Kolum Malaysiakini

'Sumpahan' pada Melayu Islam

Abdullahjones  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Yang memporak-perandakan negara selama ini ialah orang Melayu yang Islam. Atau itulah sekurang-kurangnya sentimen yang luas apabila kita mengikuti perkembangan setelah PRU14.

Mungkin juga sebenarnya inilah kepercayaan yang dipahat sekian lama dalam diri sebahagian rakyat dalam negara yang baru keluar dari tekanan ini.

Hal ini jelas jika kita mahu melihat betapa bencinya sesetengah orang yang lantang bersuara selepas mendapat apa yang dikatakan sebagai kebebasan bersuara.

Mungkin ada betulnya kata rakan kami, Si Aloy, bahawa kebebasan bersuara ini perlu ada batasnya, kerana jika dibiarkan semua orang bodoh akan berasa berhak untuk menyatakan pendirian sebaik saja sesuatu itu dirasakan tidak sekata dengan isi hati mereka.

Mereka mahu apa yang mereka mahu tetapi mereka tidak peduli hati orang lain yang mereka lukai.

Ada kajian mengatakan bahawa mereka yang menyertai kumpulan militan bertopengkan Islam adalah terdiri daripada orang yang bosan dengan tekanan serta ejekan semasa mengamalkan apa yang mereka yakini benar.

Siapa pun yang jika saban hari dimomokkan sebagai jahat akan lambat laun bangkit untuk membuktikan betapa benarnya kata-kata jahat daripada mereka yang tidak berhati perut itu.

Orang Islam selamanya dibebankan untuk memberi bukti bahawa mereka bukanlah sejahat yang disangka.

Jadi manusia pendendam

Berbuih mulut menerangkan bahawa kita ini sama saja seperti orang lain yang inginkan kehidupan damai. Mahu hidup dengan aman dan tidak langsung mahu mengganggu sesiapa sahaja.

Belajar setinggi mana sekali pun, selagi kamu - yang beragama Islam - tidak boleh duduk bersantai sambil minum arak misalnya, maka orang Islam "will amount to nothing."

Kerana apa? Kerana orang Melayu Islam di tanah ini kononnya kolot dan mendapat tempat untuk belajar lebih tinggi hanya kerana dasar yang mengutamakan mereka, sambil menekan bangsa lain yang sedang menderita kemiskinan walau pun mereka sebenarnya adalah suatu bangsa yang dilahirkan genius.

Kita melaungkan kata kononnya kita ini anak semua bangsa dan bangsa semua agama, tetapi apabila melibatkan orang Islam, kita jadi lupa diri.

Kita jadi mabuk darah. Kita jadi satu kumpulan manusia yang berdendam dan yang paling 'keji' ialah orang Melayu yang berani mengamalkan agama mereka dalam negara baru ini.

Kesengsaraan bangsa lain di negara harus diberi perhatian khas kerana kononnya mereka akan sentiasa berasa malang selama mana orang Melayu Islam memegang jawatan.

Untuk mengubah suatu pegangan yang sekian lama subur dalam sanubari bukanlah kerja mudah.

Berpuluh-puluh tahun kita diajar bahawa sesuatu bangsa itu lebih tinggi dari bangsa lain. Betapa kita ini ditekankan bahawa kemajuan satu satu manusia itu lahir bersama datuk nenek mereka.

Malang benar kiranya kamu dilahirkan dari satu bangsa yang bodoh dan selalu mengharapkan bantuan. Dan dalam kes di Malaya ini, ia adalah bangsa Melayu yang Islam.

Selamanya kamu perlu membawa bukti bahawa kamu adalah manusia sama seperti yang lain - yang tidak mahu dihina, yang mahu anak anak mereka membesar dan jadi manusia, yang tidak suka bergaduh, tidak suka menuduh dan sedia menerima siapa sahaja yang diyakini akan membawa perubahan setelah dibodohkan sekumpulan manusia tidak sampai satu bulan lalu.

Bimbang dikafirkan dari agama

Setelah keluar dari kebodohan itu, kamu dituduh pula sebagai batu yang perlu digalas.

Bilakah bangsa subsidi ini akan menang? Jawapannya ialah: tidak mungkin dalam sejuta tahun sekiranya permusuhan dan kecuriagaan ke atas bangsa Melayu Islam ini berterusan.

Kita keluar dari satu pemerintahan yang didakwa memusnahkan, namun sifat permusuhan yang kita tunjukkan kepada rejim dulu, kini mula kembali. Malah kali ini ianya lebih ketara menghala kepada mereka yang beragama Islam.

Benih ekstremisme lama disemai di negara ini. Kita jangan jadi petani yang membaja pokok ketaasuban kerana kitalah nanti yang akan menuai buahnya.

Sebelum ini kita melaungkan betapa semua bangsa yang adil berhak mendapat kesaksamaan di negara baru ini namun apabila satu jawatan itu diberikan kepada seseorang yang didapati cenderung dalam sesuatu agama, kita jadi nanar dan tak keruan.

Kita jadi satu kumpulan manusia yang takut pada bayang-bayang. Bimbang nanti sedikit demi sedikit negara ini jadi milik orang Islam. Bimbang anak kita dikafirkan dari agama kita.

Kita sepatutnya bangun (dan melempar mikrofon) dan bersuara keras menentang apabila mereka yang dicurigai amanahnya - dek kerana kes rasuah sebelum ini - dilantik menduduki jawatan tinggi.

Semua mereka yang dilantik kejawatan untuk memakmurkan negara adalah tidak maksum. Kami tahu hal itu. Selama mana mereka melakukan tugas dengan betul, maka selama itulah kita sokong tanpa mengira apa pegangan agama mereka.

Kita wajib memastikan bahawa kepentingan kita sebagai rakyat sentiasa menjadi keutamaan mereka.

Jangan dabik dada saja

Jika mereka mula memakai jam tangan mahal, misalnya, atau mula berani bermewah-mewah tanpa rasa bersalah, maka kita sebagai rakyat hendaklah menolak mereka.

Ini akan menjadikan mereka lebih berhati-hati dalam menjalankan tugas membentuk negara.

Kasih sayang dan ketaatan tidak perlu kepada penafian hak kita sebagai rakyat. Kita tidak mahu jadi penyokong memberi sokongan hanya kerana warna kulit dan pegangan agama.

Perbuatan membidas kaum atau agama hanya kerana kesalahan sekumpulan kecil hendaklah dirhentikan jika kita mahu maju sebagai sebuah negara demokrasi sebenar.

Mengapa apabila hal-hal agama atau ada orang dilihat cenderung kepada Islam, kita mesti membuktikan bahawa kita ini cintakan keamanan?

Mari berhenti daripada menjadi golongan yang saban hari mendabik dada mengaku bangsa berhemah namun jadi teramat takut apabila ia melibatkan Islam.

Kami tidak mahu berbicara lagi betapa pentingnya negara ini disatukan dalam bahasa kerana itu sudah dinyatakan dalam tulisan lalu.

Selain isu Islam, mengapa ada ketakutan yang teramat sangat apabila bahasa Melayu dituntut sebagai bahasa semua bangsa di negara ini?


ABDULLAHJONES seorang penulis, penyair, pelukis, jurufoto dan juga seorang ninja yang belas hati.

Rencana ini tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.