Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum

"Kita jumpa tuanku!" kata Sukairi apabila mendapat berita yang pameran DONG-ISM dibatalkan oleh Balai Seni Negara.

Itu ciri khas orang Pekan, Pahang. Apa-apa masalah, mereka akan segera panik dan melulu mencari Tuanku Sultan Pahang. Baginda pula memang terkenal sangat mengambil berat perihal rakyatnya dan tentu perhatian khusus baginda jatuh kepada sesiapa yang berasal dari bandar diraja itu. Atau sekurang-kurangnya begitulah yang kami dengar.

Semasa mula-mula Sukairi datang kepada kami dengan idea untuk mengumpul seramai mungkin ahli catan dan menghasilkan sesuatu yang baru dalam arena seni negara, kami berat hati untuk berkerjasama kerana masa yang diperuntukan amat singkat.

Sukairi mahukan semua persiapan hingga ke pelaksanaan program tersebut mesti siap dalam masa sebulan.

Ini tentu saja sesuatu yang mustahil.

Namun demi setiakawan dan sedikit bebal, kami pun setuju. Maka bermulalah episod duka seperti mana-mana acara yang kami rancangkan.

Perkara utama ialah: siapakah yang akan membiayai program tersebut?

Kami memerlukan sekurang-kurangnya RM10,000 jika mahu ia berjalan lancar, kerana dianggarkan 100 orang pengkarya akan mengambil bahagian.

Mulanya kami mengharapkan sedikit dana daripada Balai Seni Negara serta mungkin tajaan beberapa syarikat swasta. Namun kerana program itu perlu diadakan dalam masa agak singkat, semua pihak yang kami temui tidak dapat memberi komitmen kewangan.

Ada sedikit modal

Cuma Balai Seni Negara berjanji akan memberikan tempat pameran, jamuan ringan serta bahan cetak/promosi. Itu tentu sedikit melegakan.

Namun untuk sampai kepada pameran, kami masih perlu mengumpul para karyawan di Ulu Dong di Raub. Untuk itu kami masih memerlukan dana bagi membiayai tempat tinggal serta makan dan minum peserta selama tiga hari di sana.

Pelukis Najihah Lee Abdullah menyarankan supaya kami mengadakan lelongan lukisan untuk mengisi tabung. Beliau sendiri sudi untuk membekalkan empat keping lukisannya untuk tujuan itu.

Alhamdulillah keempat-empat lukisan itu terjual dan kami pun beroleh sedikit modal.

Perlu diingat bahawa program itu bukanlah program yang bermatlamatkan keuntungan. Kami mengadakan program berkenaan hanya untuk memeriahkan acara seni catan dalam negara.

Seperti mana-mana aktivis masyarakat, kamilah yang menanggung batunya.

Setelah itu, kami pun mengadakan lawatan ke tapak program iaitu di Ulu Dong seperti yang dinyatakan.

Dua lawatan diadakan dan antara tempat dikenal pasti sebagai kawasan menarik di Ulu Dong ialah Galeri Long milik pelukis terkenal Ismadi Salehuddin, Zamri Agrofarm (ladang tanaman durian musang king yang amat cantik), Chalet Pak Akob di Lubuk Semak serta kawasan air terjun Lata Jarum.

Tidak dilupakan juga kawasan rumah tempat pembunuhan Datuk Mazlan Idris oleh trio Mona Fandey, suami serta pembantu mereka itu.

Ada silat, ada menembak

Program yang dirancang mendapat sambutan baik daripada pengkarya serta beberapa universiti awam dan swasta.

Kami mendapat sokongan daripada UiTM Lendu yang diketuai oleh Dr Rosli Zakaria yang datang dengan lebih kurang 10 orang penuntut. Puan Roshaida pula membawa penuntut Kolej Universiti Linton, dan Tengku Hisham Tengku Abdul Rahman (CEO Kolej Universiti Widad) pula datang bersama beberapa penuntut dan pensyarah.

Tengku Hisham banyak membantu Studio Rajawali dalam hal menyediakan kertas kerja serta membentangkannya kerana beliau sangat handsome.

Kami juga amat berterima kasih kepada penduduk kampung Ulu Dong kerana melibatkan diri dalam acara itu. Penduduk kampung menyediakan beberapa juadah yang hampir pupus.

Malangnya kami lupa apakah nama juadah tersebut.

Apa yang kami ingat salah satunya ialah sejenis lepat yang diperbuat daripada sejenis tumbuhan.

Penduduk kampung juga mengadakan pertunjukan silat dan demonstrasi menembak ikan disungai.

Ulu Dong adalah syurga kepada semua dan tentu ianya adalah tanah impian kepada pencinta alam.

Dengan sungai yang masih belum tercemar serta flora dan fauna yang ajaib, ianya menjadi tempat sangat sesuai untuk merehatkan serta memanjakan diri.

Janji nak berhati-hati

Setelah tiga hari mendekati alam dan membuat sketsa, para peserta pun pulang untuk menyiapkan karya bagi tujuan pameran yang dirancang dua bulan selepas itu.

Di situlah bermulanya panik, susah hati, marah dan - jika diizin agama - Sukairi akan mencekik lehernya sendiri apabila kami dihubungi Balai Seni Negara untuk memalumkan bahawa kertas cadangan kami ditolak oleh panel pameran.

Sebabnya?

Nama asal program ini adalah DONG-ISM: Art Bienawe lalu kami dianggap mempermainkan Balai Seni Negara yang kebetulan pada masa sama sedang mengadakan pameran besar KL BIENNALE.

Sebetulnya, langsung tidak ada niat kami untuk memperlekehkan acara besar Balai Seni Negara itu. Nama yang kami pilih ialah sebagai satu ‘kejutan’ untuk menarik perhatian. Sebagai satu gimik. Tidak lebih dari itu.

Kami meminta maaf atas kesilapan kami dan yang bersalah dalam hal ini tentulah kami sendiri kerana mencadangkan nama berkenaan.

Maafkan kami Prof Zulkifli Yusof iaitu ketua panel pemilih pameran Balai Seni Negara. Kami berjanji akan lebih berhati-hati pada masa depan.

Setelah mendapat keputusan itu kami pun berpakat membuat rayuan terus kepada Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Dato Dr Mohamed Najib Dawa. Setelah berbincang kami disarankan supaya menukar nama acara tersebut sebagai DONG-ISM saja.

Hari ini pameran DONG-ISM sedang berlangsung di ruang kreatif Balai Seni Negara sehingga 15 Mei.

Kami dengan rendah diri menjemput semua ke pameran berkenaan untuk menikmati karya-karya yang dihasilkan pelukis terkenal, penuntut serta pensyarah universiri swasta dan awam tempatan.

Oh! Seorang pelukis terkenal dari Filipina juga mengambil bahagian.

Sebetulnya, dalam perancangan awal, beberapa pelukis dari Indonesia juga bersetuju untuk hadir namun seperti yang dinyatakan, kekakangan kewangan membuatkan penyertaan mereka dibatalkan.

Secar peribadi kami menganggap pameran ini sebuah pameran yang berjaya mencapai matlamat asal, manakala karya-karya yang dihasilkan pula terbahagi kepada dua.

Siri penghargaan

Satu ialah kumpulan pelukis yang memang sedia terkenal menghasilkan karya yang bagus, manakala satu lagi adalah mereka mereka yang sedang membina nama dalam lapangan seni catan negara.

Mereka daripada kumpulan kedua ini perlu lebih giat berkarya dan juga sangat perlu untuk bersedia sebelum berani masuk ke mana-mana pameran. Sementelah pula sebuah pameran yang diadakan di ruang Balai Seni Negara.

Jurufoto alam terkenal, Ali Samsul Bahar juga menyumbangkan tiga keping karya yang megembalikan nostalgia kita kepada kalendar kedai emas tahun tahun 70-an dengan siri ‘airgebu’ kegemarannya.

Terima kasih kami ucapkan kepada semua pengkarya yang terlibat, serta penghargaan tidak terhingga kepada Balai Seni Negara dan kakitangan mereka yang sangat membantu dalam merealisasikan acara ini.

Terima kasih juga kepada Kelab Pengiat Seni Rajawali Kuantan atau dikenali juga dengan nama The Outerspace kerana membantu.

Tidak lupa terima kasih ditujukan kepada kumpulan Perupa yang membawa bersama kru TV mereka, tvperupa yang, disiarkan di YouTube.

Juga terima kasih yang teramat sangat kami tujukan kepada pengarca terkenal, Raja Shahriman Raja Azidin yang sudi menjadi tetamu terhormat acara tersebut.

Tahniah kepada Sukairi Shahri dan Najihah Lee Abdullah yang bertungkus-lumus berkerja untuk kejayaan program ini.

Mengikut perangcangan awal, program ini akan diteruskan untuk siri kedua dengan Sungai Lembing dicadangkan sebagai lokasi berikutnya.

Kami memilih SOMBONG-ISM sebagai nama acar berikut dengan ‘memainkan’ perkataan LOMBONG sesuai dengan bandar Sungai Lembing yang terkenal itu.

Jika nama ini tidak dipersetujui oleh para penaja, kami tukar je..

Kami bukan jenis keras kepala melulu. Mempertahankan kejahatan nyata.

Sebelum lupa, selamat mengundi kepada semua dan berhemahlah menyokong partai kesukaan masing-masing. Jangan lakukan apa apa yang mendatangkan masalah kepada negara dan sambutlah kemenangan atau kekalah dan hati terbuka tanpa menyakitkan sesiapa.

Jangan bergaduh kerana partai.


ABDULLAHJONES ialah penulis, penyair, jurufoto, pengembara, pelukis dan seorang ninja yang kejutkan aku kawan, aku sedang bermimpi, kejutkan aku yang sengsara dalam sepi.

Rencana ini tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS