Paling Popular
Terkini
story images
story images

Pada September 1998, lautan manusia mengombak di jalan raya. Sambil menumbuk udara, mereka dengan kemarahan yang meluap-luap melaungkan “Undur Mahathir” – membuka tirai gerakan Reformasi di Malaysia.

Pada Mei 2018, Dr Mahathir Mohamad, 93, kembali ke takhta kuasa, menggulingkan rejim Umno-BN (Perikatan) yang memerintah untuk 61 tahun. Sorakan “Hidup Tun!” bergema, menenggelami slogan “Reformasi” yang berselerak.

Seandainya satu dokumentari diterbitkan untuk merakam gerakan Reformasi dalam tempoh dua dekad ini, barangkali dua adegan di atas menjadi pembuka dan penutupnya. Plotnya yang dramatik, kesudahannya yang berdamai dalam pertentangan – diberi tafsiran yang berbeza, mengikut citarasa dua pihak yang bertembung sebermulanya.

Dua tafsiran berbeza

Dari perspektif Reformasi, demonstrasi jalanan pada tahun 1998 memberi impak besar, sehingga berjaya menggugat kedudukan Umno dalam PRU10 pada tahun seterusnya. Akhirnya, Mahathir terpaksa berundur pada tahun 2003. Dua dekad kemudian, Mahathir bertanding dalam PRU14 menggunakan logo PKR, dan manifestonya sarat dengan agenda yang diperjuangkan Reformasi selama ini. Ringkasnya, Mahathirisme semakin luntur.

Dari perspektif Mahathir pula, beliau berjaya menewaskan musuh politiknya melalui sistem demokrasi, iaitu peti undi. Namun beliau sanggup berundur secara sukarela, menyanggah gelaran “diktator” yang dilempar kepadanya. Dua puluh tahun kemudian, Mahathir dijulang dan dilambung semula ke puncak kuasa, oleh penyokong yang sebahagiannya dari gerakan Reformasi. Beliau menawan semula hati mereka yang pernah berdendam dengannya.
Apapun, Reformasi 20 tahun ini tidak harus dirumuskan dengan hanya dua adegan di atas, apatah lagi disempitkan kepada dua tafsiran sahaja.

Mahathir pernah menzalimi dan mengaibkan Anwar, sementara Anwar pula bangkit menentang dengan serangan balas sehabis-habisnya. Bayangkan, andainya segala “dendam” ini didamaikan hanya dengan salam berjabat tangan antara Mahathir dengan Anwar, sudah tentu ia mengundang pertikaian dari mereka yang pernah turun ke jalan raya untuk membela Anwar.

Dan inilah yang berlaku sekarang. Pergelutan kuasa yang paling tragik dalam sejarah politik tanah air ini dilihat sesetengah rakyat sebagai drama yang paling tidak masuk akal. Kesemua politikus dianggap mudah lupa dan munafik. Sentimen ini sedang menular, dan ia bakal menyuburkan sinisme yang akhirnya melunturkan semangat untuk memperjuangkan perubahan politik pada masa depan.

Persoalannya, setelah 20 tahun berlalu, apakah pengajaran sebenarnya yang kita peroleh daripada pengalaman ini? Takkan kita hanya dicerahkan tentang “tiada kawan dan lawan yang abadi dalam politik”? – teori klise yang kita tahu tanpa perlu kita melalui ribut politik selama dua dekad.

Takkan setelah kita turun ke jalan raya untuk menulis sejarah dengan kaki kita, kini kita memilih untuk kembali ke tempat duduk “penonton”, yang cuma “memerhati perkembangan politik dari bawah pentas”? Sedangkan kita pernah mengungkap bahawa kita boleh menjadi agen perubahan – berubah untuk perubahan yang kita inginkan?

Andainya rakyat berputus asa, menyerah diri kepada kepasrahan, bersikap sinikal terhadap segala yang berlaku di depan mata tanpa inisiatif untuk memperbaikinya, maka masa depan Malaysia hanya akan terletak dalam genggaman beberapa orang penguasa. Kemudian kita akan diberitahu bahawa kecelakaan yang menimpa kita itu adalah “takdir” semata-mata.

Cuba kita mengimbas apa yang berlaku 20 tahun lalu. Bukankah Reformasi 1998 tercetus lantaran keengganan seseorang itu untuk pasrah dan akur kepada ketidakadilan yang menimpanya?

Melawan 'takdir'

Setuju atau tidak, Anwar telah mengambil sekurang-kurangnya dua langkah berani yang luar biasa selepas dirinya dipecat dari jawatan nombor dua dalam kerajaan. Padahal, apa yang berlaku tidak lain tidak bukan pergelutan kuasa yang melibatkan segelintir elit, yang barangkali boleh diredakan dalam tempoh dua minggu. Namun Anwar memilih untuk kembali kepada rakyat, menggembleng massa ke jalan raya, lantas ia menjadi satu gerakan yang mana laungan Reformasi masih kedengaran selepas 20 tahun.

Juga, Anwar tidak mengikut arus politik perkauman ketika itu untuk menubuhkan sebuah parti Melayu, yang mirip Semangat 46 sebelum ini. Anwar memberi arahan dari penjara untuk menubuhkan Parti Keadilan Nasional (kemudian bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia dan dinamakan Parti Keadilan Rakyat, PKR), sebuah parti berbilang kaum.

Dua dekad kemudian, demonstrasi jalanan tidak lagi dilihat “mengancam ketenteraman negara”, sebaliknya sebagai saluran rakyat meluahkan suara hati mereka. Dua dekad kemudian, PKR yang pernah disindir sebagai “parti nyamuk”, malah pernah kalah teruk sehingga bertahan dengan hanya satu kerusi parlimen (Permatang Pauh, tahun 2004) – bangkit sebagai parti politik terbesar (dari segi bilangan kerusi parlimennya) di Malaysia.

Mereka yang bersama dalam gerakan Reformasi sepanjang 20 tahun akan tahu liku-liku perjuangan ini. Perjuangan ini sarat dengan pelbagai “kemungkinan” dalam politik, di peringkat sejarah yang berbeza.

Misalnya, golongan bukan Muslim tertanya-tanya, apakah negara ini akan menuju ke arah pemerintahan ala-Taliban, andainya PAS yang mendominasi pada tahun 1999 mengambil alih kuasa kerajaan? Apakah Anwar akan kembali ke pangkuan Umno, setelah dibebaskan pada 2 September 2004? Apakah Mahathir akan hijack gerakan Reformasi, apabila Pakatan Harapan bekerjasama dengan beliau selepas Anwar disumbat ke dalam penjara pada tahun 2015?

Sesungguhnya semua perjuangan berdepan dengan risiko. “Kalau takut dengan risiko, usah bicara soal perjuangan,” antara kenyataan Anwar Ibrahim yang paling kerap dipetik ketika zaman Reformasi.

Hakikatnya, manusia sekadar mampu rencana sebaik yang mungkin. Mustahil kesemua perancangan kita berakhir sebagaimana yang diimpikan. Apapun, kita bersyukur, kerana sepanjang 20 tahun ini, ada juga mereka yang berhempas-pulas, tidak berputus asa, menyumbang dan berkorban untuk memperjuangkan perubahan yang dicita-citakan.

Impak Reformasi

Sedar atau tidak, impak Reformasi cukup besar. PAS misalnya, terbahagi kepada dua jalur politik lantaran tercetusnya Reformasi pada tahun 1998. Satu kumpulan mahu mengekalkan status quo, iaitu tidak berganjak dari prinsip asal perjuangan PAS; sementara satu lagi kumpulan mahu mengarusperdanakan PAS dengan melembutkan pendekatannya. Persaingan antara dua jalur politik ini menjurus kepada perpecahan pada tahun 2015, dengan tertubuhnya Parti Amanah Negara. Politik Islam tidak lagi dimonopoli PAS, dan masyarakat Muslim mempunyai lebih pilihan dengan kepelbagaian yang wujud.

Pada tahun 2008, Anwar Ibrahim cuba menggandingkan semula parti komponen Barisan Alternatif, dan beliau berjaya mencetuskan tsunami politik dengan menafikan majoriti dua pertiga BN buat kali pertama dalam sejarah, dan memerintah di lima buah negeri. Pakatan Rakyat ditubuhkan selepas PRU12, dan pembangkang sedar keperluan untuk membentuk gandingan jikalau bercita-cita untuk memerintah.

Landskap politik terbaru menuntut transformasi DAP, untuk menampilkan diri sebagai parti untuk semua. Formula pembangkang inilah yang memberi saingan sengit terhadap Umno-BN dalam 10 tahun kebelakangan.

Ringkasnya, dari tahun 1998 hinggalah 2018, Reformasi telah mengajar kita agar tidak akur kepada “takdir”. Keterlibatan massa dalam politik boleh membentuk satu senario, di mana sang penguasa gagal bertindak mengikut nafsu kuasa sewenang-wenangnya. Daripada memikirkan pemilihan calon yang sempurna untuk menerajui tampuk kuasa, kita beranjak untuk memikirkan pembinaan sistem semak imbang yang utuh dan berkesan untuk menyekat kuasa politikus.

Reformasi 20 tahun ini mengajar kita, agar tidak lagi menjadi tukang tilik untuk meramalkan masa depan mengikut pengalaman yang lalu. Seandainya Anwar membuat keputusan pada September 1998 dengan merujuk kepada pengalaman Musa Hitam, maka Reformasi tidak akan tercetus, dan kita tidak akan tahu apa yang akan berlaku selepas dua dekad.

Sesungguhnya, gerakan Reformasi ini tidak sempurna. Ramai yang datang dan pergi, ramai yang diuji tetapi tidak teruji. Namun kesemua ini adalah lumrah dalam hidup, malah terlalu remeh jikalau diangkat untuk menafikan impak yang dibawanya terhadap lanskap politik Malaysia, dan juga diri kita.

Apapun, gerakan Reformasi telah menyempurnakan misinya untuk menumbangkan rejim Umno-BN selepas dua dekad. Kini masanya Reformasi mentransformasikan gerakan ini untuk keperluan zaman seterusnya.


LIM HONG SIANG bekas editor Merdeka Review edisi bahasa Melayu dan penyunting buku Tsunami Cina: Retorik atau Realiti?

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS