Paling Popular
Terkini

Tentu orang Umno tidak percaya, malah marah bila saya kata begini:

“Perhimpunan Bantah Icerd di Kuala Lumpur 8 Disember lalu ialah kali pertama pemimpin Umno zaman ini berucap di depan khalayak yang begitu ramai. Tidak kurang 50,000 orang.”

Dalam erti kata lain pemimpin Umno yang ada sekarang tidak pernah berucap di depan 50,000 orang sebelum 8 Disember lalu.

Umum tahu untuk sekian lama Umno memang sukar mengumpul orang termasuk ahli parti sendiri pada majlis atau acara anjurannya. Ramai macam mana pun tidak pernah mencecah angka 50,000. Itu hakikatnya.

Dan jika bukan PAS yang menggerakkan anggotanya, jumlah sebesar itu tidak mungkin diperoleh. Itu juga hakikat. Sebagai “bukti”, imbas kembali perhimpunan Bersih dulu. Apabila PAS tidak ikut serta, jumlah peserta Melayu jelas kurang walaupun perhimpunan mencatat bilangan membanggakan.

Maka tidaklah salah jika saya katakan kalau hanya Umno yang dipertanggungjawabkan untuk bring in the crowd atau meramaikan perhimpunan Bantah Icerd, jumlah yang hadir hampir pasti tidak seramai yang hadir 8 Disember lalu.

Tanpa menafikan peranan beberapa badan bukan kerajaan Melayu-Muslim dalam “menjayakan” perhimpunan 8 Disember itu, PAS dan Umno ialah watak utama.

Jadi boleh disimpulkan apa yang berlaku ialah satu lagi kerjasama Umno–PAS yang banyak diperkatakan setahun dua ini. Sebelum ini pun ada kerjasama dijalin pada beberapa pilihan raya kecil yang diadakan selepas PRU14. Ada kalanya PAS tidak bertanding dan beri laluan kepada Umno. Pada ketika lain Umno pula berbuat demikian. Seperti apa yang berlaku pada PRK Sungai Kandis, Seri Setia, Port Dickson.

Pada PRU14 pun berlaku “kerjasama” apabila PAS dilihat “menggagalkan” hasrat Pakatan Harapan mewujudkan pertandingan satu lawan satu dengan BN/Umno. PAS bertindak meletakkan calonnya yang menyaksikan pertandingan pelbagai penjuru. Bagi Pakatan Harapan langkah demikian menguntungkan Umno/BN. Seperti yang kita tahu sekarang akhirnya PAS dan BN/Umno yang rugi.

Apabila Umno/BN kalah teruk pada PRU 14 dan PAS kalah dalam menang (atau menang dalam kalah kerana menang Terengganu, kekal Kelantan tapi kalah di banyak tempat lain ) cadangan kerjasama Umno-PAS disuarakan.

Umno yang mula mempelawa PAS bekerjasama tetapi bentuk kerjasama tidak dijelaskan. PAS menyambut baik. Maka terjadilah kerjasama yang dihuraikan tadi.

Walhasil balik asal

Namun Umno terus bercakap mengenainya. Kalau kita masih ingat pada ceramah anjuran bersama Umno-PAS di Pasir Salak November lalu, presiden Umno Zahid Hamidi buat pertama kali dan secara terbuka mempelawa PAS untuk bersama partinya.

Perkataan yang digunakan Zahid pada malam itu ialah “cantum’. Antara lain Zahid dipetik berkata, di hadapan Presiden PAS Haji Abdul Hadi Awang “ kita bercantumlah”. Setahu saya cantum maknanya gabung.

Tapi beberapa hari kemudian pemimpin Umno termasuk Mohamad Hasan dan Annuar Musa tampil menjelaskan apa yang Zahid maksudkan ialah “kerjasama”.

Daripada kerjasama kepada cantum kepada kerjasama semula. Walhasil balik asal.

Rasanya kita semua maklum yang kerap bercakap pasal kerjasama, cantum dan sebagainya ialah Umno. PAS juga cakap bukan tak cakap. Cuma Umno agak samar samar antara kerjasama dan cantum. PAS pula mahu kerjasama kerana mendakwa “mustahil untuk bergabung”.

Agak jelas akar umbi PAS sangsi bergabung dengan Umno. Dan ada juga yang tidak begitu berkenan untuk kerjasama pun.

Yang ghairah bekerjasama ialah beberapa pemimpin tertinggi parti. Mungkin atas sebab pragmatik mungkin sebab tertentu. Namun mereka tahu sentimen akar umbi yang mesti diambil kira.

Sememangnya bukan mudah bekerjasama apatah lagi bergabung.

Penggabungan membawa erti tamat riwayat dua parti besar untuk melahirkan satu parti baru. Dan wujudlah ideologi baru. Kalau tidak pun perlu ada perlembagaan baru.

Dan perlu ada pengorbanan besar, contohnya mengorbankan kawasan tradisi yang dipertandingkan. Realitinya ada kawasan terpaksa dilepaskan untuk dipertandingkan oleh calon mewakili parti baru. Mungkin calon itu asalnya orang parti yang satu lagi.

Satu lagi contoh utama ialah siapa akan mengisi jawatan apa? Daripada dua presiden jadi satu. Presiden sekarang bukan dijamin jadi presiden parti yang bergabung.

Seperti PAS, Umno juga tahu akan sukarnya bergabung. Ada juga di kalangan akar umbi Umno yang tidak mahu gabung atau kerjasama.

Di samping itu mana-mana parti yang ingin memerintah negara perlu menubuhkan satu gagasan atau gabungan yang dianggotai parti mewakili pelbagai komuniti.

Umno perlu menubuhkan satu gabungan ala BN dan mengambil kira kepentingan parti bukan Melayu/Islam.

Parti yang lahir hasil percantuman PAS-Umno tidak akan atau sukar diterima parti non-Muslim. Ini Umno cukup tahu. Umno perlu jaga hati khususnya parti dari Sabah dan Sarawak.

Demi survival

Tapi buat masa ini kerjasama atau sekurang-kurang menyuarakan hasrat bergabung dengan PAS adalah strategi terbaik untuk mendapat sokongan pengundi Melayu. Demi survival. Tak perlu dihuraikan masalah yang menimpa Umno masa kini kerana ramai sudah tahu.

Pun begitu bagi saya Umno dan PAS sebenarnya tidak benar benar mahu satu percantuman atau penggabungan.

Yang mereka mahu sekadar satu bentuk kerjasama atau satu pakatan politik (political pact) jangka pendek untuk menjatuhkan musuh bersama. Musuh bersama mereka Pakatan Harapan.

Teringat saya pada tahun 1987 ketika perang Umno antara Team A pimpinan Dr Mahathir Mohamad dengan Team B diketuai Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li.

Timbalan presiden Umno ketika itu Musa Hitam berganding dengan Ku Li musuh politiknya.

Saya tanya seorang pegawai Musa adakah kerjasama yang terjalin “is for real?”. Jawapnya mudah, kalahkan Mahathir dulu kemudian “we will deal with Ku Li”.

Maknanya apa yang dicapai ialah gencatan senjata.Tamat perang dengan Mahathir perang Musa –Ku Li akan menyusuli atau disambung kembali. Ini bagaimanapun tidak berlaku kerana kedua dua - Musa dan Tengku Razaleigh- kalah dalam perebutan kuasa Umno 1987.

Dalam konteks PAS-Umno masa kini, saya berpendapat perancangan serupa di atur. Pasti ini akan dinafi kedua dua parti.

Umno dan PAS mengetepikan perbezaan mereka, wujudkan kerjasama (bukan bergabung atau bercantum) untuk berdepan Pakatan Harapan pimpinan Mahathir.

Ditakdirkan berjaya PAS dan Umno akan “uruskan yang tertangguh antara mereka”. Ertinya mereka akan “berperang” semula.

Itu sekadar teori. Saya membawanya kepada Mohamad Sayuti Omar, penulis politik veteran dan pemerhati PAS. Tanya saya kepada beliau, adakah beliau setuju dengan pandangan itu.

Ini kata beliau : “Setuju tapi tindakan begitu merugikan kedua pihak. Mereka perlu memuktamadkan”.

Dan kata beliau lagi: “Sebaiknya PAS dan Umno rasmikan gabungan. Isytiharkan. Tak perlu sembunyi lagi. Itu yang terbaik ketika ini. Jadikan perhimpunan Bantah Icerd untuk meratifikasikan kerjasama.”

Adakah itu akan terjadi?

Walaupun dalam politik apa pun boleh berlaku kerana “politic is the art of impossible” saya tidak menjangka PAS dan Umno akan bergabung.

PAS dan Umno perlukan sokongan masyarakat bukan Melayu jika mahu menawan Putrajaya. Sekurang kurangnya 10 hingga 15 peratus, menurut penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian. Bukan sesuatu yang mudah.

Dan sejak perhimpunan Bantah Icerd 8 Disember lalu, komuniti bukan Melayu/Islam semakin menjauhkan diri daripada Umno dan khusunya PAS.

Waullahualam.


MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS