Kolum Malaysiakini

Gua kematian Itokazu Abuchiragama

Faisal Tehrani  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Kita biasa mendengar kekejaman perang tentera Jepun di Asia Tenggara, dan China. Kita mendengar mengenai landasan kereta api maut, wanita tempatan yang dipaksa menjadi pelacur, cerita nenek moyang bagaimana datuk kita mengalami hukuman dipaksa minum air sabun dan aksi pancung di khalayak ramai.

Yang kita tidak biasa mendengar ialah kekejaman tentera Jepun terhadap orang Jepun sendiri; dan dalam hal ini, terhadap bangsa Ryukyu, atau orang Okinawa.

Di gua Itokazu Abuchiragama kisah-kisah melampaui khayal ngeri lekas terapung menekan dada. Pagi itu matahari musim panas kembali memancar, dan menggigit kulit lengan yang terdedah.

Shudan jiketsu. Bunuh diri wajib. Aku sangat terganggu oleh kenyataan itu. Mereka menyangka mereka saling membunuh kerana cinta. Tentera Jepun membuatkan mereka percaya bahawa adalah lebih baik sang suami menghempas kepala isterinya dengan batu, atau si ibu meletupkan anaknya, agar perut terburai dan isi otak memercik ke bumbung gua dari menjadi mangsa tentera Amerika.

“Okinawa adalah sebuah pulau yang penuh dengan gua.” Nariko memulai bicara pagi itu. Aku lebih banyak melempar pandangan ke luar jendela. Sebelum tiba di Okinawa dari Tokyo aku sudah sedia membaca perihal gua-gua di Okinawa yang dianggap menawan oleh pelancong. Gua Gyokusendo sebagai misal diterangi lampu biru yang meriah. Ia dipanggil gua biru.

“Akan tetapi, kita bukan bergerak mengunjungi gua tersebut. Kita akan masuk ke dalam gua kematian.” Suara Nariko bergetar, meniti gegendang telingaku.

Gua kematian.

Kami tiba di kampung kecil Itokazu. Rumah-rumah comel yang kaku berdiri di sana sini. Ada bunyi daun pokok tebu bergeseran. Pancaran matahari menyengat sekali. Seorang pemandu gua perempuan yang terlihat serius sudah menanti. Selepas penerangan yang terperinci mengenai Perang Dunia Kedua dan bagaimana ia merosakkan minda warga Okinawa, aku dipersiapkan dengan topi keledar dan lampu suluh.

“Hati-hati kepalamu di dalam gua nanti.” Pesan Aikiko.

Aku membayangkan antara bulan Jun 1942 pergerakan tentera Amerika yang melantun dari sebuah pulau ke sebuah yang lain. Bergerak dari Guadalcanal ke Guam, ke Iwo Jima dan menghampiri Jepun. Di antara 1 April sehingga 22 Jun diketahui sekitar 12,000 tentera Amerika terbunuh, sementara tentera Jepun kehilangan 110 ribu nyawa; dan angka itu tidak terbanding dengan lebih 145 ribu nyawa orang awam Okinawa yang melayang dan sebahagian besarnya kerana pembunuhan sesama sendiri. Tentu sahaja angka kematian ini berubah-ubah mengikut kiraan pelbagai pihak, dan bukan untuk dibanggakan.

Bayang gerun peperangan tiba-tiba marak menyala di dalam mata. Penduduk Okinawa yang sudah diseragamkan cara fikir mereka menjadi seperti manusia Jepun kini menyembah Maharaja Jepun. Perang tersebut adalah perang suci. Malah sehingga 9 Jun 1945, Kantaro Suzuki Perdana Menteri Jepun pada waktu itu masih mempertahankan tindakan bunuh diri untuk nusa bangsa. Orang Ryukyu juga sudah kehilangan jati diri dan budaya dan mereka menelan bulat titah perintah tuhan di Tokyo. Tiba-tiba mereka dihadapkan dengan berita debar yang menakutkan. Askar Amerika sedang mara. Propaganda tentera Jepun mulai tersebar melata; pastikan tentera Amerika dikalahkan; jika mereka yang menang kalian pasti akan dibakar, dirogol dan dimakan hidup-hidup.

Raksasa sebenar di kalangan mereka

Penduduk Okinawa tidak sedar mereka sedang dimangsakan. Bahawa raksasa yang besar sebenarnya ada dalam kalangan mereka. Bahawa tentera Amerika dan tentera Jepun tidak ada bezanya. Untuk menyelamatkan diri, kehormatan, dan nasib; mereka mengharap takdir tidak akan memburu sehingga ke gua.

Gua di Okinawa mempunyai dwifungsi. Tempat persembunyian orang awam. Atau sebagai pusat gerakan tentera Jepun. Gua-gua yang besar ini kadang-kala seperti lorong yang berseliratan di dalamnya; di siling gua terdapat stalaktit dan stalagmit, kadang terdapat sungai kecil dan titis air dari lantai bumi di atas. Suasananya gelap gelita, tanpa sedikit pun cahaya, bergaung saat bersuara dan serba-serbi menakutkan. Di semua sudut gua sentiasa basah, terkadang lecak, suhunya sedang-sedang kerana gua ini terbina dari terumbu. Maka gua di Okinawa dengan berkesannya dapat ditukar menjadi tempat bermulanya misi rahsia ketenteraan.

Aku melangkah berhati-hati, sangat waspada dan bunyi air menitis ke dalam takungan merimaskan.

Salah sebuah gua yang ditukarkan menjadi kem tentera, dan kemudiannya hospital tentera adalah gua Itokazu Abuchiragama di kota Nanjo. Ketika pertempuran Okinawa yang melibatkan tentera Amerika dan Jepun, gua di kampung Itokazu itu menjadi tempat penyimpanan barang termasuk senjata. Apabila perang makin mendekat hala ke selatan, tentera Jepun menukarkannya menjadi hospital militari Haebaru.

Aku dibawa turun ke dalam gua. Hari ini, untuk tujuan penghayatan; sudah terdapat tangga ditarah. Gua itu sepanjang 270 meter dan pernah menempatkan 600 tentera yang cedera. Pulau Okinawa antara Mac sehingga Julai 1945 sudah menjadi medan hadapan dalam peperangan yang dibawa dari Pasifik. Tentera Jepun menjadikan Okinawa sandaran kematian semata-mata untuk melewatkan ketibaan tentera Amerika.

Gua Abuchiragama mempunyai tiga keadaan fizis berdasarkan namanya; abu iaitu yang dalam dan menegak, chira bermaksud bertebing curam dan gama yang bererti gua dalam bahasa Ryukyu.

Tentera yang dirawat di dalam gua ini kebanyakannya cedera parah. Luka yang mereka alami amat buruk, dan dalam keadaan suhu yang demikian lembab, luka itu mengundang ulat belatung atau larva yang busuk. Bekalan ubat sangat terhad dan doktor yang melakukan rawatan cenderung untuk memotong mana-mana anggota badan tentera.

Aku meletakkan diri dalam keadaan yang sungguh puaka itu. Aku membayangkan tangis, dan jerit yang saling bertingkah di dalam gua kematian tersebut. Jerit kerana kaki sedang digergaji terbenam oleh dentuman bom dan deruman pesawat perang di luar. Aku terdengar-dengar suara tentera memanggil marah anak-anak gadis sunti Himeyuri, anak-anak sekolah perempuan yang dipaksa menjadi juru rawat dan tukang cuci di dalam gua itu. Anak-anak gadis itu semuda 15 tahun diminta mengangkat dan membuang najis, membuang bahagian anggota badan yang sudah dikerat, memasak, membantu pesakit dan pelbagai lagi. Sering, mereka yang keluar untuk mengambil bekalan makanan akan terbunuh oleh serangan udara tentera Amerika. Aku akan menceritakan mengenai mereka kemudian.

Bayi 2 tahun jadi mangsa

Apabila tentera Amerika semakin hampir, tentera Jepun mulai bertempiaran lari. Mereka yang parah diberikan susu yang dicemari sianida agar dapat membunuh diri. Gua itu menjadi kuburan besar. Para mangsa yang diberi kesempatan syurga untuk hidup sehingga hari ini menceritakan kembali ketakutan, kepanikan dan keadaan dahsyat yang menurut mereka adalah neraka sebenar.

Di kebanyakan gua, masyarakat awam Okinawa yang kemudian ditinggalkan, kerana terlalu takut dengan propaganda mengenai askar Amerika meluru masuk ke dalam gua, dan kemudian membunuh sesama mereka sendiri. Ia bermula dengan yang tua membunuh yang lebih kecil dengan buluh runcing. Yang muda menghabisi yang tua renta. Yang kuat mencekik yang lemah dan ia berterusan sehingga yang terakhir akan meletupkan diri dengan grenad atau tablet sianida. Sekuno senjata adalah batu tajam digunakan untuk menghempuk kepala ahli keluarga lain.

Mereka disuruh atau dipupuk percaya bahawa mereka melakukan pembunuhan tragis itu kerana mereka mencintai orang yang dibunuh. Tuhan, apakah yang lebih kejam dari itu? Membuatkan kita percaya bahawa kita membunuh orang tersayang kerana tujuannya adalah menyelamatkan.

Kisah-kisah pembunuhan sesama sendiri ini berlaku secara meluas dan masih diingati oleh masyarakat Okinawa. Di gua Chibichiri misalnya 87 orang awam saling membunuh dengan 47 dari mangsa kanak-kanak yang dikorbankan itu dibunuh dengan buluh runcing, ditikam dengan pisau, atau dibakar hidup-hidup oleh ibu-bapa mereka sendiri kerana tidak sanggup menahan merana jika anak-anak dirogol atau diseksa. Mangsa paling muda adalah bayi dua tahun.

Dalam banyak keadaan, mereka merayu agar dibunuh dari menjadi tahanan atau tawanan perang. Demikianlah berpengaruhnya propaganda Jepun yang mengakibatkan lojika terpadam sama sekali.

Di hujung gua, pemandu memberitahu tentera Amerika yang tiba di muka gua Abuchiragama akhirnya melemparkan bom tangan dan meletupkan sisa orang kampung yang berlindung.

Aku menelan liur, merasakan betapa identiti shinmin atau hamba setia yang diasuh menerusi proses Jepunisasi sangat berumbi akar sehingga rakyat jelata yang ditakluk mindanya sanggup melakukan apa sahaja. Tidakkah kesetiaan membabi buta kepada pemerintah boleh sahaja membawa kita ke jurang jahanam?

Aku keluar dari gua celaka yang penuh teriak derita itu dengan peluh yang bertitikan di badan, leher dan membasahi paha.

Sebaik sahaja ditimpa cahaya musim panas di luar gua itu aku menangis senyap. Perlahan-lahan tangis itu menjadi besar mengenangkan anak gadis Himeyuri yang terkorban kerana disuruh berbudi kepada maharaja.

Bersambung…