Paling Popular
Terkini

Meletakkan tuhan di atas segalanya termasuk dalam tuntutan beragama. Apa pun yang kita lakukan, ia hendaklah berada di bawah keredaan Allah.

Mencari jalan agar mendapat reda-Nya menjadi tugas paling hakiki semua manusia.

Setelah selesai segala amalan yang mesti ditaati oleh semua yang mengaku Islam - seperti sembahyang, puasa, zakat, dan haji - maka tugas meneruskan hidup juga harus berlandaskan apa yang dibenarkan agama.

Tiga tahun setelah pameran Awal Hurouf Asal Hurouf yang mengubah landskap seni khat kontemporari, Husin Hourmain kembali dengan karya-karya yang diberi judul Aku: Dalam Mencari Rukun.

Rukun dalam beriman itu ialah percaya kepada Allah, percaya kepada para malaikat, percaya kepada rasul, percaya kepada kitab, percaya kepada hari pembalasan dan juga percaya kepada untung baik dan untung sebaliknya.

Inilah yang dijadikan oleh Husin sebagai asas kepada semua karya yang dihasilkan untuk pameran tunggal beliau yang sedang berlangsung di Balai Seni Negara dengan kerjasama Core Design Gallery.

Untuk makluman, Balai Seni Negara kini giat mengadakan pameran kerjasama dengan galeri-galeri swasta. Tentu ini satu perkembangan yang baik.

Isteri mentaati suami

Dalam karya yang berjudul Korban Ibrahim, Hajar, Ismail: Telaga Zamzam, Husin cuba mengambarkan Tanah Suci Mekah sebelum pembinaan semula Kaabah oleh Nabi Ibrahim AS.

Ianya digambarkan sebagai tanah kontang tanpa apa-apa bangunan kecuali dihiasi bukit Safa dan Marwah di kiri dan kanannya

Kita seolah-olah dibawa melihat sendiri bagaimana Siti Hawa berlari-lari mencari air buat menghilangkan dahaga anaknya, Ismail.

Kisah Ibrahim, Siti Hajar serta Ismail berpusat kepada sebuah ketaatan. Ia bercerita mengenai bagaimana seorang isteri yang baru melahirkan anak mentaati suaminya apabila dia ditinggalkan di tanah yang langsung tidak ada sebarang sumber kehidupan, bahkan ianya adalah tempat yang punya segala macam sebab untuk kematian.

Mulanya Siti Hajar juga berkeluh-kesah namun apabila beliau bertanya kepada Ibrahim, apakah yang dilakukan itu perintah Allah atau bukan, dan dijawab benar, maka berserahlah wanita itu sepenuhnya kepada Yang Maha Kuasa.

Begitu juga dengan Ibrahim sendiri. Setelah menunggu lama untuk beroleh seorang anak, dan sedang bergembira meraikannya, baginda diperintahkan membawa keluarga ke padang tandus dan meninggalkan mereka di sana.

Isteri dan anak tidak mungkin dapat mendalami kesedihan seorang bapa yang perlu berpisah dengan keluarga atas apa sebab sekali pun, namun apabila kita setuju bahawa perintah Allah adalah atas segalanya, maka kehidupan seharian kita akan lebih terurus.

Walau dengan berat hati, Ibrahim meninggalkan anak serta isterinya di 'tangan' Allah. Beliau yakin kejayaan semua manusia adalah semasa mentaati perintah-Nya.

Iman jadi pemisah

Begitu pula dengan baginda Ismail yang sedia menghulurkan lehernya untuk disembelih oleh bapa sendiri demi mentaati perintah tuhan Yang Maha Mulia.

Ketaatan kesemua mereka ini dibalas dengan tanah yang kering-kontang itu akhirnya menjadi tumpuan manusia Islam dari seluruh dunia, dan tentu sekali balasan paling manis dalam mentaati perintah Allah ialah mendapat reda-Nya.

Apabila hal ini dibicarakan kepada orang yang melihat ketaatan sebegini sebagai kebodohan, maka yang menjadi pemisah antara keduanya ialah iman.

Husin memilih jalan agama dalam berkarya, lalu ia seharusnya diraikan oleh semua kerana agama semestinya mengajar perkara yang baik.

Benar, ada sebahagian kita yang ekstrem mentafsir ayat-ayat tuhan seperti yang berlaku di Surabaya baru-baru ini, dan juga betapa dengan tenangnya Israel membunuh puluhan rakyat Palestin atas nama agama.

Begitu juga partai Bharatiya Janata Party (BJP) di India sana yang menggunakan agama Hindu bagi meraih sokongan dan pada masa sama memangsakan umat Islam di tanah yang pernah lama diterangi cahaya Iman suatu masa dulu.

Namun ini semua tidak harus dijadikan sebab mengapa kita saling bermusuhan semasa mempertahankan agama yang kita anuti.

Berdoalah agar segala permusuhan yang diteraskan kepada agama akan segera hancur dan kita kemudian disibukkan dengan usaha untuk kembali kepada tuhan dalam keadaan sepertimana kita dilahirkan.

Sketsa sebelum kanvas

Islam telah lama dikenal sebagai agama yang tidak memaksa sesiapa pun masuk ke dalamnya. Semua orang bebas untuk beribadat dalam semua negara yang menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai pegangan.

Memang terdapat segelintir penganut agama yang merasakan mereka lebih suci berbanding orang lain. Cuma kita tidak mahu terikut-ikut dalam fahaman yang mengelirukan ini.

Untuk memahami sesebuah karya yang "anak aku pun boleh buat" seperti dihasilkan oleh Husin, kita seharusnya meneliti proses yang dilalui oleh pengkaryanya.

Dalam pameran itu disertakan sekelian banyak sketsa yang dihasilkan oleh Husin sebelum ianya diterjemah pada kanvas.

Semua seniman meluahkan isi hati mereka ke dalam karya. Dan menurut Husin, hanya karya yang datang dari hati akan menyentuh hati yang lain.

Kata Husin, sketsa teramat penting dan beliau mengambil masa lebih kurang setahun membuat beratus-ratus sketsa sebelum mula berkarya di atas kanvas.

Melalui karya Kalimah-kalimah: Syurga dan Neraka ia digambarkan sangat tipikal dengan syurga diwarnakan putih manakala neraka dihitamkan. Namun masih terdapat elemen dari karya musim Awal Hurouf Asal Hurouf, kecuali terdapat kedewasaan dalam karya terbaru ini.

Husin kini tidak lagi jadi terikat dengan pembatasan warna seperti karya sebelum ini yang tampak seperti amat manis.

Seniman sentiasa menghadapi masalah sama ada mahu hanya taat dalam berseni atau menghasilkan karya-karya yang memikat umum.

Husin melalui keduanya dan beliau kini kelihatan lebih tenang menghasilkan karya yang datang terus dari kalbu.

Kumpulan karya terbaru ini dilihat lebih cenderung dihasilkan mengunakan warna-warna membumi. Walaupun kusam tetapi ianya membangkitkan suatu perasan kagum, kecuali warna biru yang menyerlah dalam karya Korban Ibrahim.

Jangan jadi punca masalah

Hampir kesemua karya dihasilkan dengan warna putih hitam, sedikit merah dan diserikan dengan warna bitumen.

Karya-karya kali ini juga dihiasi dengan begitu banyak kiub yang menurut Husin adalah mewakili Kaabah.

Walau bagaimana bertelingkah pun fahaman kita mengenai ayat dan hadis, apabila tiba waktu menunaikan solat, semua umat Islam menghalakan diri ke arah Kaabah di Mekah. Ini menurut Husin adalah gambaran kesatuan umat Islam.

Ini hal yang sepatutnya membawa kepada pemikiran bahawa kita yang setuju bahawa Allah itu berkuasa atas segala sesuatu, wajib meninggalkan perbezaan dan dengan tekun harus berusaha untuk menjadi seorang muslim yang membawa untung kepada semua manusia seluruh alam.

Kita tidak lagi mahu dilihat sebagai punca segala masalah yang melanda dunia.

Bermula detik ini, kita pertama-tama hendaklah mentaati seluruh perintah-Nya menurut contoh yang ditunjukkan oleh junjungan mulia Nabi Muhammad (selawat dan salam kepada baginda dan keluarga serta mereka yang mengikut baginda dengan benar).

Tidak ada sebarang yang baik kecuali menjalani hidup sebagai seorang Islam dan berada di landasan agama ketika kita mengakui agama ini sebagai benar dan jalan paling senang mencapai kejayaan.

Tahniah kami ucapkan kepada Husin Hourmain atas berlangsungnya pameran Aku: Dalam Mencari Rukun yang menurut kami benar-benar parut dilawati semua golongan.

Kami hanya memaparkan sebahagian daripada 15 keping karya yang dihasilkan Husin sebagai dorongan kepada anda untuk datang melihat sendiri karya-karya hebat ini.

Kita mempunyai seniman yang ulung dan kita sendiri yang bertanggungjawab untuk menghargainya.

Selamat menyambut Ramadan yang mulia kepada semua. Semoga Ramadan kali ini adalah lebih baik dari yang telah berlalu.

Kami memohon ampun atas segala kesilapan dalam tulisan di sini dan juga kesalahan di dunia nyata kepada semua yang merasa dilukai.

Ampunkan kami, maafkan kami.


ABDULLAHJONES seorang penulis, penyair, pengembara, jurufoto, ninja, serta seorang pelukis kelas dua dalam gred C.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS