Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ia bukanlah mesyuarat rasmi, sebaliknya hanyalah pertemuan santai sejak saya dilantik ke dalam biro buruh DAP sebagai timbalan pengerusi.

Walaupun bersifat santai, pertemuan tersebut disulami dengan perbincangan hangat beberapa isu pekerja, terutama melibatkan syarikat milik dan berkaitan kerajaan dalam suasana ekonomi yang cukup mencabar dan gerak kerja kerajaan yang tiada hala tuju.

Pengerusi biro kami, A Sivanesan meluahkan keluh-kesah dalam membela ramai kakitangan Malaysia Airlines (MAS) yang dibuang kerja beberapa tahun lalu setelah kerajaan melantik ketua pegawai eksekutif mat salih.

Katanya, keperitan dibuang kerja turut dirasai beliau selaku peguam mereka kerana ramai 'mangsa' susah sehingga terpaksa menjual nasi lemak di tepi jalan dan berubah kerjaya menjadi pemandu Uber atau Grab.

Pada Ogos 2014, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) yang merupakan pemegang saham terbesar MAS mengumumkan 12 pelan penstrukturan semula MAS bernilai RM6 bilion.

Bawah penstrukturan semula tersebut, mereka menubuhkan entiti baru yang menyebabkan 6,000 pekerja daripada pelbagai peringkat diberhentikan.

Model Korea Selatan

Walaupun kerajaan melaksanakan Skim Insurans Pekerjaan (SIP) bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengikut model Korea Selatan, namun mereka yang dibuang kerja hanya akan menerima bantuan kewangan sementara sehingga enam bulan sahaja.

Memetik data Jabatan Buruh, hampir 18,000 pekerja diberhentikan pada tahun lalu dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menjangka lebih 50,000 pekerja akan diberhentikan tahun ini.

Dalam pertemuan yang sama, kami turut mencongak mengenai nasib yang bakal menimpa lebih 10,000 kakitangan Proton Holdings Berhad (Proton) dan lebih 60,000 orang yang bekerja dengan vendor dan sektor berkaitan yang khabarnya berdepan risiko kehilangan pekerjaan.

Kami tetap bimbang walaupun Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan menafikan khabar angin yang memetik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Proton, Li Chunrong berhasrat membuang pekerja syarikat automotif tersebut.

Sekadar penyedap hati?

Kami khuatir penafian Ong hanya 'penyedap hati' buat sementara waktu kerana pada hakikatnya Ong mahupun kerajaan seperti tidak berkuasa untuk menghentikan tindakan Li jika beliau tetap mahu melakukannya.

Ini kerana 49.9 peratus saham proton dimiliki oleh Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely).

Geely berhak menentukan teraju pengurusan syarikat itu walaupun bukan warga tempatan dan menguruskan syarikat berkenaan dalam erti kata menyasarkan keuntungan perniagaan tanpa perlu memikirkan sentimen tempatan terutama nasib para pekerja.

Persoalannya, sedangkan ketika kerajaan memegang MAS menerusi pegangan saham Khazanah sekalipun masih berlaku pembuangan kerja dengan restu Putrajaya, apatah lagi apabila pegangan kerajaan dalam Proton tidak lagi sekuat dulu.

Walaupun begitu, nasib, hak serta prospek kerjaya kakitangan Proton sedia ada dan masa depan harus dipertahankan setelah kerajaan merestui tindakan syarikat pemilik Proton sebelum ini untuk menjual sebahagian besar kepentingan firma tersebut kepada firma asing.

Kerajaan perlu mempertahan dan melakukan campur tangan yang jitu lagi berkesan untuk melindungi pekerja Proton, atau setidak-tidaknya menyediakan suatu pelan rancangan supaya mereka yang terlibat dapat menyara kehidupan.

Jangan berdolak-dalih

Di akhir pertemuan, kami sebulat suara membuat cadangan untuk mendesak Proton dan Li selaku teraju utama pengurusan firma tersebut untuk memberi jaminan agar tidak melakukan aktiviti pembuangan pekerja dalam tempoh lima tahun pertama Geely mengambil alih Proton.

Kami juga mahu menteri BN, termasuk Ong dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak berdolak-dalih dalam hal ini dan mesti bertanggungjawab menjaga periuk nasi lebih 10,000 kakitangan Proton.

Semua pihak sama ada kerajaan dan pihak pengurusan Proton tidak boleh lepas tangan jika Li tetap mahu melaksanakan aktiviti pembuangan pekerja seperti yang berlaku pada MAS kerana ribuan keluarga bakal menerima tempiasnya.

Sama ada sebelum atau selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14), nasib ribuan kakitangan Proton ini harus dipertahankan kerajaan bukan kerana sama ada mereka pengundi atau tidak tetapi demi nilai-nilai kemanusiaan bagi memastikan kehidupan terus berjalan tanpa gangguan kewangan.


AMRAN AHMAD NOR adalah bekas pengerusi NUJ cawangan Utusan Melayu dan kini merupakan timbalan pengerusi biro buruh DAP dalam menjejaki perjuangan arwah Ahmad Nor, bekas presiden CUEPACS dan naib pengerusi DAP.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS