Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Salah satu poin kegemaran Mohd Asri Zainul Abidin, mufti Perlis, untuk mencemuh penganut mazhab Syiah adalah sebuah ‘mitos’ bahawa penganut Syiah suka mencederakan diri ketika perkabungan Asyura (10 Muharam).

Menurut logika beliau, ini menjadi bukti penganut Syiah adalah kumpulan berbahaya dan cenderung melakukan teror. Dalam satu status Facebook, beliau menulis begini:

“Perbuatan mencederakan diri seperti ini menjadi bukti betapa Syiah suatu ajaran yang TERAMAT sesat..mazhab yang hidup atas darah dan air mata iaitu dendam dan kebencian.”



Salah satu kegagalan kaum agamawan kurun ini, mereka hanya dilengkapkan oleh ilmu-ilmu agama yang perlu; mungkin kebolehan berbahasa Arab, sangkaan mengetahui hadis daif, menguasai tajwid, dan paling penting ialah dapat memutuskan kemusykilan agama. Jika ia dapat disertakan dengan lucah jenaka, agamawan ini akan mendapat upah yang lebih tebal.

‘Mitos’ paling sensasi mengenai pengikut Syiah adalah mut’ah (nikah kontrak) dan ta’ziya (acara perkabungan). Saya hanya akan memberi tumpuan kepada aspek kedua, iaitu ta’ziya (acara perkabungan) dalam tulisan ini.

Syiah tolak Qamazani

Terdapat pelbagai cara penganut Syiah berkabung sempena 10 Muharam, iaitu hari pembunuhan cucu Rasulullah SAW, Sayyidina Husin dengan penuh tragis dan kejam sekali. Di alam Melayu, perkabungan minoriti Syiah dilakukan dengan membaca naskhah Hikayat Muhammad Hanafiyyah, atau Hikayat Hasan Husin Tatkala Kanak-Kanak. Di Iran hari ini, antara lain penganut mazhab ini akan mengadakan satu pementasan lara yang melakonkan kembali peristiwa menyayat hati ini. Ia dilakukan di perkarangan masjid, di jalanan, di taman atau di hadapan rumah.

Perkabungan ini mempunyai fungsi politik yang sangat bermakna buat mereka iaitu memanjangkan sejarah kekejaman dan penindasan penguasa Umaiyyah pada waktu itu. Menerusi episod sejarah ini, meski pada zaman moden hari ini, mereka akan mendapat tenaga untuk melawan pemerintah penindas dan menjadi sumber untuk mengangkat kembali kecintaan kepada keluarga Rasulullah SAW.

Bagaimana pula dengan perkabungan yang mencederakan diri sehingga berdarah dan luka seperti yang mudah diperoleh gambarnya jika kita melayari Internet?

Pada tahun 1928, ulama Syiah telah mulai membantah, membangkang dan mengecam perkabungan berdarah ini yang turut dinamakan qamazani. Harus diingatkan, yang dibantah adalah perkabungan berdarah, bukannya penyataan berduka yang menurut mazhab Syiah adalah satu kebaikan yang diberi ganjaran.

Salah seorang ulama Syiah yang paling awal menolak acara qamazani ini ialah Sayyid Muhsin al-Amin al-Amili yang menulis sebuah keterangan pada tahun 1927 dan diterbitkan pada 1928 di Sidon, Lubnan dengan tajuk ‘al Tanzih li-a’mal al-shabih’. Sayyid Muhsin adalah seorang ulama Syiah Lubnan yang pernah menuntut di Damsyik, dan Najaf. Di dalam keterangan kecil itu, Sayyid Muhsin menyatakan qamazani adalah satu masalah, bidaah (diada-adakan) dan boleh menjadi fitnah untuk mereka yang ingin mencari jalan untuk membantai penganut Syiah yang sering menjadi mangsa di dalam sejarah Islam.

Pamflet kecil Sayyid Muhsin itu rupa-rupanya menjadi polemik berpanjangan, kerana terdapat ulama yang mendatangkan dalil bolehnya qamazani dengan merujuk peristiwa Uwais al-Qarni yang mematahkan gigi setelah mendengar gigi Nabi Muhammad SAW patah di medan Uhud; dan laporan yang mengatakan Sayyidah Zainab, cucunda perempuan Rasulullah SAW menghantukkan kepalanya sehingga berdarah di penyalang kayu apabila digiring dan diarak dari Karbala ke Kufah, dan kemudian ke Damsyik, untuk dibawa ke istana Yazid. Nota, rujukan ini adalah menurut riwayat Syiah, dan bukan kita Sunni.

Antara ulama yang paling keras menolak Sayyid Muhsin adalah Shaikh ‘Abd al-Husain Sadiq yang menulis ‘Sima al-sulaha’ yang mendakwa perbuatan menggores sedikit di dahi kemudian menepuknya sehingga berdarah ketika 10 Muharram lebih seperti perbuatan berbekam.

Akan tetapi, terdapat beberapa ulama lain dengan segera menyokong Sayyid Muhsin iaitu Sayid Abul-Hasan al-Isfahani seorang mujtahid di Najaf dan Sayid Muhammad Mahdi al Qazwini, seorang ulama terkemuka di Basrah dalam tahun-tahun 1940an.

Sejarah Qamazani

Dari aspek sejarah yang lain, sejarahwan seperti Davoud Monchi-Zadeh, dan Talib Ali al-Sharqi yang kajian mereka dikutip Yitzhak Nakash dalam ‘An Attempt to Trace the Origin of the Rituals of Ashura’ menceritakan aspek yang jauh lebih menarik.

Menurut kumpulan sejarahwan ini, amalan qamazani mulai dikesani pada era kerajaan Buyid. Rakaman pengembara Barat seperti Delia Valle, Thevenot, Tavernier, dan Le Brun mendedahkan terdapatnya acara perkabungan meski tiada yang merakamkan ‘perihal darah’. Apa yang berlaku ialah, dalam abad ke-15, beberapa puak di bawah pemerintahan Othmaniyyah, antara lain kumpulan Turkoman, orang Kristian Armenia dari timur Anatolia, dan masyarakat peribumi di Caucasus diIslamkan oleh penggiat sufi Syiah dari kerajaan Safavid.

Kumpulan yang memeluk Islam ini memakai semutar merah yang dinamakan Qizilbash dan mereka menjadi tunjang angkatan bersenjata dan keselamatan ketika pemerintahan Shah Abbas I (1588-1629) dan penggantinya. Puak Qizilbash ini sepertinya lelaki Kelantan dulu-dulu suka membawa pedang, parang, belati, golok dan kapak ketika berkawal dan dalam perkabungan Ashura telah memulai acara qamazani atau perkabungan berdarah memandangkan instrumen itu yang dekat dan sudah di tangan.

Mengapakah mereka berkelakuan sedemikian?

Perlu dinyatakan, sebelum memeluk Islam, kaum Qizilbash ini adalah penganut agama Kristian ortodoks yang sering melakonkan drama mengenai sejarah Kristian, dinamakan corpus christi, dan liturgy. Qizilbash ini dikatakan mendapat pengaruh dari pecahan kumpulan Scuole dei Battuti yang melakukan acara mengingati Isa atau Jesus. Salah satu episod paling mencengkam dalam sejarah agama Kristian ialah peristiwa penyaliban Isa. Apabila Qizilbash ini memeluk Islam, mereka tercari-cari episod yang sama dramatiknya untuk memuaskan tabiat atau keinginan mereka melakukan perkabungan dramatik. Apabila memeluk agama Islam mazhab Syiah, tentu sahaja episod paling besar dan tragis menyamai penyaliban Nabi Isa adalah pembunuhan Sayyidina Husin. Mereka mulai melakonkan dan memaparkan kejadian itu dan ia menjadi budaya bawah tanah tanpa disedari.

Budaya bawah tanah ini dibawa oleh imigran Iran ke Nabatiya di Lubnan dan muncul tiba-tiba pada tahun-tahun 1907 dan 1908 seperti yang direkodkan oleh ulama Syiah, Shaikh Hasan al-Hubushi apabila beliau meminta bantuan penguasa Othamniyyah di Sidon agar mencegah acara yang menurutnya boleh membawa fitnah.

Berhujah dengan lebih adil

Hari ini, lebih ramai ulama atau mujtahid Syiah menolak qamazani dan membenarkan perkabungan biasa iaitu ta’ziya. Antara ulama yang menolak dengan keras adalah Ayatullah Ali Khamenei, yang merupakan penjaga tertinggi Revolusi Islam Iran. Adalah kebetulan ramai penganut Syiah tempatan menjadi pengikut beliau. Maka, fatwa pengharaman qamazani diakuri oleh minoriti Syiah tempatan. Penganut Syiah Bohra bagaimanapun memang tidak mengamalkannya. Tetapi, adakah agamawan Sunni mengetahui hal ini? Adakah adil menghujahkan mereka dengan sesuatu yang tidak mereka lazimi?

Adalah sangat menghairankan aspek sosiologi, antropologi dan sejarah sesuatu budaya agama tidak dapat difahami, atau enggan diberi kajian mendalam. Sebagai ulangan, qamazani tidak diamalkan di Asia Tenggara dan menggunakan aspek ini untuk menempelak minoriti Syiah dengan sengaja adalah perbuatan sama sekali tidak progresif, malah berniat serong. Hanya segelintir penganut Syiah sahaja yang masih melakukan qamazani, dan kebanyakannya adalah dari Iraq dan Pakistan.

Kebanyakan pengamal qamazani, menurut antropologis Werne Ende dalam makalahnya pada tahun 1978, ‘The Flagellations of Muharram and The Shi’ite ‘Ulama’ adalah mereka yang kurang berpendidikan, jumlahnya kecil, yang apabila dicegah pun masih berdegil. Tentu sahaja kita tak dapat menghujahkan Islam itu agama ganas jika ISIS memotong kepala orang, seperti itu jugalah kita tidak dapat menghujahkan Syiah itu ganas semata-mata kerana ada sekerat dua yang melakukan qamazani dan foto perlakuan mereka disensasikan dan dijadikan ‘fitnah’ walaupun kumpulan utama Syiah sendiri menolak mereka.

Persis agamawan Syiah yang berpolemik dalam sesuatu isu seperti qamazani ini, ulama Sunni kontemporari juga sering berbantah dalam pelbagai isu. MAZA misalnya sering berpolemik dengan Zamihan Mat Zin mengenai pelbagai perkara yang tidak perlu dibangkitkan di sini. Kadangkala kita orang awam jadi malas menyampah dengan perselisihan mereka. Ada antara kita yang memihak MAZA, ada yang menyokong Zamihan. Di dalam dunia akademik yang adil, sekiranya kita ingin mengungkapkan polemik atau kontroversi sesuatu isu, kita akan mengungkapkan kedua-dua argumen dari pihak yang berbahas itu. Kita tidak akan mengetengahkan hujah satu pihak semata dan memendam pihak yang lain. Itu kita namakan bias.

Sikap sendeng dan bias sungguh menjengkelkan. Malang juga, jika ada agamawan yang progresif mengesampingkan aspek sejarah, sosiologi dan antropologi kumpulan minoriti yang ingin ditekannya. Mungkin kerana para ulama kita memang jahil ilmu-ilmu sains sosial. Lebih dahsyat, ada agamawan memanjangkan ‘mitos’ yang memang ditolak, dan lantaran itu, kebencian terhadap golongan minoriti ini diteruskan. Kebencian ini malangnya boleh menjadi pemangkin kepada jenayah kebencian seperti pembunuhan, teror, dan penculikan tanpa sendiri mereka sedari. Semoga kita dilindungi dari agamawan tipikal pemburu kesalahan dan pengenal pasti dosa.

Rujukan:

Ende, Werne. 1978. ‘The Flagellations of Muharram and The Shi’ite Ulama. Der Islam 55. 19-36.

Mohd Asri Zainul Abidin. 2013. DrMAZA.com. 13 November. https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10152086921692990&l=9a66e24d3c

Mohd Asri Zainul Abidin. 2013. Hendaklah Akal Mengukur Maklumat. Minda Tajdid. 14 November.

Nakash, Yitzhak. 1993. ‘An Attempt to Trace the Origin of the Rituals of Ashura’. Die Welt des Islams 33. 161-181.


FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS