Kolum Malaysiakini

Popular itu musibah

Abdullahjones  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Seniman di Yogyakarta bersepakat untuk mengubah pandangan bahawa seni dalam apa bidang sekalipun harus dinilai oleh orang timur.

Hal ini kerana memang dari timurlah asalnya apa juga jenis kesenian.

Ketika Eropah masih dalam zaman gelap, negara-negara timur sudah menikmati peradaban yang tinggi.

Jadi mengapa kita ini harus mengikut tanda aras yang ditetapkan oleh Barat?

Kerana inilah maka para seniman di kota ini bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan bahawa kita inilah yang sepatutnya menjadi penilai kepada tinggi rendahnya mutu sesuatu yang disebut sebagai seni.

Pelukis terkenal Heri Dono memberi contoh bagaimana yoga yang berasal dari India kini sinonim dengan Amerika Syarikat.

Bahkan jika kita ke Bali misalnya, mereka yang dirujuk sebagai guru terbaik dalam hal yoga adalah yang datang dari Amerika!

Orang beragama kereta besar

Kami dalam perjalanan untuk mempelajari apa maknanya menjadi seniman. Mencari apa sebenarnya peranan seseorang yang mahu dianggap sebagai seniman.

Menjadi pelukis adalah mudah. Jangan terpedaya dengan bakat. Siapa pun yang tekun akan boleh maju sebagai pelukis.

Namun untuk menjadi seorang seniman adalah perkara yang berbeza.

Menurut Hendra Himawan - seorang pensyarah di Universiti Sebelas Maret di Solo - seniman itu sebenarnya seorang aktivis yang tentu saja tidak perlu menjadi popular.

Seniman tidak wajib popular, bahkan kepopularan itu sendiri adalah musuh paling besar kepada sesiapa yang giat berjuang.

Kami teringat kepada kata seorang sahabat kami yang pandai agama. Kata beliau, jika orang agama sudah mula berkereta besar, tentu agak sukar bagi mereka untuk menceritakan kesusahan para sahabat dalam menjalani hidup yang semua orang tahu adalah susah.

Sahabat kami itu hafal seluruh al-Quran serta memiliki ilmu dalam bidang agama yang amat tinggi.

Beliau memilih untuk menjual nasi dengan harga yang murah dan apabila kami katakan yang kami ingin menulis mengenai kantin di pekarangan masjid yang beliau usahakan agar lebih ramai pelanggan yang datang, katanya: jangan.

"Tak sembahyang pulok aku karang sibuk layan pelanggan," kata dia.

Bukanlah bermaksud seseorang seniman - atau juga orang agama - hidupnya wajib susah. Namun kekayaan dan populariti biasanya musibah yang banyak membawa kepada ketidakadilan dalam berfikir.

Pak Joko Pekik - seniman senior Indonesia - setelah dipenjara dia berkerja sebagai tukang jahit bagi menampung hidup.

Ada rakan-rakannya yang menyarankan supaya beliau kekal melukis, tetapi melukis dengan menghasilkan karya-karya yang disukai ramai. Melukis bunga misalnya.

Untuk pengetahuan, Pak Joko Pekik dipenjara dek kerana lukisan-lukisan beliau kuat mengkritik pemerintah Indonesia ketika itu.

Dengan marah beliau menempelak kawan-kawan yang mencadangkan supaya beliau menjual prinsip perjuangan hanya kerana sepinggan nasi.

Setelah dibebaskan Pak Joko Pekik tidak berkarya selama 25 tahun dan apabila Indonesia mula demokratik, beliau mula mengangkat berus kembali dengan karya TKI Pamit sebagai antara karya terbaru.

Lukisan ini dihasilkan apabila anak perempuan beliau mahu berkerja di Jerman dan itu mendatangkan kemarahan kepada beliau. Lalu dikritiknya keputusan itu melalui lukisan.

TKI adalah singkatan kepada tenaga kerja Indonesia.

Beliau marah kerana anak beliau mahu ‘berbakti’ kepada negara orang sedangkan negara sendiri punya banyak peluang pekerjaan.

Harus diingat bahawa puteri beliau adalah lulusan universiti dan mahu keluar negara hanya sebagai batu loncatan sebelum kembali ke Indonesia untuk mendapat pekerjaan yang lebih baik.

Pelukis Malaya yang berkunjung ke Yogyakarta biasanya akan amat mudah terpengaruh dengan karya yang mereka lihat. Dan dengan segera mereka juga akan pulang dan menghasilkan karya berontak yang sama, sedangkan isu yang melanda Malaya tidak sama dengan apa yang berlaku di Indonesia.

Pelukis Indonesia mengalami kekangan yang kuat dalam menghasilkan karya sementara kita - walaupun masih ada larangan tertentu - masih lagi boleh dikatakan bebas.

Pelukis kita mengambil apa yang ada di permukaan tanpa mahu masuk ke ruang pemikiran yang tentu sekali lebih besar.

Kita merebel (memberontak) ala Yogya sedangkan boleh saja kita menghasilkan berontak mengenai kesesakan jalan raya, misalnya, atau kesengsaraan membayar tol. Ini tentu lebih dekat dengan kita.

Tetapi tidak. Kita lebih senang menjadi pelukis dengan karya-karya nipis tanpa lapisan pemikiran.

Tak salah menjadi pelukis, tetapi yang lebih baik tentu saja negara yang menghasilkan seniman.

Kita memuja "Pago-pago" lalu apa yang ada di sebalik karya Latiff Mohidin itu tidak siapa tahu kecuali betapa agung bentuk dan tenikal yang dihasilkannya.

Tiada diskusi seni

Perjuangan utama para seniman khas Yogyakarta ialah memertabatkan seni sebelah kita dengan berpakat menulis dan mendokumentasi, berforum serta berbincang mengenai perkara ini.

Siapa sahaja seniman yang kami temui maka ini yang mereka perkatakan.

Semua terlibat, daripada seniman kepada kolektor dan juga orang banyak. Kerajaan mereka sendiri memberikan sokongan yang baik.

Ini tidak berlaku di tanah air kita apabila nombor satu, pelukis giat berkarya untuk berpameran dan menjual lukisan. Tidak ada sebarang kesepakatan dalam menjadikan seni sebagai satu bentuk perjuangan baik, dalam membentuk negara mahupun dalam mengubah diri menjadi manusia yang lebih adil.

Kita berlawan sesama sendiri tanpa menyokong teman yang kita anggap bukan sama taraf (dalam pendidikan dan kolompok pergaulan).

Semua adalah enau yang melepaskan pucuk masing-masing.

Tidak berlaku diskusi seni yang memberangsangkan dan yang paling buruk ialah menganggap apa juga kritik terhadap hasil seni yang kita lakukan sebagai satu usaha meremehkan kerja kita.

Yang diharap adalah pujian.

Terbaru ada kurator menyaman pelukis hanya kerana suatu kenyataan (posting) di Facebook. Kita suka cetek begitu sambil mahu diangkat sebagai penggerak seni negara.

Mungkin kita ada pengkritik filem namun selain itu hampir tidak berlaku perbincangan supaya seni yang dihasilkan benar-benar suatu karya membanggakan apabila sesuatu pameran atau lukisan diadakan.

Namun mengkritik karya seharusnya dilakukan dalam suatu setting yang 'diam'. Dalam suasana terbuka di tempat tertutup misalnya. Bukan dalam ucapan pembukaan satu-satu acara terbuka di khalayak ramai misalnya.

Jika memilih penulisan umum, maka mencari penyelesaian adalah lebih baik daripada menghentam membabi buta.

Hari ini semua orang menganggap apa juga yang mereka hasilkan adalah mahakarya sedangkan langsung tidak ada sebarang pemikiran dalam sesebuah kerja yang dihasilkan.

Keduanya pula ialah, para kolektor kita berpihak.

Pada kerajaan seni itu cuma hiburan

Mereka menaikkan sesiapa sahaja yang mereka gemari hanya kerana mahukan koleksi mereka dilihat sebagai himpunan karya yang paling baik.

Saban hari kita mendabik dada menceritakan betapa karya yang dimiliki adalah hasil seni tertinggi dan hampir tidak ada apa-apa sumbangan mereka kepada pembangunan seni kecuali memberi sedikit keuntungan kewangan kepada pelukis.

Paling malang ialah apabila mereka sibuk berkelahi sesama sendiri semasa mempertahankan karya yang mereka miliki.

Hampir tidak ada penyatuan di kalangan kolektor yang mahu membina sesuatu dari segi pembangunan pemikiran, apatah lagi membina bangunan fizikal, sebuah galeri besar seperti Galeri Macan di Jakarta yang dibangunkan oleh para kolektor Indonesia.

Mungkin kerana kita mengikut corak politik negara yang membangunkan masyarakat adalah perkara terakhir yang difikirkan politikus, justeru mereka yang duduk dalam kelompok seni juga sedemikian.

Semua nafsu-nafsi.

Ketiganya, sektor swasta dan kerajaan adalah penanggung dosa paling besar dalam melahirkan karyawan bermutu tinggi negara.

Kerajaan sendiri menganggap sektor seni hanyalah sebagai hiburan.

Yang diberikan perhatian khusus ialah bidang nyanyian dan lakonan, serta mungkin juga seni tari.

Pelukis selamanya dianggap penghasil hiasan dinding tanpa ada sedikit pun sumbangan kepada pembangunan negara dan masyarakat.

Insan dan pelukis sendiri juga hanya itu yang mereka hasilkan yakni perhiasan dinding.

Kerajaan harus lebih giat memberi kebenaran kepada ahli seni supaya keterbelakangan kita dengan rakan-rakan dari negara jiran dalam menghasilkan karya dapat dirapatkan.


Baca Generasi baju bulu dan kerepek pisang


Kita hari ini jauh ditinggalkan oleh Indonesia dan tentu sekali adalah teramat-amat jauh jika dibandingkan dengan China.

Kepada rakan seni - tanpa mengira siapa dan apa alirannya - berusahalah sehingga dapat menghasilkan apa yang akan dikenang sebagai sumbangan untuk membangunkan negara dan bukan hanya sedap sendiri apabila karya dipuji.

Kita tidak dilahirkan istimewa apabila memilih menjadi pelukis, tetapi jadilah seorang pelukis yang istimewa dan dikenang orang seribu tahun lagi.

Ialah.. nak harap masuk sorga, tengok muka pun dah tau hitam penuh dosa. Maka berkerjalah agar dikenang manusia.

Apabila dikatakan bahawa beliau adalah Picasso zaman ini, Heri Dono menempelak dengan mengatakan, ketika Picasso sibuk ‘menjumpai’ cubism, anak-anak di Afrika sana sudah melukisnya seribu tahun lalu.

Jogjakarta hanyalah pembuka minda dan kami berterima kasih kepadanya, namun memeluk dan mencintainya adalah khianat kepada negara.


Abdullahjones seorang penulis, penyair, pelukis, jurufoto dan seorang ninja yang sedang kembara di Yogyakarta, Indonesia yang setelah habis madu sepahnya dibuang.