Paling Popular
Terkini

Apabila kami menulis tentang seni, misalnya, haram kamu tidak peduli pun. Kamu nampak seni apa pun adalah sebahagian daripada cebisan hidup, perca sampingan atau hiburan yang melalaikan.

Seni pada kamu adalah MeleTop dan Melodi. Kamu suka, tetapi untuk mengaku jadi peminat, dibunuh mati pun kamu tidak akan mengaku.

Menteri seni pula sampai hari ini tidak mengeluarkan walau sepatah kata pun mengenai apa yang akan dibuat oleh kementerian beliau dalam hal membentuk acuan seni negara.

Mahu tambah dimajukankah atau mahu dibiarkan hidup sendirikah?

Ahli seni di seluruh negara kekal terkontang-kanting. Bukan tak biasa dibiarkan, cuma sementalah ada kerajaan baru, manalah tahu ada perubahan yang membina.

Boleh jadi beliau masih lagi meraikan kejayaan dan belum berpeluang untuk memikirkan hal tersebut.

Iyalah... sedang berangan-angan, tiba-tiba jadi menteri. Gelabah juga bah. Macam rusa masuk kampung, Terpinga-pinga tak tahu nak buat apa.

Yang timbalan pula dengan lancangnya berkata bahawa seni ni, lekkk dulu la... Kita kasi setel hutang negara dulu maaa..

Kegiatan paling popular

Implikasinya, syarikat besar yang ada lebihan wang akan berundur daripada menaja aktiviti seni, kerana kita tahu syarikat-syarikat ini biasanya bukanlah menaja apa yang mereka suka, sebaliknya apa saja yang disukai kerajaan.

Cakap ikut suka. Pakai taram saja. Lepas buat-buat berfikir supaya nampak cerdik, esok buat kenyataan minta maaf sebab silap letak titik perpuluhan.

Baser...

Kamu senang membaca mengenai politik untuk kamu jadikan modal bergaduh - sesuatu yang sekarang ini boleh dimasukkan sebagai kegiatan masa lapang paling popular bagi rakyat Malaya ini.

Setiap hari media sosial penuh dengan mungkar, penuh dengan telagah tak sudah.

Sama saja penyokong kerajaan dan pembangkang. Dua-dua sama tolol.

Yang menyokong akan bermati-matian mempertahankan sementara yang membangkang akan menempelak, menyindir dan memperlekeh apa saja usaha kerajaan sehingga ke hujung nyawa.

Seolah-olahnya hidup ini sekadar itu saja: meyokong partai politik kesayangan, bergaduh dan mati lalu masuk sorga (kecuali kamu 'tersesat').

Cakap fasal bergaduh, sebab wayang gambar pun boleh jadi modal bergocoh. Yang sokong wayang RM1 juta kata penyokong wayang RM9 juta suka lawak bodoh. Yang sokong RM9 juta kata yang sokong wayang RM1 juta perasan bagus.

Tak faham... tak faham...

Kadang-kadang kami ada juga keinginan untuk menulis tentang betapa hidup ini sangat sementara. Apa pun yang terjadi, ada had waktu tamatnya.

Kegembiraan entah akan diakhiri oleh tangisan dan tangisan boleh jadi adalah pendahulu kepada kegirangan yang berpanjangan.

Dan paling pentingnya ialah seperti kata seorang ahli ekonomi yang entah siapa namanya: in the long run, we are all dead...

Dah kalah lebam pula

Sementara menunggu mati inilah kita sepatutnya menjadikan hidup sebagai suatu perjalanan yang membahagiakan.

Fikirkan bagaimana cara mahu mencari dan mengekalkan aman. Dan jika fahaman politik yang kita pegang itu membawa jahanam, tinggalkan.

Tapi kamu tidak mahu membaca perkara seperti itu kerana kamu jenis mmusang, nok maroh sokmo.

Penyokong kumpulan yang kalah jadi pendendam kerana bengkak kekalahan masih melebam. Dituam-tuam tidak surut lalu ditambah dengan kelahi yang berpanjangan. Mungkin hanya maut yang akan menutup mulut kamu daripada celupar kata-kata benci.

Yang menang pula tidak habis-habis mendabik dada, canang ke sana ke sini tentang kejayaan yang dirasakan boleh menebus segala kepedihan hidup di bawah pemerintahan lalu.

Mari kami khabarkan berita malang kepada kamu: politikus adalah penjudi yang menjadikan kamu sebagai taruhan. Segala janji kesenangan jika menang adalah tangisan anjing yang mohon dibantu semasa tersepit. Setelah dilepaskan, kamu akan digongongnya.

Kita balik kepada kebiasaan nan lalu. Mereka yang duduk di sebelah sana bertukar kerusi ke sebelah sini dan mula semula bergaduh seperti biasa.

Maki hamun dan memperleceh ialah perkara biasa di parlimen. Bertekak bagai budak-budak, kemudian mengaku sebagai pembela rakyat. Bodohnya seperti ayam terkena tungau.

Sampai bila akan begini, hanya tuhan yang tahu.

(Sedikit pujian harus diberikan kepada YB Rembau yang kelihatan agak tenang dalam berbahas di parlimen, juga Ahmad Maslan yang sudah agak cerdik atau mungkin juga dia sebenarnya sudah lama cerdik, tetapi kerana benci, kita sering perbodohkan beliau.)

Kita lupa bahawa kita adalah apa yang kita usahakan dan segala dapatan yang datang hanyalah atas izin tuhan yang Maha Esa.

Benci makin berganda

Beristighfarlah apabila dapat apa yang dihajati - kerana bimbang juga entah-entah yang kita dapat itu beban yang disadur intan permata - dan bersyukur apabila permintaan tidak ditunaikan tuhan - kerana mungkin kita belum bersedia menerima habuan impian.

Yakinlah, tuhan itu tahu semua. Semua! Tidak tinggal walau satu. Tapi itulah...

Yang rasis bertambah rasis. Sehari-hari kerjanya tidak lain daripada mencari yang busuk-busuk, atau membuka jahat bangsa yang dimusuhinya. Tidak puas hatinya selagi belum berlaga semua bangsa.

Kebencian kepada agama kami pula bertambah berganda-ganda. Salah apa agama kami hingga dibantai sedemikian rupa?

Kami tidak nampak jalan terang yang akan mengakhiri permusuhan politik gaya bodoh ini. Dan kita jadi bangsa perengus.

Budak yang diamanahkan kepada kita, kita ganyang sesuka hati hanya kerana sedikit tekanan. Kita hilang pertimbangan.

Tentu sekali kesedihan yang teramat ialah apabila seorang bapa tergamak menakik anak kecilnya sendiri. Kita memandang pelakunya sebagai jahat lalu kita pun mula memaki-maki.

Kita lihat ini sebagai suatu kejadian terpinggir yang hanya berlaku kepada orang lain sedangkan hakikatnya, benih malang ini, kitalah yang sama-sama menanamnya.

Lupa juga yang kitalah yang membentuk masyarakat. Kitalah pembina negara ini. Apa pun kejadian adalah di bawah tanggungjawab kita. Apa yang dihadapi oleh jiran adalah beban yang harus kita angkat bersama.

Tapi itulah...

Masalah kotor di laman sendiri pun tidak kita uruskan dan pada masa sama kita sibuk bercerita dengan bangga tentang bersihnya sungai di negara orang.


Baca Sesedap wagyu kicap


Bangga dengan negara orang dan mengutuk negara sendiri adalah kesukaan kedua rakyat negara ini selepas bergaduh, berkelahi dan bertaki.

Saban hari kita lihat bagaimana ada saja ketidakpuasan hati atas apa yang kita terima sebagai balasan tinggal di negara ini.

Benar, manusia senantiasa tidak akan puas dengan apa yang mereka miliki. Sentiasa ada keinginan untuk dapat yang lebih baik dan ini sepatutnya menjadi sebab untuk kita bersatu memajukan diri dan negara.

Dan tentu sekali bertelagah dan busuk hati bukan jalan benar untuk tiba ke situ. Itu jalan sesat dan sesat itu neraka (tempatnya).

(Eh! Macam pernah kudengar ayat itu.)

Alang-alang bercakap fasal sesat, izinkan kami bermadah di sini:

Neraka itu tidak sesat
tahu ia akan tempatnya
taat ia akan tuhannya
yang sesat itu kita
malas mencari
manakan jumpa jalannya.

Akhirnya, kami - seperti kamu - kembali juga menulis fasal (bodohnya) politik dalam negara ini.

Nak suruh kamu berhenti bergaduh, kamu kata sementara hidup inilah boleh buat kecoh kerana mati nanti entah-entah kena taboh.

Jadi, loh lah...

  • Gambar-gambar yang tersiar di sini adalah untuk tujuan hiasan saja, kecuali dinyatakan sebaliknya.

ABDULLAHJONES ialah seorang penulis, penyair, jurufoto, pelukis, pengembara sepi nan melara dan - dan kata setengah orang - kaki gaduh tanpa perlu ada sebab..

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS