Kongres Kepentingan Bangsa berlalu sepi...
Kongres Kepentingan Bangsa berakhir Sabtu lalu dengan meluluskan 29 resolusi yang mencakupi ekonomi, pendidikan dan sosial budaya. Persidangan anjuran gabungan 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu itu, telah dihadiri lebih 1,000 peserta yang terdiri daripada tokoh korporat, ahli akademik, sasterawan dan budayawan, ahli undang-undang, ahli bahasa, ahli politik Melayu dan orang perseorangan yang masih memiliki aura perjuangan Melayu.
Perhimpunan yang mengumpulkan cerdik pandai dan pemikir Melayu ini mempunyai agenda besar untuk orang Melayu. Malangnya pihak media dan kerajaan seolah-olah memperkecilkan usaha yang diterajui oleh Tengku Razaleigh Hamzah itu.
Kongres ini mirip Kongres Ekonomi Bumiputera yang pernah diadakan beberapa dekad lalu dan sama gahnya dengan Kongres Pendidikan Melayu yang diadakan tidak lama dulu. Namun dari segi pendedadahan dan publisitinya, ia seperti tidak wujud.
Dari segi penyertaan sektor awam atau tokoh politik Umno pula, ia amat menyedihkan. Hanya beberapa kerat yang berani hadir hingga menyebabkan Ku Li melahirkan kekecewaannya terhadap sikap mereka yang terlalu penakut, mementingkan diri sendiri dan prejudis itu.

Kalau kita meneliti akhbar-akhbar arus perdana berbahasa Melayu sepanjang hari Sabtu dan Ahad lalu pula, tidak sampai setengah halamanpun diperuntukkan bagi liputan kongres ini. Pada hari Sabtu, hanya ucapan perasmian Ku Li disiarkan dalam akhbar-akhbar utama.
Sebaliknya akhbar-akhbar berhasa Cina pula memberikan liputan yang lebih meluas hingga mencetuskan kontroversi antara Ku Li dengan pemimpinpemimpin parti berasaskan kaum Cina.
Media massa arus perdana berbahasa Melayu termasuk televisyen seperti memboikot kongres ini.
Tidakkah kongres yang membincangkan masa depan dan perjuangan bangsa Melayu ini penting? Mungkin terlalu sibuk dengan Forum Keamanan Global yang diterajui mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agaknya, hingga terlupa adanya satu kongres bangsa Melayu sedang berlangsung di ibunegara.
Anjuran orang pencen
Mungkinkah kerana ia dirasmi dan dinaungi oleh Ku Li, maka kongres ini dipandang sepi? Adakah kerana ia dianjurkan oleh mereka yang berada di luar kerajaan serta orang-orang pencen, maka akhbar arus perdana tidak mahu memandangnya, walaupun dengan sebelah mata?
Sebenarnya, bangsa Melayu yang akan rugi besar jika media dan kerajaan memandang sepi kongres ini. Diharapkan hanya perjalanan kongres itu sahaja yang diperkecilkan, bukan resolusinya.
Kita berharap 29 resolusi itu, yang diputuskan dan akan dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, akan diberikan perhatian sewajarnya. Semoga resolusi itu tidak tinggal resolusi, tidak dibakulsampahkan begitu sahaja.
Antara lain, resolusi itu merumuskan tujuh perkara berhubung pendidikan, antaranya:
Mendesak kerajaan menilai semula keutuhan dan keberkesanan sistem pendidikan negara yang belum pernah dibuat sejak merdeka.
Mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, dengan mengembalikan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik. Dan pada masa yang sama mempertingkatkan pengajaran subjek Bahasa Inggeris dengan serius.
Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dimansuhkan secara tuntas kerana ia mewujudkan suasana yang tidak sihat dan kondusif bagi pertumbuhan kecerdasan minda, kebebasan berfikir dan kreativiti di kalangan para akademik dan mahasiswa.
Kerajaan didesak mengembalikan semula geran perkapita Sekolah Agama Rakyat (SAR) supaya berfungsi seperti asal dan mengembangkan sektor pendidikan aliran agama.
Resolusi ekonominya membabitkan lapan ketetapan, antaranya:
Mendesak kerajaan mempertahankan hartanah orang Melayu seperti Tanah Rezab Melayu yang tersepit di seluruh negara ketika ini.
Meminta syarikat multi nasional negara, Petronas berperanan sebagai agensi penjana yang bertanggungjawab dalam melahirkan usahawan-usahawan Melayu dalam bidang gas dan minyak.
Memperkenalkan Akta Makanan Halal Malaysia supaya industri makanan halal berkembang di kalangan orang Melayu dan Islam. Sebuah Perbadanan Industri Makanan Halal hendaklah diwujudkan bagi menjadikan Malaysia sebagai Halal Hub.
Meneruskan matlamat dan falsafah DEB secara berkekalan supaya pencapaiannya menggambarkan komposisi penduduk Malaysia dalam proses penjanaan kekayaan baru.
Usul sosial budaya
Sebanyak 14 usul sosial budaya juga telah diputuskan, antaranya:
Mendesak kerajaan menubuhkan satu pasukan peguam-peguam Melayu untuk mengkaji pelanggaran terhadap peruntukan dan undang-undang menyentuh kepentingan dan hak istimewa Melayu.
Badan Pencegah Rasuah (BPR) dijadikan badan bebas dan bertanggungjawab kepada Parlimen demi memainkan peranan berkesan memerangi gejala rasuah yang meluas dewasa ini.
Mendesak kerajaan supaya membudayakan masyarakat melalui amalan demokrasi yang tulen dan telus serta memulih dan memperkukuhkan institusi-institusi urustadbir negara termasuk institusi raja.
Persidangan ini juga menganjurkan agar semua pihak menjaga dan memelihara integriti kekeluargaan yang semakin rapuh.
Ia juga merumuskan untuk menolak fahaman dan amalan gerakan Islam liberal dan mencegah daripada berkembangnya pemikiran Melayu liberal.
Dasar Kebudayaan Kebangsaan perlu diperundang-undangkan dalam bentuk akta seperti dasar bahasa dan dasar pendidikan.
Kebudayaan Melayu yang berteraskan Islam hendaklah disuburkan dan diterapkan dalam pentadbiran, pendidikan dan bidang-bidang lain.
Sekretariat NGO
Penganjur kongres ini juga bersetuju mewujudkan sebuah Sekretarit tetap NGO-NGO Melayu yang akan menggerakkan perjuangan dan aspirasi umat Melayu. Dalam menilai hasil kongres ini, semua pihak perlu bersikap terbuka. Jangan sekali-kali melihatnya dari sudut politik yang sempit atau kepentingan kumpulan masing-masing.
Tidak perlu berasa curiga terhadap " nawaitu" Ku Li dan "orang-orang pencen" yang menyokong usaha ini. Kongres ini tidak menguguat kepentingan politik Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Mukriz Mahathir atau Khairy Jamaludin.
Sebaliknya ia akan mengukuhkan kedudukan politik mereka dan menaikkan imej kerajaan jika reformasi yang dicadangkan diterima. Ia perlu ditimbang dan dipandang semata-mata dari aspek kepentingan Melayu!