Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya ulangi lagi ayat yang saya tulis minggu lalu.

Jelas. Semakin jelas pada pagi 10 Mei 2018 - Pakatan Harapan akan menubuhkan sebuah kerajaan baru menggantikan kerajaan Najib-Rosmah dan konco-konco dalam Barisan Nasional.

Kecuali ditipu. Kecuali disabotaj.

Penipuan dan sabotaj telah berjalan berbulan-bulan. Saya tidak perlu melakar perkara yang sama. Umum - anak semua bangsa, bangsa semua agama - telah tahu perkara penipuan ini.

Dari persempadan semula, peralihan pengundi, penambahan pengundi, undi awal, undi pos dan, dan, dan. Semua ini adalah jenis dakwaan penipuan yang telah dijalankan secara rasmi. Secara tersusun.

Justeru, abang, adik dan kakak, jangan lupa dengan si minah yang bernama Fatimah Ismail. Di mana agaknya 900 ekor si Fatimah ini akan mengundi? Pelik lagi benar inilah hakikat pilih raya di Malaysia kita ini.

Siapa Fatimah ini dan hantu mana yang akan muncul sebagai Fatimah tidaklah saya dapat meramalkan. Saya hanya berani berkata walhulaam bisawab.

Walaupun ada Fatimah. Walau pun ada hantu muncul mengundi. Walau pun ada yang hilang nama. Walau pun ada yang gagal mengundi, yakinlah pada esok kemenangan masih jelas dalam tangan Pakatan.

Menafikan fakta ini adalah menafikan bahawa air laut itu masin. Menafikan fakta kekuatan sokongan rakyat terhadap Pakatan sama seperti menafikan Saloma dan P Ramlee adalah suami isteri.

PRU14 kali bukan tsunami Cina. Ini bukan apa lagi Cina mau?. Ini bukan apa lagi India mau. Ini bukan lagi Melayu takut berubah tanpa Ketuanan Melayu.

PRU14 adalah tsunami anak semua bangsa - bangsa semua agama. Tsunami ini berniat, bertekad dan berakidah untuk menghumbankan Najib-Rosmah ke dalam tong sampah sejarah. Kecuali ditipu. Kecuali disabotaj. Kecuali. Kecuali. Kecuali.

Lalu persoalan timbul. Kenapa dimunculkan kecuali ditipu. Kecuali disabotaj.

Kecuali ini muncul dari pengalaman. Kecuali ini bukan muncul dengan tidak sengaja. Kecuali ini memiliki sejarah dan fakta. Kecuali ini bukan kecuali sewenang-wenang.

Belum pun Rabu sampai - ketika mengundi pos dijalankan - kita telah terbaca berita dakwaan seorang anggota polis yang tidak dapat mengundi. Ada ‘malaun’ lain yang lebih awal telah datang menggunakan nama si polan ini. Ini bukan berita palsu. Fakta laporan polis telah tersebar luas.

Ini satu kecuali yang kita tahu. Berapa ratus ribu kecuali yang lain yang kita tidak tahu. Malah pada Rabu esok, kecuali ini akan menjadi lumrah. Kecuali ini bukan satu yang ‘rare’ - satu yang ganjil. Satu yang di luar jangkaan.

Pada Rabu esok, kecuali ini akan menjadi pendekatan yang akan digunakan untuk memastikan Pakatan Harapan gagal ke Putrajaya.

Abang, adik kakak - ingat tidak dengan PRU13. Ingatkan kembali dakwat kekal kecuali dakwat itu dikatakan tidak kekal. Berapa puluh ribu agaknya undi dua kali telah dijalankan kerana dakwat dikatakan tidak kekal. Tidak ada siapa yang tahu. Kecuali… Pakatan berkuasa di Putrajaya.

Sayugia diingati kembali kisah lampu padam ketika undi dikira. Tetiba tak ada kuasa elektrik. Tetiba peti baru sampai. Tetiba, tertiba... kecuali kita tahu apa makna lampu padam. Tetiba borang 14 hilang… kecuali kita semua telah bersedia untuk menangani semua ini.


Baca: SPR: Gambar 'black out' hari mengundi fitnah, lakonan


Hakikatnya dalam PRU13 - Pakatan Rakyat telah menang dengan mendapat 52% undi popular - termasuk dari Sabah dan Sarawak. Kecuali ditipu. Maka Pakatan Rakyat telah dinafikan Putrajaya. Apakah ini akan berulang… kecuali kita bersedia.

Saya telah mengikuti Jelajah Harapan. Jelajah adalah ceramah besar yang kesemua atau hampir semua empat pemimpin tertinggi Pakatan akan hadir sama. Melaka - di Alor Gajah, Perak di Taiping, Pulau Pinang di Padang Kota, Kedah di Gua Chempedak, Negeri Sembilan di Seremban, Perlis di Utan Aji, Johor di Pasir Gudang, Kelantan di Bachok, Terengganu di Dungun, Pahang di Kuantan dan ditutup kembali di Melaka.

Puluhan ribu warga yang datang. Puluhan ribu anak semua bangsa yang datang menjenguk mendengar. Saya yakin ramai antara mereka - kerana terlalu ramai - tidak dapat mendengar buah butir yang diucapkan oleh pucuk pimpinan Pakatan.

Tapi yang penting ialah mereka hadir. Tubuh badan mereka sama berasak-asak di padang atau di jalan raya. Kehadiran rakyat biasa, kehadiran orang biasa ini adalah tanda bersetiakawan dan menunjukkan sokongan mereka kepada Pakatan.

Semua menyimpan niat pada petang Rabu esok sebuah kerajaan baru akan wujud. Pada hari Khamis dan Jumaat - seluruh negara telah diberi cuti. Ini kenyataan dari Mahathir Muhamad - Pengerusi Pakatan Harapan dan juga Perdana Menteri baru Malaysia. Kecuali….

Kecuali… penipuan muncul kerana selama 60 tahun ini kita tidak pernah ada pengalaman bertukar kerajaan. Selama 60 tahun ini kita hanya dikawal oleh United Malays National Organistion.

Parti Ketuanan Melayu ini adalah hegemoni - kuasa besar - yang selama 60 tahun ini telah berkuasa. Berkuasa dengan kuasa yang melebih kuasa sehinggakan kita tidak tahu di mana kuasa gerombolan bermula dan di mana kuasa ini akan berakhir.

Segala bentuk kecuali telah dilakukan oleh gerombolan Ketuanan Melayu ini. Segala bentuk kekuasaan telah dijalankan oleh gerombolan Ketuanan Melayu ini dengan kerja sama konco-konconya.

Rompakan demi rompakan. Penjarahan demi penjarahan telah dijalankan. Segala bentuk kejahatan telah dilakukan. Semua dilakukan tanpa dakwa-dakwi. Semua dilakukan secara terbuka di hadapan mata 28 juta anak semua bangsa.

Kerana begitu lama berkuasa. Kerajaan tidak pernah ditukar ganti. Maka telah lahir satu budaya orang ramai cuba ditakut-takutkan hanya dengan menyatakan bahawa negara Malaysia tanpa gerombolan Ketuanan Melayu akan lingkup dan hancur.

Bani Melayu dikatakan tanpa parti Ketuanan Melayu akan hilang lenyap dari dunia ini. Kalau pun Hang Tuah dan Hang Jebat muncul sekali lagi - Bani Melayu tidak akan dapat diselamatkan. Tanpa United Malays National Organisatioan maka Bani Melayu akan mati - kehilangan punca oksigen. Ini naratif rahai yang telah dijual… kecuali. Amin.

Parlimen dan Perlembagaan bukan lagi rujukan. Kuasa telah mengambil alih segala-galanya. Malah Najib dengan falsafah - cash is king, duit itu raja - telah dan sedang menyediakan Tanah Melayu ini untuk menjadi tanah jajahan China Merah. Kecuali….

Kecuali… pada Rabu ini anak semua bangsa bersedia, berwaspada untuk berjuang merebut kemenangan.

Projek Najib dengan Cina Merah akan digagalkan. Projek parti cukong MCA dengan China Merah akan digagalkan. Kecuali… kita tidak memahami betapa bahaya besar yang akan dibawa oleh China Merah. Kecuali.. kita tidak sedar bahaya ini sedang berada di hadapan pintu rumah kita.

Mengambil alih kerajaan dari Najib bermakna Pakatan berjaya menyelamatkan Tanah Melayu kita ini dari jatuh ke tangan China Merah. Kemenangan Rabu ini bermakna Tanah Melayu dapat diselamatkan dari menjadi provinsi China Merah.

Menyelamatkan Tanah Melayu dari China Merah sebenarnya adalah inti pati PRU14. China Merah adalah latar belakang PRU14. China Merah sentiasa bersedia untuk menjamin dan mendukung Najib dan MCA sebagai agen hartanah yang akan menggadaikan Tanah Melayu.

Pertempuran Pakatan dengan Barisan sebenarnya dikatakan pertempuran untuk menyelamatkan Tanah Melayu dari menjadi tanah jajahan China Merah. Ini juga adalah isi ceramah kempen jelajah dari Pakatan Harapan.

China Merah disebut di sana sini. Ada yang menyebut China Komunis. Tapi hakikatnya semua tahu negara makna yang dimaksudkan.

Peranan China Merah diterangkan. Malah ceramah jelajah membawa pencerahan tentang peranan China Merah. Tentang agenda China Merah terhadap Tanah Melayu.

Fakta ini ramai yang tidak sedar. Ramai yang tidak faham... kecuali…

Kecuali… cuba kita membuka mata. Lihat kain rentang BN. Ada nama syarikat China Merah tertera sama. Ini memberi makna, memberi implikasi bahawa kain rentang ini ditaja oleh syarikat China Merah. Jika tidak menaja kenapa nama syarikat China Merah ini perlu atau wajib ada ditulis sama dalam kain rentang. Apa pentingnya syarikat China Merah ini?

Apakah syarikat China Merah ini tidak sensitif terhadap perasaan ahli Parti Ketuanan Melayu? Kecuali… semua ahli parti telah lok lak.. telah mabuk syabu.. telah mabuk ice hingga tidak lagi faham akan tanda tanda ini. Wahahhu alam.

Berani berjuang dan berani menang adalah akan menjadi laungan kosong. Sama seperti melaungkan - lawan tetap lawan - lawan sampai menang. Ia juga akan menjadi laungan kosong kerana laungan ini tidak memiliki apa-apa cadangan. Kecuali…

Kecuali pada Rabu esok semua penyokong Pakatan Harapan telah bersedia. Mereka melaungkan - berani berjuang berani menang. Dan tahu bagaimana untuk menang.

Wajib kita semua bersedia untuk memerhatikan akan perangai, kelakuan dan lenggok Suruhan Pilihan Raya. Pasti akan ada kerenah baru yang akan dimunculkan. Pasti ada peraturan baru, undang undang baru yang dimunculkan di saat akhir untuk menyusah dan untuk menghalang pengundi Pakatan mengundi.

Kita perhatikan dengan badan tegak berdiri siap siaga kecuali SPR membuat projek penipuan yang besar. Kita perhatian dengan dada terbuka kecuali…..apa lagi yang SPR akan buat.

Ramai berani berjuang. Tapi gagal merampas kemenangan kecuali… kali ini pemimpin Pakatan Harapan dengan jelas tahu arah mana lenggok Najib.

Ke mana lenggok Najib mengarah ke sana Pakatan Harapan akan sampai. Ke mana lenggok Najib menjalar ke sana orang ramai akan menunggu. Sebanyak 28 juta mata sedang memerhatikan Najib kecuali...

Membaca tulisan saya ini adalah membaca sejarah yang sedang dilakar. Pada Rabu esok kita bukan lagi membaca sejarah. Kita bersama membuat sejarah menubuhkan kerajaan baru. Kecuali ditipu. Kecuali disabotaj. Selamat mengundi. Selamat datang kerajaan baru.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS