Paling Popular
Terkini

Arkib Negara yang ditubuhkan sejak 1 Disember 1957 pada awal penubuhannya lebih dikenali sebagai Pejabat Rekod Awam, dan mulai diberi nama Arkib Negara pada tahun 1963. Sudah tentu, sebagai seorang pengkaji dan felo penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaysia, Arkib Negara adalah salah satu lubuk penyelidikan yang mesti digulati. Wibawa Arkib Negara Malaysia bukan calang, dalam tahun 2009, badan ini pernah memenangi Anugerah UNESCO Jikji Memory Of The World Prize 2009. Jikji Memory of The World Prize merupakan anugerah berprestij dalam usaha pengkanunan warisan negara. Bahkan kerja-kerja pengesanan bahan di negara lain meskipun tidak giat (mungkin atas faktor kekangan kewangan) tetap kekal dijalankan.

Pun, lain lubuk lain ikannya. Arkib Negara mempunyai pengkhususan yang sangat berbeza, katakan dengan Perpustakaan Negara atau Muzium Negara kerana ia menyimpan - sangat menyimpan - rekod-rekod kerajaan dan sejarah negara ini.

Beza ‘sifat’ Arkib Negara ini, menurut saya, kurang dikincah dengan baik agar lebih menyerlah dan tidak hanya menjadi sebuah tempat kusam. Dalam erti kata lain, Arkib Negara hanya terbenam menjadi lubuk tumpuan sejarawan dan pengkaji tetapi serasa tidak ada hubungannya dengan masyarakat awam. Tentu, ada pameran dan seminar dianjurkan tetapi peranan sebuah arkib, tentu, bukan itu sahaja. Tentu, penerbitan Arkib Negara boleh lebih menarik dari sekadar merakam dan menonjolkan semula dokumen, misalnya rekod seputar pulau Batu Putih. Juga, tentu penerbitan kerjasama seperti dokumentari Road to Nationhood belum dapat dianggap memadai. Kuiz di sekolah terpilih masih belum merata.

Arkib Negara memerlukan suatu kerangka yang lebih segar dalam hala tuju di Malaysia Baru. Saya menyarankan Arkib Negara menggunakan kerangka Les Lieux de mémoire yang melihat memori sebagai satu nyawa atau ‘makhluk’ yang terdedah kepada keluputan, kelupaan dan perlu sentiasa dipugar dan disantak berkali-kali agar kekal diingati. Untuk tujuan itu, Arkib Negara boleh mengetengahkan beberapa strategi untuk mendekati, atau didekati oleh masyarakat, dan bukan sekadar pelajar dan ahli akademik.

Satu tugas yang perlu disandang oleh Arkib Negara ialah mengangkat pengisahan negara ini. Hebahan itu tidak cukup dengan media massa sahaja (ya, kita akur Arkib Negara erat hubungannya dengan katakan RTM) tetapi juga perlu diperhebatkan di media sosial.

Apakah contoh pengisahan yang boleh diperagakan Arkib Negara buat orang ramai?

Pertama, kita sedia akur Arkib Negara telah menghimpun dan melakukan kerja dokumentasi yang bermakna. Katakanlah, pihak Arkib memperoleh bahan berupa surat persendirian tokoh terkenal; katakan Datuk Seri Dr Ahmad Khan bin Nawab Khan. Bahan ini tentu sahaja boleh segera diperagakan setelah diproses untuk simpanan atau diarkib. Usaha peragaan ini perlu dilakukan dengan mengenal pasti ahli akademik dan pengkaji di universiti yang memberi perhatian, katakan, kepada perkembangan dan sejarah seni muzik tanah air.

Pengkaji dan penyelidik di universiti dapat melihat sudut atau bucu sejarah yang menarik, dan mungkin terlepas pandang oleh penjawat awam di Arkib Negara yang bekerja atas nama pekerjaan. Nota-nota muzik yang mungkin berbentuk contengan oleh komposer tersohor itu mempunyai nilai yang bukan sedikit. Tentu, seorang sarjana muzik sebagai contoh Tujeri Shah Abdul Razak dari Aswara akan dapat memberi tumpuan dan pengisahan kepada, katakan, penciptaan lagu 'Kau Kunci Cintaku (Dalam Hatimu)'. Mereka yang membesar dalam era 1980-an amat ingat, dan berbekas dalam memori mereka album studio kedua dari penyanyi pop Malaysia, Ramlah Ram tersebut. Lagu dari album tahun 1988 ini adalah dari album pertama yang mencapai jualan 300,000 unit di Malaysia. Bukan sahaja lagu 'Kau Kunci Cintaku (Dalam Hatimu)’ dianggap berhantu kerana nyaring jerit Ramlah, ia juga menjuarai carta radio seluruh negara. Lagu lima minit 16 saat ini turut memenangi tempat pertama dalam pertandingan Juara Lagu pada 1988 di samping memenangi persembahan terbaik (siapa akan lupakan baju dengan sulam hati yang tidak menyala itu). Sudah tentu, lagu ini menjadi lebih berbekas lantaran lirik nukilan Mama Juwie yang mengakibatkan seluruh bulu roma kita tegak berdiri. Apakah Ahmad Nawab ada memerikan kisah di sebalik penciptaan lagu ini?

Barangkali untuk sesetengah pihak anjuran di atas terasa sensasi, akan tetapi ia sangat penting dalam menemukan titik erat dengan masyarakat. Ini mustahak agar hubungan hambar arkib dengan orang awam dapat diperbaiki.

Kita tidak tahu, Arkib Negara belum, atau masih lambat, atau tidak cukup berkesan memperagakan sisi menarik dari perolehan bahan tersebut.

Arkib Negara telah banyak melakukan kerja dokumentasi daripada tokoh-tokoh tertentu seperti Tan Aik Huang yang merupakan pemain skuad Piala Thomas untuk tahun-tahun 1964, 1967, 1970 dan 1973 tetapi sejauh mana muatan menarik dari pengisahan itu dikongsi dengan awam tidak terasakan.

Peranan Arkib Negara kekal kurang dikenali atau tidak dirasai oleh ahli masyarakat. Di sinilah pemanfaatan media sosial dapat dilipat gandakan agar orang biasa di luar sana merasakan Arkib Negara telah melakukan bahagian dari penyuburan rasa semarak sejarah dan pengisahan negara.

Kedua, kerja lebih berat dan besar untuk Arkib Negara ialah menyediakan naratif mengenai negara kita, Malaysia. Ia bukan sahaja untuk tujuan pendidikan tetapi juga demi tujuan pemahaman. Baru-baru ini saya cuba mengesan sebuah majalah gaya hidup bernama Eh! untuk tahun-tahun 2000 sehingga 2003. Selain kerana saya sendiri punya novelet bersiri dalam tahun-tahun tersebut, iaitu “Jendela Berlangsir Hujan”, majalah itu sebetulnya memaparkan refleksi gaya hidup masyarakat Malaysia ketika era yang penuh keresahan dan polemik yang dikenal oleh mereka di usia 40-an dan 50-an sebagai Era Reformasi. Tentu majalah ini tidak dirasai sebuah dokumen, sedangkan ia sebetulnya adalah satu keterangan atau ‘statement’ budaya yang mencerminkan gejolak generasi tersebut yang ketika itu berada di pertengahan usia 20-an, dan 30-an.

Tugas ‘menulis naratif’ ini akan dirasa lebih berat dipikul jika katakan, sebagai contoh, Arkib Negara perlu mengeluarkan dan ‘memandu’ naratif, katakan – hubungan Malaysia dengan jiran-jirannya – kerana ia tidak selalu aman sebelum adanya syarikat penerbangan Air Asia yang membawa kita ke semua negara Asean dengan tambang murah dan skirt merah pendek pramugarinya.

Tahukah orang awam sebagai contoh sikap Presiden Macapagal dari Filipina terhadap penubuhan Malaysia dalam tahun 1963. Hubungan Malaysia dan Filipina pernah tegang dalam tahun 1998 apabila pasukan TLDM kita menduduki (dengan sah) Terumbu Layang-Layang, Terumbu Mantani dan Terumbu Ubi. Kita malah mengutus tiga pesawat juang F-5 ke Labuan. Pergolakan di laut itu berterusan sehingga Ogos dan September 1988 apabila tentera laut kita menahan nelayan Filipina di Terumbu Laksamana.

Kita juga mempunyai sejarah panjang dengan Indonesia (tahukah generasi sekarang perihal Konfrontasi?), melibatkan Thailand (tahukah pembaca muda sejarah dan hubungan Patani dengan negara ini) dan gejolak period Malaysia untuk Singapura dalam tahun-tahun 1963-65. Ini semua memerlukan pemanduan naratif dengan kerangka yang tersusun.

Ini adalah memori nusa bangsa yang perlu terus dihidupkan.

Ketiga, Arkib Negara perlu bekerjasama dengan pihak bukan kerajaan untuk meluaskan dialog mengenai isu tertentu dan di pihak Arkib Negara dapat menyediakan bahan. Hari ini, ruang masyarakat sivil semakin canggih dan juga kompleks. Dialog anak muda berlaku di kedai kopi dan taman seperti mana dilakukan Buku Jalanan, atau Kubu Buku tetapi juga merebak oleh kelab dan kumpulan sivil seperti Sisters in Islam, Ideas, Projek Dialog, TFTN dan Empower. Bahkan, penerbit buku seperti Fixi, Dubook dan Gerak Budaya turut mengambil peranan aktif mengadakan forum dan dialog khusus dalam subjek-subjek terlarang dan taboo melibatkan sejarah gerakan kiri, hak asasi manusia, perjuangan kaum minoriti, terorisme dan kumpulan jenayah terancang. Arkib Negara perlu berada di tengah-tengah ini agar peranannya kembali dirasai seperti mana pada zaman kita (yang berusia 40-an) tertunggu-tunggu ‘snipet’ Hari Ini Dalam Sejarah yang serasa berbuku dalam jiwa dan kalbu.

Kumpulan anak muda (sekadar beberapa) yang saya sebutkan di atas terasa kecil saiznya tetapi berpengaruh dalam mencorakkan gagasan dan sarwa pandang kumpulan masyarakat tertentu.

Gerakan BERSIH misalnya mempunyai perjalanan sejarah yang menarik dan turut membantu perubahan yang dilakukan oleh rakyat Malaysia pada 9 Mei 2018 lepas, adakah kita sempat (atau sudah pun)mengarkib dan mendokumentasi penubuhan, mengumpul minit mesyuarat, diari pertikaian sesama ahli jawatankuasa, koleksi foto demonstrasi dan rekod perlawanan mereka dengan pihak berkuasa ketika itu?

Bahan ‘Seminar Perlembagaan Malaysia’ di Arkib Negara misalnya serasa benar satu hala dan hanya menampung jurus fikir tertentu. Ambil sahaja kertas Mahamad Naser Disa yang sudah tentu sahaja mempunyai kebalikan lain. Mengapa tidak catatan Honey Tan dari Coalition of Malaysian NGO (COMANGO) 2013 ketika berdepan dengan tekanan administrasi Najib Razak dalam menyediakan laporan Universal Periodic Review diketengahkan pula?

Memori ada laci alternatifnya, dan ini penting dirakam.

Arkib Negara perlu tidak sepihak lagi. Dalam erti kata lain Arkib Negara perlu menyesuaikan diri dengan naratif Malaysia Baru dalam kerangka Les Lieux de mémoire. ‘Kau Kunci Cintaku (Dalam Hatimu)’ dendangan Ramlah Ram sudah menjadi satu lipatan sejarah, tetapi ia juga memori yang perlu dikembalikan, kerana bukan sahaja Ahmad Nawab dan arwah Juwie, tetapi ia refleksi pentadbiran Tun Dr Mahathir 1.0.

Di celah rintih keluh kesah Ramlah Ram pada tahun 1988 itu terdapat krisis kehakiman, penahanan 106 ahli politik dan aktivis tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, pengharaman Umno, penulisan cerpen ‘Seketul Hati Seorang Pemimpin’ oleh Shahnon Ahmad dan penyertaan Datuk Seri Azmin Ali ke dalam politik (tentu menerusi pintu Anwar Ibrahim). Tentu, Juwie tidak menciptakan demikian saja bait ‘Meronta hatiku menangis kernamu/Kau kunci cintaku di dalam hatimu’ di tengah kegelupuran siasah yang sengit.


FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Lihat Komen
ADS