Paling Popular
Terkini

Min, jika putus katamu ingin pergi
bawa matahari bersamamu
aku tidak lagi perlu cahaya.

"Kita kenal masa kita berumur 15 tahun...," kata Min kepada kami dengan nada yang amat luka.

Kamu perlu baca tulisan ini untuk tahu mengapa.

Min ialah satu watak yang agak popular dalam beberapa siri tulisan kami dan di atas sana adalah beberapa bait yang disukai ramai mengenai Min.

Mungkin kamu mula mengenali tulisan kami di sini, namun sebenarnya kami menulis sejak lama dulu. Kami ada empat buah buku - walaupun tak laku - dan ia menjadi bukti bahawa kami ada juga buku yang diterbitkan.

Selain itu kami ada menulis dalam beberapa portal yang telah lupus. Ia juga menjadi saksi betapa kami ini penulis yang telah lama.

Ketika dibekalkan dengan banyak masa yang terluang lama dulu kami pun mula menulis. Awalnya yang catatan pendek yang berirama kemudian kepada penulisan blog pada zaman kegemilangan medium itu.

Kami mula sebagai pembaca sebenarnya. Waktu masih di sekolah rendah Mok akan membelikan kami majalah Utusan Pelajar saban minggu. Sementalah pula Mok memang kaki baca.

Lawak tak difahami

Di rumah kami sendiri ada tempat kami panggil "bilik gelap" yang dipenuhi buku peninggalan adik dan abang Mok. Bilik gelap ini kami gelar demikian kerana ianya tidak dihuni sesiapa setelah pak pak saudara kami keluar dan berumahtangga.

Rumah kami antara rumah paling besar di kampung, dan seperti yang diketahui ramai, kami ini keluarga kaya. Semua 18 bilik dihuni kecuali bilik gelap itu.

Di sanalah kami habiskan masa sehinggalah sepupu kami sekeluarga datang menginap bersama kami untuk sementara waktu setelah mereka berpindah ke Malaya apabila Temasik menjadi republik.

Dua daripada sepupu kami ini kemudian belajar di MRSM - tempat pertama kali kami bertemu Min.

Zai kini seorang doktor manakala adiknya, Nur, sekarang menderita penyakit kanser. Mohon didoakan kesihatan buat Nur.

Majalah Reader's Digest menjadi langganan utama pak-pak saudara kami. Kami sendiri sangat suka akan ruangan lelucon dalam majalah tersebut. Laughter Is The Best Medicine, All In A Days Life dan beberapa ruangan kisah kehidupan menjadi kegemaran.

Ini sebenarnya seperti membentuk apa yang dikira sebagai tulisan kami hari ini.

Walaupun ada malang sedikit apabila ‘jenaka’ yang kami utarakan selalunya tidak difahami, namun kami andaikan ini sebagai satu kelemahan kami sendiri sebagai penulis.

Betul kata Min, kami kenal ketika usia kami 15 tahun. Pertama kali melihat Min, kami pun jatuh cinta. Namun tidak ada apa yang berlaku setelah itu.

Bertahun lamanya kami menganggap diri ini sebagai Majnun yang gilakan Laila sedangkan Laila sendiri tidak mengetahui perasaan hati kami.

Ketika itu kami rela mati begitu. kami akibatkan ini kepada sifat pemalu yang teramat sangat, atau - jika kamu mahu - boleh saja kamu katakan yang kami ini penakut.

Kami dibesarkan di sekolah semua pelajarnya lelaki, lalu kami sedikit kekok apabila datang kepada hal-hal bergaul dengan perempuan.

Dan waktu itu apabila diberitahu bahawa setelah berkahwin kamu perlu bertelanjang untuk bersama isteri, kami pun jadi tak keruan kerana malu.

Kami memang dibesarkan berhemah begitu, dan daripada bertelanjang didepan orang, relalah kami sendiri hingga ke mati, kata hati kami waktu itu.

Cerita selepas itu hanya rakan-rakan rapat yang tahu. Atau sebagai gambaran, telah kami tuliskan lama dulu begini bunyinya:

Bukan lelaki namanya
jika jatuh cintanya
sekali cuma...

Kami sudah lupa bait seterusnya, tapi kamu pun tahu ini adalah kebenaran. Mungkin sang feminis tidak suka namun inilah halikikat yang harus diterima semua.

Setelah bertemu Min, kami biarkan impian untuk merasai nikmat mencintai ini subur hanya dalam diri sendiri. Tidak kami sertai dengan salam perkenalan atau apa juga tindakan yang membolehkan kami rapat kepada dia.

Boleh saja kamu katakan bahawa kami ini syok sendiri namun telah kami tuliskan sebuah puisi yang bunyinya begini:

Alangkah indahnya rindu
saling mendamba tidak bertemu
alangkah indahnya jika
rindu hanya kekal begitu.

Atau sekurang-kurangnya itulah baris yang kami ingat.

Rindu ialah nikmat paling asyik yang membuatkan kamu gembira, derita, ketawa dan menangis dalam satu masa. Beritahu kami jika ada lagi kebahagian yang lebih daripada ini.

Penulis yang diingati

Pertama kali melihat dia, kami pun jatuh hati. Min gadis yang tersendiri. Tidak mencuri perhatian dan tidak inginkan tumpuan.

Kami lihat dia dari jauh tanpa sebarang keinginan selain daripada meyakinkan diri bahawa jika apa yang digambarkan sebagai cinta sempurna dan bisa dijelmakan depan mata, maka Min adalah gadisnya.

Mungkin kerana kami ini sedikit lurus maka dalam hati, kami yakin bahawa jika ini adalah sebahagian jiwa, lakukan atau tidak, apa saja, Min pasti menjadi dewi sang pelindung rumahtangga.

Bercakap mengenai lurus, dalam satu tulisan di Utusan Pelajar, kami terbaca mengenai seorang pelajar yang menderitai sakit kurang sel darah putih. Lalu hati kami yang sememang dikenal sebagai amat murni ini pun terasa hiba.

Kami pun mengutus surat kepada penulisnya untuk menyatakan kesedihan kami atas malang yang menimpa dia.

Pada usia 12 tahun apalah yang kami tahu tentang fiksyen dalam menulis. Kemudian dibalas oleh penulisnya bahawa apa yang beliau tulis hanyalah sebuah cerita yang tidak ada benarnya.

Hingga hari ini kami masih ingat nama penulisnya, Rashidah Darus yang ada di alamat No 5 Lorong Alif, Jitra, Kedah.

Jika kamu kenal orangnya, mohon beritahu beliau bahawa beliau adalah orang yang bertanggungjawab membuka mata kami tentang betapa untuk menghiburkan pembaca, mereka-reka cerita adalah dibenarkan (uhuk!).

Sebenarnya tidak ada perkataan yang lebih menusuk kalbu kami daripada perkataan itu, yakni, kita kenal sejak kita berumur 15 tahun, seperti yang diucapkan oleh Min.

Ianya satu ucapan yang menyedarkan, yang membuka suatu kenangan tentang manisnya cinta semasa lewat remaja.

Buku Cina pun jadi

Dengan tahun-tahun seterusnya kami ini dimanja sebegitu rupa hingga kami pun menyangka bahawa apa yang kami terima adalah hak, sedangkan sebenarnya ia diberikan hanya kerana cinta dia kepada kami.

Tidak dapat kami gambarkan betapa bersalahnya kami apabila Min berkata demikian.

Min ini perempuan baik. Suaranya tidak pernah tinggi. Matanya tidak pernah menjeling benci. Lebih banyak diam berbanding berkata-kata. Dan seperti semua perempun sebaik dia, lelakinya ada kekasih yang paling dia cinta, sekurang-kurangnya selama mana tidak dikhianati kasih sayangnya. Sigh.

Dulu jika kamu ingat, tepung, gula, beras dan apa saja apabila dibeli, akan dibungkus dengan beg kertas. Jika kamu mahu tahu, di bawah beg kertas ini akan dilekatkan sebuah buku atau majalah bagi menguatkan dasarnya.

Menjadi kegemaran kami untuk mengoyakkan beg-beg kertas tersebut bagi mendapatkan buku berkenaan. Ada elemen kejutan setiap kali kami membuka beg kertas pembungkus berkenaan.

Ia seperti keterujaan membuka bungkusan hadiah. Walaupun biasanya apa yang didapati adalah majalah-majalah bertulisan Cina namun ada kalanya terdapat juga majalah dan makalah berbahasa Inggeris.

Jarang bertuah untuk mendapat yang berbahasa Melayu. Mungkin waktu itu kurang bahan penerbitan dalam bahasa kebangsaan. Tidak seperti hari ini. Penerbitan bahan bacaan dalam bahasa kebangsaan begitu meluas.

Cuma pembacanya yang kurang. Mungkin kerana ia hanya dibaca oleh orang Melayu dan seperti semua orang tahu Melayu ini amat malas dalam membaca.

Bangsa-bangsa lain di Malaya ini keras membaca buku dalam pelbagai bahasa kecuali yang diterbitan dalam bahasa Melayu. Kerana itu juga, diulangi: empat buku kami tidak laku.

Impiannya adalah nanti apabila buku-buku kami dialih bahasa, mungkin buku buku kami lebih luas capaiannya.

Kini beg kertas cuma tinggal kenangan. Tidak lagi dapat kita lihat seni membungkus dan mengikat bungkusan dengan tali guni.

Masih terbayang di kepala kami bagaimana halusnya perbuatan melipat beg kertas pembungkus dan dengan gerak seperti seorang mahaguru, pekedai dengan sebelah tangan memegang bungkusan manakala sebelas lagi menarik tali guni yang biasanya dibiar sekumpulan berdiri.

Rasa enggan dibenci

Dengan kepakaran seorang ahli seni dia kemudian melilitkan tali-temali berkenaan dengan cekap dan teliti.

Memanglah kata orang hari raya sering membawa kenangan. Hati menjadi sayu, ingatan terbang jauh kepada suatu kehidupan pada masa lalu. Kerana itulah kami membuat tulisan ini.

Kenangan juga adalah apabila pertama kali berhari raya di rumah Min. Memberi salam dan kemudia dijawab bapanya yang - juga seperti Min - begitu baik dan hampir sempurna.

Lelaki itu tinggi orangnya dan lembut tutur katanya.

Kami dijemput masuk dan ditanya-tanya. Kami ini asalnya bukan seorang pecakap. Tidak pandai memulakan bicara. Hanya menjawab apabila ditanya.

Selain makan apabila dipelawa, kami hanya duduk membilang jari selama bertamu buat pertama kali ke rumah itu.


Baca Membenci anjing, mengasihi bodoh


Berlainan hari ini. Tidak ditanya pun kami akan memberi pendapat. Ini untungnya menjadi berusia dan juga berasa telah pandai segala.

Agaknya kamu perlu kembali lagi membaca tulisan di sini untuk cerita selanjutnya, kerana apa yang ada telah agak panjang kali ini.

Bayarannya pula tidak mahal sangat. Jadi cukup sampai di sini. Ada umur, ada rezeki minggu depan kami cerita lagi.

(Kami lari daripada cerita-cerita tentang bangsa dan negara hanya kerana tidak lagi mahu dibenci. Jika kamu ingat, lama dulu ada seorang penulis yang tidak disukai, Astora Jabat namanya. Kami tidak mahu jadi seperti itu. Kami ini ingin dikasihi, kerana itu kami masuk ke drama seperti ini.)

Apa khabar agaknya dia? Semoga beliau lebih bahagia dan aman dalam mencari Tuhan.

Jadi mengapa min terluka - tanya kamu, busybody macam biasa, jenis muka tak malu.

Kami pun jawab dengan bait puisi. Dan kami berasakan yang kamu tidak akan dapati tulisan seromantis ini di tempat lain sepanjang Ramadan kali ini.

Diharapkan Min juga membacanya:

Walau engkau kini membenci
aku tetap cinta kamu
nun ke langit tertinggi dan kembali
setelah mati dan dibangkitkan lagi.
Min,
Wo aini.


ABDULLAHJONES seorang penulis, penyair, pelukis, pengembara, jurufoto dan ninja yang tidak difahami orang atau mungkin juga dia yang tak faham orang.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS