Kolum Malaysiakini

Merakam sejarah: Babak belakang tabir

Hishamuddin Rais  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Apa yang saya rakamkan di sini adalah sebahagian dari babak-babak sejarah 9 Mei 2018. Babak-babak ini saya rakamkan kerana saya terlibat atau saya ketahui secara tuntas. Pasti ada babak-babak lain yang di luar pengetahuan saya.

Maka terpulanglah kepada si polan dan si palin yang mengetahui babak-babak lain yang diluar pengetahuan saya untuk merakamkan agar kita dapat melihat secara menyeluruh apa yang telah berlaku hingga membawa kita ke 10 Mei 2018.

Merakam sejarah ini amat-amat penting. Juga wajib untuk kita melihat dan memahami taktik dan strategi yang membawa kemenangan.

Saya menolak konsep - sejarah ditulis oleh mereka yang menang. Untuk saya sejarah ditulis oleh mereka yang rajin menulis sejarah. Jika malas menulis walau pun menang semuanya jadi hampeh.

Saya telah menulis tentang ‘ perjumpaan gelap’ di sebuah hotel di Subang Jaya pada 25 Febuari 2018. Saya berikan nama perjumpaan gelap atau mesyuarat gelap kerana ia bukan dijalankan atas nama Pakatan Harapan atau atas nama mana-mana parti.

Keputusan perjumpaan buka jalan

Mereka yang datang pada petang itu dipilih atas kapasti dan peranan yang mereka mainkan dalam parti.

Pejumpaan ini pada hemat saya amat-amat penting. Melihat kembali babak sejarah ini saya berani merakamkan bahawa keputusan yang diambil dalam bilik hotel ini telah membuka jalan untuk Pakatan Harapan ke Putrajaya.

Keputusan yang diambil pada petang itu:

Pertama: Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak akan menerima keputusan PRU14 kerana penipuan. Dalam bahasa Inggeris HARAPAN tidak akan ‘concede’ (menyerah). Pakatan tidak akan berganjak daripada garis ini.

Kedua: Jika mendapat 55% undi popular maka HARAPAN akan mengumumkan kemenangan. Ini lebih daripada kejayaan undi popular PRU13.

Ketiga: Jika mencapai 60% undi popular maka dengan segera Dr Mahathir Mohamad akan diumumkan sebagai Perdana Menteri.

Kempat : Tagline untuk garis propaganda ialah - PRU14 HARAPAN menang kecuali ditipu.

Tagline - kecuali ditipu - ini amat-amat penting kerana ia menyediakan suasana untuk membawa rakyat ke jalan raya jika terdapat penipuan pilihan raya.

SPR susun penipuan

Kecuali ditipu - adalah strategi mengolah persetujuan untuk menghasut orang ramai agar sedar tentang dakwaan penipuan ini.

Tagline ini amat amat penting dalam usaha menghasut rakyat. Penipuan wajib ditanam ke dalam fikrah orang ramai sebelum apa-apa langkah diambil.

Pada 10 Mac 2018 - dalam program Jelajah di Bachok Kelantan - kain rentang - PRU14 Pakatan menang kecuali ditipu - telah dilancar oleh Dr Wan Azizah Ismail dan Dr Mahathir. Maknanya - strategi ini telah secara rasmi diterima pakai oleh pucuk pimpinan Pakatan Harapan.

Dalam semua ceramah Jelajah Pakatan Harapan - saya hanya menjual tagline - Kecuali Ditipu. Dr Wan Azizh dan Dr Mahathir tidak dapat tidak telah terkena tempias ceramah saya. Justeru mereka juga telah turut sama mengambil garis sama.

Apabila Mahathir dan Wan Azizah berceramah tentang dakwaan penipuan piliahn raya, maka kerja saya menghasut menjadi lebih licin. Amin.

Selain daripada anggota United Malays National Organisation ada juga warga yang kurang yakin tentang penipuan ini. Sosok ini mahu bukti. Tidak cukup dengan persempadan semula. Tidak cukup dengn 900 kali nama Fatimah Ismail dalam senarai nama pengundi. Tunjukan bukti.

Tetiba yang gemuk datang melayang. Yang kurus datang tergolek. Pada hari penaman calon ada tiga kes dakwaan penipuan. Pertama di Negeri Sembilan apabila calon PKR mendakwa dihalang untuk mendaftar diri. Kedua kes Tian Chua di Batu. Dan ketiga kes calon PKR di Penaga yang sebelumnya tidak muflis tetapi sesudah penamaan calon diisytihar muflis.

Tiga kes ini jelas kerja menipu. Kes ini menjadikan kerja saya cukup senang untuk menghasut orang ramai agar yakin ada pihak telah menipu. Saya menghasut orang ramai untuk percaya bahawa Najib akan menang PRU14 hanya dengan cara tipu. Amin.

Ulam diidam, petai yang sampai

Pada 28 April 2018 - pada hari penamaan calon seekor lagi kerbau gemuk datang melayang. Ulam yang diidamkan petai yang sampai.

Tayar pesawat jet yang akan ditumpangi Mahathir telah pecah. Mahathir dalam perjalanan ke Langkawi telah menuduh ‘ada tangan' yang mensabotaj pesawat ini dengan tujuan untuk mengagalkan Mahathir daripada mendaftar sebagai calon.

Kes sabotaj pesawat jet ini menjadi gulai tambah dalam usaha saya menghasut orang ramai. Bukan sahaja menipu malah (didakwa) sanggup melakukan kerja jahat untuk terus berkuasa.

Saya ucapkan jutaan terima kasih - shukran jazilan - kepada pihak yang (didakwa) merancang untuk mensabotaj tayar kapal terbang Mahathir. (Dakwaan) ini kerja jahat yang membawa hasil amat baik.

Tiga hari sebelum penamaan calon pada Rabu 25 April satu babak penting berlaku. Jam 4.00 petang waktu bekerja, NGO Veteran telah mengadakan perhimpunan di Lumut. Perhimpunan ini betul-betul diadakan di sebelah pintu masuk ke Pengkalan Tentera Laut Lumut.

Awalnya Mat Sabu yang ada bersama merasa cuak apakah ada para veteran dan pesara soldadu yang akan datang. Jam 5.30 Mahathir akan sampai. Mat Sabu gusar tempat ceramah akan kosong.

Tup Tup - lebih daripada tiga ribu yang hadir. Kesemuanya bekas soldadu darat, laut dan keluarga mereka. Paling menggembirakan ialah empat orang ‘gedebe’ yang telah pencen duduk sebaris dengan askar biasa. Salah seorang gedebe ini baru pencen sebulan yang lalu.

Pada 3 Mei, Panglima Tentera Laut menulis surat terbuka menyatakan bahawa tentera laut tidak menyebelahi sesiapa. Pasukan tentera laut boleh memilih sesiapa yang mereka sukai. Ini petanda yang amat baik. Amin.

Pada sebelah malam 25 April - ceramah disambung dari Lumut ke Seri Iskandar. Tetapi bukan hal ceramah jelajah yang mahu saya rungkai. Ada perkara yang lebih penting yang perlu saya bocorkan untuk dirakam sebagai bahan sejarah.

Pada malam itu, untuk kali pertama Mat Sabu, Hshamuddin Rais dan Dr Mahathir Mohamad telah duduk semeja berbincang tentang strategi PRU14.

"Tun kita jangan concede. Bila undi popular sampai 55 peratus kita declare (isytihar) menang. Bila cecah 60 peratus kita declare Tun sebagai PM. Bila dapat undi 100 kerusi… Tun telefon kawan-kawan Tun…." Saya menyampaikan apa yang telah dibincangkan di Subang Jaya.

"Kita buat macam Kenya… yang sedang terjadi sekarang… ada dua kerajaan…." 

Saya menambah penerangan untuk memperkuat hujah.

Risau YB HARAPAN dibeli

Mahathir menyatakan kerisauan. Kemungkinan ada YB HARAPAN yang akan dibeli. Lalu saya terangkan duduk perkara. Malah dalam hal ini, Mahathir tidak ada pengalaman. Kerana selama ini Mahathir duduk dalam kerajaan. Macai dan balachi Mahathir yang (didakwa) bertugas membeli. Kali ini semua terbalik.

"Dalam PRU13 dulu… semua YB datang ke sebuah hotel. Sekretariat PKR menempah 60 buah bilik… kita kurung YB di sana..."

"Kita kumpul di Yayasan Perdana… bila dapat 112… kita berarak malam itu ke Istana…."

Ini cadangan berarak ke Istana keluar daripada mulut Mahathir sendiri pada malam 25 April. Perbincangan enam mata ini berlaku di bilik presiden sebuah universiti.

"Tapi Tun… 112… kita sudah menang…," Saya menjawab.

Pada malam itu, tidak ada apa-apa yang tuntas diputuskan. Tapi yang penting idea jangan concede telah saya jual dan tanamkan ke dalam kepala Mahathir.

Untuk saya - jangan concede - ini adalah taktik yang paling kompak dan paling solid. Garis politik ini boleh ke arah ke mana sahaja - ke jalan raya atau ke Istana Negara.

Kembali ke Kuala Lumpur, saya telah dijemput oleh Dr Syed Husin Ali untuk bersama ‘war room’ PKR. Ini kali kedua saya bersama dalam 'war room' PKR. Kali pertama dahulu - dalam PRU13 - saya dijemput bersama oleh Rahim Ghaus.

Kali ini war room PKR tidak rancak dan slick (licin) seperti PRU13. Pada anggapan saya, ini kerana Anwar Ibrahim masih dalam penjara. Dalam PRU13 dahulu ramai ‘malaun’ dan ‘tukang bodek’ yang tak henti-henti menunjukkan muka ke Ibu Pejabat PKR kerana mahu ‘parking’ dekat-dekat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI).

Saya yang berkesempatan bersama Jelajah Pakatan telah memberi laporan kepada ‘war room’ PKR. Daripada pemerhatian saya kempen Jelajah semakin membesar.

Malah daripada pemerhatian (hadirin) yang datang ke ceramah Jelajah kali ini bukan Pak Lebai Ketayap Putih tetapi anak semua bangsa dan bangsa semua agama.

Mahathir menjadi faktor penarik. Orang ramai ingin melihat dan mendengar kisah Najib seorang pencuri daripada mulut bekas Perdana Menteri. Ini penting kerana inilah yang menjadi kunci yang membuka pintu kemenangan kepada Pakatan Harapan.

Satu lagi perkara yang amat jelas ialah tidak ada gangguan polis terhadap ceramah.

Saya masih ingat lagi ketika gerakan Reformasi mula mengampuh tahun 1998-99. Setiap kali ada ceramah - jalan besar ke tapak ceramah pasti ada sekatan polis.

Tujuan menakut-nakutkan orang yang datang. Menahan Mat Rempit. Semua ini dilakukan atas arahan untuk menggangu ceramah.

Kali ini dalam PRU14 tidak ada langsung gangguan pihak polis. Tidak ada sekatan jalan raya. Tidak kelihatan ‘light strike force’. Tidak nampak muka hidung kereta merah FRU.


Hanya di Taiping ada ganguan. Lori yang dijadikan pentas telah tidak dibenarkan dipasang. Ini atas arahan seorang pegawai polis Taiping. Pada malam itu ceramah jelajah terpaksa dilakukan diatas kenderaan pacuan empat tayar.

Syarikat pemungut suara kantoi-mantoi

Kawan-kawan dalam 'war room' PKR pada ketika ini masih belum ada keyakinan penuh bahawa kemenangan akan sampai. Ini kerana mereka tidak bersama menjelajah ke pelusuk negara.

Mereka hanya membaca labun media atau mendengar gosip politik atau membaca laporan kumpulan atau syarikat pemungut suara yang diupah khusus untuk memungut suara.

Syarikat pemungut suara ini terbukti kantoi-mantoi, leceh-meceh, koyak rabak apabila ombak rakyat bangun untuk menghumbankan Najib dan Rosmah ke dalam tong sampah sejarah.

Syarikat atau kumpulan pemungut suara ini juga hampir sama masuk ke dalama tong sampah sejarah. Amin.

Apa lagi yang berlaku dalam 'war room'? Banyak lagi. Sila tunggu minggu hadapan. Masih ada kisah di belakang tabir.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.