Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selepas perang dunia kedua, khasnya tahun 1960-an hingga 1970-an, idea mengenai ekonomi pembangunan mula diguna pakai di seluruh dunia yang bukan sahaja memberi penekanan terhadap pertumbuhan tetapi juga pembangunan. Paradigma ini sangat penting kerana apabila memperkatakan mengenai ekonomi, kita tidak lagi hanya berfokus kepada pendapatan per kapita tetapi juga mengenai kesejahteraan insan. Perkembangan inilah yang melatari idea pembangunan di Malaysia, khususnya sejak 1970-an apabila kerajaan secara aktif terlibat dalam penyusunan semula masyarakat di negara ini melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Meskipun DEB dilihat sebagai pro-Melayu, hakikatnya DEB memiliki dua tujuan yang sangat murni; (1) mengurang dan seterusnya membasmi kemiskinan dengan memperbanyak peluang pekerjaan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum serta (2) penyusunan semula masyarakat untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.

Jika kita melihat kepada dua matlamat ini, DEB tanpa disangsikan lagi telah berjaya kerana kadar kemiskinan berjaya dikurangkan dengan drastik daripada hampir 50 peratus pada 1970-an kepada hanya 0.4 peratus pada 2016. Matlamat kedua pula kita dapati DEB telah berjaya mewujudkan kelas menengah Melayu di bandar-bandar yang sebelum ini terpisah di kampung-kampung dan mewujudkan diversifikasi dalam bidang-bidang tertentu yang sebelum ini didominasi oleh satu etnik.

Namun demikian, kedua-dua matlamat ini masih lagi sarat dengan penekanan terhadap growth dengan melihat kepada angka serta pendapatan. Apabila kita mengubah perspektif kita kepada kesejahteraan insan, kita dengan segara akan menginsafi bahawa terdapat banyak isu yang belum berjaya kita tangani dengan baik dan inilah, pada hemat saya, yang merupakan cabaran paling besar yang kini sedang diatasi secara struktural oleh kerajaan di peringkat Persekutuan.

Ya, ini bukan cabaran baharu dan bukan unik kepada Malaysia sahaja. Malah, sejak awal 1990-an, PBB telah memperkenalkan Indeks Pembangunan Manusia (HDI) dan Malaysia pada 2018 berada di kedudukan 57 berbanding 189 buah negara – bagi manfaat perbincangan, elok dinyatakan juga bahawa di Asia Tenggara, hanya Singapura berada dalam kedudukan lebih baik (atau lebih tepat lagi sangat jauh lebih baik) di tangga ke-9 dunia.

Mudahnya, kesejahteraan insan bukan hanya mengenai pendapatan ekonomi sahaja mahupun mengenai jangka hayat, tingkat pendidikan dan kadar kemiskinan semata-mata. Tetapi pertumbuhan ekonomi mesti dirasai dan dinikmati oleh semua orang; pembangunan harus membuatkan kita berasa bahagia. Bahagia mungkin kedengaran sangat abstrak, namun dalam pembangunan, bahagia ini boleh diterjemahkan antaranya kepada peningkatan kuasa beli, pekerjaan yang terjamin dengan suasana yang kondusif, ruang awam yang selamat dan selesa untuk beriadah, pengangkutan awam yang cekap, berkualiti dan murah.

Indikator inilah antara yang masih belum penuhi dengan baik dan membezakan Malaysia dengan Norway, Switzerland, Australia, Ireland dan Jerman yang mengungguli kedudukan HDI lima terbaik dunia pada tahun lepas.

Merubah naratif pembangunan

Namun demikian, cabaran besar yang dihadapi selain melakukan perubahan struktural, kita juga berdepan dengan cabaran mengalihkan masyarakat daripada naratif lama pembangunan yang sebelum ini menyirna mata kita daripada melihat perspektif pembangunan insan ini. Cabaran pertama adalah bagaimana untuk menekankan pembangunan yang inklusif dan merakyat, bukannya terpana dengan kekayaan segelintir orang.

Hal ini kedengaran mudah tetapi agak rumit dalam masyarakat Malaysia yang sarat dengan perspektif kaum ini. Secara umumnya tingkat pembangunan sesuatu kaum itu diukur dengan peratusan penguasaan ekuiti dalam ekonomi. Sedangkan penguasaan ekuiti ini tidak memberi apa-apa makna jika tidak dinikmati oleh semua orang dalam kaum itu. Paling mencolok apabila peningkatan kemakmuran ekonomi sesuatu kaum dikira berdasarkan berapa orang daripada kaum mereka yang berjaya menerobos dalam senarai 10 manusia terkaya di negara ini! Sedangkan kiraan yang lebih logik dalam perspektif ini adalah berapa ramai yang miskin; baik miskin tegar mahupun miskin relatif. Barangkali inilah sisa-sisa neo-feudalisme yang masih berbaki dalam kalangan kita.

Keduanya, kita harus mengubah cara kita melihat peranan negara. Negara tidak harus secara aktif mengawal produk akhir di bahagian hujung aliran ekonomi di peringkat pengguna. Hal ini yang paling sukar lantaran sangat popular tetapi bahaya atas tiga sebab (1) hanya mencipta kebergantungan kepada kerajaan (2) berpotensi untuk berlakunya ketidakcekapan, ketirisan dan monopoli (3) tidak menyelesaikan masalah sebenar! Contoh paling mudah adalah penyediaan kedai dan barangan runcit oleh kerajaan.

Kerajaan memberikan subsidi kepada sebanyak mungkin produk-produk akhir, sedangkan harga barangan runcit ini, sebagaian besarnya produk makanan, mahal kerana wujudnya kebergantungan kepada import yang tinggi. Contohnya, sedarkah kita, Malaysia bergantung hampir 100 peratus kepada daging dan produk tenusu import? Maka jika mahu memastikan harga rendah dan meningkatkan kuasa beli rakyat (sebagaimana yang dihasratkan dalam kesejahteraan ekonomi yang dibincangkan awal tadi), maka sasarannya harus kepada mengurangkan kebergantungan kepada import dan mewujudkan industri ternakan dan tenusu dalam negara.

Namun, hal ini bukan mudah kerana sebahagian kita, rakyat, melihat negara sebagai penyedia segala-galanya dan ini bukan salah kita sepenuhnya kerana demikian cara kita dididik sehingga menciptakan kebergantungan. Lalu apakah peranan negara? Negara dalam perspektif pembangunan harus terlibat secara aktif dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan dalam masa yang sama memastikan wujudnya persekitaran yang kondusif untuk semua warganya membangunkan potensi diri masing-masing. Namun, hal ini akan berdepan kesukaran selagi kita tidak mengalihkan naratif ekonomi kita bukan lagi hanya kepada pertumbuhan tetapi pembangunan dan dalam masa yang sama memberi fokus kepada perubahan struktural dan bukannya populisme yang hanya menciptakan kebergantungan.


SHEIKH ‘UMAR BAGHARIB ALI ialah anggota Dewan Undangan Negeri Paloh merangkap pengerusi jawatankuasa penerangan, pembangunan keusahawanan, koperasi dan ekonomi kreatif.

Atikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS