Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum

Apabila kami menulis mengenai seni di Yogyakarta tempoh hari, tidak ada satu perkataan pun yang timbul daripada penyokong mana-mana parti politik (dan kami pun berasa tidak dikasihi lagi).

Mengapa ini berlaku?

Kerana dalam kepala penyokong parti, yang ada cuma politik. Hidup, makan, tidur dan mati adalah politik kepada mereka.

Apa saja yang berkaitan seni di Malaya telah dikhususkan kepada satu golongan yang dianggap istimewa. Setidak-tidaknya kepada pengerak seni itu sendiri.

Seniman pula menanggap diri mereka sebagai insan terpilih. Manakala masyarakat melihat seniman adalah kalangan istimewa dalam erti kata layak mendapat petak letak kereta khas.

Golongan kebanyakan tidak mahu masuk ke daerah seni kerana ada anggapan bahawa kerja seni adalah kerja remeh, yang tidak memberi sumbangan kepada negara.

Pemerintah juga beranggapan sama. Lihat saja betapa dalam setiap pembentangan belanja negara hampir tidak ada dana yang dikhaskan kepada bidang seni catan misalnya.

Nasib seniman

Juga yang lebih ramai tentu saja menganggap seni adalah jalan susah untuk menjadi kaya, sedangkan menjadi kaya-raya ialah harapan dan impian keseluruhan masyarakat selain menjadi popular.

Demi untuk popular dan kaya, semua pun dilakukan tanpa batas.

Orang seni menjadi penting apabila tiba musim yang seperti sekarang ini, iaitu musim pilihan raya.

Mereka digunakan dan menggunakan partai demi kelangsungan hidup.

Hampir tidak ada orang seni di Malaya benar-benar melawan atau menyokong mana-mana partai hanya kerana sesungguhnya mereka ingin menegakkan kebenaran.

Semuanya didahului dengan agenda cari makan sebelum kepada jalan memperjuangkan agama, bangsa dan negara.

Lihat ke mana orang seni sesudah berakhirnya sesuatu pilihan raya. Semua sunyi dan kemudian dipinggirkan untuk menderita kelaparan.

Seniman itu akan timbul kembali selepas menderita sakit dan merayu dibantu.

Ketika itu biasanya partai apa pun tidak peduli akan nasib seniman berkenaan.

Studio besar

Kami kini masih di Yogyakarta dan dalam perjalanan ini kami tanyakan kepada seorang pemerhati seni mengenai siapa orang Malaya yang dianggapnya mencapai tahap boleh dianggap seniman berdasarkan hari kerja mereka.

Beliau mengambil beberapa ketika sebelum menjawab bahawa "U-Wei sudah selesai."

"Selesai" di sini bermaksud bahawa seseorang itu sudah sampai ke tahap yang selayaknya bagi seseorang seniman menghasilkan karya.

Kami yakin beliau tahu bahawa yang kami maksudkan dalam soalan tadi ialah pelukis, namun beliau mungkin sengaja memilih situasi yang lebih umum.

Di sini - di Yogyakarta - sesiapa saja yang mahu menjadi seniman wajib menjalani proses yang memungkinkan mereka berupaya menghasilkan karya menepati piawaian yang tinggi.

Mereka faham apa yang seharusnya mereka kerjakan pada sesuatu karya. Kemudian semua karya sudah selesai dan yang tinggal adalah cara memasarkannya.

Pada 2005 telah berlaku apa yang dipanggil art boom di Yogyakarta dan ramai seniman menjadi kaya-raya hasil daripada perkembangan itu.

Kami sempat pergi ke beberapa studio besar untuk melawat sebahagian seniman yang berjaya ini, dan ia amat mengujakan. Hampir tidak ada seniman di Malaya memiliki studio sebesar seniman di sini.

Sesetengahnya memiliki galeri peribadi. Dan bila kami katakan "besar", kami maksudkan ia memang amat besar, sebenarnya. Malah ada yang hampir sama besar dengan Balai Seni Negara di Kuala Lumpur itu. Cuma galeri ini milik peribadi seniman.

Ini berlaku apabila beberapa kumpulan pencari bakat berpakat dan mula mempromosikan dengan giat hasil karya seniman tempatan mereka.

Para promoter ini layak dipanggil sebagai jurujual yang kerjanya adalah mempromosi karya seniman tempatan sebaik mungkin. Hasilnya, ramai pelukis dikerah agar menghasilkan karya dengan seberapa cepat mungkin, dan berlakulah lambakan karya.

Rumah lelong lukisan

Para promoter membeli karya seseorang seniman dengan jumlah yang banyak pada harga sedikit murah dan menjualnya dengan harga yang lebih mahal.

Dimisalkan promoter tadi membeli 10 karya pada harga RM1,000 setiap satu. Kemudian setiap satu karya itu dijual pula pada harga RM5,000.

Setelah menjual beberapa karya dan mendapat keuntungan, karya yang tidak terjual akan dilepaskan pada harga modal. Ini menjatuhkan nama seniman dan tentu saja mendatangkan kemarahan kepada pembeli yang sebelum itu membayar mahal.

Namun kepada para promoter, itu adalah lumrah perniagaan. Tidak mereka peduli akan kemarahan pembeli, sementara masih ramai seniman yang rela dipergunakan.

Hal yang sama juga berlaku di Malaya.

Rumah lelong lukisan tumbuh dengan giat sementara tahap kepekaan masyarakat terhadap seni berada pada paras yang rendah.

Langsung tidak ada keinginan para promoter seni di Malaya yang mahu bertindak memperkayakan pengetahuan seni masyarakat banyak.

Apa yang diharapkan oleh promoter seni ialah keuntungan. Di mana atau siapa saja yang dilihat akan menghasilkan wang, maka mereka ini akan dikerumuni selama mana mereka boleh membuahkan kekayaan.

Setelah itu: "ikut mu la nok idup ke nok mapuh".

Watak dicipta partai

Para seniman akan selamanya dijadikan bahan penjana untung para kapitalis. Selama mana mereka sibuk mencari kehidupan, selama itulah mereka diperhambakan.

Tidak ada bezanya mereka dengan penyokong partai politik. Mereka dimomokkan dengan ketakutan untuk miskin demi untuk memperkayakan pemimpin mereka.

Dan hari ini pemimpin politik adalah teramat kaya.

Mereka pula berbangga dengan kekayaan dan itulah yang dicanangkan di setiap rapat umum.

Ini puaka besar.

Sungguh asyik jadinya mereka apabila memperkatakan tentang harta benda sambil menabur janji nikmat mewah kepada penyokong sebagai satu ikatakan yang memungkinkan kelangsungan partai.


Baca Membenci anjing, mengasihi bodoh


Rakyat yang bodoh tentu sekali terkesima dengan janji besar walaupun mereka seharian sebenarnya terkais-kais meredah hidup.

Tidak ada bezanya mereka dengan pejuang yang mengambil nama Islam dan membunuh orang awam hanya kerana mahukan 73 bidadari.

Apabila ditanya mengenai Jokowi, golongan muda sangat suka akan beliau, manakala golongan tua pula menyifatkan presiden itu sebagai suatu watak yang dicipta partai.

Beliau digambarkan sebagai merakyat kerana itulah jenis pemimpin yang didambakan oleh rakyat.

“Sepatutnya dia menempeleng menteri padinya yang tidak turun membantu rakyat. Bukannya beliau yang turun ke bendang hanya untuk memenangi hati petani,” kata Ali Umar, pengarca kanan di Yogyakarta ini.

Jika hanya kerana Jokowi sukakan Metalica justeru beliau itu dilihat marhaen, maka layaklah kita ini ditipu politikus.

Selepas ini kami ingin ke Menado, Sulewesi dan sangat mengharapakan ada partai yang sudi membayar semua perbelanjaan kami selama sebulan di sana.


Abdullahjones ialah pengembara, penulis, penyair, pelukis, jurufoto dan seorang ninja yang hatinya telah retak.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS