Paling Popular
Terkini

Salah satu transformasi menyeluruh bawah kepimpinan Sheikh Mohamad bin Rashid Al Maktoum, naib presiden dan perdana menteri UAE serta raja Dubai ialah menaik taraf khidmat agensi kerajaan.

Semenjak berada di UAE dari tahun 2000 tentunya saya dapat melihat perbezaan dan transformasi dalam pelbagai bidang dan peringkat terutama fizikal. Sememangnya, kepimpinan Sheikh Mohamed yang mesra dipanggil Sheikh Mo menjurus kepada prasarana, kualiti dan wawasan bertaraf dunia.

Sheikh Mo pernah berkata yang beliau mahu generasi dan penduduk UAE menikmati segala kemudahan, kemajuan, pembangunan dan kebahagiaan sekarang juga (20 tahun lepas), dan bukan 20 tahun kemudian.

Kesungguhan Sheikh Mo mencorak pentadbiran sistematik, prihatin, canggih dan masa depan membuahkan hasil yang kami, para ekspatriat yang menumpang mencari rezeki dapat menikmati bersama.

Dua dekad di UAE memberikan ruang untuk melihat perubahan yang unik dan mungkin tidak boleh ditiru di mana-mana negara lain.

Semenjak menjadi naib presiden dan perdana menteri UAE, apa yang Sheikh Mo lakukan di peringkat Dubai menjadi sebahagian dari agenda dan gagasan peringkat persekutuan, iaitu UAE.

Lihat sahaja antara nama-nama kementerian yang memberikan gambaran ke arah mana haluan wawasan sebuah negara, menteri hal ehwal kabinet dan masa hadapan, menteri perubahan iklim dan alam sekitar, menteri kebahagiaan dan kesejahteraan rakyat, menteri sekuriti makanan dan menteri kepintaran buatan.

Peningkatan kualiti khidmat awam sama meningkat dengan pelbagai nilai tambah yang bukan sahaja dalam bentuk fizikal, iaitu pejabat bestari/smart/pintar, tetapi dari segi layanan khidmat kakitangan awam.

Saya sudah banyak kali berurusan dengan pelbagai kementerian dan jabatan, selain agensi kerajaan dan melihat perubahan yang melebihi ekspektasi.

Memang dahulu, kualiti perkhidmatan awam tidak begitu baik. Sesuatu yang sinonim dengan banyak negara Arab. Terutama kalau pernah bekerja di Arab Saudi.

Tentunya, khidmat awam di UAE kini jauh lebih baik daripada banyak negara.

Kebetulan, seorang warga Malaysia yang sudah 38 tahun di UAE, Abdul Rahim Ooi berhadapan dengan cabaran dalam membawa barang-barang ke tanah air.

Setelah membayar deposit, hampir separuh daripada jumlah kos penghantaran, tiba-tiba tuan punya syarikat kargo tersebut ghaib.

Broker lari

Abdul Rahim kemudian mendapati, lelaki warganegara India itu telah balik ke India dan dari mesej melalui WhatsApp, lelaki itu berkata dia dalam wad hospital kerana sakit jantung.

Seterusnya, Abdul Rahim mendapati nombor telefon pejabat juga telah dipotong, selain pejabat juga telah ditutup.

Lebih dari itu, lesen perniagaan syarikat tersebut juga telah lama mati dan tidak diperbaharui.

Lelaki warganegara India itu rupa-rupanya hanyalah broker kepada agensi penghantaran kargo dan mengupah orang lain untuk pembungkusan barang-barang.

Dia juga berhutang dengan syarikat-syarikat tersebut dan bank juga telah membeku akaun syarikat.

Setelah broker itu enggan membayar balik deposit, Abdul Rahim terpaksa bertindak melalui undang-undnag yang ada.

Untuk mengelakkan orang lain sama menjadi mangsa penipuan, sekiranya lelaki warga India itu kembali ke UAE, kami terus membuat aduan kepada Jabatan Ekonomi Dubai (DED) yang mempunyai Pusat Aduan Bersepadu.

Melalui panggilan telefon atau e-mel pun, aduan diterima sebagai laporan dan semua dokumen boleh dihantar melalui e-mel, tanpa perlu ke pejabat. Nombor laporan dan ringkasan aduan terus dihantar melalui SMS. Sebagai resit untuk rekod,

Oleh kerana Abdul Rahim akan pulang ke tanah air dalam masa terdekat, kami pergi ke pejabat Aduan DED. Saya mahu juga melihat bagaimana pejabat dan layanan yang akan kami terima.

Sebelum ke pejabat itu, saya sempat meninjau pejabat pintar DED dengan tema 'happiness' yang tiada kakitangan atau pekerja. Hanya terminal dan skrin sentuh, selain telefon untuk berkomunikasi sekiranya perlu.
Sheikh Mo

 

Dubai Smart Office

A post shared by Mohd Fudzail (@mohdfudzail) on


Yang mempunyai 'manusia' adalah outlet yang staf Starbucks juga berfungsi sebagai pembantu sekiranya diperlukan oleh pelanggan DED.

Pejabat 'happiness' ini sudah ada banyak cawangan dan akan menjadi wajah DED. Malah Polis Dubai telah memulakan balai polis yang mana 'robot' bertugas di kaunter.

Setelah meninjau pejabat 'happiness' DED, kami terus ke pejabat pusat aduan di tingkat satu.

Sebaik masuk ke ruang, sudah terasa kemesraan.

Wanita Emirati di kaunter menyambut dengan wajah mesra dan bertanya masalah yang kami hadapi. Dari nombor laporan, staf wanita itu berkata, boleh menghantar dokumen bukti (seperti invois dan resit bayaran) melalui e-mel.

Itulah kebahagian

Kami memberitahu yang kami mahu menghantar sendiri.

Staf itu segera meminta kami menunggu sebentar. Seorang pegawai akan datang melayan kami.

Di bilik menunggu, kelihatan dalam enam orang lain. Seorang demi seorang dipanggil. Begitu cepat urusan. Tidak sampai lima minit, kami turut dipanggil.

Pegawai itu berkata, baharu sahaja menerima aduan dan sedang meneliti, mungkin kami dipanggil esok.

Setelah memberitahu yang Abdul Rahim akan pulang ke tanah air dan mahu menyelesaikan laporan aduan seberapa segera, pegawai itu, seorang anak muda Emirati terus sahaja menjemput kami ke bilik diskusi.

Dari laporan yang dibuat, pegawai itu mengakses maklumat dan meminta bahan bukti.

Setelah meneliti dan cuba membuat panggilan ke pejabat broker itu, pegawai itu terus mengatakan memang ada kes untuk dibuat tindakan segera.

Oleh kerana broker itu telah lari dan balik ke India, penaja syarikatnya akan dipanggil untuk siasatan.

Di UAE, semua syarikat 'LLC' mesti mempunyai penaja rakyat tempatan iaitu Emirati dengan kepentingan 51 peratus. Penaja itu mempunyai hak dan liabiliti. Bukan sekadar ali baba.

Ramai yang membayar jumlah tertentu untuk fi tahunan dengan kontrak kedua yang penaja tidak mengganggu operasi syarikat.

Dengan ratusan ribu syarikat 'LLC' beroperasi, memang ada pelbagai masalah, sama ada tuan punya atau penaja yang buat hal.

Semua masalah itu bawah DED untuk tangani.

Pegawai itu berkata, pihak DED telah menyekat semua aktiviti broker warga India itu, termasuk boleh menahan beliau (dengan laporan polis) di lapangan terbang sekiranya dia masuk semula ke UAE.

Kami teruja. Begitu efisien sekali. Malah, Abdul Rahim boleh mendapat semula deposit.

Layanan pusat aduan DED memang lima bintang, termasuk teh karak yang sedap.

Tidak sampai setengah jam, urusan aduan selesai dan pihak DED bertindak tangkas, serta merta setelah meneliti segala bukti dan membuat penyiasatan melalui pusat aduan bersepadu.

Itulah kebahagian/happiness bagi mangsa yang teraniaya dan mahukan pembelaan segera.

Kami cukup berpuas hati, malah gembira dengan layanan dan khidmat lima bintang yang tidak terjangkakan!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS