Kolum Malaysiakini

Okinawa melawan

Faisal Tehrani  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Baru-baru ini saya diundang Yayasan Keamanan Sasakawa dan Kelab Jepun Pen untuk ke Jepun sebagai seniman. Saya dibawa menemui pelbagai tokoh masyarakat, dan sasterawan untuk bertukar fikiran.

Cuaca di kota Naha, Okinawa, Jepun tidak sepanas di Tokyo. Menurut Yui Nakamura, temanku sejak 20 tahun yang lalu; di Tokyo gelombang panas yang melanda sudah mencanakkan suhu ke 40 darjah selsius. Mujur kami di Okinawa. Cuaca di sini lebih nyaman, meski masih terik pancaran mentari.

Dalam perjalanan ke Henoko, di Nago aku melihat pesisir pantai dengan warna lautan biru. Kenderaan kami sesekali mendaki jalanan berbukit. Ingatanku bergumpal seperti busa di laut itu.

Pada 11 April dalam tahun 1480, Laksamana Melaka yang terkenal, Hang Tuah telah menyerahkan sepucuk surat kepada raja di negeri Ryukyu memperihalkan sebuah kapal Ryukyu yang terdampar di pantai Chio-Chih ataupun Annam Utara. Kapal tersebut dikatakan menyinggah untuk mendapatkan bekalan air tawar tetapi entah bagaimana terlibat dalam satu pergaduhan berdarah dengan orang-orang Chio-Chih. Selaku Laksamana, Hang Tuah telah segera belayar ke Chan-Che'eng iaitu Champa yang ketika itu di bawah kuasa Annam. Siasatan mereka membawa kepada dua orang Ryukyu, salah seorang daripadanya telah pun mati kerana sakit.

Dalam surat Hang Tuah juga dinyatakan rombongan dagang raja negeri Ryukyu itu diiring ke Melaka dengan selamat. Bahawa seorang penterjemah bernama Tei Raku juga ada bersama dan telah aman menjalankan perniagaan dan akan pulang semula ke Ryukyu.

Aku membayangkan, Tei Raku mengharung ombak besar untuk pulang selama 46 hari. Di tangannya terdapat warkah Hang Tuah yang mengalu-alukan kapal-kapal dagang Ryukyu untuk terus datang berniaga di Melaka. Hang Tuah dengan penuh rasa hormat menaruh kepercayaan yang tidak berbelah bahagi kepada raja Ryukyu.

Ryukyu adalah nama purba untuk Okinawa.

Ia adalah sebuah kerajaan merdeka yang hubungannya amat rapat dengan Asia Tenggara. Ryukyu berusaha memelihara dan melindungi diri dari gangguan Jepun dengan menjalinkan hubungan berbentuk keuftian dengan Cina pada waktu itu.

Semua itu berubah kemudian. Ryukyu ditakluk Jepun. Nama Okinawa diberikan. Bermulalah kenestapaan panjang Ryukyu yang akan menjadi saksi sejarah kepada perjuangan kemanusiaan yang amat panjang.

Pada tahun 1609, keluarga bangsawan Satsuma yang berkuasa di Kyushu datang menjajah Ryukyu, dan berkuasa di sini selama 270 tahun, sehingga tahun1879.

Ryukyu sebagai sebuah negeri merdeka, dan bangsa yang punya kerajaan dengan kedaulatan sendiri sama sekali berbeza dengan orang Jepun. Mereka mempunyai kebudayaan sendiri, yakni bahasa sendiri; dan juga mempunyai kepercayaan spiritual yang juga tersendiri. Pendek kata, mereka tidak menghubungkan diri dengan Jepun sama sekali. Selalu, malah, mereka merasa dekat dengan Asia Tenggara. Filipina misalnya hanya sekitar tiga jam dari Okinawa. Taiwan pula boleh diseberangi dengan feri.

Diratah keluarga Satsuma

Penguasaan Satsuma terhadap Ryukyu menjadikan pembesar di situ sebagai boneka. Kepesatan perdagangan dan kekayaan Ryukyu diratah dan dieksploit sepenuhnya oleh keluarga Satsuma. Ryukyu merupakan tabung sumber kewangan Satsuma untuk kemudiannya menjatuhkan ‘han’ (keluarga Tokugawa) dan membolehkan mereka mendirikan sistem ‘ken’ (yang hari ini merujuk kepada sistem ‘prefecture’ ala Jepun) oleh pemerintahan Meiji dalam tahun 1868.

Pemerintah Meiji mengutus 400 tentera untuk menakluk Ryukyu dan Raja Sho Tai, serta kerabat dan pembesarnya, dipaksa berpindah ke Tokyo dalam keadaan sangat memalukan, yang mana mereka hidup di sana sehingga meninggal dunia. Istana Shuri dikosongkan. Menurut penduduk Okinawa hari ini, sesekali kerabat raja Ryukyu akan pulang untuk mengadakan sembahan atau acara keagamaan. Tetapi kemilau bangsawan telah hilang memudar.

Kehadiran Jepun di wilayah Ryukyu mengakibatkan bangsa Ryukyu secara budayanya perlu tunduk kepada Jepun. Mereka di Ryukyu tidak mahu menjadi Jepun tetapi tidak ada pilihan lain. Mereka perlu melawan. Dalam senyap. Dalam keadaan menahan bisa.

Jepun memaksakan Ryukyu menerusi empat program asimilasi — iaitu secara politik, ekonomi, pendidikan dan keagamaan. Nama Ryukyu dipendam. Mereka disuruh menelan nama baharu; Okinawa.

Perbezaan raja Sho Tai di era Ryukyu dan pemerintah Meiji sangat tajam. Raja Ryukyu adalah seorang pemerintah yang malah dalam surat-surat kerajaan Melaka pun merujuknya sebagai raja yang adil dan budiman. Bahkan dalam rekod Tom Pires sekalipun pedagang dan raja Ryukyu dipuji kerana disiplin dan kebajikan mereka. Setelah dipaksa menjadi Jepun, Maharaja Jepun menuntut rakyat Ryukyu menyembah mereka. Maharaja adalah untuk dihormati, disujud dan diberikan sepenuh dedikasi; yang hidup mati adalah untuk Jepun. Inilah yang akan terpaksa ditanggung oleh Ryukyu dalam Perang Dunia Kedua, dan hari ini mereka masih menerima beban perhambaan budaya itu dengan merelakan pangkalan marin tentera Amerika Syarikat.

Sejak Perlembagaan Meiji diterapkan, rakyat lelaki Okinawa dijadikan tentera. Untuk menghindar dari menjadi hamba Jepun, bangsa Ryukyu mengelak dengan berhijrah jauh ke Hawaii, Amerika Selatan dan merata tempat lagi. Jepunisasi mengakibatkan kejengkelan yang mendalam.

Secara tiba-tiba juga yen diperkenalkan di Ryukyu, firma niaga Jepun melanda Okinawa dengan rakus dan mengambil atau merampas tanah orang di sini secara besar-besaran. Cukai kepala “jinto-zei” dikutip daripada penduduk kepulauan yang lebih kecil di Ryukyu seperti di Miyako dan Yaeyama. Hari ini, warga Okinawa masih dirampas tanah mereka untuk pembesaran pangkalan tentera Amerika, dan ia dilakukan tanpa rundingan. Jepun bermaharajalela.

Kemudian, pendidikan Jepun sebagai ejen kebudayaan yang mustahak diterap secara meluas. Bahasa Ryukyu dan kepulauan berdekatan yang sama sekali berbeza dengan Jepun dan dikatakan mendekati Sanskrit ditekan. Bahasa ini dianggap bahasa daerah atau dialek (hogen) sedangkan ia merupakan sebuah bahasa yang tersendiri dan bermaruah sebelumnya. Pelajar yang gagal mempelajari bahasa Jepun diaibkan dengan dipaksa menggantung tanda nama di leher – reti bahasa terpinggir hogen fuda – sebagai hukuman.

Sementara pengajian tinggi berupa kolej dihapuskan. Memadailah bangsa Ryukyu hanya tahu membaca dan menulis. Sekolah-sekolah didirikan sebenarnya agar anak-anak kecil dan remaja Ryukyu dapat diambil untuk dipupuk menjadi askar. Hatta anak gadis diasuh menjadi tentera. Sekali lagi, yang diajar hanyalah kesetiaan buta kepada Maharaja Jepun.

Inilah sebabnya kelak, dalam pertempuran besar Okinawa ketika Perang Dunia Kedua, terlalu ramai anak-anak sekolah terkorban samada dalam pertempuran kombat, atau dibunuh ahli keluarga sendiri. Ini kerana mereka dididik dan dipantak dalam kepala, musuh Maharaja Jepun itu ganas dan pemangsa. Kononnya lebih baik mati di tangan keluarga sendiri berbanding menjadi mangsa rogol atau kanibalisme tentera Amerika.

Disuruh menyembah Jepun

Program patriotisme ultra-nationalistik ini turut diserap dalam kalangan awam. Pendek kata penduduk Ryukyu disuruh menyembah Jepun, agar nanti dapat dikambinghitamkan. Keaiban ini ditelan sehingga hari ini. Mereka kekal melawan, dalam keadaan dibisukan. Tidak banyak yang diketahui oleh kita tentang kenestapaan Okinawa kerana kita merasakan derita perang hanya ada di tangan kaum Yahudi kerana mereka dihapuskan Nazi. Sedangkan sengsara perang itu ada tidak jauh dari kita. Kemeranaan Holocaust juga ada di Timur.

Penjepunan Ryukyu atau hari ini Okinawa lebih genting dan jahat dari yang disangkakan, agama atau kepercayaan “Kokka Shinto” yang meluas di Jepun digunakan secara institusinya untuk membodohkan orang Ryukyu. Agama tradisional orang tempatan dihapuskan secara paksa. Tempat pemujaan Ryukyu untuk roh nenek moyang (atau dinamakan utaki) dirobohkan dan menghilang sama sekali. Tempat sembahyang ala Jepun ‘Torii’ dan kuil Shinto ditegakkan. Mereka yang menyembah di utaki dianggap sesat.

Dalam bahagian seterusnya saya akan menulis mengenai kedudukan penting Okinawa atau Ryukyu ini dalam sejarah pembangunan hak asasi manusia. Serta bagaimana perlawanan senyap mereka yang penuh darah dan air mata itu perlu dikemukakan kepada semua khusus di alam Melayu.

Bersambung...


FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.