Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Salah satu buku yang menjadi pilihan untuk subjek Bahasa Inggeris sewaktu di Tingkatan Tujuh di Wainuiomata College, New Zealand adalah 1984 karya George Orwell. Selain Henry V (William Shakespeare), One Flew Over the Cuckoo's Nest (Ken Kesey) dan Death of A Salesman (Arthur Miller).

Oleh kerana saya datang dari sebuah sekolah menengah teknik dan bukan aliran sastera, tetapi berminat dengan sastera semenjak kecil, kesempatan untuk menghayati karya sastera bertaraf dunia terutama dalam bahasa Inggeris menyambar imaginasi.

Apalagi untuk masuk ke universiti, kami wajib lulus bahasa Inggeris dan mahu tidak mahu, mesti memahami buku-buku tersebut untuk menjawab soalan-soalan dalam peperiksaan.

Saya paling teruja dengan buku 1984 yang berkisar mengenai Winston Smith yang menjadi ahli sebuah rejim totallitarian (Outer Party). Winston bekerja di jabatan rekod bawah Menteri Kebenaran (Ministry of Truth), menulis semula dan memutar belit sejarah.

Setiap fikiran dan aksi warganegara sentiasa dipantau dan kerajaan mempunyai kuasa mutlak dalam apa sahaja. Ketika itu, saya tidak pernah terfikir imaginasi George Orwell merentas zaman dan sesuatu yang boleh berlaku.

Untuk melarikan dari kekejaman 'Big Brother', paling kurang dalam mindanya sahaja, Winston menulis sebuah diari, sesuatu yang dianggap 'subversif' dan boleh dihukum mati.

1984 telah ditulis sebagai peringatan keras untuk kita terus berhati-hati terhadap kuasa yang ada pada kerajaan dan untuk melindungi kebebasan warganegara sebelum menjadi abu dan habuk semata-mata.

Buku yang ditulis dalam tahun 1949 itu, kebetulan saya hadam sepenuhnya di tingkatan tujuh dalam tahun 1983. Setahun sebelum 1984. Saya masih ingat jalan ceritanya dan ada mengulang membaca untuk lebih memahami di tahun-tahun kebelakangan ini.

Novel dystopian ini masih relevan pada hari ini, kerana gambaran kerajaan totalitarian dan tema universal mengenai manipulasi media dan kehebatan teknologi untuk memantau, mengawasi dan mempengaruhi setiap warganegara secara total.

Bermula dari ungkapan 'fake news' yang dipopularkan oleh Presiden Donald Trump (yang tentu ada agenda politik), ironi, kalau tidak sadis, suasana 1984 telah tiba di tanah air melalui Akta Antiberita Palsu (AABP) yang dibentangkan dan diluluskan di parlimen.

Tidak pasti sama ada para penggubal rang undang-undang dan para 'wakil rakyat' yang menyokong telah membaca buku 1984 atau menerima arahan dari 'Big Brother' (mungkin juga 'Big Momma') untuk memastikan survival 'Big Brother' dan para politikus, macai (selain kawan-kawan seperti Hang Jolo) dalam pilihan raya nanti.

Pemikiran jenayah

Dalam dunia 1984 yang tiada warna, kelam, suram, monotonous, terdapat "pemikiran jenayah" (thoughtcrime). Semua ahli parti dan warganegara tidak dibenarkan untuk memiliki atau menyatakan apa-apa pemikiran yang tidak sesuai dengan parti dan kerajaan.

Maka kalau mengikut AABP, apa sahaja maklumat yang bercanggah dengan 'kebenaran' yang hanya boleh disahkan oleh kerajaan, adalah berita palsu yang boleh dihukum berat, denda RM500,000 dan penjara 20 tahun.

Seperti imaginasi George Orwell, kerajaan membasuh minda pemikiran rakyat melalui propaganda berulang, kitar semula, fitnah kepada pembangkang dan serangan maklumat palsu bertubi-tubi melalui media yang dipunyai 100 peratus.

Parti yang memerintah kerajaan dalam 1984 bukan sekadar memusnahkan musuhnya; malah mentransformasi sebahagian lain, mungkin melalui bantuan dana dan perjuangan demi agama dengan para lebai. Itu contoh dan tidak kena mengena dengan mana-mana parti yang 'ana tahu'.

Setelah membaca AABP dan semua bantahan dari pelbagai pihak, termasuk Majlis Peguam, sesuatu yang tentunya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri untuk pihak yang sedang berkuasa. Agenda lebih besar untuk terus memenangi pilihan raya.

Pedulikan hak-hak demokrasi dan kesucian dewan rakyat untuk para 'wakil rakyat' berbahas serta mengundi untuk kepentingan negara. Apalagi 'drama swasta' yang memaparkan lakonan terbaik ramai pihak yang begitu superfisial setelah mengangkat sumpah dengan nama tuhan.

Tidak juga pasti mereka yang kita panggil 'wakil rakyat', tetapi sebetulnya 'wakil parti' atau lebih tepat lagi 'macai Big Brother' memahami sedalamnya, terperinci AABP dan kesan akibat dari pelaksanaan sebuah akta drakonian yang tidak perlu ini.

Seperti mana suasana dalam negara 1984, pembohongan, fitnah, putarbelit fakta menjadi 'kebenaran'. Pemerintah terus melakukan proses transformasi kepada media, surat khabar, buku, majalah, risalah, poster, risalah, filem, teater, lagu dan lain-lain lagi.

Tujuannya adalah untuk memastikan kekuatan ideologi sehala pemerintah dikekalkan dengan membersihkan semua ideologi yang bercanggah. Hanya satu kebenaran - dari parti yang memerintah.

Berlakulah fenomena yang disebut sebagai "doublethink", yang rakyat terpaksa menerima dua jenis maklumat yang bertentangan sekaligus - kebenaran sebenar dan "kebenaran" pihak yang berkuasa.

Secara beransur-ansur, lama kelamaan, rakyat pun akur dan membuang proses analisis asas mereka. Sekali gus taat, patuh dan setia kepada Big Brother atau Big Momma. Rakyat juga membina keupayaan, kemampuan untuk beralah. Atau "crimestop" iaitu dengan memadam idea sendiri sebaik sahaja menyedari idea, pendapat, visi dan mimpi-mimpi yang boleh dianggap menentang kerajaan.

Apalagi ada timbalan menteri yang berkata, apa sahaja berita mengenai 1MDB dari luar negara dianggap berita palsu oleh kerajaan walau seluruh dunia telah memaparkan hitam putih skandal perompakan paling besar di dunia.

Versi 'kebenaran'

Versi 'kebenaran' kerajaan yang mesti diperakui sebagai maklumat sahih walau tidak dibahaskan di parlimen.

Seperti buku 1984, hukuman atas kesalahan melawan pemerintah begitu teruk. Sesiapa yang melakukan "jenayah pemikiran" akan dipenjarakan, diseksa, dicuci otak, atau dileburkan (mati).

Begitulah yang terjadi kepada Winston. Dia dihukum, dipenjarakan, sentiasa kelaparan, dipukul secara fizikal, diseksa secara psikologi, dan akhirnya tercungap dalam igauan terburuk - dikelilingi tikus besar.

Kita lihat bawah AABP, Seksyen 4 menetapkan had hukuman penjara enam tahun dan/tau denda RM500,000. Hukuman yang berat untuk pesalah. Malah sesiapa yang menyokong secara kewangan kepada pesalah tersebut menghadapi hukuman yang sama bawah Seksyen 5; yang dianggap bersubahat boleh menerima hukuman yang sama seperti pesalah Seksyen 13 dan Seksyen 10.

Selain denda RM100,000 kerana gagal memadamkan "berita palsu" sebaik sahaja diketahui atau mempunyai alasan yang munasabah untuk mempercayai ia mengandungi "berita palsu".

Penjara enam tahun dengan denda berjumlah RM500,000 seadanya menafikan kebebasan dan membebankan rakyat. Undang-undang kejam ini mengabaikan dasar undang-undang jenayah asas seimbang dalam justifikasi keadilan. Hukuman begitu berat dan tidak sesuai dengan kadar jenayah.

Apakah para 'wakil parti' memahami dan menyedari kesan, implikasi dari tindakan yang hanya untuk menyelamatkan 'Big Brother' ini?

Mungkin solat lima waktu, puasa sebulan Ramadan, bayar zakat, pergi haji dan umrah berulang kali belum dapat menjadikan mereka lebih wasatiyyah dalam tindakan terhadap rakyat.

Minggu ini, AABP dan persempadanan semula kawasan pilihan raya bakal menjadi taruhan untuk kerajaan kleptokrat terus berkuasa. Ledakan propaganda menjelang pilihan raya akan menyaksikan demokrasi sekadar hiasan. Begitu palsu dan superfisial.

Untuk para 'wakil parti' yang mengangkat sumpah atas nama Tuhan bagi memegang amanah rakyat tetapi mengkhianati rakyat dengan menyokong 'Big Brother' dan 'Big Momma', semoga kalian terus tidur lena, makan kenyang, kencing berak lawas dan bergembira sebagai wira-wira yang dimaki hamun oleh generasi akan datang!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS