Opinion

Silapnya Mat Indera

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Tanggal 30 Januari 1953, di Penjara Taiping, seorang anak muda bernama Mat Indera telah selamat menjalani hukuman gantung sampai mati kerana terlibat dalam aktiviti penentangan Inggeris.

Mat Indera dijatuhi hukuman mati oleh hakim Buhagiar di Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 2 November 1952. Selepas tiga bulan ditangkap, disoal siasat dan dibicarakan, Mat Indera cepat dihukum.

Pada zaman darurat, tiada banyak pilihan untuk masa rayuan atau pertimbangan. Hukuman kepada Mat Indera adalah amaran kepada pihak yang cuba menentang Inggeris.

Penglibatan Mat Indera dalam penyerangan Balai Polis Bukit Kepong menjadikan anak kelahiran Muar itu buruan Inggeris. Buruan itu berakhir pada suatu malam di rumah rakan baiknya, Mat Tukyo.

Malam itu, Mat Indera berbual-bual dengan rakan seperjuangannya bagi mengatur langkah baru melawan penjajah. Mat Indera datang bersama anak angkatnya dan seorang pengawal.

Hidangan malam itu adalah kopi dan tempe goreng. Inilah jamuan tradisi orang kampung pada malam hari, sekai gus pengalas perut untuk bersembang hingga larut malam.

Sayangnya pada malam itu, sinar bulan tersembunyi dari kegelapan malam yang kejam. Minuman kopi itu rupanya telah dicampur dengan kecubung ungu.

Mata Mat Indera tiba-tiba gelap dan tenaga kudratnya jatuh lemah. Dan selepas itu, Mat Indera tidak tahu apa-apa.

Habuan menangkap Mat Indera

Pengawal Mat Indera yang berjaga di luar sudah ditewaskan Sarjan Bajuri Hj Siraj. Tiada maklumat diperolehi tentang nasib anak angkat Mat Indera yang masih berusia 12 tahun itu.

Sedar-sedar, Mat Indera sudah berada di Balai Polis Seri Medan. Di situlah dia ditempatkan untuk sementara sebelum dihantar ke Balai Polis Batu Pahat.

Kata Malik Samuri, salah seorang saksi di Parit Warijo, Mat Indera diikat dan dibawa dengan menaiki basikal. Sementara sesetengah sumber menyebut, Mat Indera dikandar oleh orang kampong dan pihak berkuasa.

Tawaran hadiah yang bernilai RM25,000 kepada sesiapa yang berjaya menangkap Mat Indera adalah sangat tinggi. Ketika itu gaji seorang guru kerajaan hanya berjumlah RM62 sebulan.

Angka itu berdasarkan tulisan Abdullah CD. Tulisan Abdulah CD terdapat banyak maklumat yang salah dan tidak tepat.

Namun kajian yang dibuat oleh Ho Hui Ling dalam bukunya Pembenterasan Komunis di Tanah Melayu terbitan Universiti Malaya, menyatakan Inggeris menawarkan hadiah hingga RM250,000 untuk menangkap Chin Peng, dan RM1,000 bagi sesiapa yang menjumpai senjata api milik anggota gerila.

Apakah dengan tawaran sehebat itu Mat Indera dikhianati oleh rakannya sendiri? Ini kerana pada masa yang sama, Inggeris juga menggunakan pendekatan yang menekan orang Melayu. Keselamatan dan ketenangan hidup orang Melayu diancam.

Inggeris bijak memanupilasi semangat gotong-royong orang Melayu. Mengikut kajian Ayub Kasim dalam tesis ijazah pertamanya dalam bidang sejarah di Universiti Malaya, terdapat lima lelaki Jawa diketuai Wak Sham Abdul Rahman - seorang mahaguru silat - terlibat dalam usaha menangkap Mat Indera.

Wak Sham dibantu oleh Misban, Beladang (Pak Beleteng Sudimedjo), Mat Tukyo (Che Sibon) dan Sarjan Bajuri Hj Siraj.

Usaha tersebut mendapat kerjasama daripada penduduk kampung Parit Warijp, Sri Medan dan Batu Pahat. Ini dicatat dalam kajian oleh Ayub Kasim juga.

Penduduk tempatan inginkan hidup yang aman selepas sengsara berada dalam zaman pendudukan Jepun. Tekanan psikologi yang dilakukan oleh Inggeris sangat berat untuk ditanggung oleh penduduk kampung.

Tak wajar disisihkan

Manakala pendekatan Mat Indera dan rakan-rakannya dianggap sebagai satu kaedah yang sukar diterima oleh orang Melayu secara umumnya.

Pendekatan Mat Indera mengangkat senjata api melawan Inggeris adalah pendekatan keras. Meskipun mereka faham bahawa Inggeris adalah penjajah - sebagaimana Jepun juga.

Kaedah Jepun menjajah tidak sama dengan pendekatan Inggeris walaupun kedua-duanya tetap menjarah kekayaan tanahair ini.

Orang Melayu lebih selesa dengan pendekatan politik yang dibawa oleh Onn Jaafar. Dia memilih politik persefahaman dan rundingan. Tidak semua perbincangan menguntungkan tapi tidak semuanya merugikan.

Mungkin di sinilah kegagalan Mat Indera memahami suasana politik yang diperlukan pada masa tersebut. Namun menyisihkan Mat Indera daripada kamus sejarah perjuangan kemerdekaan adalah suatu tindakan yang tidak tepat.

Fungsi sejarah bukan untuk menghukum. Fungsi sejarah adalah untuk pengajaran pada masa hadapan.

Dalam tulisan Sahgidon Dirhan dalam buku Pengukir Nama Johor, selain mendapat wang ganjaran, mereka yang berjaya menangkap Mat Indera juga memperolehi Letter of Commendation sebagai penghargaan dan pingat For Merit dari Inggeris kepada Sarjan Bajuri dan Mat Tukyo.

Hakim Buhagiar yang menjatuhi hukuman gantung sampai mati itu berkata: "It is pity that a man of his qualities had though it fit to associate himself to Communists."

Dan tanggal 30 Jan, tali gantung di Penjara Taiping itu menjadi saksi anak muda berusia 33 tahun memberikan nyawanya buat perjuangannya.

Kini kuburnya di tanah perkuburan Kampung Jambu, Taiping sepi.


DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei.

Rencana ini tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Malaysiakini.