Paling Popular
Terkini

Sibuk betul kamu menyuruh kami mencari salah DAP. Kami jadi tidak faham mengapa itu jadi perkara besar sedangkan dalam setiap tulisan, kami ceritakan bagaimana kita ini tidak lagi mahu dipergunakan oleh politikus yang jahat, yang rasuah, yang rasis.

Tentu saja ini termasuk mereka dari DAP.

Ini tidak. Asal rasuah, asal bertemu rakyat tetapi dengan sombong dan bangga dengan kekayaan, asal memandang rendah usaha rakyat serta tidak mahu faham mengapa orang ramai jadi marah, kamu ingat kami tulis fasal orang Umno saja.

Dalam kepala kamu, kalau jahat yang disebut maka Umnolah tali barut.

Mahu melagakan kami dengan Umnolah tu. Baser mulut jahat.

Partai kamu semua baik, tak makan rasuah, tak bergaduh bertolak bertekak serta tidak merajuk apabila ditolak daripada menjadi calon. Partai kamu suci daripada segala.

Bila kami sebut suci, maka kamu pun perasan kami ini sedang mengata partai politik Islam kamu. Kamu sajalah yang berhak menggunakan perkataan Islamik.

Sorga itu pusaka datuk nenek kamu, maka bebaslah kamu memilih siapa yang berhak masuk ke dalamnya.

Kemudian buat kemeja-T . Kamu tulis "Sama-sama masuk sorga" kemudian kamu jual. Dengan kemeja-T, dengan agama sekali kamu lelong demi untuk sedikit wang dan politik.

Kalau dah yakin sangat, mengapa tidak buat kemeja T dan ditulis: "Kami ahli sorga" saja? Pakai setiap hari supaya senang orang kenal dan jadikan contoh dalam mencari jalan senang menuju reda Tuhan.

Baser jenih dok malu dengan Tuhan. Baser jenih bodo blake... jenis yang jika tersalah didik akan memasang bom di badan dan meletupkannya ditempat awam dan berharap beroleh sorga paling tinggi.

Kamu kata kami perbesarkan kesalahan kecil partai itu kerana kami benci.

Salah seorang terpalit semua

Ke mari kamu, pak cik liberal kesayanganmu mahu bicara...

Apabila kamu bersetuju bahawa Islam itu adalah yang terbaik dan kamu pun mahu berjuang atas landasan itu, maka kamu langsung tidak ada peluang untuk melakukan kesalahan.

Terlebih pula kita yang nampak seperti sangat Islamik ini - dengan jubah dan kopiah, dengan janggut di bawah dagu dan di bahu digayut ridak - wajiblah kita ini rendah diri, berhemah dan berpekerti tinggi.

Memang itu pun kelakuan yang diseru oleh agama kita serta kerana kita ini mewakili hampir 1.5 bilion orang Islam, satu kesalahan yang kita lakukan akan terpalit ke seluruh umat Islam yang ada dimuka bumi ini.

Siapa saja yang tidak suka kepada Islam memang sentiasa mencari kesalahan kita, dan mereka yang tidak faham betapa benarnya Islam itu memang ramai adanya.

Jangan buka sebarang peluang kepada mereka. Jaga adab dan amal kita. Selebihnya kita serahkan kepada Tuhan.

Namun begitu, tidak dapat tidak, mesti akan ada antara kita yang melakukan kesilapan dalam usaha untuk memartabatkan Islam. Namun kesalahan-kesalahan ini tentu akan dimaafkan apabila kita segera sedar dan membetulkannya.

Tuhan sangat suka kepada orang yang segera kepada taubat.

Kita jangan sampai mencari kesalahan orang lain untuk membetulkan kesalahan kita.

Menuding jari kepada kawan dan mengatakan "aku curi sedikit je.. mu curi lagi banyok..." atau menghalalkan apa juga kesalahan kita dengan mengatakan kita ambil derma peribadi untuk partai, bukan untuk kegunaan peribadi, misalnya.

Mana boleh lagu tu bang aji...

Itu yang berlaku hari ini. Kita yang jahat ini sibuk mencari kejahatan orang lain dan kemudian kita jaja kejahatan orang itu. Kita buka semua rahsia jalan hitam kawan-kawan dan lawan hanya kerana mahu dikasihani dan dikasihi. Bahkan rahsia suami isteri pun dijaja kepada umum demi kerana mahu meraih simpati.

Malaysia ada bahasa rasmi

Jangan turun hingga ke situ bang. Jangan jadi bangang begitu, sementelah pula kita ini punya jahat yang besar. Kalau tahu dek orang tentang jahatnya kita ini, entah anak kita sendiri pun malu mengaku kita sebagai keluarga.

(Tengok, siapa yang memberi nasihat bernas kalau bukan pakcik liberal dambaan hijabi ini?)

Mengapa tak menulis tentang DAP? Nah, ini dia:

Kami sangat tidak selesa apabila pemimpin mereka menggunakan bahasa Cina tanpa diiringi dengan satu atau dua bahasa yang difahami ramai. Bahasa rasmi di Malaysia misalnya.

Atau jika mahu, bahasa Inggeris juga boleh digunakan sebagai terjemahan. Di media sosial pula kami tidak nampak ada perlunya menulis menggunakan bahasa yang tidak difahami oleh kami yang tidak belajar bahasa itu.

Mungkin kami bersalah kerana tidak mempelajari bahasa rakan senegara tapi sementara kita bercakap mengenai kecintaan kepada negara, hormati bahasanya.

Ini Malaysia yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Jika pemimpin sendiri tidak melakukannya, kita mahu berharap pada siapa lagi untuk memartabatkan bahasa negara kita ini?

Semestinya siapa pun menjadi pemimpin dalam apa juga partai, apabila menggunakan media sosial atau bergaya di depan umum sayugialah menggunakan bahasa Malaysia.

Ini bagi mengelakkan prasangka dan pemimpin DAP wajib sedar bahawa untuk memenangi hati seluruh warga ialah dengan mendekati apa yang disukai mereka. Dan tentu sekali menggunakan bahasa Malaysia di media sosial adalah salah satu caranya.

Perdana menteri Temasik sana faham akan hal ini dan kefasihan bahasa Melayu beliau sangat mendatangkan malu kepada kami sendiri. jika kamu belum tahu, beliau berbangsa Cina dan mengetuai sebuah negara ‘Cina’.

Lihat saja betapa pemimpin DAP yang diasuh oleh PAS suatu masa dulu dijunjung apabila menjadikan Khalifah Umar Abdul Aziz sebagai idolanya walaupun hari ini hal itu tinggal sebagai kenangan mengusik jiwa dan lawak yang tidak kelakar.

Seni pantun diperkosa

Jika perlu berpantun, berpantunlah biarpun hura-hara bunyinya. Semua orang akan faham dan menghormati usaha sebegitu.

Namun jika kamu mempunyai pasukan penulis teks yang sepatutnya berkaliber tetapi masih menghasilkan pantun yang ngilu hati apabila mendengarnya, tentu kami hairan sedang bahasa Melayu ialah bahasa ibunda kamu.

Ini kami tujukan khas buat Datuk Seri Najib Razak.

Kemon datuk sri... tak stended langsung pantun datuk seri tempoh hari. Cacamarba bunyinya. Seluruh warga sastera yang ikhlas mentertawakan datuk seri pasal pantun itu.

Kemudian mereka menangis kerana ketua sebuah negara yang kaya dengan seni sasteranya memperkosa seni pantun dengan sebegitu rupa. Mereka juga mahu tahu siapa penulis teks berkenaan.

Sila ambik puisi terbaru calon PRU14 Pulau Langkawi yang itu sebagai rujukan.

(Tengok, jika datuk seri perasan, kami tidak sebut pun nama pemimpin itu kerana tahu datuk seri tidak suka. Harapnya kami ini masuk dalam buku baik datuk seri.)

Juga perkataan "PHitnah" itu tidak membantu perkembangan bahasa Malaysia, datuk seri. Kata ramai orang, macam bahasa budak WeChat. Ke, datuk seri memang ambil budak WeChat sebagai penulis ucapan?

Cuba lagi datuk seri! Kalau tak ada sangat, kami berani saja menawarkan diri menulis untuk datuk seri, sementelah pula kami ini agak terkenal pandai berpuisi, tapi mahal sedikit laaa. Almaklum, ramai yang perlu dibayar sebelum tulisan kami benar-benar sampai kepada datuk seri. Bukan tak biasa datuk seri... nak kena ejas blake.

Pemimpin dari MCA dan MIC juga diperingatkan dengan hal yang sama. Hormati bahasa kebangsaan kita. Selain itu, tidak kami peduli jika kamu mahu menggunakan apa bahasa sekalipun apabila kamu semua sendiri-sendiri dalam kelambu bersama jenis kamu. Mahu berjawa, silakan. Mahu berboyan, silakan.

Tabur janji demi janji

Kita sedang saling bermusuhan. Maka cari jalan supaya tidak wujud lorong yang akan tambah memecahbelahkan kita dan mana tahu melalui kesatuan dalam berbahasa, sekurang-kurangnya kita dapat menghalang prasangka buruk sesama kita.

Oh! Sebelum lupa, apa punya bodoh kita ini sampai percaya hanya dengan mengamalkan meminum tonik mujarab kita boleh menjadi lebih tinggi. Semua mengaku menjual tonik magis. Boleh tinggi, boleh besar, boleh tahan lama.

Semua penjual tonik mujarobat ini cuma mahu menjadi kaya tanpa mahu peduli apa pun kesan kepada kesihatan kita.


Baca Apabila orang besar mencarut


Entah di mana kilang mereka. Entah siapa panel kajian mereka. Entah dibuat di belakang rumah di negara mana pun kita tidak tahu. Entah dijadikan alat memutihkan wang hitam siapa pun kita tidak tahu.

Walhal untuk tinggi, kita cuma perlu memang dalam pilihan raya. Kamu lihat saja nanti calon-calon yang hari ini merendah diri meredah danau dah lecah di merata kampung akan jadi sangat tinggi kalau mereka menang pilihan raya.

Berjalan mengepak dada kerana dia berasa memang layak dipilih. Memandang ke bawah jarang sekali dek kerana berasa diri telah duduk di kemuncak jaya.

Kepala akan jadi besar dan untuk tahan lama, mereka akan mula berjanji sekali lagi demi untuk kelangsungan kerjaya politik mereka hingga ke pemilihan lima tahun lagi.

Dan seperti juga tauke kosmetik tadi, politikus yang menang semestinya mahu jadi sangat sangat kaya tanpa mahu peduli akan apa yang terjadi kepada kesejahteraan hidup apapun makhluk di bawah pimpinan mereka.

Semoga saja mereka diampunkan Tuhan kerana jika berjahat selama mereka memimpin, demi Tuhan sekelian alam, tidak akan kami maafkan dosa mereka.


ABDULLAHJONES ialah penulis, penyair, pelukis, jurufoto, pengembara dan ninja yang mengintai dari tirai sepi.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS