Paling Popular
Terkini

“Bersangka baik kepada seseorang (muslim) yang lain walaupun salah adalah tidak berdosa.

"Menceritakan keburukan seseorang (muslim) yang lain walaupun betul, namanya mengumpat.

"Dosanya sama dengan memakan daging seseorang (muslim) yang lain.”

- Abu Yusof el-Beserahi (pemikir, pelukis dan kadang-kadang penyair).

Kami sangat malu tempoh hari bila tergesa-gesa berkongsi satu berita tidak benar.

Mulanya kami membaca satu kenyataan tidak bersimpati seorang pemimpin parti di peringkat bahagian atas kematian musuh politiknya, dan kami pergi kepautan akaun beliau untuk memastikan bahawa memang benar beliau mengeluarkan kata-kata tidak sopan berkenaan.

Setelah pasti, kami pun berkongsi tulisan berkenaan di akaun peribadi kami dengan tulisan dibawah ini:

"kemudian kita pun konon bertanya

mengapa Melayu dan Islam itu dihina

kerana kita itu begini

kurang ajar, bodoh dan sebagainya."

Ini kerana kami berasa marah apabila kematian tidak dihormati. Selang beberapa lama kemudian, kami dapati satu lagi kenyataan yang menghina dimuat naik oleh Ustaz Mokhtar Senik dari PAS.

Dalam kekecewaan atas kenyataan pemimpin di peringkat bahagian tadi, kami tanpa usul periksa telah berkongsi kenyataan Ustaz Mokhtar Senik itu di posting yang sama.

Lalu kami ditegur oleh sahabat kami Syam Besut, jurugambar bebas yang menjadikan presiden Partai Islam Semalaya sebagai subjek utamanya untuk menyiasat dulu berita berkenaan.

Dan didapati benar bahawa kenyataan berkenaan adalah palsu.

Harap diberi kemaafan

Editor kami yang terkenal bertanggunjawab itu juga segera menghubungi kami memberitahu akan hal yang sama.

Itu bukti yang Malaysiakini tidak menyokong berita palsu.

Di kesemptan ini kami ingin meminta maaf kepada Ustaz Mokhtar atas kesalahan yang kami lakukan itu.

Sebagai pendorong kepada memaafkan kesilapan kami itu, ingin kami nyatakan bahawa, apabila mendapat hidayah untuk ke masjid dan berbetulan dengan kuliah Ustaz Mokhtar di Masjid Saidina Umar al-Khattab di Taman Cenderawasih, kami duduk dan dengar juga.

Maafkan kami ustaz.

Rupanya setelah dikira, hampir setengah tahun juga kami tidak ke masjid berkenaan. Semoga kami diberikan jalan untuk pergi lagi ke masjid ymg terkenal ramai jemaah sepanjang lima waktu sehari itu. 

Rindu juga, dan apa khabar agaknya si sufi Salleh Hamzah dan Che’ Ali Belia?

Untuk makluman, pemimpin bahagian yang mengeluarkan kenyataan kurang sopan itu juga telah memohon maaf atas kesilapan beliau.

Kami tidak faham permainan politik yang begini. Memutarbelitkan kenyataan yang dikeluarkan seseorang - walaupun jahat - adalah biasa seperti kita memberi tumpuan kepada fasal kasut hitam lebih daripada hal-hal lain yang dikeluarkan oleh menteri berkenaan.

Namun membuat kenyataan yang kononnya dikeluarkan oleh seseorang yang lain ialah perbuataan yang amat jahat.

Perbuatan amat jijik

Untuk makluman, dalam hal lain kami rasa menteri berkenaan masih terkejut dengan jawatan yang dipegangnya. Sama-sama kita berikan beliau sedikit masa untuk melakukan tugas dengan lebih cemerlang.

Dan kepada menteri berkenaan, jika benar program MyBrain15 diberhentikan, mohon dipertimbangkan semula.

Balik kepada hal berita palsu.

Mengapa hanya kerana mahukan sedikit pengaruh kita sampai hati berbuat fitnah jahat sebegitu?

Memfitnah dengan menjatuhkan seseorang adalah sesuatu yang amat jijik dan harus dihentikan dengan segera.

Kami sangka kita sudah melepasi fasa politik busuk yang demikian, tetapi nampaknya kita belum bersedia untuk menundukkan musuh politik dengan dengan memberi khidmat baik dan berhujah dengan cemerlang. Melalui perbahasan di parlimen misalnya.

Kita lebih senang menjerit-jerit dan kelihatan bodoh asalkan musuh politik kita dimalukan.

Kami tulis sedikit kata-kata hikmat buat panduan beberapa hari lalu yang berbunyi:

Dulu orang tanya fasal 1MDB

dijawabnya fasal Selangor pili

hari ini orang tanya fasal GST, fasal SST

dia sibuk jawab fasal cincin dan duit dalam lemari.

Sama bodoh rupanya mereka

yang duduk di kerusi parlimen ini.

Mengenai isu tidak menghormati kematian, ianya adalah satu perkara yang amat menyedihkan. Ianya berlaku berulang-ulang kali dalam politik di negara kita.

Malang benar apabila kita berasakan kematian musuh politik adalah satu kemenangan kepada pegangan politik kita sedangkan politik hanya sebahagian kecil daripada kehidupan ini.

Kematian itu sendiri adalah suatu hal yang sepatutnya ditangisi tanpa mengira siapa pun yang pergi.

Pasti ada pihak yang ditinggalkan sedang meratapi pemergian itu. Dan apabila kita secara terang-terangan di depan awam menunjukan kebencian atas si mati, kita sebenarnya menunjukan kualiti diri kita yang sebenar.

Hormatilah kematian dan maafkan segala kesilapan mereka - jika benar mereka bersalah.

Sepatutnyalah kematian itu menjadi peringatan kepada kita kerana kita juga akan ke situ sudahnya.

Lupakan perbezaan.

Dan jangan doakan kematian sesiapa kerana takut nanti kita yang dulu (masuk hospital).


ABDULLAHJONES ialah penyair, pelukis, penulis dan seorang ninja yang terlalu rindu untuk menikmati mi calong Beseroh.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS