Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Setiap isu ada konteksnya, dan setiap persoalan perlu ada penyelesaiannya.

Taktik mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepada Anwar Ibrahim kembali ke parlimen pernah digunakan pada 2008 dan diulangi 10 tahun kemudian.

Latar belakang perkembangan itu ialah, Anwar dinafikan kelayakan untuk bertanding dalam PRU ke-12 dan PRU ke-14.

Dalam kedua-dua kes itu kita perlu bersetuju bahawa Anwar seorang tahanan politik yang tidak dilayan secara adil oleh regim Umno-BN.

Andainya kita mendukung muafakat Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelum PRU ke-14, maka Anwar perlu kembali ke parlimen sebelum menerajui kerajaan sebagai perdana menteri kelapan.

Mustahil kita menuntut Dr Mahathir Mohamad menunaikan janji untuk melepaskan tampuk pimpinan kepada Anwar dalam tempoh dua tahun dan pada masa sama kita menolak PRK Port Dickson ini.

Jelas, kedua-dua tuntutan itu saling bertentangan. Ringkasnya, ada kewajaran untuk Anwar bertanding.

Persoalannya: mengapa sekarang? Mengapa Port Dickson? Bagaimana kata dua dicapai, dan sebagainya.

Posisi terkini Anwar

Anwar perlu sekurang-kurangnya memiliki kelayakan sebagai anggota parlimen untuk menjamin kestabilan peralihan kuasa andainya keadaan kesihatan Dr Mahathir tidak mengizinkan tiba-tiba satu hari nanti.

Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak boleh melepaskan kerusinya kerana beliau menyandang jawatan timbalan perdana menteri ketika ini.
Alasan-alasan di atas mungkin masih boleh diterima tetapi ia semakin sukar dipertahankan apabila sampai ke bab kerusi Permatang Pauh yang dipegang Nurul Izzah Anwar.

Kita sedia maklum, selagi akta tidak dipinda peletakan jawatan sebagai anggota dewan bermaksud seseorang itu tidak layak bertanding untuk tempoh lima tahun akan datang.

Sebagai bintang politik masa depan, risiko itu terlalu berat untuk ditanggung Nurul Izzah.

Pada masa sama keadaan semasa mengundang persepsi negatif untuk keluarga Anwar jika gandingan anak, bapa dan ibu berada di Dewan Rakyat pada penggal yang sama.

Apakah ini amalan nepotisme? Apakah tiada tokoh yang lain dalam PKR?

Kesemua pertikaian dan kritikan ini perlu ditelan Anwar bersama keluarganya. Lebih-lebih lagi keputusan untuk bertanding di Port Dicksin jelas dirancang oleh mereka yang berasal dari satu kem - dari persepsi umum.

Ia mencungkil persoalan: apakah ia keputusan yang mendapat restu daripada parti dan melalui prosedur rasmi? Dan bagaimana pula persetujuan daripada komponen HARAPAN?

Pertikaian-pertikaian itulah yang membelenggu Anwar hingga terbenamnya keghairahan rakyat untuk PRK Port Dickson, berbanding pengumuman PRK Permatang Pauh pada 10 tahun lalu.

Malah, rasa jemu, mual dan penat antara emosi yang mula menyelubungi ruang maya. Itu belum lagi mereka yang menyeru untuk memboikot dan “memberi pengajaran” kepada Anwar dan PKR pada PRK kali ini.

Kesemua itu adalah manifestasi rasa tidak puas hati rakyat, sama ada didasari dengan sebab yang berasas mahupun tidak.

Darjat dalam pemilihan PKR

Maka bermulalah perbalahan antara pihak yang berbeza pandangan. Tuduhan “rakyat mudah lupa” dilontarkan kerana kononnya jasa dan pengorbanan Anwar sepanjang dua dekad sudah tidak dihargai, dan rakyat kini mengalih sokongan dengan berkiblatkan kepada Dr Mahathir.

Satu pihak lagi pula mempertikaikan langkah Anwar yang dilihat terlalu gopoh untuk menggarap kuasa, malah secara terang-terang membina “Istana Segambut” buatnya.

Namun, apakah yang tersirat di sebalik segala kecelaruan hari ini? Kepimpinan Anwar semakin hilang hala tujunya. Anwar gagal memposisikan dirinya dalam senario politik terkini.

Bayangkan, impak terhadap imej Anwar apabila gambar beliau tunduk mencium tangan sultan tersebar di alam maya. Lebih parah, baru-baru ini beliau kelihatan bergambar bersama Taib Mahmud (bekas ketua menteri Sarawak yang dikutuk pembangkang sebelum menjadi kerajaan hari ini).

Apakah justifikasi Anwar untuk berdepan dengan penyokongnya? Sudah tentu ada yang tertanya-tanya, apakah reformasi yang ingin dibawa Anwar?

Itu belum lagi mengambil kira pergelutan kuasa dalam PKR.

Sudah menjadi rahsia umum bahawa Azmin Ali tidak sebulu dengan Rafizi Ramli. Kita terpaksa menerima hakikat bahawa politik kabilah wujud dalam mana-mana parti.

Persoalannya, apakah darjat persaingan kabilah dalam PKR - sebuah parti yang lahir dalam buaian gelombang reformasi 20 tahun lalu?

Bukankah kita berasa ada sesuatu yang tidak kena apabila tema pemilihan PKR yang sedang berlangsung ini seolah-olah berkisar pada “ketaatsetiaan” terhadap Anwar? Bukankah ia satu jenaka yang pahit apabila calon dalam pemilihan parti mencabar pihak lawannya untuk mengosongkan kerusi parlimen yang dipegang demi membuktikan ketaatsetiaan terhadap Anwar?

Apakah ini persaingan untuk menyelam ke darjat lebih rendah?

Pada sisi lain, label “budak mentah” dilontarkan untuk memperlekehkan senioriti lawannya, malah sindiran “penganggur” diguna untuk menghina seteru tanpa mengambil kira latar belakang lawannya yang dinafikan kelayakan bertanding secara tidak adil ketika PRU ke-14 lalu.

Bukankah ia satu malapetaka apabila tokoh-tokoh yang digalas dengan harapan untuk “menyelamatkan Malaysia” sebaliknya berperangai kebudak-budakan apabila bersaing untuk merebut kuasa?

Ini pemilihan pertama PKR selepas parti itu menjadi sebahagian daripada pemerintah di peringkat persekutuan. PKR harus sedar bahawa ia tidak boleh lagi bertahan hanya dengan laungan slogan, atau raungan pengorbanan.

Tidak akan laku PKR yang hanya menjaja idealisme mahupun harapan - sama ada mahal atau murah. PKR pada peringkat ini harus memikirkan bagaimana untuk menterjemahkan idealismenya kepada realiti, kemudian disusuli dengan langkah dan tindakan yang berkesan.

Reformasi selepas 20 tahun

Bukan semua rakyat jelata mampu mengolah pandangan mereka dengan teori akademik yang mendalam. Politikus seharusnya peka untuk menelaah dan mentafsir reaksi rakyat secara umum.

Rakyat jemu kerana sesetengah pemimpin HARAPAN mula menunjukkan perangai seperti politikus yang mereka kenal ada dalam BN sebelum ini. Mereka penat kerana perjuangan tidak menghasilkan sesuatu yang jelas berbeza; mereka mual kerana pergolakan kuasa dalaman parti seolah-olah politiking yang tidak berpenghujung.

Cuba kita imbas susuk Anwar sebagai ikon reformasi pada dua dekad yang lalu – berjaya mencetuskan gelombang yang membakar semangat masyarakat pada zamannya. Keghairahan itu menjana momentum untuk rakyat turun ke jalan raya, meskipun dibedil gas pemedih mata dan meriam air berkimia.

Zaman sudah berubah. Anwar tidak boleh lagi berpuas hati dengan Kelab Anwar Ibrahim (AIC) yang ada, atau jumlah “Anwarinas” yang membelanya ketika diserang.

Sudah tiba masanya Anwar membentangkan Anwarismenya, bagi untuk mengolah restu rakyat kepada bentuk Malaysia Baru yang ingin dibinanya pada masa depan.

Anwar harus menawarkan sesuatu yang baru kepada rakyat, untuk menghidupkan semula keterujaan orang ramai terhadap perubahan yang ingin dibawanya.

Akhir kata, Anwar perlu memposisikan semula dirinya dalam lanskap politik Malaysia, membina semula PKR sebagai parti yang menjadi kemegahan anggotanya, di samping menggarap imaginasi generasi muda Malaysia.

Kalau Anwar mengerah sokongan massa dengan lebamnya pada 1998, maka kini masanya Anwar meraih sokongan dengan matanya yang menemukan Malaysia dengan masa depan yang lebih cerah, selepas 20 tahun reformasi bergelora.


LIM HONG SIANG bekas editor Merdeka Review edisi bahasa Melayu dan penyunting buku Tsunami Cina: Retorik atau Realiti?

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS