Paling Popular
Terkini

Saya pernah bersurah dan merakam sejarah tentang perjuangan warga miskin kota yang mendirikan rumah di tanah kerajaan di Tasek Utara, Johor Bahru. Ini berlaku pada bulan September 1974. Ketika itu saya ialah Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM).

Pada Khamis 19 September 1974, jam 2.00 pagi saya ditangkap bersama rakan aktivis mahasiswa (arwah) Yunus Ali dan Syed Hamid Ali (pemimpin Parti Rakyat) serta dua peneroka. 

Ketika itu kami sedang berkhemah - tidur bantah - di hadapan pejabat Menteri Besar, Osman Saat di Bukit Timbalan.

Lewat pagi kami berlima dimasukkan ke lokap bandar Johor Bahru. Lokap ini betul-betul di tengah bandar. Ini kali pertama saya ditangkap dan tidur dalam lokap.

Siang Khamis pada jam 9.30 pagi kami dibawa ke mahkamah Johor Bahru untuk tahanan reman selama satu minggu. Kemudian kami dihantar ke Penjara Air Molek juga dalam bandar Johor Bahru.

Anak muda 'kes sokong Melayu'

Babak ini terjadi dalam bulan puasa. Justeru, semua tahanan reman Islam dilonggokkan sesama sendiri untuk mempermudah catuan makanan.

Dalam sel kami ada dua lagi anak muda. Satu kes bunuh dan satu kes samun. Esoknya sampai lagi seorang anak muda dari Kota Tinggi. Bila saya tanya kes apa. Ini jawapan darinya.

"Kes nak sokong kau oranglah, kes kita orang Melayu…"

Saya amat amat gembira apabila mendengar ayat ini. Pada hemat saya, ini tanda perjuangan kami telah merebak. Mamat ini salah seorang lagi penyokong perjuangan warga miskin kota Tasek Utara. Dalam kebanggaan saya terus bertanya lagi untuk mengetahui lebih dalam.

"Alaaaa… tauke Cina tuan punya bot nak tipu aku. Cilaka. Aku rompaklah…"

Saya terperanjat bila mendengar kata-kata ini. Ini terjadi 44 tahun dahulu. Ketika itu pemahaman saya tentang politik baru bermula. Ketika itu saya tidak pernah memikirkan apa itu persolan nasional. 

Jauh sekali memahami teori jati diri , indentiti atau asal usul bagaimana agama muncul dalam dunia ini.

Tetapi babak ini telah melekat dalam hidup saya. Babak ini tidak pernah terdelete. Datanya terus tersimpan di dalam ‘documents’. Setiap kali ianya diperlukan saya akan panggil babak ini keluar untuk ingatan.

Ucapan dari anak muda Kota Tinggi ini memberi makna yang mendalam kepada saya hingga ke hari ini. 

Malah pada hemat saya kenyataan anak muda ini masih lagi diguna pakai. Masih relevan untuk kita gunakan untuk memahami keadaan kita hari ini.

Tanda dan makna dari naratif babak ini ialah jati diri atau identiti diri. Mamat Kota Tinggi ini anak muda Melayu. Dia Melayu dan beragama Islam. Sebelum dia masuk ke dalam sel kami pasti dia telah tahu siapa kami.

Ini kerana bandar Johor Bahru telah beberapa hari heboh dengan berita perjuangan warga miskin kota mendirikan rumah di tanah kerajaan di Tasek Utara.

Lihat bagaimana secara bijak anak muda ini telah merekrut dirinya saolah-olah bersama dalam perjuangan. Dia merompak. Yang dirompak Cina. Lalu dia mengidentifikasikan dirinya sebagai Melayu. 

Pada hemat anak muda ini kerana Cina yang dirompak maka Melayu wajib memberi sokongan.

Logiknya - anak muda ini memelayukan dirinya untuk mendapat sokongan dari kami yang juga Melayu. Anak muda Kota Tinggi ini pasti tahu bahawa apa yang telah dia lakukan adalah satu kesalahan. 

Dia merompak. Semangat kemelayuan telah digunakan di hadapan kami dalam usaha untuk mendapat simpati. Mengikut logik anak muda ini simpati akan muncul kerana yang dirompak ialah ‘orang lain’ - the other - tauke Cina.

Ini bukan satu yang pelik. Bukan menghairankan. Ini lumrah.

Lihat bagimana Najib yang didakwa terlibat melakukan rompakan dana 1MDB telah berjaya memelayukan dan mengislamkan dirinya untuk menghalalkan rompakan. Ahli-ahli United Malays National Organisation menjadi rabun mata dan rabun otak serta terus memejamkam mata atas jenayah Najib ini.

Jika Najib merompak dianggap okay kerana Najib pemimpin Melayu. Pemimpin Melayu ini pula disucikan oleh Islam. Islam Najib dibuktikan dengan kerapnya Najib pergi ke Arab Saudi untuk mencium Batu Hitam. 

Malah Islam Najib dibuktikan dengan jubah dan serban apabila Najib berhanana di Dataran Merdeka.

"Tak apa dia Melayu. Tak apa dia Islam…"

Hakikatnya - naratif saya ini ialah konsep perkongsian identiti. Dalam konteks Malaysia bila kita membincangkan identiti diri maka kita akan masuk ke ruang rujukan ‘orang lain' (the other). Orang lain ini ialah Cina atau India. Orang lain inilah yang melahirkan definasi identiti Melayu di Malaysia.

Najib Melayu. Najib bukan Cina. Najib Islam. Najib bukan kapir. Indentiti wujud melalui pandangan negatif. Dalam ilmu falsafah kaedah ini dipanggil metode penafian atau negation. Dia bukan Cina maka dia Melayu. Dia bukan kapir maka dia Islam.

Ini juga adalah salah satu metode falsafah untuk mengenal Tuhan. Siapa itu Tuhan. Tuhan bukan botol. Tuhan bukan minyak wangi. Tuhan bukan kapal. Dari penafian ini wujudlah pemahaman kita tentang siapa itu Tuhan.

Berkongsi indentiti bukan satu yang salah. Malah ini adalah naluri awal manusia untuk mencari persamaan. Kekitaan ini bukan satu yang wajib dihalang. Ianya satu sifat yang natural. Apa yang menjadi salah apabila kekitaan - apabila identiti bersama ini disalah guna.

Di Malaysia ini identiti diri - bangsa dan agama ini makin merebak dan menjadi-jadi mengikut suasana iklim politik. Sebelum Mei 13 1969 dahulu yang menjadi metode penafian hanyalah bangsa. Dia Melayu ke? Dia Cina ke? Dia orang kita ke atau pendatang? Itu sahaja.

Identiti agama bila diperlukan

Tetapi hari ini agama telah juga ditambah masuk untuk memperkuatkan penafian demi melahirkan identiti diri. 

Maka jika Melayu maka si polan itu pasti Islam. Walau pun si pPolan itu kaki dadah, minum arak, main judi, seks rambang, penyamun, perogol kanak-kanak dan tidak pernah mengamalkan apa pun ajaran Islam. Cium Batu Hitam jauh sekali. Yang Islam hanya bin dan binti. Tapi agama masih jadi identiti diri bila dipanggil dan diperlukan.

Mari kita rujuk kes Kuil Seafield melalui maklumat pendek atau maklumat dalam aplikasi Whatsapp. Semua maklumat ini jelas digerakkan atas kesedaran jati diri bangsa dan agama. 

Pesanan dan panggilan kepada Melayu jelas dengan menyebut nama tuhan dan beberapa potongan ayat dalam bahasa Arab terselit dalam Whatapp ini.

Pesanan atau maklumat ini bertujuan untuk meramaikan sokongan. Salah benar adalah perkara kedua. Ini sama seperti anak muda Kota Tinggi yang saya temui dalam penjara Air Molek. 

Dia memainkan ‘kad’ Melayu. Salah benar bukan perhitungan. Lebih ramai lebih afdal jika kita berkongsi melakukan kejahatan.

Mengapa perkara sedemikian terus berlaku?

Untuk memahami apa yang salah. Untuk memahami apa yang benar mmerlukan pandangan yang rasional. Dalam konteks bangsa dan agama, pandangan rasional bukan perkara induk. Agama tidak pernah rasional. Agama ialah kepercayaan.

Apa yang penting dalam konteks bangsa dan agama adalah persoalan: Apakah kamu bangsa aku dan apakah kamu seagama dengan aku? Jika kamu seagama maka kita satu kabilah. Di Seafeild kamu wajib memdobrak Keling Hindu yang kurang hajar terhadap Melayu Islam. Khalas.

Suasana ini menjadi lebih hangat, merbahaya dan boleh meledak bila-bila masa. Dua bahan letupan - bangsa dan agama - boleh dibakar dengan senang sekali. Inilah kekuatan indentiti diri. Identiti diri ini telah dibuktikan berkali-kali berjaya menenggelamkan pandangan rasional yang berkemungkinan meredakan keadaan.

Apa yang perlu kita lakukan setelah kita memahami fakta ini.

Untuk ini saya memiliki pandangan yang mungkin boleh dibincangkan. Pada hemat saya para politikus ialah orang yang salah dalam penyelesaian masalah bangsa-bangsa. Saya menolak orang politk kerana daripada pengamatan saya selama ini, orang politiklah yang menjadi punca segalanya.

Fikrah orang politik 5 tahun saja

Selendang Merah Kiyai Saleh lahir daripada kancah politik Bintang Tiga. Bentrokan di Batu Kikir juga hasil dendam kesumat Bintang Tiga. Pergaduhan 13 Mei 1969 adalah hasil daripada perebutan kuasa orang politik dalam konteks Malaysia moden.

Sekali lagi saya ingatkan - panjang fikrah orang politik hanya lima tahun. Orang politik dan para politikus betapa hebat pun retoriknya tidak ada keupayaan untuk berfikir dan memikirkan sesutau lebih dari lima tahun. Politikus berfikiran kontot dan sontot. Untuk mereka perkara yang penting ialah undi dan menang kerusi sekali lagi.

Politikus bukan pembina bangsa. Politikus bukan pemikir bangsa. Politikus mencari undi bukan untuk mendirikan negara bangsa.

Yang mendirikan negara bangsa ialah pemikir bangsa. Pemikir bangsa ialah negarawan. Negarawan tidak memikirkan untuk meraih undi, untuk popular dan mendapat sokongan. 

Pemikir bangsa melihat negara bangsa satu dua atau tiga atau lima generasi ke hadapan. Mata negarawan ialah mata helang. Hati negarawan ialah hati sasterawan. Kegigihan negarawan memecah alam.

Selagi wacana persoalan nasional ini tidak dibuka, selagi tidak dibincangkan dengan tuntas maka selendang Merah, Baru Kikir, 13 Mei dan ratusan lagi kes kuil akan muncul. Yakinlah.

Para pemikir, para budayawan, anak muda, pelajar, agamawan - anak semua bangsa dan bangsa semua agama - wajib diajak bersama untuk mememikirkan persoalan nasional dalam arus Malaysia baru.

Satu lagi persoalan timbul. Apa itu Melayu? Apa itu Cina? Dan apa itu India? Tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS