Paling Popular
Terkini

Dalam sebuah tulisannya bertajuk “Seruan” di majalah Pengasuh, pada tahun 1918; ulama Kelantan Muhammad Yusuf Ahmad atau lebih dikenali sebagai Tok Kenali pernah menulis mengenai tugas dan tanggungjawab seorang pengarang.

Tok Kenali menimba ilmu agama di Mekah di bawah Sheikh Ahmad Muhammad Zain al-Patani dan pernah juga menuntut di Mesir, iaitu bersama-sama gurunya yang dikenal sebagai Tok Guru Wan Ahmad. Setelah 22 tahun di Timur Tengah, Tok Kenali pulang ke Kelantan dalam usia 40 tahun pada tahun 1908. Beliau meninggal dunia dalam tahun 1933.

Semasa di Kelantan, selain mengajar agama; Tok Kenali turut menterjemah Tafsir al-Khazin dan menulis di majalah Pengasuh. Pun, selain tulisan-tulisan seputar agama Islam; Tok Kenali juga menghasilkan karya kreatif yang dapat kita rujuk sebagai cerpen pada hari ini. Kebanyakan cerita pendek Tok Kenali ini disusun oleh Abdullah al-Qari Salleh. Sudah tentu, sebagai karya yang dikarang oleh seorang ulama, kerja Tok Kenali amat terasa didaktiknya.

Kembali kepada catatan Tok Kenali berjudul “Seruan” di majalah Pengasuh (1918) tersebut, al-Marhum menulis begini, antara lain:

“Telah mengakulah saya bahawa saya ini tiada daripada kuda medan ini, sekiranya jika ada orang yang mengangkatkan saya ini, berhentilah saya keran bukan tujuan saya hendak menunjukkan kebijakan dan mencari kepujian; kerana adalah orang yang mengarang itu jadi kikit bagi sekalian penembak, jika tiada ia pejam matanya nescaya mati ia kerana dukacita; Tetapi tatkala adalah yang dituntut daripada seorang itu manfaatnya atau mudharatnya, beranilah saya menceburkan diri di dalam laut api yang sentiasa bernyala-nyala, selama ada angan-angan yang baik itu, tiadalah puas hati saya mati sebelum saya lihat perubahan yang baru lagi elok.”

Abdullah al-Qari Salleh yang mengulas nukilan pendek Tok Kenali di atas menyatakan Tok Kenali cuba pertamanya, menggambarkan bidang penulisan itu sangat penting. Keduanya, Abdullah al-Qari semacam mentafsirkan catatan ulama tersebut menegaskan Tok Kenali memandang bidang penulisan sebagai ‘genting dan merbahaya pula’. Risiko dalam bidang ini akan membawa kepada satu jalan yang perlu ditempuh, yang mana ia penuh ‘keberanian dan kesabaran’. Abdullah al-Qari seterusnya menjelaskan:

“Di sini penulis ingin menambahkan bahawa seseorang tidaklah akan menjadi seorang penulis, pengarang atau pujangga kiranya mempunyai sifat penakut. Dengan kata-kata lain, seseorang pengarang itu adalah mempunyai ciri tersendiri, berbeza daripada insan yang lain dengan sifat beraninya.”

Saya ingin menghadirkan sebuah karya Tok Kenali yang diberi judul “Awang Hidung Melintang” termuat dalam Cerpen Warisan Tuk Kenali. Di dalam cerpen ini, Awang seorang pemuda yang kacak tetapi pemarah. Beliau telah menyumpah seranah angin, air dan api yang dianggap sebagai sebab-musabab kepada bencana alam. Pada suatu hari, Awang memaki hamun angin yang sedang bertiup kencang. Ketika sedang melempar barannya, angin melanggar hidung Awang yang mancung itu mengakibatkan ia yang asalnya membujur lurus menjadi melintang lebar.

Wajah aneh

Penduduk kampung telah menegur wajah Awang yang kelihatan aneh tersebut. Awang pula sebaik mencerminkan wajahnya di permukaan air berasa sangat terkejut. Dia mengambil keputusan untuk mencari Allah dan bertanyakan mengapakah hidungnya dijadikan seperti itu.

Awang keluar dari rumah dua kali dalam tujuh hari dan dua kali lagi dalam tujuh malam. Dalam pencarian itu Awang menemukan tujuh alamat yang aneh.

Pertama, Awang terserempak tiga pohon kayu yang amat besar, umbinya sebesar tiga pemeluk. Akan tetapi tiada sehelai daun pun di situ.

Kedua, Awang bertemu pokok kecil tetapi daunnya merimbun sekali.

Ketiga, setelah terus berjalan Awang bertemu perigi yang sangat dalam tetapi tiada pun setitik air di dalamnya.

Keempat, dalam musafirnya yang berterusan itu dia terjumpa pula perigi cetek yang airnya banyak dan tidak pernah kering.

Tanpa lelah, kelima, Awang kekal berjalan dan kali ini dia berdepan dengan seekor lembu gemuk yang tidak mampu berdiri pun kerana terlalu berat. Anehnya di sekeliling lembu tersebut dia tidak melihat seurat rumput kering pun.

Keenam, Awang melanjutkan perjalanannya lalu bertemu lembu kurus padahal di sekeliling lembu tersebut terdapat banyak rumput sehinggakan tubuhnya yang kurus itu sendiri terlindung oleh rerumput tersebut.

Ketujuh, Awang berjumpa sebatang pokok tuba yang rendang. Di bawahnya terdapat banyak gugur. Ada yang kelihatannya gugur ketika masak, ada pula gugur di saat putik, dan ada sudah luruh semasa kecil. Terdapat juga yang luruh ketika sedang berbunga, juga buah yang tidak luruh-luruh tatkala lebu.

Awang yang berasa sangat kehairanan semakin terdetik dalam hatinya mengapakah hidungnya kini menjadi melintang lebar. Dia sangat ingin bertanya kepada Tuhan. Kala sudah pun penat, Awang terlihat seorang lelaki bongkok tiga yang jalan bertongkat tidak jauh dari tempat istirehatnya.

Kepada lelaki itu Awang memberitahukan yang dia ingin bertemu Allah.

Lelaki itu bertanya pula kenapa Awang benar-benar ingin menemui Allah.

Awang membalas, ini kerana beliau ingin bertanyakan mengapakah Tuhan menjadikan hidungnya kini melintang setelah disepak angin?

Lelaki tua itu menasihati Awang agar pulang dan jangan lupa menunaikan sembahyang lima waktu. Pun lelaki misteri tersebut memberikan makna di sebalik semua penemuan Awang.

Pertama, di bawah tiga pohon kayu itu terdapat tiga buah guri emas. Orang tua itu menyarankan Awang menggali dan mengambilnya.

Kedua, pokok kecil tetapi daunnya merimbun itu adalah alamat untuk orang yang selalu menolong orang lain yakni sebagai pelindung.

Anekdot keagamaan

Ketiga, perigi yang sangat dalam tetapi tiada air di dalamnya itu adalah gambaran orang kedekut yang tidak mahu membantu orang, mementingkan diri dan banyak bermuslihat untuk dirinya sahaja.

Keempat, perigi cetek yang airnya banyak dan tidak pernah kering itu tentulah bermaksud orang yang suka menolong orang lain itu akan murah rezekinya.

Kelima, berkenaan seekor lembu gemuk walhal di sekeliling lembu tersebut tiada sumber makanan itu adalah kesediaan diri untuk digunakan di jalan Allah.

Keenam, lembu kurus yang padahal di sekelilingnya banyak sumber makanan pula menunjukkan orang yang tidak berfaedah dan tidak bersedia untuk berkhidmat di jalan Tuhan.

Buah tuba yang berguguran tersebut ketujuhnya mempunyai makna tertentu. Yang buahnya gugur ketika masak bermaksud kematian itu kerap terjadi dalam kalangan orang tua. Sementara yang gugur di saat putik bermaksud kematian itu kerap terjadi dalam kalangan orang muda. Demikian yang luruh semasa kecil menunjukkan kematian di usia remaja. Yang luruh ketika sedang berbunga menunjukkan manusia yang meninggal dunia tanpa sempat lahir ke dunia ini. Akhir sekali buah yang tidak luruh-luruh meskipun sudah lebu atau ranum itu bermakna kematian yang lambat tiba untuk segelintir orang tua, dan mampu hidup sehingga usia melampau ratus tahun.

Cerpen Tok Kenali di atas kelihatan seperti anekdot keagamaan yang biasa ditemukan dalam catatan guru-guru sufi. Apa yang menarik ialah proses kognitif yang cuba disemat oleh pengarang dengan usaha untuk mengabstrakkan realiti. Percubaan Tok Kenali menggunakan isti’arah atau metafora, iaitu dengan melakukan penyelewengan bahasa harfiah menunjukkan ulama tersebut menguasai estetika Melayu yang sangat berkait dengan pemaknaan menerusi rangkaian analogi dan metafora.

Apa yang dilakukan oleh Tok Kenali adalah merombak folk theory atau teori rakyat dengan menjelaskan fenomena alam yang dikaitkan dengan ajaran transendental. Mereka yang membaca cerpen Tok Kenali itu akan diberi ruang untuk menaakul dan memikirkan teka-teki di sebalik tujuh alamat yang ditemukan oleh Awang. Hal ini menjadikan cerpen Tok Kenali mempunyai sifat interpretif.

Di dalam karya sastera, selain hakikat kesungguhan memperjuangkan kebenaran yang awal-awal lagi disebutkan oleh Tok Kenali sebagai jangan ‘memejam matanya’ hendaklah pula menghantar ‘kebijakan’ tanpa pengarangnya berasa riak.

Dua aspek inilah iaitu satu, keberanian untuk “menceburkan diri di dalam laut api yang sentiasa bernyala-nyala” dan dua, kebolehan membawakan “manfaatnya atau mudharatnya” penulisan agar dapat menempa “perubahan yang baru lagi elok” menjadi prinsip dan keteguhan karya fiksi Tok Kenali. Ini bermakna, beliau, Tok Kenali menolak sekadar cerita sahaja.


FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS