Kolum Malaysiakini

Imam Mahdi dalam teks Melayu

Faisal Tehrani  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Seorang ulama Ahli Sunnah wal Jamaah alam Melayu yang terkenal dalam abad ke-18 ialah Muhammad Arsyad al-Banjari. Datuk beliau berasal dari Hadramaut yang menetap di Maghribi. Pada abad ke-16, keluarga ini berhijrah ke Filipina dan kemudiannya menghuni kota Banjarmasin. Muhammad Arsyad lahir pada 17 Mac 1710, dan melanjutkan pelajaran ke Mekah dan Mesir. Beliau juga dikenali sebagai sahabat baik kepada seorang lagi ulama Nusantara, Syeikh Abd al-Samad al-Palimbani. Mereka berdua adalah pengikut tarekat al-Khalwatiyah.

Almarhum al-Banjari menulis kira-kira 10 buah kitab pelbagai bidang. Namun demikian, hanya lima buah sahaja kitab yang dikarangnya ditemui. Salah sebuah kitab beliau yang terkenal ialah Kitab Sabil al-Muhtadin, sebuah kitab fikah yang menjadi rujukan di Nusantara pada abad ke-18. Kitab ini dikarang atas titah Sultan Tahmidullah. Selain itu beliau juga menulis Kitab Usuluddin mengenai Sifat Dua Puluh yang tidak pernah ditemui, Kitab al-Nikah mengenai masalah perkahwinan, dan Kitab al-Fara’id mengenai cara pembahagian kepada pewaris.

Karangan beliau yang akan disebut dalam tulisan ini adalah al-Qawl al-Mukhtasar fi’ Alamat al-Mahdi al-Muntazar. Apa yang lebih menarik ialah, sebagai seorang Sunni, tulisan ini turut memuatkan pencirian Imam Mahdi seperti yang dipegang oleh fahaman Syiah. Kitab ini, di sebalik judulnya, bukanlah tepu mengenai perbahasan mengenai Imam Mahdi, iaitu penyelamat akhir zaman. Akan tetapi yang lebih menguasai wacana di dalam kitab ini ialah perihal alamat-alamat yang menonjol menjelang Hari Kiamat. Oleh sebab itu, tulisan ini tidak akan membincangkan hal futuristik dan sensasi yang ada pada kandungan kitab ini. Ini bermakna perbincangan mengenai siapakah golongan Sufyani, Yakjuj dan Makjuj, kemunculan Nabi Isa atau apakah Dajal sebagainya tidak akan diketengahkan.

Perbincangan mengenai Imam Mahdi hanya menyerlah di bahagian awal al-Qawl al-Mukhtasar fi’ Alamat al-Mahdi al-Muntazar. Menurut al-Banjari beliau menyusun kandungan kitab tersebut berdasarkan beberapa risalah ulama sebelumnya iaitu antara lain karya Sayid Jaafar Barzanji, Syeikh ‘Abd Qadir al-Qalihi, Syeikh Ibn Hajar al-Haitami dan Syeikh Kisa’i.

Al-Banjari merujuk al-Mahdi sebagai ‘al Muntazar’ atau Imam Mahdi yang dinanti-nanti akan dia. Ia merupakan gelaran Imam Mahdi yang dilazimi oleh pengikut mazhab Syiah. Imam Mahdi juga dirujuk sebagai sudah pun lahir, dan dinantikan agar zahir atau menjelma semula. Menurut al-Banjari “maka pada sepuluh hari bulan Muharam zahirlah Imam Mahdi, seperti yang telah berdahulu perkataan atasnya.”

Masyarakat Syiah percaya dan mengimani Imam Mahdi lahir pada 15 Sha‘bān 255 AH bersamaan 869 Masehi. Dalam erti kata lain, Imam Mahdi sudah lahir dan masih hidup sementara menanti masa kemunculan semula.

Dalam hal ini, kandungan awal kitab al-Qawl al-Mukhtasar fi’ Alamat al-Mahdi al-Muntazar cuba menjelaskan alamat-alamat kemunculan beliau. Al-Banjari malah menegaskan kedudukan Imam Mahdi itu sebagai:

“Keadaan Imam Mahdi itu mawjud (wujud) sekarang ini kerana tidak ada mani’ (halangan) daripada lanjut umurnya hingga sampai kepada masanya yang ma’hud (masa yang dijanjikan).”

Dalam kitab al-Qawl al-Mukhtasar fi’ Alamat al-Mahdi al-Muntazar ini Imam Mahdi juga diperlihatkan sebagai seorang mujtahid atau faqih yang tidak merujuk kepada mana-mana mazhab yang empat dalam doktrin Ahlul Sunah wal Jamaah. Tambahan pula, Imam Mahdi menurut al-Banjari juga seorang yang maksum (tidak berbuat kesalahan):

“Dan tiada ia taqlid kepada seorang jua pun daripada segala mujtahid, imam yang empat atau lain daripada mereka itu dari kerana bahawasanya ia setengah daripada segala yang mujtahid dan menzahirkan ia daripada agama. Barang yang ia atasnya pada nafs al-amr dengan sekira-kira jika ada Nabi sallahu’llahu ‘alaihi wa-salam hidup nescaya dihukumkannya dengan dia, dan mengikut ia akan athar (langkah) Rasulullah salla’llahu ‘alaihi wa-sallam dengan tiada tersalah kerana ada baginya malaikat yang membetulkan akan dia pada barang pekerjaannya.”

Al-Banjari menegaskan kemunculan semula Imam Mahdi itu bukan sahaja sebagai ‘jabir’ yakni ‘yang menampiri dan membaiki’ kerosakan dalam kalangan umat Nabi Muhammad tetapi juga “mengerasi akan segala mereka yang takbur dan yang zalim.”

Imam Mahdi juga diberitakan akan menamatkan kempen jahat dan fitnah terhadap keluarga Rasulullah SAW atau dirujuk sebagai “ahlul bait”; ‘dan dibinasakan Allah Taala dengan dia segala fitnah, dan dibinasakan Allah Taala segala mereka yang jahat-jahat hingga tiada tinggal seorang jua pun yang benci akan keluarga Nabi salla ‘llahu ‘alaihi wasallam.”

Kenyataan al-Banjari di atas sangat berhubung kait dengan kenyataan beliau mengenai musuh cucu-cicit Rasulullah khusus dalam kes ini, Sayidina Husin yang syahid dibunuh di Karbala. Al-Banjari seterusnya mengaitkan golongan Sufyani yang akan bermaharajalela sebelum kiamat tiba dengan keturunan penista ahlul bait ini:

“Dan tersebut di dalam kitab ‘Iqd al-Durr bahawasanya Sufyani itu daripada anak Khalid, anak Yazid, anak Abi Sufyani – akan laknat Allah di langit dan di bumi – dan ialah yang sebanyak-banyak makhluk Allah Taaala inaya. Maka serta yang demikian itu dianugerahi Alah Taala rahmat akan sekalian hamba dan sekalian negeri dengan sebab zahir Imam Mahdi.”

Pegangan al-Banjari di atas sangat mirip pandangan Syiah dalam menghujahkan musuh atau pembenci keluarga Rasulullah SAW.

Kehadiran elemen Syiah pada Imam Mahdi yang ditonjolkan al-Banjari ini membawa kepada beberapa persoalan yang tidak terjawab. Apakah al-Banjari seorang ulama Syiah bertaqiyyah sebagai Sunni, atau apakah beliau seorang ulama Sunni yang terbuka mengambil sumber Syiah. Kedua-duanya mungkin, bersandarkan apa yang beliau ketengahkan. Juga, mengapakah beliau menyusun atau mengarang kitab sedemikian rupa memandangkan khalayak beliau ialah penghuni alam Melayu sedangkan semua pergolakan sebelum Hari Kiamat yang disuguhkan itu terjadi di Timur Tengah. Apakah alasan untuk ia melakukan itu hanyalah kerana percaya kepada hari kiamat itu sebahagian dari rukun iman?

Antara sejarawan dan pengkaji penting seputar kitab ini, bekas pensyarah Jabatan Sejarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Mahayudin Yahaya menyedari kedudukan naskhah yang sendeng mengandungi ajaran Syiah ini. Beliau menyebutkan di dalam penyelidikan beliau “Naskhah Jawi Sejarah dan Teks”; ‘terdapat banyak hadis daif (maudu) yang diambil daripada kaum Syiah, terutamanya hadis-hadis tentang Imam Mahdi, kerana menurut ajaran Syiah Imam Mahadi yang ditunggu itu (al-Muntazar) ialah dari Imam Syiah’.

Adalah mungkin sahaja al-Banjari tidak alpa mengenai kedudukan hadis yang dipetiknya. Di dalam mazhab Syiah, tidak terdapat pengkategorian hadis daif dan sahih seperti yang terdapat dalam mazhab Sunni. Mungkin sahaja hadis Syiah ini disedari dan memang sengaja dirujuk dan dikutip oleh al-Banjari, mungkin juga tidak.

Saya berpendapat, sosok Imam Mahdi dalam al-Qawl al-Mukhtasar fi’ Alamat al-Mahdi al-Muntazar ini masih bersumberkan ajaran Ahli Sunah wal Jamaah walaupun banyak pencirian Imam tersebut hampir sama dengan ajaran mazhab Syiah. Justeru, Jabatan Agama dan agamawan cari makan tidak perlu berasa gelisah. Hal ini saya simpulkan kerana seperti naratif eskatologi Sunni yang lain, pembunuh Dajal adalah Nabi Isa alaihissalam, sedangkan dalam naratif Syiah pembunuh Dajal adalah Imam Mahdi.

Dalam dunia Sunni, merujuk riwayat Syiah dalam kes Imam Mahdi bukanlah sesuatu yang asing. Pada tahun 1250, ulama Syafie asal Syria Muḥammad Yusuf al-Gandji al-Kurashi menulis al-Bayan fi akhbar sahib al-zaman untuk membuktikan kebenaran Imam Mahdi Syiah berdasarkan tradisi atau riwayat Syiah. Sementara pada tahun 1252, Kamalal-Din Muḥammad Talha al-ʿAdawi al-Nisibini, seorang lagi ulama Syafie mengarang Maṭalib al-suʾul fi manaḳib al al-rasul demi menjawab pertikaian segelintir pengikut Sunni yang menolak Imam Mahdi adalah Imam kedua-belas Syiah.

Ini bermakna para ulama sepakat akan kewujudan Imam Mahdi selain Imam Mahdi itu sendiri supra-mazhab. Saya pernah menulis betapa ketokohan Imam Mahdi turut dipegang oleh masyarakat Jawa, yang sosok itu dirujuk sebagai Ratu Adil. Ratu Adil ini juga digelar Satria Piningit. Yakni seorang pemimpin yang luhur, tegas dan berani. Seorang pemimpin yang tidak mementingkan dirinya, atau kelompoknya, tetapi lebih melihat keperluan dan kepentingan rakyat bawahan.

Keterpencilan wacana Imam Mahdi dan peminggiran al-Qawl al-Mukhtasar fi’ Alamat al-Mahdi al-Muntazar adalah ekoran berlakunya nyah-syiahisasi (de-shiatization). Profesor Martin van Bruinessen pernah menjawab perihal kepupusan elemen Syiah dari kitab-kitab karangan ulama Sunni Nusantara hari ini sangat berhubungan dengan kebangkitan gejala Puritan (Wahhabi) pada abad ke-17 dan kemunculan tarekat Naqsyabandiah yang lebih cenderung syariat berbanding tarekat lain. Ini berbeza dengan pegangan tarekat al-Banjari, dan sahabat baiknya al-Palimbani; iaitu tarekat al-Khalwatiyah.

Kehilangan doktrin Mahdawiyah atau Mahdiisme dari sanubari umat Melayu Islam menjadikan bangsa ini gentar dengan gertakan sehingga lemau tidak bermaya. Imam Mahdi yang aktif ialah figura yang menentang tanpa semberono, tidak remeh dan tiada kompromi dengan kezaliman. Jean-Pierre Filiu profesor di Paris School of International Affairs (PSIA) dalam kajiannya - “The Return of Political Mahdism” - menamakan ia sebagai ‘political Mahdiism’ dan menunjukkan bagaimana dunia Syiah telah menjadikan ia sebagai tenaga untuk terus progresif selain menidakkan kekuatan musuh. Jean-Pierre Filiu menegaskan kepercayaan kepada Imam Mahdi sebagai ‘well oriented leader’ menyediakan umat Syiah dengan motivasi dan destinasi. Dalam erti kata lain, kehilangan Imam Mahdi dari minda umat Melayu membuka jalan kepada kekucar-kaciran organisasi, de-motivasi dan ketiadaan hadaf (panduan).

Salah satu kekuatan naratif eskatologi Melayu seperti al-Qawl al-Mukhtasar fi’ Alamat al-Mahdi al-Muntazar adalah untuk menyiapkan mentaliti dan psikologi umat untuk melawan penindasan dan kezaliman, bukan sahaja daripada kuasa-kuasa yang dinamakan sebagai Sufyani, Dajal, atau Yakjuj dan Makjuj tetapi juga mereka yang pada hari ini mempunyai ciri-ciri entiti di atas, sama ada ia muncul dalam bentuk sistem yang menindas atau diktator yang tidak pernah puas.


FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.