Paling Popular
Terkini

Perbahasan Malaysia sebagai negara Islam telah menjadi perbincangan sejak sekian lama. 

Umat Islam yang merupakan penduduk majoriti asal negara ini pastinya ingin berpegang kepada identiti ini, yang merupakan hakikat berdasarkan bukti sejarah dan pembentukan negara Malaysia itu sendiri.

Negara Islam menurut syarak

Apabila kita beriman bahawa Islam itu suatu agama yang syumul maka perlu kita imani ia meliputi seluruh urusan kehidupan kita, dalaman (hati), luaran (perbuatan), individu, masyarakat sehinggalah meliputi kenegaraan.

Agama yang menyuruh supaya dipisahkan daripada negara, mentadbir umat dan urusan-urusan ekonomi, sosial dan sebagainya, tidak mungkin ia adalah agama Islam yang diturunkan oleh Allah SWT ke atas Nabi Muhammad SAW, iaitu satu agama yang mempunyai kesempurnaan dan merangkumi seluruh urusan kehidupan.

Mendirikan negara Islam adalah satu kemestian demi terlaksananya hukum-hukum syariat Islam. Kaedah usul fiqh juga menyebut: “Suatu perkara yang tidak akan sempurna suatu kewajipan melainkan dengan perkara itu, maka ia menjadi wajib”.

Imam Hasan Al-Banna berpendapat kerajaan Islam dalam Islam tertegak di atas tiga kaedah tetap yang dimaklumi iaitu:

(1) Tanggungjawab pemerintah di hadapan Allah dan manusia.

(2) Kesatuan umat Islam atas dasar akidah Islam.

(3) Menghormati kehendak umat dengan mewajibkan bermesyuarat, mengambil pendapat dan menerima perintah serta larangan umat.

Apabila kaedah-kaedah ini telah mencukupi pada mana-mana negara ia adalah negara Islam biarpun apa bentuk atau namanya.

Keislaman Malaysia bukanlah berada pada tahap minimum. Kuasa pemerintahan tertinggi (Yang di-Pertuan Agong, Sultan negeri, perdana menteri) di Malaysia masih lagi kekal milik umat Islam.

Perlembagaan meletakkan Islam pada kedudukan tersendiri, mempunyai sejarah kerajaan Melayu Islam Melaka, undang-undang Islam masih lagi didaulatkan walaupun tidak sempurna melalui Mahkamah Syariah, penduduk Islam adalah majoriti serta banyak lagi alasan lain. 

Oleh itu, keislaman Malaysia adalah suatu perkara yang pasti serta tiada keraguan lagi menurut perspektif syarak.

Perlembagaan dan struktur negara

Malaysia sebagai negara Islam juga boleh dilihat dari pelbagai aspek menurut perlembagaan dan struktur negara. 

Agama secara umumnya adalah antara kerangka asas Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri-negeri yang menjadi asas kenegaraan. 

Agama secara umum dan agama Islam secara khusus menjadi kerangka asas kerana kedudukannya sebelum dan selepas merdeka.

Islam agama persekutuan

Perkara paling utama dalam menunjukkan identiti negara Islam Malaysia adalah Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut “Islam adalah agama bagi Persekutuan;” atau dalam teks asalnya “Islam is the religion of the federation”.

Orang Islam tidak boleh didakyah

Apabila Islam diletakkan dalam kedudukan yang tinggi dalam perlembagaan, Islam bukan sekadar menjadi agama untuk upacara keraian atau acara rasmi sahaja bahkan Islam adalah agama negara yang hendaklah diambil berat keberadaannya dalam membentuk polisi pentadbiran dan hala tuju negara.

Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan telah meletakkan peruntukan khas bagi umat Islam iaitu larangan menyebarkan agama bukan Islam kepada umat Islam. 

Gambar hiasan

Fasal ini memberikan hak kepada negeri-negeri dan Persekutuan untuk menggubal undang-undang bagi mengawal dan melindungi akidah orang-orang yang menganut dan mengamalkan agama Islam.

Dengan itu, ia dianggap sebagai mengawal dan menyekat hak-hak yang telah diberikan kepada tiap-tiap seorang dalam negara ini untuk mengembangkan agamanya (jika bukan Islam) kepada orang lain dalam negara ini (yang beragama Islam). 

Ini memberi kedudukan yang istimewa kepada agama Islam sebagai agama negara.

Sumpah ketua utama negara

Bersandar kepada ketinggian kedudukan Islam sebagai agama negara ini, Perkara 37(1) Perlembagaan Persekutuan mewajibkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membuat satu komitmen atas nama suci Allah dengan melafazkan sumpah – wallahi; wabillahi; watallahi untuk memelihara agama Islam pada semua masa. Lafaz sumpah ini dilakarkan secara khusus dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan.

Atas sifat dan kedudukan Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua utama negara semua pihak yang ada hubung kait dengan pemerintahan negara ini juga terikat untuk melaksanakan sumpah berkenaan kerana segala urusan pemerintahan dalam negara ini bersumberkan kepada kuasa eksekutif baginda sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah ketua negara dan baginda adalah seorang Melayu yang beragama Islam sudah cukup untuk menjadi isyarat tentang identiti dan jati diri negara kita.

Penubuhan institusi-institusi Islam

Kerajaan telah menubuhkan pelbagai institusi berkaitan Islam dalam usaha mengembangkan pengamalan Islam dalam aspek pendidikan, ekonomi, sosial, pentadbiran dan sebagainya.

Urus setia Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) telah ditubuhkan pada 1968 oleh Jabatan Perdana Menteri bagi mengurus hal ehwal berkaitan Islam, kemudiannya pada 1974 telah dinaiktaraf menjadi Bahagian Ugama, Jabatan Perdana Menteri. 

Seterusnya pada 1985, Bahagian Ugama telah ditukar kepada Bahagian Hal Ehwal Islam (Baheis), Jabatan Perdana Menteri.

Pada 1 Januari 1997 selaras dengan pembangunan dan kemajuan Islam yang bertambah mantap di negara ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ditubuhkan oleh kerajaan sebagai mengambil alih peranan Baheis.

Objektif Jakim adalah untuk memastikan ajaran Islam tersebar luas kepada masyarakat, membentuk kepimpinan yang berwibawa dan melahirkan tenaga pengurusan yang terlatih, berketrampilan, dedikasi dan berhikmah serta menghasilkan sistem pengurusan yang berteraskan nilai dan etika Islam.

Penubuhan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) adalah penuh berperlembagaan kerana menepati Perkara 3, Perkara 12(2), Perkara 121(1A) dan Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 37(1) Perlembagaan Persekutuan (Othman Mustapha 2018).

Selain Jakim terdapat banyak lagi institusi Islam yang telah ditubuhkan kerajaan seperti Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Lembaga Tabung Haji, Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPIEM), Yayasan Waqaf Malaysia, Al-Hijrah Media Corporation dan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (Iksim).

Mahkamah syariah

Malaysia mempunyai dwi-sistem kehakiman yang mempunyai bidang kuasa yang berbeza. Dua sistem ini adalah sistem kehakiman mahkamah syariah dan mahkamah sivil.

Kedua-dua sistem ini mempunyai bidang kuasa berasingan dengan mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa terhadap perkara-perkara yang mempunyai kaitan dengan Islam dan tidak boleh diganggu oleh mahkamah sivil. 

Perkara-perkara selain daripada hal yang berkaitan dengan Islam pula adalah di bawah bidang kuasa mahkamah sivil. 

Selain itu, mahkamah syariah hanya boleh membicarakan kes yang melibatkan orang Islam sahaja berbanding mahkamah sivil yang tidak mempunyai had tersebut.

Namun mahkamah syariah telah diberikan nafas baharu pada 1988 apabila Parlimen meluluskan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan. 

Pindaan ini memperuntukkan bahawa mahkamah-mahkamah yang hari ini kita panggil “mahkamah sivil” tidaklah boleh mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa mahkamah syariah (Abdul Hamid 2002).

Pindaan ini secara langsung memberi mahkamah syariah bidang kuasa eksklusif kepada isu-isu berkenaan dengan Islam dan mahkamah sivil tidak lagi boleh mengganggu, mendengar dan membicarakan kes-kes tersebut.

Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad pernah menjelaskan ketika Muzakarah Pakar IKIM bertajuk “Malaysia: Kemelut Negara Islam Negara Sekular” pada 19 Februari 2013 bahawa undang-undang sedia ada ini walaupun namanya undang-undang sivil tetapi 90 peratus daripadanya tidak bertentangan dengan Syariah:

“Selain daripada itu, kerapk ali peguam-peguam sivil tidak tahu bahawa sesuatu undang-undang yang sedia ada itu adalah patuh syariah, malah serupa dengan syariah manakala ahli-ahli syariah pula tidak tahu bahawa prinsip-prinsip syariah telah pun dijadikan undang-undang.

Saya percaya jika hari ini diisytiharkan Malaysia akan melaksanakan undang-undang Islam sepenuhnya, lebih daripada 90 peratus undang-undang yang sedia tidak akan berubah.” (Abdul Hamid 2013).

Sebagai sebuah negara Islam, rakyat Malaysia khususnya umat Islam seharusnya meyakini iktikad bahawa Malaysia adalah negara yang sudah terbukti keislamannya daripada pelbagai sudut. 

Keislaman Malaysia tidak pernah menganiaya hak mana-mana pihak termasuk masyarakat bukan Islam. 

Islam hadir untuk melepaskan perhambaan sesama manusia dan menyeru manusia untuk mentauhidkan Allah Yang Maha Esa. 

Melalui ini kita akan dapat mencapai formula perpaduan dan kedamaian yang kita ingini.

Petisyen online Malaysia Negara Islam


AMINUDDIN YAHAYA ialah presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS