Paling Popular
Terkini

Dalam masa tidak lebih enam bulan lagi, semua rakyat Malaysia yang mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pemilih akan berpeluang membuang undi mereka untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Hanya ada beberapa pilihan iaitu sama ada kita pangkah BN, parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan atau parti-parti lain seperti PAS, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan sebagainya.

Justeru, dalam mencongak parti mana yang akan kita pangkah, mungkin wajar untuk kita merenung serba sedikit petua-petua berikut untuk membolehkan kita menjadi pengundi Malaysia yang bijak.

Petua yang pertama, janganlah kita membaca berita-berita yang tersiar dalam akhbar arus perdana atau menonton berita TV3 kerana semuanya berat sebelah, tidak menggambarkan realiti serta bersifat propaganda oleh parti pemerintah.

Mereka menjadi sedemikian kerana dimiliki oleh parti-parti pemerintah yang menguasai saham serta menempatkan 'orang-orang' BN di dalamnya untuk menyekat laporan seimbang, memburuk-burukkan pembangkang demi kemenangan berterusan BN.

Sebaliknya, para pengundi boleh membaca berita-berita yang disiarkan oleh beberapa portal berita yang terbukti seimbang, 'real time' dan kebanyakannya disediakan secara percuma.

Petua kedua, janganlah kita pergi mendengar ceramah BN walaupun ada antaranya menyajikan hiburan selingan dan 'door gift' yang bertujuan menarik minat orang ramai yang datang menyertainya.

Buat apa nak hadir untuk mendengar ceramah BN kalau sudah semua yang mahu diperkatakan atau dihebohkan oleh BN telah disiarkan oleh media arus perdana sama ada akhbar atau stesen televisyen milik mereka.

Sebaliknya, hadirilah ceramah pembangkang kerana ia disajikan dengan hujah serta keadaan sebenar permasalahan negara yang memungkinkan terbentuknya penyelesaian, walaupun bukan secara menyeluruh, apabila berlakunya pertukaran kerajaan.

Ketiga, para pengundi perlu berfikir secara logik kerana jika Malaysia mampu untuk mempunyai kerajaan baru, pastinya kerajaan baru ini akan melaksanakan beberapa tindakan serta langkah populis untuk menyenangkan kehidupan rakyat.

Lihat sahaja seperti di Pulau Pinang yang memperkenalkan banyak skim untuk warga emas, pelajar cemerlang dan pembasmian miskin tegar menerusi pelaksanaan program prinsip Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT) tatkala mula mengambil alih kuasa pada 2008.

Di Selangor pula, sebaik sahaja pembangkang mengambil alih, mereka terus melaksanakan pemberian air percuma 20 meter padu pertama kepada pengguna air domestik yang menggunakan meter individu mulai bulan Jun 2008.

Lebih dari itu, jika kita pilih untuk mengundi BN, maknanya kita juga pilih untuk kekalkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang menjadi antara penyebab kenaikan harga barang dan kos sara hidup.

Tetapi, jika kita berani untuk memilih kerajaan baru, GST akan tinggal sejarah dalam sistem pengurusan ekonomi negara dan kerajaan baru pastinya memperkenalkan pelbagai dasar baru yang lebih baik dari BN.

Petua keempat pula, keluarlah mengundi secara beramai-ramai dan janganlah kita memboikot PRU14 atau membuat undi rosak kerana masa depan negara ini untuk tempoh lima tahun akan datang terletak di tangan kita.

Ketepikan segala kisah lama dan bangkitlah bersemangat untuk menjadikan Malaysia sebagai negara lebih baik kerana dendam lama yang masih terbuku di hati tidak akan membawa negara ke tahap lebih baik.

Kelima, jangan percaya negara ini akan dilanda rusuhan, menjadi kacau-bilau atau kaum Melayu akan terabai jika Umno dan BN kalah pada PRU14.

Jangan juga percaya kedudukan agama Islam akan tergugat jika HARAPAN memerintah dan kononnya DAP akan mengawal kerajaan.

Jangan percaya MARA akan ditutup, skim pinjaman Tekun akan dimansuhkan, UiTM akan ditutup sekiranya HARAPAN mengambil alih Putrajaya dari BN.

Semoga petua-petua di atas berguna kepada sebilangan pemilih sama ada baru atau lama dalam menentukan kerajaan baru Malaysia pasca-PRU14.


AMRAN AHMAD NOR adalah bekas pengerusi NUJ cawangan Utusan Melayu dan masih menjejaki perjuangan arwah Ahmad Nor, bekas presiden CUEPACS dan naib pengerusi DAP.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS