Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kami harap Najib Razak tidak dipenjarakan jika dia nanti didapati bersalah atas mana-mana tuduhan yang dikenakan kepada beliau.

Najib mesti dibiarkan bebas atas sebab kemanusian. Maksudnya, bukanlah kita kasihan atau belas melihat seorang bekas perdana menteri merengkok dalam tahanan hanya kerana kesalahan yang dilakukannya.

Teruskan membaca, dan kami cuba terangkan kepada kamu mengapa wira Bugis itu perlu diselamatkan daripada dilempar ke rumah pasung.

Kami ini seorang pencinta lawak jenaka yang gelap, absurd dan - setelah berpuluh tahun merdeka - baru hari ini kita mempunyai seorang pelawak yang sangat bagus.

Siapa sangka Najib adalah orang yang ditunggu-tunggu. Kami bukan perli, tetapi satu pernyataan yang benar. Sumpah potong kambing!

Saban tahun kita melihat lahirnya inividu atau kumpulan yang mendakwa diri pelawak, baik yang berbahasa kebangsaan atau - yang elit - berbahasa Inggeris. Tapi itulah, semua sama saja lawaknya.

Mereka gigih memperbodohkan pendengar dengan lawak setengah mati dan selalunya tidak kelakar.

Aduhai Mama, aduhai

Sekonyong-konyong lahirlah Bossku Najib.

Siapa pernah menduga bahawa beliau yang sebelum ini - yakni semasa menjadi perdana menteri - kelihatan sebagai seorang yang hambar, tidak punya karisma dan sangat membosankan tiba-tiba bertukar menjadi seorang yang sangat mempunyai jati diri yang tinggi.

Tidak ada lagi susuk Najib yang dilihat sebagai hanya membontoti isterinya di mana-mana, malah isteri beliau juga sudah tidak kelihatan menonjolkan diri.

Ah, sebut fasal isteri...

Kami berbelah-bagi mengenai sama ada Mama perlu dipenjarakan - jika terbukti bersalah atas tuduhan yang dikenakan kepada beliau - atau tidak.

Sebagai manusia, kami beranggapan tidak ada wanita yang patut dipenjarakan kerana kita tahu apa saja kesilapan yang dibuat oleh wanita adalah kerana kesalahan pimpinan sang lelaki.

Dan kami beranggapan Mama adalah mangsa keadaan apabila beliau didakwa terpaksa menghabiskan (baca: menghapuskan bukti) harta yang disimpan oleh suaminya demi untuk melindungi lelaki tercinta.

Dalam andaian begitu, malang sekali beliau tidak berjaya menghabiskan semua harta berkenaan dan kini sebahagian daripada harta tersebut khabarnya menjadi hantu yang mungkin akan menggangu suami beliau.

Ketawa walau hati luka

Berbalik kita kepada suami Mama.

Najib hari ini ialah orang bebas yang berani. Tidak ada lagi Najib selalu diketawakan waima ketika melangkah dengan bergaya. Derap kakinya kini bahkan teramat yakin.

Mana mungkin seorang yang ditohmah macam-macam - daripada dituduh mencuri harta negara hingga kepada ada yang sampai hati mengatakan beliau terlibat dalam pembunuhan - lalu duduk di lembah paling hina.

Beliau juga menjadi bahan cacian hampir seluruh rakyat Malaya. Namun dalam keadaan begitu beliau bangkit dengan penuh bergaya.

Itulah yang dilakukan oleh Najib, si pemberani yang gagah berdiri; cekal ketawa dan bernyanyi walaupun hatinya luka lagi.

Beliau tidak malu untuk menyatakan pendapat di media-media sosial setelah tidak lagi diberi ruang di media massa.

Kebanyakan hebahan beliau di media sosial selalunya dibuat dalam nada yang lucu - dan seperti yang kami katakan pada awal tadi - dan menampakan dirinya sebagai seorang tokoh yang sangat mempunyai deria jenaka amat tinggi.

Najib perlahan-lahan menjadi humoris yang digemari ramai. Ada yang ketawa oleh lawak jenaka beliau, dan tidak kurang juga yang mentertawakan beliau.

Melawan hambar di radio

Semua ini menjadi penting apabila beliau - yang selama ini menjadi berita sedih - kini datang sebagai hero pembawa kegembiraan.

Kini setiap ucapan beliau pasti diselang-selikan dengan lawak jenaka. Kami pasti semua ini datang daripada diri beliau sendiri.

Selepas tidak menjadi perdana menteri tidak pernah beliau dilihat membaca skrip apabila berucap. Berlainan semasa masih berumah di Seri Perdana apabila dalam banyak keadaan beliau kelihatan teragak-agak semasa diminta pendapatnya.

Semuanya kini adalah spontan dan ini membuktikan kewibawaan Najib mempersembahkan diri sebagai pelawak.

Kita berharap ada stesen radio yang sudi menjemput beliau menjadi juruhebah kerana seperti yang kita ketahui kebanyakan penyampai radio kita hari ini teramatlah hambar persembahannya.

Satu lagi hal yang baik pada Najib ialah, beliau tidak ketawa - atau memaksa diri untuk ketawa seperti sesetengah pelawak sekarang - kerana lawaknya yang dibuatnya. Najib sekadar tersenyum sinis, menandakan beliau sedar betapa lucunnya diri beliau.

Ini adalah satu aset yang besar untuk beliau menjadi pengacara radio atau pun TV.

Kita mahu lebih Najib - bukan saja di media sosial bahkan di semua media yang ada. Jadikan beliau ikon. Tentu saja kita semua dewasa untuk memaafkan beliau, terutama apabila kita lihat hari ini, ahli politik adalah sama saja walau dari partai mana datangnya mereka.

Mereka adalah lucu apabila berada di luar kerajaan, dan menjadi amat poyo semasa berada di dalamnya. Lihat saja apa yang terjadi kepada Mat Sabu.

Kalaulah Najib cool begini semasa masih dalam kerajaan dulu, tentu saja beliau masih perdana menteri hari ini. Mungkin beliau layak digelar Sang Lelucon Negara.

Artikel kali ini dihiasi oleh foto-foto dari pameran Indigenous Soul yang berlangsung di Galeri Prima, Jalan Riong, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Semua foto sekadar hiasan dan tidak ada kena mengena dengan artikel diatas.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penyair, penulis, jurufoto amatur.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS