Paling Popular
Terkini

Sempena Art Expo iaitu acara besar yang berlangsung di Matrade, Kuala Lumpur sehingga 14 Okt ini, kami mengambil risiko sedikit dengan menulis perihal dalaman seni catan negara.

Doakan agar kami tidak disisih oleh komuniti seni catan negara dek tulisan kali ini.

Mari kita mulakan.

Antara matlamat penubuhan Studio Rajawali di Kuantan, Pahang ialah untuk mengalih tumpuan para pengumpul karya seni yang dilihat hanya berlegar di sekitar Kuala Lumpur kepada kawasan yang dianggap pingiran.

Kami beriltizam untuk membuktikan bahawa hasil seni boleh dikeluarkan tanpa berkampung di kota-kota besar. Dan ternyata kami berjaya melakukannya.

Studio kami menjadi agak terkenal dan dilawati hampir setiap hari oleh mereka yang datang dari dalam dan luar negara.

Maka kejayaan itu telah menimbulkan keyakinan kepada pengkarya yang duduk di studio tersebut.

Makan selalu bersama

Daripada sembilan artis yang aktif berkarya, hanya dua orang berkerja tetap manakala selebihnya ialah artis/pelukis sepenuh masa.

Tiga dari mereka lulusan jurusan seni, seorang jurusan perladangan dan selebihnya belajar dan dewasa dengan pengalaman.

Memang ada ketikanya pelukis di Rajawali menghadapi masalah, tetapi dengan sokongan dari rakan-rakan, kami dapat bertahan sehingga 10 tahun.

Untuk mengekalkan kelangsungan, apa yang berlaku di Rajawali ialah, jika ada mana-mana pelukis yang berpendapatan lebih sedikit, mereka akan membantu rakan-rakan yang dalam kekurangan.

Kami berkongsi dalam banyak hal. Makan pagi bersama, tengah hari juga dan minum petang adalah ritual.

Tidak ada sebarang sewa dikenakan ke atas artis yang tinggal di studio itu, selain tiada sebarang komisyen diambil apabila karya mereka terjual di galeri kami.

Kami juga berkongsi bahan - kanvas dan warna, malah berus.

Bagaimanapun, ada juga seorang rakan kami yang mengunci bahannya dalam lemari kerana bimbang digunakan oleh rakan yang lain.

Iyalah, di dalam lumpur pasti ada lopak air jernih.

Daripada pemerhatian kami, ini tidak berlaku dalam suasana seni catan negara ini.

Amat payah untuk didapati seorang artis yang sudah dikenali - dan sedang teguh dari segi kedudukan dan pendapatan - membantu artis muda untuk kuat bertapak.

Malah artis muda dianggap saingan kepada artis yang lebih senior.

Payahnya membentuk pemikiran

Mereka saling berebut pembeli karya, dan tentulah yang tewas lazimnya di kalangan pengkarya muda.

Sebagai perbandingan, adalah menjadi kebiasaan kepada artis bernama Heri Dono dan Nasirun di Yogya sana untuk menghulurkan bantuan kewangan kepada artis yang baru mencari tapak.

Ia menjadi sesuatu yang lumrah - di Yogya - dan artis senior berasakan menjadi tanggungjawab mereka untuk memberi dorongan materi dan juga semangat kepada artis muda.

Lagipun, siapakah lagi yang lebih memahami keperitan untuk hidup sebagai seniman melainkan seniman itu sendiri?

Dengan latihan yang gigih, semua orang boleh memiliki kemahiran menghasikan lukisan, namun untuk membentuk pemikiran dalam karya adalah sesuatu yang amat payah.

Inilah yang membezakan antara seorang tukang dan seniman.

Kami bertengkar - dan ada masanya bermasam muka - apabila membicarakan karya. Malah pernah berlaku seorang artis menangis apabila diasak supaya menceritakan isi karya.

Setiap seniman wajib tahu mengapa mereka menghasilkan apa yang mereka kerjakan.

Walaupun masih ada kalangan artis Rajawali yang menjadi tukang namun sekurangnya mereka tahu mengapa mereka bertukang, dan reda menjadi pelukis upahan.

Itu pun bukanlah satu kesalahan.

Pilihan ada di tangan masing-masing dan kedua-duanya bukan dosa yang tidak terampun apabila dibuat.

Bulu ekor kuda Andalusia

Namun apabila kamu memilih untuk dilihat sebagai artis yang konon lebih baik daripada mereka yang memilih untuk mengambil upah, maka kamu wajib tahu apa yang kamu kerjakan.

Hari ini artis muda - apabila ditanya apa yang mahu mereka sampaikan melalui karya - biasanya mereka akan mula menceritakan perihal teknikal jika pun mereka tidak mula menyorok di balik tiang, seperti kata sahabat kaml tempoh hari.

Mereka cergas menceritakan tentang berus, warna dan apa-apa yang diperlukan untuk menghasilkan karya mereka sedangkan itu perkara yang membosankan.

Siapa peduli jika berus yang kamu gunakan diperbuat daripada ekor kuda binal dari Andalusia? Sedangkan ada seniman yang berjaya di Malaya ini hanya menggunakan penyapu lidi kelapa yang berharga RM1.50 untuk berkarya. Karyanya pula kini bernilai ratusan ribu ringgit.

Apa yang kami mahu tahu ialah, mengapa kamu lukis apa yang kamu lukis? Kami juga mahu tahu apa ‘statement’ karya itu. Bukan bagaimana kamu menghasilkannya tetapi mengapa kamu menghasilkannya.

Inilah masalah paling besar dialami pelukis muda di Malaya ini, yakni menghasilkan karya tanpa tahu mengapa mereka melakukannya.

Yang mereka tahu ialah menghasilkan karya yang boleh dijual.

Mereka berkerja untuk menghasilkan karya sebanyak mungkin untuk mengejar pameran, dan karya yang dihasilkan pula sukar dibezakan pelukisnya.

Rata-rata pelukis muda hari ini meniru apa yang dihasilkan oleh guru mereka tanpa mahu jadi diri sendiri.

"Influeance" sebenarnya berbeda daripada "copycat".

Mereka sama ada mahu menjadi Jai atau Ahmad Zaki. Mahu dipanggil next Amron atau Bayu Utomo yang satu lagi.

Baju digelakkan ayam

Kerana mahu lulus dalam pelajaran maka mereka menjadi pelajar sama seperti mana pelajar-pelajar jurusan lain. Mereka menghafal untuk mendapat sijil dan berharap nanti setelah tamat pengajian akan menjadi seniman besar yang disanjumg dunia.

Selamat maju jaya kami ucapkan kepada mereka.

Untuk makluman, belum ada walau satu pun karya pelukis Malaya ini yang disimpan oleh Muzium Tate Modern, Guggenheim, Moma atau mana-mana muzium seni ternama dunia.

Hari ini telah berlaku lambakan karya di Malaya ini. Termuntah kita dek banyaknya pameran. Hampir setiap hari ada saja acara pembukaan pameran dan ini belum dikira karya yang tidak masuk pameran, sedangkan pada masa sama orang yang mengumpul tidak juga bertambah.

Minat dalam menghargai karya seni amat lemah di negara kita dan tentu saja jawapan mudah daripada kita - yang berkarya - kepada keadaan ini ialah kerana masyarakat tidak tahu menilai karya agung yang kita hasilkan.

Apa yang kita buat untuk mendekatkan semua kepada magnum opus kamu itu sedang sesama artis pun kamu berpuak?

Kamu duduk dalam kelompok sendiri dan berasa kamu adalah seniman besar.

Hanya kerana kamu lulusan sekolah seni maka kamu tidak melayakkan diri kamu bergaul dengan mereka yang belajar daripada pengalaman.

Kamu wujudkan kasta hanya kerana kamu ada sekeping kertas. Apa bezanya kamu dengan mereka yang memuja Brahmin dan menghina pariah?

Jika benar kamu adalah lebih bagus daripada mereka maka menjadi tanggungjawab kamu membimbing mereka supaya tidak terus kekal melukis pokok kelapa dan gunung sepi, ombak laut dan perahu kajang.

Yang melukis ombak laut dan perahu kajang pun satu hal juga. Yang itu-itu jugalah mahunya. Pergi ke hujung dunia pun dicarinya perahu kajang dan pohon kelapa.

Akhir sekali, lupakan saja impian untuk melihat kerajaan membantu kita semua dalam hal memajukan seni negara.

Mereka punya banyak hal yang perlu dibereskan. Mengajar wakil mereka tatacara berbasa-basi dengan rakyat, misalnya. Atau mungkin juga memperkenalkan apa yang dipanggil pakaian yang selesa, yang tidak ketat lagi sendat.

Berbaju dan seluar ketat hanya sesuai jika kamu bercadang untuk pergi menyelam. Berpakaian demikian di daratan hanya akan ditertawakan oleh ayam.

Kami tahu kerana kami seniman.

Dasar apa sekalipun yang digubal untuk seni negara, tidak mungkin membantu jika kita hanya menghasilkan karya yang ikut-ikutan.

Karya-karya dari pameran Biennale Shah Alam menghiasi arkitel kali ini. Pameran sempena acara ini diadakan di Galeri Shah Alam dan juga Galeri Tapak yang juga terletak di Shah Alam.

Pameran berlangsung sehingga pertengahan November.


ABDULLAHJONES ialah pelukis kelas tiga yang meyakinkan dirinya bahawa beliau adalah seniman negara gred satu.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS