Paling Popular
Terkini

“18 Jun 2009: Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew diharap ikhlas dalam melahirkan pandangannya tentang pemerintahan telus PAS di Kelantan yang kini sudah berjalan 18 tahun dan perbandingannya dengan wajah BN yang diselaputi korupsi.” Demikian laporan sebuah berita.

Sebelum pertemuan itu berlangsung, ramai orang tidak tahu yang Tok Guru membuat persiapan rapi untuk mengenali Kuan Yew secara lebih dekat.

Untuk itu beliau mengarahkan saya mencari naratif terbaik yang dianggap boleh mewakili susuk Encik Kuan Yew itu dengan cara mendekati pelbagai kenyataan beliau mengenai pelbagai isu.

Harapannya ialah pertemuan yang diatur nanti akan berlangsung dalam keadaan umpama dua ekor singa yang bertemu - saling beringat antara satu sama lain - dalam proses taaruf dan saling mengenal.

Sehari selepas pertemuan itu, Mazlan Jusoh dan wartawan Salmah Mat Husain membekalkan sedikit catatan seperti yang dipetik di bawah:

Menteri Besar Kelantan berkata, pada pertemuan itu Kuan Yew ingin mengetahui hubungan PAS dengan Singapura seandainya suatu hari nanti parti tersebut menguasai politik negara.

Menjelaskan perkara itu, katanya, PAS mementingkan keharmonian kehidupan dalam masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

Masyarakat minoriti di negeri ini seperti kaum Cina dan India diberi layanan yang serupa sehingga mereka dapat hidup dalam suasana harmonis," katanya ditemui pemberita selepas menerima kunjungan tersebut.

Menteri mentor negara jiran itu pula memberitahu Kelantan semakin pesat membangun dan bukannya seperti dilaporkan sesetengah media sebelum ini.

Kata Kuan Yew, beliau mendapati bandar Kota Bharu begitu bersih, dan tidak sebagaimana digambarkan sebelum ini. Di samping kehidupan rakyat juga berada dalam suasana aman.

"Allah mencipta orang Melayu, Allah juga cipta orang Cina, India dan sebagainya. Oleh kerana itu saya pandang semua rakyat di negeri ini sama sahaja tanpa mengira bangsa dan agama.

"Sesiapa yang berpegang teguh kepada jalan Allah akan mendapat balasan syurga tanpa mengira bangsa atau kedudukan, sebaliknya kalau dia bersalah dengan Allah walaupun keturunan Arab akan mendapat balasan neraka," ujar Nik Aziz.

Pada pertemuan singkat yang penuh bermakna itu, Kuan Yew memberitahu antara tujuannya bertemu dengan Mursyidul Am PAS ialah untuk meninjau perkembangan politik di Kelantan.

Beliau juga berkesempatan melawat rumah ibadat penganut Buddha, dan menemui pemimpin pelbagai agama termasuk Kristian di Kota Bharu.

"Saya pula menceritakan kepadanya antara negara pertama yang dilawati sewaktu mula-mula menjadi menteri besar ialah negara China. Ini kerana negara tersebut menerima Islam lebih awal berbanding Tanah Melayu.

"Saya juga menjelaskan Islam sejak awal lagi memberi kebebasan seperti hak beragama, beribadat, ekonomi dan berbagai lagi sejak awal lagi dan bukannya selepas PBB diwujudkan pada 1948," ujarnya.

Bagaimanapun katanya PBB yang bertopengkan hak asasi manusia sebenarnya hanya dikuasai lima negara kuasa besar dengan diketuai Amerika Syarikat.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berkata, beliau berbangga menerima kunjungan hormat bekas pemimpin yang bukan sahaja dikenali di peringkat Asean, sebaliknya peringkat antarabangsa.

Pada pertemuan terbabit Kuan Yew juga menjemput Menteri Besar Kelantan mengadakan lawatan ke Singapura. Pertemuan hampir sejam itu turut dihadiri Menteri Kewangan Singapura, Tharman Shanmugaratnam, Menteri Pelajaran, Ng Eng Hen dan beberapa pegawai kedutaan Singapura, manakala Nik Abdul Aziz ditemani Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, anggota exco membabitkan Datuk Husam Musa, Datuk Anuar Tan Abdullah dan Datuk Mohd Amar Abdullah.

Proses persiapan

Sebetulnya, persiapan agak rumit bahkan cerewet. Dengan sepotong arahan ringkas seperti dinyatakan di atas, saya mula mencari pelbagai punca maklumat demi memberikan gambaran profil Kuan Yew itu setepatnya.

Setelah Tok Guru bersetuju, agak mencukupi jika saya dapat membuat terjemahan tentang pelbagai ungkapan kata-kata beliau seperti yang pernah diucapkan Kuan Yew di sebelum itu.


Baca: Nota Tok Guru yang tertinggal


Kesempatan yang diambil untuk merenung dan membedah susuk Encik Kuan Yew diambil pada sambutan hari keluarga yang diadakan di sebuah hotel di Tok Bali.

Di sana, memanglah ada sukan rakyat, ada solat berjemaah, ada tazkirah dan ada majlis pengisian di sana sini, tetapi jauh terselit ialah sesi taklimat one-to-one bagi menterjemah kata-kata Kuan Yew.

Ia berlangsung di tepi kolam mandi. Tok Guru - yang duduk santai sedikit - berlunjur manakala saya pula berada di tepi dagunya.

Ada ketika dia menjampuk, “oo lagu tu peseng nyo” sambil mengerling kepada saya.

“Baik, baik. Molek. Pah tu, lagi… lagi! “

Hidup sebuah pengembaraan

Saya memberitahu Tok Guru bahawa Encik Kuan Yew ada menulis - antara lain - kira-kira begini:

“Tanpa diketahui ke mana kita akan dibawa, hidup adalah sebuah pengembaraan. Kita mungkin mempunyai pelbagai rencana, kita ada harapan, ada mimpi tetapi acap kali dan setiap kali kita terpaksa mengambil jalan yang kita tidak rancang untuk dilalui, menghadapi wilayah pergunungan yang sukar, menyeberangi lopak sungai yang mencabar ; terhadang-kadang oleh tanah runtuh dan mungkin gempa bumi. Itulah jalan kehidupan yang saya tempuhi sepanjang 80 tahun.

“Sebagai seorang pelajar di Raffles Institution, saya ada bercadang untuk mendapat biasiswa – dan pergi melanjutkan pelajaran ke England dalam jurusan undang-undang – tetapi malangnya Singapura jatuh ke tangan Jepun pada 15 Februari 1942. Tiga setengah tahun di bawah tekanan pemerintahan Jepun, saya merasakan, saya mempelajari banyak perkara yang sukar untuk dilupakan. Mungkin nilai ilmu yang mengajar saya sepanjang waktu itu melebihi daripada apa yang boleh saya perolehi dari mana-mana universiti.

“Saya belajar tentang pengertian kuasa, naluri, rakyat dan negara.

“Saya tidak pernah merancang untuk menceburi bidang politik. Akan tetapi, hari-hari lampau yang telah saya lalui pada zaman Jepun dan sewaktu belajar di London seterusnya menjadikan saya beransur-ansur menuju ke situ.

“Saya bersyukur berada di tempat yang saya ada sekarang. Rasa gembira dapat menyumbang kepada ramai orang dan mampu membantu, memilih satu pasukan pemimpin yang boleh membawa Singapura bergerak ke hadapan.

“Saya tak jangka saya masih diberi nafas sehingga ke usia 80 dan kini masih secara relatif sihat; syukurlah. Saya melihat kawan-kawan di sekeliling saya dan saya rasa terpegun bagaimana mereka telah berbuat sesuatu. Mungkin, ia sebuah nasib dari sebuah cabutan bertuah!

"Pada akhirnya, apa yang patut saya raikan ialah hubungan kemanusiaan. Kekayaan dunia yang kita miliki tidak mungkin dapat kita borong dan angkut kesemuanya. Yang penting ialah kawan dan persahabatan yang telah kita bina, hubungan kekeluargaan kita yang melangsungkan semangat kita.

“Bolehkah saya teruskan kehidupan lain, yang berbeza? Ini parlour game atau disebut permainan kata-kata, tau!

“Di setiap aras dan tingkat kehidupan, sentiasa ada simpang bersilang. Jika kamu ambil satu jalan, kamu telah ambil satu haluan yang berlainan dan kamu teruskan juga – kamu tidak mungkin berpatah balik. Jika (misalnya) saya, teruskan karier sebagai seorang peguam dan jika ada seorang yang tolol (idiot/dunce) memimpin Singapura, apa akan jadi?”

Sepanjang saya menterjemah dan meneliti reaksi Tok Guru, saya boleh katakan beliau pendengar dan peneliti yang tekun. Dia mendengar sekali gus berfikir.

Ada ketikanya, dia membandingkan sikap Islam terhadap hidup berbanding dengan apa yang diperkatakan oleh Kuan Yew itu.

Apa pun, Tok Guru kelihatan cukup minat dengan sikap cekal mendiang mantan perdana menteri Singapura itu.

Dengan satu isyarat ringkas, Tok Guru minta sesi itu disambung sesudah Asar. Dia ingin berehat sebentar menjelang jam 11.30 pagi sebelum tiba waktu Zohor.

Kata-kata terpilih

Untuk sesi seterusnya, Tok Guru mengarahkan saya untuk hanya tumpukan perhatian kepada sebanyak mungkin kata-kata bijak, brilliant quotes pernah disebut oleh Encik Kuan Yew. Saya akur.

Berikut adalah petikan yang sempat dibentangkan:

  • Saya berdiri, berjuang dan (rela) mati dengan apa yang saya kata (Parlimen Malaysia, 18 Dis 1964).
  • Dua puluh tahun lalu saya mahu menjadi peguam kerana saya percaya ia boleh memberikan kehidupan yang selesa; berbuat sesuatu yang - relatifnya - mudah dan memberikan kepuasan. Saya tak termimpi untuk memimpin dua juta manusia 20 tahun kemudian (Singapura, 1 Sept 1965).
  • Saya bernasib baik memiliki sebuah takungan kuat menahan kesakitan. Saya adalah kejia ren (Hakka). Jadi, saya terus dapat hidup (temu ramah dengan Talents Magazine, Mac 1997).
  • Kepada ahli kader yang tua, saya cukup akrab; khususnya mereka yang pernah mengharungi api bersama saya yang saya yakin mereka ialah kawan-kawan yang beramanah. Dalam pertempuran, mereka tidak pernah mengkhianati dan mengecewakan saya (persidangan parti, 15 Nov 1982).
  • Saya tidak berminat untuk sekadar menjadi betul secara politik. Saya cuma berminat untuk hanya menjadi betul. I am interested in being correct (Fortune, 4 Ogos 1997).
  • Saya tidak pernah mengamalkan crystal gazing. Saya kebiasannya bekerja dengan sempoa (abacus) - sebuah instrumen yang cukup primitif dalam hal kira-mengira (19 Mac 1967).
  • Saya tak berhajat untuk berbunyi bagai suara helang atau merpati. Jika pun saya perlu memilih, sebuah metafora daripada aviary, saya terfikir menjadi seekor burung hantu (komen tentang Perang Vietnam di Persidangan Parti Buruh British, 1967).
  • Anda panggil saya seorang diktator. Anda boleh gelarkan saya apa saja yang anda suka tetapi itu tidak akan mengubah dan menjadikan saya mengikut apa yang anda gelarkan pada saya. Adakah saya perlu menjadi diktator apabila saya boleh memenangi pilihan raya yang bebas? (temu ramah New York Times, 1 Jan 1999).
  • Anda perlu memiliki keberanian untuk menafikan kepercayaan lama sendiri setelah pengalaman anda mengajar anda (Singapura 26 Jan 1962).
  • Pada hari saya tidak berupaya belajar perkara baru, saya lalu menjadi tidak berhubung dengan dunia, maka saya akan menjadi tidak berguna (NTUC Dialogue, 25 Jul 2003).
  • Kemungkinan saya ini seorang yang paling besar dibayar gajinya tetapi saya adalah salah seorang perdana menteri yang termiskin di Dunia Ketiga (Parlimen Singapura, 25 Mac 1985).
  • Mereka yang percaya saya telah benar-benar pencen sebaik saja saya meninggalkan jawatan sebagai perdana menteri sebetulnya harus menjalani semakan akal (Perhimpunan Hari Kebangsaan Singapura, Ogos 1988).
  • Saya ingin sangat melihat saya sebagai orang yang sedang mencuba untuk melakukan sesuatu yang betul dan saya berharap saya berjaya pada akhirnya (Melbourne 24 Mac, 1965).
  • Negara - sama juga seperti individu - mesti tumbuh, membesar dan berupaya untuk bersemuka dengan kenyataan hidup. Kita perlu belajar untuk hidup bersama dalam sebuah suasana kejiranan dan kita perlu belajar mempertahankan diri dalam persekitaran dunia yang predatory dan ganas. (25 Okt 1963).
  • Tiada orang yang gemar diberitahu oleh jiran-jiran yang kecil - khususnya - tentang apa yang patut dilakukan oleh pemimpinnya (25 Okt 1963).
  • Apabila gajah bertarung, banyaklah rumput yang musnah tetapi mengapa apabila gajah menjalin hubungan asmara, rumput lebih sengsara? (Ottawa, 8 Ogos 1973).
  • Jika terdapat sebuah batu tanda untuk memperingati kejayaan, ia bernama keyakinan. Kepada diri sendiri, setiap orang harus mempunyai keyakinan. Jika dia berasa tidak memiliki kesetaraan setiap kali berdepan dengan cabaran maka dia tidak mampu untuk cemerlang (24 Ogos 1968).
  • Jika anda tidak memiliki idealisma sewaktu muda, maka anda akan menjadi seorang yang sukar bertolak ansur justeru sentiasa mencurigai yang semua orang sentiasa tamak (Singapura 20 Mac 1964).
  • Cukup memeranjatkan apabila jumlah orang pintar begitu ramai di dunia tetapi tidak menyumbang apa-apa kepada pembangunan kemanusiaan (Singapura, 10 Apr 1967).
  • Tentu sekali, kita mesti mampu menguasai kehidupan kita. Dan, itulah permulaan kepada perjalanan politik (temu ramah radio Hong Kong, 4 Feb 2000).
  • Masyarakat kita perlu lasak lagi gagah, lebih adil, lebih sama rata dan sebuah masyarakat yang lebih memberi makna kepada kehidupan. (ucapan hari kebangsaan, 8 Ogos 1966).
  • Saya tidak suka bermain dengan kesusahan (miseries) rakyat. Apa yang saya lakukkan ialah menguruskan hal-hal bagaimana membahagiakan orang (27 Mei 1965).
  • Tolong ingat - hidup bukan sekadar senyum dan mencium bayi atau menepuk bahu semua orang setiap masa. Ada ketikanya, sebuah hentakan karate juga perlu, dan ia harus dilakukan dengan cekap. Jangan melibas dua kali jika satu sudah memadai. Itulah pun puncanya juga saya mempunyai mangsa yang dikarate paling minimum. (himpunan Hari Kebangsaan Singapura 14 Ogos 1988).

Penutup

Demikian berakhirnya sebuah sambutan Hari Keluarga Pejabat dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK). Mungkin tidak ramai yang tahu hal-hal yang lebih inti daripada itu.

Apa yang rata-rata diketahui ramai hanyalah sebuah majlis santai bersifat keluarga walaupun di sisi Tok Guru, ia sesuatu yang rahsia dan lebih besar daripada itu.

Ia sebetulnya sebuah persiapan beliau untuk menemui seorang tokoh dari Singapura.

Mesejnya di sini ialah, betapa Tok Guru tekun membuat kerja rumah. Beliau tidak turun ke lapangan untuk menemui seseorang pemimpin bertaraf dunia melainkan beliau selesai mencerapi profil pemikirannya terlebih dahulu.


ANNUAL BAKRI HARON bekas setiausaha politik menteri besar Kelantan dan mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau juga banyak terlibat dalam dunia seni termasuk penulisan dan muzik.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS