Paling Popular
Terkini

Sejak hari pertama saya diamanahkan, salah satu fokus utama saya adalah untuk memastikan guru-guru mengajar dan bekerja dengan gembira dan menyeronokkan. Mendidik anak-anak harus dijalankan dengan penuh kasih sayang supaya dapat menanamkan perasaan cinta pada ilmu pengetahuan. Pekerjaan yang mulia dan bermakna ini seharusnya tidak menjadi sebuah pekerjaan yang menyakitkan dan membebankan.

Oleh hal yang demikian, kementerian sedang berusaha keras untuk mengembalikan tugas hakiki para guru iaitu mendidik dan mengajar. Atas dasar itulah kita telah berjaya mengenal pasti punca tugas-tugas perkeranian yang mengganggu tugas utama guru, yang tidak lagi relevan malah perlu dimansuhkan. Hal ini dilaksanakan dengan mengambil kira pandangan dari akar umbi; iaitu para guru yang mengajar di sekolah.

Untuk memastikan tujuan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya, kementerian mempunyai perancangan jangka masa pendek, pertengahan dan panjang. Untuk perancangan jangka masa pendek, mulai Januari 2019, sembilan (9) intervensi telah digariskan untuk dilaksanakan oleh pihak Kementerian, JPN, PPD dan sekolah untuk mengurangkan beban tugas guru. Sembilan (9) intervensi tersebut telah dipecahkan kepada lima (5) inisiatif.

Bagi inisiatif pertama iaitu memudahkan pengurusan fail dan dokumentasi, sebanyak tiga (3) intervensi akan dilaksanakan iaitu memudahkan pengurusan:

1.1. Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT),

1.2. Fail panitia dan

1.3. Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

Bagi pengurusan SPBT, Kementerian akan menambah baik proses perekodan yang mana guru tidak perlu menulis perolehan, pengurangan bilangan fail, pengisian maklumat secara softcopy dan lain-lain. Makluman telah diedarkan kepada semua penyelia SPBT JPN untuk dipanjangkan ke PPD dan Sekolah manakala taklimat skala besar ke seluruh negara akan bermula pada Februari 2019.

Bagi pengurusan fail panitia, pihak sekolah diberi autonomi dalam menentukan bilangan fail panitia dan bentuk dokumen tersebut disimpan sama ada salinan digital (softcopy) atau salinan keras (hardcopy) berdasarkan keperluan dan kesesuaian sekolah.

Bagi pelaporan PBD, cetakan hanya perlu dilakukan berdasarkan keperluan sekolah. Panduan pelaksanaan PBD juga telah dimuat naik ke laman sesawang Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK).

Pengurusan data dan sistem 'online'

Bagi inisiatif kedua iaitu pengurusan data dan sistem online, sebanyak dua (2) intervensi akan dilaksanakan iaitu:

1.1. Segala pengumpulan dan perolehan data sekolah, guru dan murid hendaklah diambil dari sumber data sedia ada yang terdapat di dalam sistem-sistem yang diperaku dan digunapakai oleh semua pihak di KPM.

1.4. Di samping itu, Sistem Kehadiran Murid dalam talian akan digunakan sepenuhnya bagi merekod kehadiran murid. Dalam hal ini, guru tidak lagi perlu mengisi buku Jadual Kedatangan Murid. Bagi sekolah yang tiada kemudahan capaian Internet, kehadiran murid boleh direkod secara manual dalam Jadual Kedatangan Murid.

Bagi inisiatif ketiga iaitu sesuai dengan pemansuhan Peperiksaan Tahap 1, sekolah boleh merangka sendiri pelaksanaan Literasi dan Numerasi (LINUS) yang bersesuaian dengan keperluan murid di sekolah.

Pihak sekolah hendaklah mengenal pasti murid Tahap 1 yang mengalami kesukaran untuk menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira serta menyediakan intervensi (pemulihan) yang bersesuaian di peringkat sekolah.

Peperiksaan Pertengahan Tahun dan Akhir Tahun Murid Tahap 1 di sekolah rendah termasuk Murid Keperluan Khas (MBK) digantikan dengan pentaksiran yang lebih objektif dengan melihat kepada perkembangan murid secara lebih menyeluruh dan berterusan termasuk amalan nilai-nilai murni yang berbentuk rutin harian.

Bagi inisiatif keempat iaitu penyeragaman borang dan proses pemantauan, sebanyak dua (2) intervensi akan dilaksanakan untuk memastikan guru tidak lagi terbeban untuk mengisi borang kebersihan, keselamatan & penarafan kantin iaitu

Semua pengusaha kantin dikehendaki mengisi Borang Penarafan Kendiri Kantin dan pengesahan dibuat oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) sahaja

Manakala Borang Prestasi Perkhidmatan Kontraktor Pembersihan dan Keselamatan diuruskan oleh kontraktor dan akan dikawal selia serta disahkan oleh Pengetua/Guru Besar atau Penolong Kanan sahaja. Dalam hal ini juga, tiada lagi apa-apa tambahan borang dan aktiviti berunsurkan pertandingan yang diselaraskan di peringkat JPN atau PPD.

Bagi inisiatif kelima iaitu penyelarasan penubuhan jawatankuasa di peringkat sekolah, intervensi yang akan dilaksanakan akan memastikan pelbagai jawatankuasa yang tidak berkaitan dengan tugas mendidik akan dimansuhkan.

Intervensi yang akan dilaksanakan untuk mengurangkan beban guru ialah Jawatankuasa Kurikulum Sekolah diperkasakan dan semua perkara berkaitan pembelajaran, sahsiah, keselamatan dan kesihatan murid akan dibincangkan dalam JK ini.

Pemansuhan jawatankuasa

Maka, semua jawatankuasa yang diwujudkan atas inisiatif sekolah berkaitan pembelajaran, sahsiah, keselamatan dan kesihatan murid hendaklah dimansuhkan.

Lima inisiatif ini merupakan langkah pertama untuk meningkatkan kualiti pengajaran, manakala langkah kedua pula melibatkan lebih banyak latihan dan kursus yang perlu bagi memastikan guru-guru mampu menawarkan pendekatan pengajaran yang terbaik.

Terima saya ucapkan kepada semua guru yang mengambil peluang memberikan pandangan dan maklum balas berkaitan cara terbaik untuk meringankan beban guru, khususnya persatuan guru NUTP yang memberikan komitmen untuk menjayakan inisiatif ini.

Intihanya, saya mahu melihat guru-guru mendidik dengan gembira, fokus, dan penuh kasih sayang. Saya mahu guru-guru memahami bahawa merekalah pelakar generasi dan pemugar masa hadapan negara. Penyair Usman Awang pernah bermadah:

“Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya,

di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota,

di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu,

dia adalah guru mewakili seribu buku.”




MASZLEE MALIK bertugas sebagai menteri pendidikan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS