Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Minggu ini terdapat sehimpunan sasterawan sastera Melayu akan berkumpul beramai-ramai memeriahkan kota serambi Mekah di Selangor. Tatkala saya menulis artikel “Sastera adalah Makanan Anjing”; ada yang mengatakan saya hanya bercakap tentang diri (atau karya) saya, dan bukan untuk membela nasib pengarang lain. Kalau begitu, kerana saya ‘sesat’, biar kita memilih sasterawan dan penyair tersohor untuk kita jadikan sandaran hujah. Dalam tahun 2003, arwah T Alias Taib ada menulis sebuah cerpen yang sedikit aneh bentuknya dengan judul “Dialog Penulis”.

T Alias Taib untuk generasi baru yang kurang mengenali karyanya, adalah seorang penyair terhormat berasal dari Terengganu. Sebelum beliau meninggal dunia, sosoknya sempat saya kenali khusus sering terserempak di Medan Mara, atau Pertama di Kuala Lumpur. Kekuatan puisi T Alias Taib (bawah) tidak dapat dinafikan dan menyerlah menerusi kumpulan sajak Seberkas Kunci (1985), Opera (1988) dan Petang Condong (1996).

Cerpen beliau tersebut – "Dialog Penulis" – sangat kena rasanya dengan masa sekarang, yang mana, seperti kata saya di awal; dapat memberi gambaran siapakah atau apakah jenis-jenis sasterawan yang menggulati sastera Melayu.

T Alis. Gambar Goodreads.

Oleh sebab jenis-jenis sasterawan ini sudah diketengahkan oleh T Alias Taib, dapat dikatakan rencana saya ini bukan pula sejenis umpatan. Mungkin berguna untuk direnung jenis-jenis sasterawan yang disebutkan oleh T Alias Taib agar dapat Dr Maszlee Malik dapat menjadikannya satu panduan.

Jenis sasterawan pertama, menurut T Alias Taib adalah sasterawan yang “menulis kerana karyanya perlu dibaca”. Jenis ini tambah Tengku Alias “menulis kerana karyanya perlu dibaca bagi memenuhi tanggungjawab”. Ia berbeza dengan pengarang yang “ingin karyanya dibaca”, ia menulis untuk “mengejar populariti”.

Jenis sasterawan kedua, seperti yang dinyatakan oleh T Alias adalah pengarang yang berfikir, dan pemikirannya itu tumpah dalam karyanya. Ia seorang pengarang yang cintakan ilmu dan berusaha untuk membangunkan pembacanya. Untuk itu, dia perlu “lebih tahu” atau “lebih bijak” daripada pembaca. Menurut T Alias lagi, inilah kayu ukur mutu sesebuah karya. Kata T Alias, saya petik:

“Berfikir. Pengarang harus berfikir lebih jauh di depan pembaca. Kalau tidak, kalau paras berfikir pengarang dan pembaca sama, karya itu tidak meninggalkan kesan apa-apa, dan dorongan pembaca berfikir mati di situ. Sesiapa yang tidak mampu berfikir mengatasi pembaca, tidak usahlah memasuki dunia mengarang. Dia akan membuang masanya dan masa pembaca.”

Jenis sasterawan ketiga adalah, mungkin lebih dimaksudkan dengan penyair, kerana pengarang jenis ini adalah pengarang yang “mencari dan memilih kata-kata sesuai untuk tempat sesuai yang menggambarkan sesuatu keadaan, tempat dan seseorang”. Pengarang jenis ini berperan memberi makna dengan kata dan karyanya berfungsi untuk menolong “memperkayakan perbendaharaan kata”. Justeru membaca karyanya dipenuhi dengan keindahan dan kecanggihan kata.

'Zikir' ringgit

Sasterawan keempat tidak menuhankan wang. Menurut Pak Engku, sasterawan harusnya “tidak menulis untuk wang tetapi saya perlukan wang untuk menulis”. Beliau memberikan garis berbeza bahawa “menulis untuk wang” berbeza dengan “perlu wang untuk menulis”. Ini kerana katanya, pengarang tidak dapat berfikir “dengan saku kosong” dan mereka memerlukan wang untuk membeli buku.

Oleh sebab itu, Dr Maszlee akan menemukan pengarang yang menagih-nagih wang dan menzikir-zikir ringgit dan akan mendengar keluhan mengenai royalti dan imbuhan yang tidak dibayar, atau dipermainkan oleh penerbit, dan penjual buku. Kata Pak Engku:

“Saya selalu membaca rungutan dan rintihan seorang dua penulis mengenai wang; imbuhan yang tidak dibayar, imbuhan yang lambat dibayar, imbuhan yang tidak setimpal dengan sumbangan dan macam-macam lagi yang bersangkutan dengan wang. Rungutan itu kadang-kadang berlarutan hingga berminggu-minggu, berbulan-bulan. Penerbit ini hanya memikirkan keuntungan semata-mata bukan penat-lelah penulis. Mereka memikirkan kepentingan diri bukan pengorbanan penulis. Mereka tidak pernah menghormati keringat penulis yang mengalir. Saya fikir ini ada kena mengena dengan undang-undang hak cipta kita yang rapuh, longgar dan mudah diputarbelitkan. Inilah akibat penulis terlalu bergantung kepada penerbit sehingga mudah dipermainkan.

Kelima, barangkali bukan sangat mengenai jenis pengarang; tetapi lebih seputar keinginan elitis sastera untuk membidak dan menidak pengarang yang bukan ‘gengnya'. Kata T Alias dalam cerpen Dialog Penulis; “Malaysia suka mengasingkan dan mengelompokkan penulis”.

Dr Maszlee (atas) akan mendengar daripada mulut sasterawan yang berhimpun kelompok-kelompok seperti penulis muda, penulis mapan, penulis Melayu, penulis bukan Melayu, penulis berijazah, dan juga penulis tidak berijazah. T Alias Taib meminta supaya dipersetankan saja kelompok-kelompok yang dicipta itu. Ini kerana menurut beliau “yang penting mutu, bukan pengasingan”. Tentu sahaja mutu karya tidak bergantung pada usia, ras etnik, dan pencapaian ijazah; bahkan Alias mengatakan hanya mutu karya “yang akan kita bawa ke pentas persuratan dunia” dan bukan yang lain-lain.

Akhir sekali, jenis pengarang yang disentuh oleh Dr Maszlee adalah pengarang yang menjadikan penulisan ini “suatu kerja yang serius”. Pengarang atau sasterawan yang serius ini menurut T Alias datang “dengan disiplin yang tinggi, segala-galanya dapat diurus dengan baik”.

Mohd Affandi Hassan. Gambar Goodreads.

 Untuk rekod, seorang pengarang lain yang selalu mengetengahkan jenis-jenis sasterawan dalam karyanya adalah Mohd Affandi Hassan. Affandi, mungkin jauh lebih berterus terang dan menggigit berbanding T Alias Taib. Tulisan-tulisan beliau yang menghukum dan menghakimi sasterawan banyak terhimpun dalam karyanya, Pujangga Melayu. Namun demikian saya tidak akan membincangkan jenis-jenis sasterawan yang dibahaskan oleh beliau. Diskusi Affandi tentang sasterawan sudah masuk ke dalam liga lain.

Akan tetapi saya tidak memilih jenis-jenis sasterawan yang disuguhkan Affandi untuk diketengahkan bukan kerana saya tidak menyukai dia. Saya hanya ingin membentangkan jenis-jenis sasterawan yang dikemukakan T Alias Taib kerana himpunan sasterawan itu sebahagian besarnya mengenal dan pernah membaca karya Pak Engku. Juga untuk menunjukkan, sejak hidup dan sesudah matinya Pak Engku – masalah sasterawan kita tetap sama – dan kalau kiamat kebetulan datang Jumaat ini, sayang masalah sasterawan kita belum juga usai.

Nyanyi, gita yang serupa

Keluhan yang akan didengari oleh YB menteri kelak dari sasterawan akan berlegar sekitar itulah. Seputar balik-balik jangan menulis yang pop, atau mesti menjadi sasterawan pemikir. Kemudian keluhan jangan dipuak-puakkan pengarang itu mengikut selera elitis sastera semata-mata. Atau tentang mutu karya yang entah apa aras ukurnya. Tercelah juga hal-hal royalti dan rayuan agar buku dicetak kembali, supaya dapat royalti terus-menerus. Kadang terdengar perihal keseriusan atau main-mainnya pengarang.

Pokoknya yang itu-itu sajalah sejak sebelum 2003, dan selepas 2003 iaitu tahun cerpen “Dialog Penulis” dikarang. Untuk pengetahuan Dr Maszlee, sejak saya mulai menulis dalam tahun 1989, saya tidak pernah terdengar yang lain dari yang disebut-sebutkan di atas. Sesekali akan ada pengarang berebutkan ruang sastera kebangsaan, atau ruang sastera Islami. Ada satu dua polemik yang meloyakan seperti lobi ingin jadi sasterawan negara. Sastera Melayu masuk perangkap yang dibina sendiri, dan berkincah dalam perangkap itu sampai mati.

Himpunan apa pun daripada sasterawan akan terdengar nyanyi dan gita yang serupa. Untuk yang muda belia akan mudah terpesona. Untuk yang jelak dan sudah muak akan diam di sudut membuat kerja.

Jumaat esok kiamat, tetapi aduh masalah sastera Melayu tak sempat diselesaikan.


FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS