Kolum Malaysiakini

Menonton ulang ‘Sumpah Orang Minyak’

Faisal Tehrani  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Ada sebuah filem Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh atau P Ramlee yang berjudul Sumpah Orang Minyak terbit tahun 1958. Selain membintangi filem ini sebagai bintang utama, beliau turut bertanggungjawab menulis lakon layar Sumpah Orang Minyak. Filem ini membawa tema maruah dan kehormatan manusia yang antara lain turut termuat dalam filem Ibu Mertuaku, dan Antara Dua Darjat.

Filem Sumpah Orang Minyak ini mengisahkan seorang pemuda bernama Bongkok. Beliau cacat dan hodoh. Namun demikian Bongkok mempunyai bakat melukis corak batik. Kebanyakan penghuni kampung kediaman Bongkok, iaitu Tualang Tiga sering mempersenda, menghina dan mendiskriminasinya. Hanya Afidah, iaitu anak penghulu dan Selamat, si penjual kain batik yang membela maruah dan kehormatannya.

Ekoran tidak tahan dengan penindasan dan tekanan, dan tuduhan demi tuduhan palsu, Bongkok melarikan diri. Beliau tersesat ke dalam dunia bunian selama tiga tahun. Di situ beliau diberi kesempatan untuk memilih, dan beliau memilih untuk berwajah kacak. Penghulu Bunian memberi syarat, beliau tidak boleh membunuh manusia. Jika itu berlaku, wajah kacak beliau tidak akan dapat dilihat manusia lagi.

Bongkok menerima syarat tersebut dan kembali ke dunia nyata dan membantu semula Selamat yang perniagaannya merosot sejak ketiadaannya. Beliau juga muncul di satu majlis keramaian dan menggamam ramai orang kerana ketampanannya.

Buyung yang sering menghina Bongkok satu masa dahulu berasa tergugat, apatah lagi melihatkan Afidah cenderung kepada Bongkok. Dalam satu pergaduhan, Bongkok telah membunuh Buyung secara tidak sengaja. Penghulu Bunian telah mengambil semula kekacakan Bongkok.

Plot filem Sumpah Orang Minyak menjadi lebih dramatik apabila syaitan menjelma dan menawarkan bantuan. Sekiranya Bongkok dapat memperkosa 21 wanita dalam masa seminggu, dan menjadikan syaitan sebagai Tuhan, kekacakan Bongkok akan dikembalikan semula.

Untuk itu Bongkok ditampilkan sebagai orang minyak yang berkeliaran di Tualang Tiga dan merogol perempuan. Setelah berlaku huru-hara, Penghulu Bunian datang membantu dengan menangkap orang minyak dan mengurungnya di dalam botol sebagai hukuman.

Plot Sumpah Orang Minyak mengambil kerangka kausaliti yang dikemukakan oleh Aristotle untuk drama tragedi. Ini dapat dilihat pada watak Bongkok yang melakukan kesilapan dalam memilih atau hamartia. Bongkok yang diberi satu peluang untuk memilih di alam bunian, telah memohon untuk menjadi cantik atau kacak.

Apabila diberitakan beliau perlu pulang ke dunia nyata, Bongkok meminta untuk menetap di situ dan memperisterikan puteri bunian akan tetapi permintaannya ditolak. Nasib Bongkok boleh ditelah di saat ia dalam keadaan ragu dan menimbang untuk membuat keputusan:

[Si Bongkok: Ah! Bagaimana hendak terus menjadi cantik (Terus membuka halaman dan terus membaca) bermula dari seorang yang buruk rupanya itu ingin menjadi cantik, maka dia hendaklah mengikut syarat-syarat yang terkalam di bawah ini...mandilah dikau di kolam yang berisi air bahtera Nabi Allah Noh AS. (memikir) air bahtera Nabi Noh AS janganlah kamu menyombong diri, dengki sesama makhluk, dan melakukan pembunuhan sesama manusia...jika kamu ingkari kamu akan binasa...air bahtera Nabi Noh AS air bahtera Nabi Noh AS.]

Bagus, kata syaitan

Penonton telah tersedia mengetahui di saat itu, nasib Bongkok boleh menjadi malang kerana kesilapan atau kecuaian membuat keputusan tersebut atau disebut oleh Aristotle sebagai peripeteia. Bongkok seterusnya menyedari bahawa kesilapan tersebut telah mengakibatkan takdirnya sama sekali bertukar atau dinamai anagnorisis.

Namun demikian tiada lagi daya untuk dirinya berpatah balik melainkan mengharungi pilihan yang akan membawanya kepada kejatuhan. Ini terserlah dalam adegan di mana syaitan datang memujuk Bongkok untuk menerima pelawaan supaya terus kekal kacak dan dapat dilihat manusia.

[Syaitan: Bagus! Syaitan menyambut cincin dari udara dan menghulur cincin ke arah si Bongkok.

Syaitan: Pakailah cincin ini! Supaya kau lebih berkuasa dari segala manusia.]

Nasib malang Bongkok meskipun sempat mengecapi nasib baik buat seketika ternyata melampaui apa yang wajar ia perolehi. Dalam kerangka tragedi yang disuguh Aristotle ia disebut hubris. Adegan ini juga dijadikan sebagai peleraian untuk filem ini yang mana pesanan Penghulu Bunian hadir menyampaikan kata-kata hikmat untuk manusia.

[Penghulu Bunian: Kikiskanlah duka di hati, orang minyak tertangkap sudah, bersyukur dikau kepada Tuhan. (CU Penghulu Bunian) aku ingin meninggal pesan, wahai penduduk Tualang Tiga, (MS Ali dan Rahim) jika menghina sesama makhluk, hilang ria timbul bencana (FS Penghulu Bunian) sekarang dikau tak berpenghulu, sebagai gantinya.

Penghulu Bunian menghampiri Ali dan meraba kepalanya .]

Pemilihan genre tragedi untuk menampilkan watak Bongkok mengandungi matlamat yang besar dan penuh makna. Dalam tragedi, karektor bertanggungjawab memikul tugas moral, iaitu apa nilai yang perlu didokong dan apa pula nilai yang perlu dijauhi.

Justeru audien dapat menelusuri perubahan nasib si Bongkok yang mana maruah dan kehormatannya diinjak, dan bagaimana kesetaraan yang patut diperolehi oleh beliau telah dinafikan oleh penghuni kampung:

[Si Bongkok: Benar Bang Selamat. Orang kampung jijik memandang sifatku, Pondok Burukku dibakar hangus. (MCU Si Bongkok) Pabila esok fajar menyingsing aku pergi jauh. Jauh dari masyarakat cantik.]

Akan tetapi karektor Bongkok tidak ditampilkan hodoh sebegitu sahaja. Penekanan kepada bakat beliau turut dijelmakan. Dalam kerangka hak asasi manusia, bakat atau kualiti seseorang manusia itu mengatasi keadaan atau kedudukan dirinya terlepas dari status, gender, pegangan agama, bangsa atau pun manusia normal atau orang kurang upaya:

[Selamat: Sungguh tak ku sangka, di sebalik sifat cacatmu tersembunyi bakat maha melukis.

Selamat menghampiri Si Bongkok dengan wajah gembira.

Selamat (CONT’D):

Bangga aku setinggi gunung emas.

Zoom in canvas yang memperlihatkan motif lukisan si Bongkok].

Pelukis anugerah Tuhan’

Malahan bakat dan anugerah yang dimiliki Bongkok itu dihargai satu-satunya oleh Selamat yang merujuk Bongkok sebagai ‘pelukis anugerah Tuhan’ . Walau bagaimanapun kebencian terhadap orang cacat mendorong orang Kampung untuk membuli Bongkok sehingga terdapat fitnah dan tuduhan keluarga Bongkok sebagai pembunuh.

Buyung cuba menghasut supaya Bongkok dibunuh, akan tetapi Afidah, anak penghulu mengingatkan keadilan di sisi undang-undang meskipun anjuran Afidah itu ternyata sia-sia:

[Afidah: Itu terlalu kejam bapak. Ringankanlah hukumannya.

Penghulu memandang ke arah orang kampung sambil menenangkan mereka.

Penghulu 1: Bersabarlah anak-anakku. Sabar, dalam soal ini bukanlah si Bongkok yang bersalah tetapi bapaknya. Sebagai penghulu, biarlah ku putuskan dengan saksama.

Penghulu menghampiri Si Bongkok yang membelakangi kamera.

Penghulu 1 (CONT’D): Si Bongkok...Pabila fajar menyingsing besok, pergilah engkau tinggalkan kampung].

Pesan moral yang besar adalah kualiti Bongkok tidak terletak pada rupawan wajahnya. Maruah dan kehormatan manusia dengan itu bukan terletak di kesempurnaan paras fizikal. Sesudah menjadi kacak, Bongkok diingatkan kekacakan bukanlah segala-galanya dan bukanlah merupakan satu status yang lebih dari orang lain. Bongkok juga diingatkan supaya menghormati sesama manusia dan menghindar permusuhan. Dalam Babak 23 di balai rong seri, Penghulu Bunian mengingatkan yang Bongkok tidak boleh melanggar pantang iaitu membunuh manusia:

[Penghulu Bunian: Sampailah sudah saatmu meninggalkan kami. Sebelum kita berpisah (MCU Penghulu Bunian) aku ingin berpesan padamu...dikau tak boleh membunuh sesama manusia .

Seperti yang telah dinyatakan, dengan mengambil plot tragedi, tidaklah menghairankan Bongkok bagaimanapun terlupa syarat dan pantang tersebut. Malah hadir semula ke Tualang Tiga dengan amarah yang gagal dibenam:

Si Bongkok: Tapi kini...aku, dikau sembah-sembah...aku diagung-agungkan sebagai raja...sebab apa? Sebab wajahku tak seburuk dulu. Sebab aku cantik berpakaian indah.

Zoom in wajah Buyung kelihatan menahan dendam. MS Si Bongkok menuding jari ke arah orang kampung.

Si Bongkok (CONT’D): Jujurkah dikau hidup sebagai manusia? (CU orang kampung dan Penghulu II dan MS si Bongkok) Dikau semuanya pengecut! Dikau hanya berani kepada manusia yang lemah].

Dialog di atas hadir adalah pesan moral yang bertujuan untuk menggugah penonton tentang sikap manusia yang melakukan penganiayaan dan penyanjungan mengikut status, atau dalam hal ini keelokan rupa paras. Pesan itu dikukuhkan lagi di saat peleraian tragedi bahawa manusia tidak wajar menindas atau membeza-bezakan kerana ia akan mengakibatkan perseteruan dan bukannya kedamaian, ‘jika menghina sesama makhluk, hilang ria timbul bencana’.

Sama ada P Ramlee sedar atau tidak dengan kandungan hak asasi manusia moden yang terpancar pada tahun 1948 (dalam Piagam Hak Asasi Manusia), iaitu sepuluh tahun sebelum filem Sumpah Orang Minyak ini diterbitkan bukanlah sesuatu yang perlu dipermasalahkan.

Ini kerana tunjang-tunjang hak asasi manusia moden iaitu persaudaraan, kebebasan, kehormatan dan kesetaraan muncul dalam karyanya.

Ini menunjukkan tanpa terminologi hak asasi manusia sekalipun, prinsip hak asasi manusia masih boleh dikemukakan dan menjadi hujah samping bahawa gagasan hak asasi manusia moden itu universal sifatnya.

Pada 29 Mei lalu genaplah 45 tahun PRamlee, legenda dan ikon seni Malaysia meninggalkan kita.

Al-Fatihah.


FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.