Paling Popular
Terkini

Minggu lalu saya menulis tentang ramalan Mahathir yang mendakwa ada rancangan untuk menidakkan PRU14. Mengikut pandangan Mahathir, PRU14 akan dihuruharakan. Mahathir, pengerusi Pakatan Harapan telah lebih dari tiga kali dalam ucapannya mendakwa Najib akan menggunakan kuasa Majlis Keselamatan Negara dan darurat untuk membatalkan PRU14.

Dalam hal ini saya tidak sekepala dengan Mahathir. Saya amat yakin PRU14 akan diadakan tidak lama lagi. Dalam masa yang sama saya tidak menafikan yang Mahathir ini memiliki maklumat-maklumat sahih ‘dari orang dalam’ yang bercanggah dengan pandangan saya.

Saya juga amat yakin Mahathir masih lagi memiliki sosok-sosok jaringan ‘deep state' (daulah terpendam) yang bersedia memberi maklumat dalaman kepada Mahathir. Mustahil setelah berkuasa selama 22 tahun tidak ada pegawai tentera atau pegawai PDRM atau mata-mata gelap yang sedia membocorkan maklumat dalaman kepada Mahathir. Pasti ada.

Jika saya yakin bahawa PRU14 akan diadakan bukan bermakna saya menafikan jaringan ‘deep state’ Mahathir atau saya telah mengundur dan lari dari falsafah dan pandangan saya tentang pilihan raya yang anuti selama ini.

Saya masih lagi yakin bahawa dalam negara Dunia Ketiga jika pilihan raya boleh mengubah apa-apa maka pilihan raya itu akan diharamkan. Dalam perkara ini saya tidak berganjak.

Saya buktikan kenyataan saya ini dengan memberi ingatan sejarah. Pada tahun 1964, pilihan raya kerajaan tempatan telah diharamkam. Sampai hari ini kerajaan tempatan tidak ada pemilihan. Kenapa diharamkan? Kerana setiap kali diadakan pengundian yang menang ialah Parti Rakyat dan Parti Buruh. Parti United Malays National Organisation dan konco-konconya dalam Perikatan hilang wang pertaruhan. Ini sejarah.

Sekali lagi saya nyatakan secara hitam putih di sini bahawa dalam PRU13, Pakatan Rakyat telah menang. Pakatan Rakyat telah mendapat 52 peratus undi rakyat. Di mana-mana dalam dunia ini jika satu parti politik telah mendapat 52 peratus sokongan, parti ini akan menjadi kerajaan. Tapi ini tidak berlaku di Malaysia. Kenapa?

Di Malaysia ini lembaga daulah didakwa akan memastikan Najib dan United Malays National Organisation akan terus menang. Najib akan terus berkuasa. Tugas ini tidak beralih dari zaman Tunku hingga ke hari ini.
Jika ada sesiapa tidak sedar dan tidak faham tentang hal ini maka saya cadangkan mereka pergi berehat dan kemudian hantukkan kepala sendiri ke dinding.

Sedarlah bahawa lembaga daulah adalah alat Najib. Pengerusinya dilantik oleh Najib. Justeru lantikan - orang yang dipilih - bertujuan untuk memastikan Najib menang. Kalau tidak mamat ini tidak akan dilantik oleh Najib.

Ini sama seperti lembaga-lembaga daulah yang lain. Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM), pengarahnya dilantik oleh Najib. Jadi adakan SPRM akan melakukan siasatan kes 1MDB? Begitu juga dengan peguam negara. Sosok ini ini dilantik oleh Najib. Maka adakah peguam negara akan membuka siasatan kes 1MDB atau kes pembunuhan Altantuya?

Ini hakikat. Ini politik negara Dunia Ketiga. Ini politik Malaysia. Kita bukan di London. Kita bukan di Sweden atau di Melbourne. PRU14 akan dijalankan di Malaysia, sebuah negara Dunia Ketiga.

Najib terus berkuasa

Dalam PRU14 nanti, dari pemerhatian politik hari ini, saya cukup yakin Pakatan Harapan akan menang. Sama seperti dalam PRU13 dulu, Pakatan Harapan akan mendapat sokongan majoriti. Rakyat akan berbondong-bondong memberi undi kepada Pakatan Harapan.

Tapi terima jugalah hakikat bahawa Najib dan Rosmah akan berkuasa kembali.

Saya ulangi sekali lagi. Dalam PRU14, Pakatan Harapan akan menang. Tapi Najib mungkin akan terus berkuasa.

Ayat saya ini pelik dan berbelit-belit. Kalau Pakatan Harapan menang mana mungkin Najib dan Rosmah terus berkuasa? Kalau Pakatan Harapan mendapat undi majoriti bagaimana Najib masih lagi berkuasa?

Sabar dulu, biar saya huraikan satu persatu untuk memahami dan menghayati makna ayat saya itu.

Gelombang anti United Malays National Organisation makin ampuh. Gelombang benci kepada Najib makin menyerlah. Gelombang muak dan mual melihat muka Rosmah tergedik-gedik ke hulu ke hilir telah memberi kebaikan yang maha sangat kepada Pakatan Harapan.

Warga Felda sedang bangun memberontak. Hutang pak cik dan mak cik peneroka tak pernah langsai. Lepas satu hutang ada lagi hutang baru. Mahathir sedang menghuruharakan Felda. Najib terpaksa membuat Felda 2.0 untuk ‘membodek kembali’ sokongan peneroka. Ada 54 kerusi parlimen terikat dengan Felda. Jika warga Felda beralih, maka Najib dan Rosmah lingkup.

Cikgu dan cikgi secara terbuka telah menyatakan benci kepada Najib. Pegawai kerajaan semakin ramai dan semakin berani berpaling tadah. Ini terbukti dengan amaran pak menteri kepada cikgu dan pegawai kerajaan yang akan dibuang kerja jika mereka menyokong Pakatan Harapan.

Ini bermakna undi akan meloroh masuk ke dalam tangki Pakatan Harapan. Betul. Sahih. Sekali pandangan kita akan lihat inilah yang akan berlaku. Tapi sabar dulu.

Najib akan melakukan silap mata. Ini silap mata yang lebih hebat dari David Copperfield (bawah). Lebih hebat dari Raja Hussein Magic Show dari Jelebu. Lebih hebat dari tok bomoh firaun yang menjadikan ular dari tali.

Pada ketika ini semua sedang diatur. Semua sedang disusun. Ia sedang berjalan di hadapan mata. Hanya para pembaca tidak sedar apa yang sedang berlaku. Maka kerana itu ia dinamakan silap mata aka 'penipuan'.

Silap mata pertama: Pengundi dipindahrandahkan. Contoh terbaik dikatakan di Lembah Pantai. Ini untuk memastikan Nurul Izzah - obor reformasi - kalah. Ini silap mata namanya.

Berpuluh-puluh kawasan sedang menerima pengundi baru. Atau pengundi lama telah dilenyapkan. Atau dipindahkan tanpa sang pengundi sedar atau diberitahu. Ini silap mata.

Silap mata kedua: Dengan sekelip mata papan tanda akan tercacak. Papan tanda ini memberitahu kita bahawa sebuah kem askar akan didirikan di Sembrong atau di Bangan Datuk atau di Bera.

Silap mata

Soldadu dan askar tak sampai lagi. Bangunan belum ada. Tak ada apa pun di belakang papan tanda ini. Awas.

Silap mata ketiga: Undi awal. Mengikut kenyataan BERSIH, lebih 400,000 pengundi telah ditakrif sebagai pengundi awal. Mereka ini dikatakan wajib menjadi pengundi awal kerana pada hari membuang undi mereka bertugas.

Siapa mereka ini?

Mereka ialah bidan, cikgu, doktor, jururawat, misi, bomba, polis, malah siapa sahaja yang diperlukan undi mereka akan ditakrif sebagai pengundi awal.

Apa rancangan gelap di belakang pengundi awal ini? Apakah mereka bertugas untuk mengundi dua kali? Kenapa mereka mengundi awal? Apakah betul mereka bertugas pada hari itu? Ini silap mata namanya.

Silap mata keempat: Persempadan semula. Ini adalah silap mata yang lebih hebat. Pada pilihan raya 2004 dahulu telah diadakan persempadan semula. Maka dengan hebat United Malays National Organisation menang besar. Maka Profesor Datuk Abdul Kang Kong dari Universiti Sintuk memberi analisis bahawa kemenangan ini kerana peranan 'mat ngantuk' yang bernama Pak Lah yang dibaca sebagai Mister Clean.

Ini bohong. Pak Lah tidak tahu apa-apa. Pak Lah lepas tangan. Pak Lah hanya kenal Khairy Jamaluddin dan samseng tingkat empat. Khalas.

Projek persempadan semula tahun 2018 ini akan membantu Najib untuk memastikan yang Najib akan terus berkuasa. Kawasan dialih dan diubah. Pengundi beralih dan bertukar.

Wajib diberitahu projek ini wajib diluluskan oleh parlimen. Bila diajukan dalam parlimen saya cukup yakin projek ini pasti lulus. Perlu diberitahu bahawa cadangan persempadanan semula ini untuk dilulus oleh parlimen tidak memerlukan undi dua per tiga. Menang satu undi pun Najib akan menang. Ini silap mata namanya.

Silap mata terakhir: Pengerusi Pakatan Harapan Mahathir telah mengumumkan secara rasmi bahawa dalam masa 100 hari pemerintahan Pakatan Harapan Najib akan ditangkap untuk didakwa.

Kes 1MDB Najib ini sedang berjalan di Amerika, di Switzerland, di Singapura, di Luxumbourg, di Hong Kong dan di Abu Dhabi. Najib sedar perkara ini.

Kalau tuan-tuan pembaca ini Najib, apakah yang akan adik kakak lakukan? Apakah dengan rela hati Najib dan Rosmah akan menyerahkan kuasa kepada Mat Sabu, Mahathir, Guan Eng dan Wan Azizah?

Apakah Najib bersedia untuk diheret ke mahkamah di Los Angeles atau dihantar ke Switzerland? Fikir baik baik. Minum air sejuk. Telan air sejuk baik baik dan fikir rapi rapi. Apakah Najib akan mengundur jika Pakatan akan menang? Apakah Najib dan Rosmah bersedia untuk didakwa di dalam dan di luar negara?

Ini mungkin silap mata terakhir. Maka di sinilah Najib akan menjadi Houdini. Mamat Houdini ini ialah pakar silap mata tersohor dalam dunia. Houdini dikat, digari, dimasukkan ke dalam peti besi dan dicampakkan ke dalam kolam. Tapi Houdini masih dapat melepaskan diri. Kali ini Najib akan menjadi Houdini (bawah) untuk terus berkuasa.

Jika macam ini mustahil akan ada perubahan kerajaan berlaku di Malaysia ini?

Saya tidak boleh membohongi dan mengkhayalkan para pembaca dengan mimpi indah melihat Najib dan Rosmah ke penjara. Saya wajib sedarkan para pembaca bahawa dalam negara Dunia Ketiga tidak pernah berlaku perubahan kerajaan melalui pilihan raya. Ini hukum dan syarat politik dalam negara Dunia Ketiga.

Dalam masa yang sama saya cukup yakin Pakatan Harapan akan menang undi majoriti dalam PRU14. Ertinya Pakatan Harapan menang tetapi kuasa boleh dinafikan? Salah. Bukan dinafikan. Nafikan adalah hujah yang salah. Pakatan akan menang. Jika kalah kerana ditipu. Kalau Pakatan Harapan ditipu apa jawapan? Tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS