Paling Popular
Terkini

Kadang-kadang saya malu pada diri sendiri kerana menyedari dalam dunia kepeminatan, saya jarang berada pada saat yang tepat atau kena pada tempatnya.

Maksudnya, saya biasanya lambat menjadi peminat kepada sesuatu genre. Dan ini menyebabkan saya rasa sedikit terasing daripada kumpulan peminat yang ramai.

Saya kongsikan satu daripada contohnya - iaitu Star Trek - sama ada dalam bentuk filem, siri TV atau francais keseluruhannya.

Saya anak kelahiran era Star Trek; malah usia saya hampir sama dengan usia Star Trek sejak ia muncul sebagai siri di kaca TV di AS pada 8 September 1966. Siri ini pernah ditayangkan di Malaysia. Malah kartun serta lanjutan kesinambungan siri tersebut juga ditayangkan.

Namun, saya terlepas semua itu. Entah kerana sengaja atau tidak, saya sendiri tidak pasti. Saya gemar siri TV atau filem fiksyen sains walaupun daya imaginasi saya agak lemah untuk menjadi peminat buku fiksyen sains.

Mungkin minda saya yang malas ini hanya mampu melayan sesebuah episod 45 minit atau sesebuah filem cereka tidak lebih dua jam berbanding berhari-hari lamanya, malah mungkin berminggu untuk menghabiskan sebuah novel, termasuk karya fiksyen sains.

Yang maksudkan awal tadi - tentang terlambat mengikuti Star Trek itu - bukan kerana saya lewat mengetahui tentangnya. Sekitar awal 1970-an, seorang rakan sekolah darjah dua pernah membawa buku Star Trek Annual ke kelas.

Pertemuan pertama

Saya amat teruja dengan gambar-gambar di dalam buku tersebut. Pada masa itu saya yang masih belajar membaca dan menulis tentunya tidak faham sama sekali isi kandungan buku tersebut, apatah lagi ia dalam bahasa Inggeris.

Namun gambarnya tidak boleh saya lupakan sama sekali - Kapten Kirk bersama Mr Spock di sebuah dataran yang ganjil warnanya. Kedua-duanya - William Shatner sebagai Kirk dan arwah Leonard Nimoy yang memegang peranan Spock - mempunyai sejenis pistol khas yang kemudiannya saya sedar ia digelar phaser.

Begitu juga saya kemudiannya tahu latar belakang dataran tersebut merupakan lokasi di dalam studio penggambaran. Mungkin imej itu daripada episod pertama Star Trek, iaitu The Man Trap, yang saya tonton buat kali pertama melalui DVD 40 tahun selepas ia disiarkan.

Jika saya tidak pedulikan Star Trek selepas kelahirannya, mungkin ia sesuatu yang lebih mudah bagi saya. Malah, apabila siri itu dihidupkan kembali pada 1987 dengan tajuk Star Trek: The Next Generation, saya juga tidak mempedulikannya walaupun ia menjadi ikutan beberapa rakan sekerja.

Saya hanya mula mengikuti dengan penuh serius francais Star Trek ini melalui siri Star Trek: Enterprise yang bermula pada alaf baru, sekitar awal 2002.

Bagi mereka yang meminati genre serta francais ini, Enterprise dikatakan yang paling lemah berbanding yang lain-lain. Tapi bagi saya, setelah berpuluh tahun lamanya tidak mengikut siri TV fiksyen sains, ia merupakan satu nostalgia – walaupun ia sebenarnya tidak pernah wujud sama sekali.

Sindrom serba tahu

Ia seperti kenangan yang saya reka sendiri. Satu pemilihan ingatan yang dibuat-buat. Cuma pada saya, ia seolah-olah real; seolah-olah saya mengikuti siri itu sejak ia lahir.

Mengapa saya tidak mengikuti siri fiksyen sains TV sepanjang dekad 1990-an? Ketika itu saya dilanda sindrom serba tahu serta menganggap diri berbudaya unik.

Pada usia pertengahan 20-an, saya berasakan diri sudah cukup bijak, pandai dan dewasa. Saya berlagak matang terhadap pemilihan dan peminatan siri fiksyen sains, malah termasuk juga siri TV yang lain.

Ini berlaku sepanjang 1990-an apabila saya mula menganggap semua siri TV itu sama sahaja, iaitu pengulangan yang berterusan.

Sehinggakan saya rasa seperti menonton cerita yang sama untuk siri TV yang berlainan, seolah-olah mereka mencuri idea sesama sendiri.

Malah, siri fiksyen sains pula tidak lebih daripada plot sama dengan drama kisah-kisah kemanusiaan biasa – yang juga dicuri daripada plot siri lain – dengan berlatarbelakangkan dunia masa depan yang menampilkan pelbagai gadget futuristik.

Setiap siri fiksyen sains itu pula mesti mempunyai makhluk asing atau alien, yang biasanya bersifat manusia yang bercakap dalam bahasa Inggeris.

Sehubungan itu, dalam usia dan darah panas anak muda, saya menganggap siri TV sekadar membuang masa dek kerana minat saya lebih kepada filem atau movie, sama ada genre aksi komersial yang memang menjadi minat anak muda lelaki atau genre serius 'foreign movie', iaitu filem-filem Eropah, Amerika Selatan, China, Jepun dan lain-lainnya yang bukan bersifat komersial.

(Malah, hari ini saya malu dengan istilah 'foreign movie' yang saya canangkan dahulu kerana telah mengambil bulat-bulat daripada majalah-majalah filem Barat berbahasa Inggeris yang menganggap segala-galanya yang bukan berbahasa Inggeris sebagai filem asing - sedangkan saya anak kelahiran sebuah negara yang tidak menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa ibunda, atau bahasa utama. Mungkin ini merupakan sisa-sisa penjajahan minda dalam diri saya.)

Atas kematangan yang lebih bersifat berlagak itu, sepanjang 1990-an, saya terlepas banyak siri TV. Hanya pada alaf baru saya mula sedar bahawa sebenarnya banyak siri TV - termasuk dalam genre fiksyen sains - agak bermutu dan jauh lebih baik daripada sangkaan buruk saya. Kecuali siri X-Files, banyak siri yang saya tidak pedulikan.

Sudah tentu jika beberapa siri bermutu yang bukan fiksyen sains seperti NYPD Blues, Ally McBeal, The Sopranos, Buffy The Vampire Slayer, Frasier dan beberapa lagi yang saya tidak endahkan, bayangkan siri fiksyen sains - termasuk yang agak lemah persembahannya - yang langsung saya tidak pedulikan sama sekali.

Sedangkan bagi peminat fiksyen sains TV, era 1990-an merupakan zaman gemilang dengan adanya francais Star Trek dalam siri The Next Generation, Voyager dan Deep Space Nine.

Tiada yang terlambat

Namun, bagi saya tiada yang terlambat dalam hidup ini - selagi hayat masih ada. Setelah terlepas satu dekad, kemunculan DVD membolehkan saya memutar kembali siri-siri fiksyen sains yang lama untuk dinikmati pada awal alaf baru.

Pada masa sama, saya turut mengikuti siri-siri semasa pada dekad tersebut. Antara siri-siri fiksyen sains yang pernah 'tercicir' dan mula saya tonton pada awal dekad 2000-an adalah Stargate SG-1, Babylon 5, Lexx, Farscape dan Crusade.

Sudah tentu apabila siri Lost tiba, ia menjadi satu kewajiban untuk saya menontonnya setiap minggu.

Memang benar, masih terasa siri-siri itu berkongsi plot yang sama. Namun, saya menerima hakikat bahawa hidup kita juga kadang-kadang seperti plot siri TV – berulang-ulang, boleh dijangkakan dan sesekali boleh dijangka kesudahannya.

Tetapi sesekali ia mempunyai kejutan atau surprise yang tersendiri. Itulah kemanisannya.

Selepas mengikut siri Star Trek: Enterprise (2001-05), saya kembali ke belakang dengan siri Star Trek: Voyager (1995-2001), dan kemudian terus melangkah ke belakang lagi.

Kerana minat sudah tumbuh, saya turut mendapatkan DVD untuk siri asal Star Trek yang terkenal dengan nama Star Trek: The Original Series (1966 – 69).

Siri baru dan Langkawi

Malah, kesemua filem Star Trek, bermula daripada Star Trek: The Motion Picture terbitan 1979 yang mahu memenuhi tuntutan peminat siri asal yang dahagakan siri tersebut hinggalah kepada Star Trek Nemesis keluaran 2002 - yang paling lemah dalam siri francais filem itu - telah saya tonton.

Tentulah hati bertambah gembira apabila genre filemnya dihidupkan semula dengan francais baru dengan tajuk Star Trek pada 2009, Into Darkness (2013) dan Beyond (2016).

Berikutan sambutan hebat, siri TV genre tersebut turut dihidupkan semula dengan tajuk Star Trek: Discovery pada tahun ini yang berlatarbelakangkan suasana 10 tahun sebelum bermulanya siri yang asal.

Antara yang menarik dalam siri terbaru ini adalah kehadiran anak Malaysia bernama Michelle Yeoh sebagai salah satu watak utama. Malah, pada akhir episod musim pertamanya, watak Michelle sebagai Kapten Philippa Georgiou menyebut bahawa dia membesar di Pulau Langkawi, Malaysia.


Baca Sebelum punk: Uji Rashid, Yaadon Ki Baaraat dan a-go-go


Apa pun, seperti perasaan saya pada awal usia 20-an dahulu, kebanyakan siri TV Hollywood memang terikat dengan formula yang sama.

Walaupun Star Trek: Discovery sebagai kesinambungan siri ini yang terbaru dan mempunyai plot twist yang menarik, ia tetap mengekalkan penggunaan formula siri TV yang biasa.

Untuk para peminat baru - khususnya orang muda - yang ingin melayan siri TV Star Trek bermula dari era The Original Series hinggalah kepada Discovery, anda memerlukan kesabaran kerana ia merupakan satu kembara panjang dari 1966 hingga 2018.

Kesabaran juga perlu untuk menerima hakikat bahawa siri TV memang berulang-ulang plotnya. Tetapi seperti yang diungkapkan sebelum ini, sesekali akan bertemu dengan permata yang indah serta sedikit kejutan plot yang memang memuaskan hati.

Biar pun saya bukan peminat asal atau fanatik francais ini, sudah cukup rasanya sekadar suka-suka menonton.

Sesekali ada nostalgia tersendiri, sesekali memang diakui fiksyen sains biasanya lebih banyak cereka daripada fakta; semuanya untuk memudahkan kita mengikuti jalan ceritanya. Itulah kekuatan Star Trek sebagai siri TV, malah francais filem.


WAN HAMIDI HAMID seorang penulis, pemerhati politik dan penggemar muzik.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS