Kolum Malaysiakini

Ini adalah belasungkawa

Abdullahjones  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

"Ada wine!" kata Acit demi coklat yang beliau makan pecah di dalam mulutnya. Dia segera membuka cermin tingkap kereta dan meludah keluar.

Hari itu hari Nobi bernikah. Dalam kereta kami ada Acit dan Fadhil, adik Nobi dan juga barang hantaran termasuk satu baki coklat dan cincin yang nantinya akan disarungkan ke jari Azah - bekas pesilat negara yang memenangi hati Nobi.

Baki ini jika kamu mahu tahu ialah dulang tembaga berkaki yang biasa kamu tengok diarak oleh rombongan pengantin.

Dengan sifat nakal masih berbaki (lebihan, bukan dulang tembaga), kami tanpa ada rasa bersalah dengan gelojoh membaham coklat yang dijadikan barang hantaran perkahwinan tersebut.

Bukan semuanya berisi arak dan mungkin semasa membelinya, Nobi tak tahu bahawa mengenai coklat berisi wine tersebut.

Sementara sekarang semua orang dalam mood raya, kami pun kembali kepada kenangan.

Sesat di Kuala Lumpur

Acit dan Nobi ialah rakan sekolah. Kami berkawan rapat sehingga habis sekolah dan membawa ke alam dewasa. Kami saling mengenal sejak berumur tujuh tahun.

Antara kami, Acit yang paling nakal. Jika kamu kenal beliau, kamu akan dapati cara berjalan Acit semasa remaja sangat swag. Tangan dilayang dan pingul digelek. Ada atitude, kata orang sekarang. Kalah Mick Jagger.

Sehabis sekolah Acit terus berkerja sebagai tukang gunting rambut, dan tentu saja kami semua adalah pelanggannya. Namun malang sedikit untuk beliau kerana zaman itu adalah zaman berambut panjang. Maka kami bukanlah pelanggan yang baik.

Azah orang Kuala Lumpur dan sewaktu diberikan alamat dan peta sebagai bekalan ke rumah beliau pada hari yang bersejarah itu, kami yakin akan sampai tepat pada masanya.

Lagipun kami berarak dalam kumpulan. Mustahil akan kesesatan.

Malangnya itulah yang terjadi. Kami 'tercicir' daripada kumpulan rombongan kenderaan dan tersesat jalan. Sementelah pula kampung si Azah itu entah di mana letaknya.

Hingga hari ini kami tidak tahu di bahgian mana Kuala Lumpur kampung si Azah itu.

Yang pasti, hari itu kami sesat masuk ke hulu banat mana entah. Apa yang kami tahu ialah Kampung beliau bukan di tengah-tengah kota raya Kuala Lumpur.

Setelah lama bernakal-nakalan, Acit diperkenalkan kepada Ajak, pemuda beragama yang kacak persis Freddie Mercury - dari kumpulan rock Queen - yang berjanggut dan jika menghisap rokok wajib bersama gula-gula sour plum dipotong dua.

Ajak bersekolah agama namun dari muda lagi kami sudah nampak yang beliau langsung tidak memiliki ciri-ciri yang akan menjadikan beliau seorang ustaz pada hadapan.

Tidak lagi berpaling

Tidak ada rasanya bakal ustaz yang menyembelih kambing tersesat masuk ke kawasan asrama dan memasaknya dalam tandas sekolah.

Kami tahu Ajak membaca tulisan ini kerana jika bertemu, beliau sentiasa memberitahu yang beliau memang pembaca tulisan kami di sini.

"Rajin aok menulis ler ni... bagus laaarrr.. koi baca sokmu," kata beliau kepada kami.

Ada dua orang yang kami kenal bercakap dalam loghat Pahang yang pekat dalam semua keadaan, termasuk semasa berbahasa Inggeris.

Ajak ialah salah seorang daripadanya. Ismadi salehudin - pelukis terkenal itu - ialah yang seorang lagi.

Namun dengan jasa baik Ajaklah Acit mula berubah. Dari sibuk bernakal beliau mula mengamalkan agama dengan lebih baik dan sempat belajar di pondok agama di Pulau Pinang, jika tidak silap ingatan kami.

Kami masih ingat, hari itu petang Sabtu. Wan Saharuddin - jurutera kerajaan yamg tidak makan suap - mengambil Acit di kompleks beli-belah dan dihantar ke Masjid Mat Kilau di Batu Lima.

Ajak juga membawa kami, Abu Yusof, Azlan Shah dan ramai teman kami yang lain mengenal agama dengan lebih baik.

Setelah Sabtu itu, Acit tidak lagi berpaling dan terus-menerus menjadikan agama sebagai kehidupan.

Kami sampai ke rumah pengantin perempuan sekitar jam empat petang. Setelah semua majlis tamat.

Tentu sekali kami dimarahi kerana upacara menyarung cincin terpaksa diganti dengan acara memakaikan rantai leher. Kerana kami lewat, maka rantai leher Mak Ton - ibu Nobi - dijadikan ganti sementara.

Tidak ada rasanya orang yang boleh membuat kuih tepung pelita yang lebih sedap daripada air tangan Mak Ton, dan biasanya pada bulan puasa ialah masa yang paling sibuk buat beliau.

Selamat jalan, sahabat

Kami memang selalu menghabiskan masa di rumah Mak Ton dan jika jualan tepung pelitanya masih bersisa, kamilah yang menghabiskannya.

Mak Ton ialah ibu kepada penyanyi terkenal, Seha, dari kumpulan Freedom yang terkenalan pada tahun-tahun 1980-an.

Mohon dihadiahkan al-Fatihah buat Mak Ton, mak kedua kami itu. Dan juga buat Seha.

Nobi kini seorang usahawan yang sangat berjaya manakala Ajak pula orang bergelar yang menjadikan Paris dan Sstanbul sebagai rumah keduanya.

Beliau masih merokok dengan setengah gula-gula, cuma kini sour plum diganti dengan Hacks. Mungkin kerana sour plum sekarang sukar didapati.

Kami juga berharap Ajak tidak lagi mencukur janggutnya kerana beliau kelihatan lebih kacak dengan janggut itu.

Fadhil adik kepada Nobi yang juga pengasas kepada kumpulan mat rempit yang paling berpengaruh di malaya, yakni kumpulan asama. Beliau kini mengusahakan sebuah restoran dan masih aktif dengan motosikal.

Mungkin Fadhil tidak setuju digelar sebagai mat rempit, dan kami setuju dengan beliau kerana terdapat banyak perbezaan antara mat rempit sekarang dengan mat rempit pada masa lalu.

Azah juga adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya. Kami percaya adakalanya Nobi disilatkan oleh beliau. Itulah, bahana berkahwin dengan bekas pesilat negara.

Wan Saharuddin kini mengusahakan jualan lemang secara kecil-kecilan dan - cocok dengan kerjayanya yang lalu - lemang beliau dimasak dalam besi, bukan buluh seperti lazimnya.

Beliau juga pengiat seni gendang Pahang yang aktif bersama kumpulan Anak Kayan pimpinan Man Kayan yang omeh itu.

Abu Yusof bersama kami di Studio Rajawali manakala Azlan Shah kini penjual buku-buku agama dan juga kasut kesihatan. Beliau telah lebih seratus tahun tinggal di Kuala Lumpur.

Acit agak terkenal di bandar kami, terutama kepada mereka yang rajin berulang-alik ke masjid kerana beliau berniaga di masjid-masjid dan surau, juga apabila ada rancang kuliah agama di mana mana. Beliau berjualan pakaian dan juga makanan.

Oh! Beliau juga orang yang bertanggungjawab menjual jilid pertama buku Permata Yang Hilang yang terkenal itu.

Acit ini manis mulut orangnya. Selayaknyalah beliau menjadi ahli niaga.

"Acit dah pergi pukul 12 tadi," kata Abu Yusof melalui pesanan telefon pada 12 Jun 2018.

Kami membaca pesanan itu beberapa jam selepas ia dihantar dan terlepas peluang menziarahi jenazah sahabat kami itu.

Biarpun kami yakin beliau mendapat keamanan di sisi tuhan - pertama kerana beliau telah masuk ke agama dengan tekun sejak usianya awal 20-an, dan kami yakin beliau diampunkan segala dosa melalui pelbagai penyakit yang ditanggungnya sebelum meninggal dunia - kami mohon didoakan kesejahteraan buat sahabat kami itu.

Selamat jalan sahabat, semoga kita bertemu lagi di tempat yang lebih baik.

Muhammad Rashid Othman, 1964-2018.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis, penyair, jurufoto, pengembara dan seorang ninja yang hiba.