in bed until Sunday/We used to be so free/We were living for the love we had and/Living not for reality

Kemurungan di sebalik lagu

Seperti yang saya catatkan masih banyak lagu mereka yang menawan hati seperti Animal Instinct dan Promises, juga daripada album keempat itu; dan Analysedan Time is Ticking Out daripada album Wake up and Smell the Coffee (2001). Saya menganggap album kelima Roses (2012) agak lemah berbanding yang lain.

Di sebalik dunia pop komersil dan alam selebriti, hidup Dolores tidak semudah yang disangka. Sepanjang hayatnya dipenuhi kepedihan. Zaman kanak-kanaknya dipaksa melalui penderitaan dan ketakutan kerana dicabul oleh orang yang dikenalinya selama beberapa tahun. Zaman remajanya pula keliru dalam mencari arah tujuan hidup.

Kisah peribadinya disusun cantik sebagai lirik. Apabila mengandung anak pertamanya, tubuhnya diserang penyakit akibat tekanan jiwa.

Hanya beberapa tahun lalu, Dolores mendedahkan dia sudah didiagnosis mengalami gangguan bipolar – tekanan mental yang membawa kemurungan dan perubahan mood mendadak.

Akhirnya tiada lagi kemurungan baginya. Dia pulang kepada ketenangan. Berakhir kepedihan hidupnya. Ini tidak bererti masalah kesihatan mental boleh diketepikan begitu sahaja. Atau ajal dianggap sebagai jalan keluar. Ia sesuatu yang amat serius.

Namun, bagi dirinya, ia dihadapinya sendiri. Semoga sentiasa damai, Dolores.


WAN HAMIDI HAMID seorang penulis, pemerhati politik dan penggemar muzik.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS