Paling Popular
Terkini

Ketika Lim Gun Eng membentangkan belanjawan pada 2 November lalu, seorang kawan lama pantas menulis di Facebook. Jelas dia tak berkenan apa yang berlaku.

Katanya: “Selepas beberapa dekad, setiap tahun menteri Melayu membentangkan bajet negara. Kini dalam era Malaysia baru, menteri bukan Melayu bentang bajet. Macam janggal saja.”

Sedih dan sayu nadanya? Mungkin. Pun begitu mungkin juga, setelah meneliti apa yang tersurat dan tersirat, ada elemen ketuanan Melayu yang cuba di diutarakan ?

Mungkin ada, mungkin tidak. Tapi rasanya ada. Itu sekadar pada hemat saya.

Jika ada, adalah tidak memeranjatkan kerana kawan saya itu orang lama dalam Umno dan masih aktif memegang jawatan, kalau tak silap saya pada peringkat Umno negeri Selangor.

Radzi Mustapha namanya.

Ketuanan Melayu sejak kebelakangan ini timbul setelah agak lama menyepi atau disepikan. Kini ia “dimainkan ” semula oleh Umno serta beberapa NGO Melayu pro-Umno dan juga PAS sedikit sebanyak.

Posting kawan saya itu disusuli komen “peminatnya” yang boleh bikin marah atau bikin sedih orang bukan Melayu, khususnya orang Cina. Dan saya tak berhasrat mengulangi komen berkenaan.

Beberapa hari sebelum itu seorang lagi kawan lama membuat catatan dalam Facebooknya mengenai ketuanan Melayu.

Katanya “masyarakat Melayu ada beberapa peringkat atau golongan yang menentukan tahap ketuanan mereka”.

Lantas kawan saya itu menyenaraikannya seperti berikut:

1) Golongan istana /kerabat diraja
2) pemimpin politik
3) warga korporat dan ahli perniagaan
4) pegawai kanan kerajaan/GLC
5) profesional dan kakitangan swasta
6) kakitangan awam dan swasta
7) siswazah menggangur
8) petani /nelayan /pekerja am
9) penggangur tiada ijazah
10) gologan asnaf/fakir miskin.

Di manakah tahap ketuanan anda?

Bertanyalah kawan saya itu yang namanya Yusof Taib: “Di manakah tahap ketuanan anda? Apakah makna dan erti ketuanan Melayu kepada anda? Golongan Melayu manakah yang patut dipertuankan?”

Deep, bak kata orang zaman ini.

Membaca hujah itu saya teringat kata-kata Mahthir Mohamad tempoh hari: “Apa gunanya ketuanan Melayu kalau jadi kuli.”

Ada sedikit persamaan kata-kata Mahthir dengan apa yang diselitkan oleh kawan saya Yusof yang juga ahli seumur hidup Bersatu, pimpinan Mahathir.

Catatan Facebook kawan saya itu mengundang reaksi seorang lagi kawan (eh,berapa ramai kawanlah. Maaf.) Kawan ini pula – Malek Faisal Hyffny – ahli Pas yang sangat kuat “kepasiannya”.

Namun perlu diingat komennya ini dibuat secara peribadi dan bukan atas nama PAS.

Si ahli PAS ini melihat apa dicatat si ahli Bersatu sebagai “usaha mengelirukan isu” kerana baginya “ketuanan Melayu bukan mengenai golongan mana yang berhak jadi tuan”.

Sebaliknya ketuanan Melayu menurut Malek si ahli PAS ialah mengenai “orang Melayu sebagai pemilik Tanah Melayu”.

Maka “bertikam lidahlah” kedua-duanya.

Si ahli Bersatu mengingatkan si ahli PAS bahawa: “Rasullah SAW sendiri pun tak pernah letak dirinya atau bangsanya sebagai tuan, apa lagi gunakan ketuanan Arab demi kuasa dan harta”.

Banyak lagi yang diperkatakan oleh kedua dua kawan saya itu.Tapi tak perlulah saya memperincikannya.

Bagaimanapun saya “terpaksa membawa” seorang lagi kawan lama ke dalam penulisan ini. Zin Mahmud, bekas pengarang Utusan Malaysia dan bekas pengarang Harakah.

Dalam erti kata lain dia tahu hal Umno dan tahu hal PAS.

Zin dah lama bersara. Namun pemikirannya masih tajam. Bagi Zin, “Ketuanan Melayu itu suatu ilusi supaya kita terbuai-buai dalam mimpi.”

Saya pula pertama kali dengar akan ketuanan Melayu lewat 1980-an .Ia digunakan Umno ketika itu untuk meraih sokongan masyarakat Melayu dan nyata taktik itu berjaya.

30 tahun kemudian

Kini lebih 30 tahun kemudian, bekas pemimpin Umno Tan Sri Rais Yatim (yang cukup hebat khusus pada era itu) mengakui “ketuanan Melayu adalah satu laungan politik dan tidak ditulis di dalam Perlembagaan Persekutuan”.

Berbalik kepada Zin. Baginya “ketuanan politik tanpa ketuanan ekonomi membawa kepada korupsi”.

Lalu teringat pula akan kenyataan presiden Persatuan Transparency international Malaysia Akhbar Satar tempoh hari bahawa tekanan daripada isteri antara punca seseorang individu melakukan rasuah.

Maknanya si suami kena “queen control”, ditekan dan ikut apa saja yang dituntut si isteri sehingga si suami mengamalkan rasuah demi memastikan apa yang diingini si isteri tercapai.

Hatta saya bertanya, jika seorang pemimpin Melayu ditekan oleh isterinya yang juga Melayu sehingga mendorongnya kepada rasuah, itu contoh ketuanan Melayu atau kepuanan Melayu?


MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini di sana dan di sini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS