Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Apakah rungutan orang lukisan di dalam Malaya ini?

Tentu sekali betapa sekarang ini peruntukan yang dikhaskan oleh kerajaan kepada Balai Seni Negara bagi memperolehi karya-karya pelukis tempatan telah 100 peratus ditiadakan.

Jika tidak silap, sebelum 2015 dan 2016 lebih kurang RM1 juta atau RM2 juta diperuntukkan kepada badan berkenaan bagi tujuan membeli karya-karya yang dianggap penting oleh kerajaan.

Usaha ini sedikit sebanyak memberi sinar kepada pelukis yang sememangnya mengharapkan agar karya mereka menjadi simpanan negara.

Selain bangga dengan prestij apabila karya dibeli oleh badan seni tertinggi negara, pelukis juga boleh bernafas lega dengan bonus wang yang diterima.

Hari ini tiada sebarang wang yang diperuntukkan oleh kerajaan kepada Balai Seni Negara untuk mereka memperolehi karya pelukis tempatan.

Untuk filem dan nyanyian, peruntukan agak besar disalurkan melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan beberapa agensi yang berkenaan.

Nilai bertambah setiap tahun

Kemudian daripada itu ialah rungutan tentang betapa tidak kuatnya rasa kasih orang banyak terhadap karya tempatan.

Tidak ramai yang berminat untuk mengumpul karya lukisan tempatan.

"Ramai" yang dimaksudkan adalah mereka yang berkemampuan tinggi.

Jutawan kosmetik misalnya lebih gemar mengumpul jam dan tas tangan. Dengan rumah agam bernilai jutaan ringgit dan tanpa barang sekeping pun lukisan pelukis temptan.

Mereka lebih gemar membeli cermin muka berbingkai emas berbanding sebuah karya yang tentu akan bertambah nilainya dari tahun ke tahun.

Mungkin kerana kebanyakan jutawan-jutawan itu asalnya datang dari kelas menengah (rendah) dan sifat konsumerisme yang dimiliki mereka sukar untuk diubah.

Mereka masih lagi memandang makna kemewahan ialah memiliki barangan berjenama. Yang boleh dibangga-bangga.

Ini tidak dapat dielak kerana sebahagian besar kaum elitis negara kita sendiri bersifat sama. Masih dengan kereta mewah dan perhiasan rumah yang tidak masuk sebarang budaya ke dalamnya.

Maka jadilah golongan ini manusia yang kosong apabila objek yang dibanggakan mereka ialah barangan mahal yang tidak mempunyai jiwa.

Mereka kelihatan seperti kumpulan elitis yang tidak cultured.

DiCaprio peminat lukisan

Belum pernah didengar oleh kita di negara ini terdapat penyanyi atau pelakon (yang kaya-raya) mengumpul lukisan. Ia sangat berbeza daripada penyanyi dan pelakon luar negara.

Pelakon Russell Crowe misalnya baru-baru ini melelong sebahagian daripada koleksi lukisannya yang banyak itu.

Jay-Z juga pengumpul lukisan, selain ramai lagi penyanyi dan pelakon terkenal dunia yang menjadikan lukisan sebagai aset kebanggaan.

Sama juga halnya dengan Leonardo DiCaprio itu. Alahhhh... DiCaprio yang dapat hadiah dari Jho Low tu...Bukan lukisan murah pulak tu.

Banyak betul duit dia boleh beli lukisan Picasso dan Basquiat.

Sekadar untuk rekod, lukisan juga sering digunakan dalam kerja-kerja pengubahan wang haram.

Jika hanya satu atau dua orang daripada kumpulan di atas yang melaburkan sedikit wang mereka ke dalam industri seni lukis, maka pasti akan berlaku lonjakan besar dalam arena seni lukis negara.

Hal ini juga tidak dibantu oleh beberapa pengumpul dan galeri lukisan yang sangat giat mempromosi dan mengumpul karya luar.

Hampir semua pelukis yamg kami temui di Yogyakarta mempunyai ejen di kalangan pengumpul dan galeri dari Malaya, sedang apabila ditanya adakah pengumpul mereka sudi mengumpul karya kita, lalu dijawab: ia hampir mustahil berlaku.

Kecintaan terhadap karya sendiri membuatkan mereka tawar hati kepada karya dari tempat lain, termasuk kita.

Ini tentu bagus kepada pelukis Indonesia dan tentu lebih bagus juga jika kita di sini juga mempunyai jati diri yang sama.

Telah sampai masanya galeri dan pengumpul lukisan bersatu untuk menaikkan karya tempatan. Kita tidak ketandusan bakat namun seperti semua hal, bantu-membantu adalah jalan mewah untuk mencapai impian.

Arahan wajib dari kerajaan

Pelukis di Yogyakarta juga mempunyai satu sifat yang harus dipuji.

Apabila satu-satu pelukis sudah berjaya maka mereka ini tanpa sebarang upah akan mempromosi rakan yang dekat. Dianjurkan kepada pengumpul agar membeli karya rakan yang sedang menuju jalan jaya.

Kita berharap sifat begini juga tumbuh dalam jiwa pelukis Malaya. Sama-sama saling membantu dan jangan saling jatuh menjatuh.

Kerajaan sendiri juga patut membantu dalam hal ini. Agensi yang dilantik oleh kerajaan dalam mempergiat seni lukis harus menjadi kumpulan pertama memiliki karya tempatan dan kemudian ini harus diikuti oleh semua badan kerajaan.

Elok juga sekiranya menjadi dasar bahawa semua bangunan kerajaan hendaklah memiliki sekurang-kurangnya sebuah karya tempatan.

Mengapa perlu kita sendiri menyimpan karya tempatan?

Pertama, tentu kerana ia khazanah negara; dan keduanya untuk kesinambungan budaya yang telah lama kita tinggalkan demi mengejar apa yang kita gelar sebagai pembangunan.

Pelukis di Malaya sering merasakan diri mereka dipinggirkan apabila hal seni diperbincangkan.

Yang selalu didebat-debatkan orang ramai ialah pelakon dan penyanyi. Dibela nasib mereka apabila kesusahan, misalnya.

Pelaburan masa depan

Tidak dinafikan sumbangan mereka namun apabila seorang pelukis mengalami malang, hanya teman terdekat merupakan tempat mereka mengadu nasib.

Pelukis pula tidak mempunyai saluran khusus yang dikenal sebagai wakil untuk memperjuangkan nasib mereka.

Sesuatu harus dilakukan oleh kerajaan untuk membantu golongan ini.

Tidak dinafikan ada pelukis yang kaya-raya dan tentunya kami sendiri adalah salah seorang daripadanya. Namun masih ada ramai pelukis yang memerlukan bantuan dan mereka tidak meminta-minta.

Apa yang mereka mahukan cuma karya mereka dihargai dan diletak pada tempat yang betul.

Bercakap mengenai "being cultured", sebenarnya kami mempunyai ramai kawan yang tidak elitis dan juga belum menjadi jutawan, tetapi sangat suka mengumpul lukisan.

Mereka tahu menghargai dan sayangkan kebudayaan dan hasil seni tempatan, bahkan pernah seorang teman kami yang berkerja dengan gaji bulanan membuat pinjaman peribadi dari bank hanya kerana ingin memiliki beberapa keping lukisan.

Kita selalu berharap agar seni catan negara ini mencapai tahap tinggi di arena antarabangsa dan jalan menujunya ada dalam tangan semua orang.

Anggaplah dengan memberi sokongan kepada karya anak tempatan sebagai satu sumbangan kita kepada kemajuan seni bahagian ini .

Dan jika kita mahu bercakap mengenai nilai wang, melabur dalam pembelian lukisan adalah satu langkah yang sangat sangat menguntungkan.


ABDULLAHJONES seorang penulis, pelukis,  penyair, pengembara, jurufoto amatur serta seorang ninja yang sedang merawat hati nan rawan.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS