Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum

Sultan Kelantan, Sultan Muhamad IV yang mangkat pada 23 Disember 1920 telah membuka jalan kepada lahirnya apa yang dinamakan William R Roff dalam The Origin and Early Years of the Majlis Agama sebagai ‘Islam Kelantan’. Baginda adalah antara orang yang bertanggungjawab misalnya mengikis gaya busana tradisional perempuan Kelantan iaitu berkemban dengan ikat kain limar atau turut dinamai punca potong. Padahal ia merupakan busana Cik Siti Wan Kembang, siap dengan pending dan keris. Bolehlah dikatakan Sultan Muhamad IV yang mula-mula masuk campur dalam menetapkan cara perempuan Melayu harus berpakaian.

Bahagian paling dominan ketika pemerintahan baginda dalam menumbuhkan ‘Islam Kelantan’ ini adalah tentunya mengabaikan suara-suara anti-British seperti Tok Janggut dan pengikutnya. Hal ini telah saya sebutkan dalam artikel-artikel terdahulu di kolum ini.

Anakanda baginda, Sultan Ismail ibni al-Marhum Sultan Muhammad IV membantu mengukuhkan ‘Islam Kelantan’, khusus melibatkan para guru pondok. Dalam hal ini, aspek ranting fikah yang sangat sensasi dan trivia dalam agama Islam seperti hukum jilatan anjing menjadi mercu tanda pentadbiran baginda dalam tahun 1936-37. Hal ini saya sentuh dalam dua artikel ini “Debat anjing di Kelantan, 1937”dan “3 bulan sesudah Tok Janggut dibunuh”.

Baginda Sultan Ismail memerintah dari 23 Disember 1920 sehingga 20 Jun 1944. Ketika pemerintahan Sultan Ismail ini juga Kelantan dilanda banjir besar sekurang-kurangnya sebanyak lima kali.

Pertama kali dalam tahun 1926, Kelantan dilanda ‘bah air merah’ yang mana air Sungai Kelantan naik melimpah pada 24 Disember tahun tersebut sehingga 8 Januari 1927. Terdapat laporan, penduduk di pedalaman ramai yang mati lemas. Kejadian ini dinamakan ‘bah air merah’ kerana air banjir tersebut berwarna merah keperangan. Ini berlaku kerana banyak tanah bukit di sebelah hulu yang berbatu lada telah runtuh lalu menghilir ke muara Sungai Kelantan. Laporan sejarah menyebutkan baginda Sultan Ismail telah turut menyelia urusan catuan makanan untuk mangsa banjir di bangunan Mercantile Bank di Jalan Sultan.

Banjir besar seterusnya adalah pada tahun 1928 yang dikenali dengan nama ‘bah buah’ kerana berlaku pada musim buah antara 22 Disember 1928 sehingga 1 Januari 1929. Untuk mengelakkan kerugian, para pekebun telah menjaja buah-buahan di atas perahu yang menyebabkan ia diingati sebagai ‘bah buah’ tersebut. Sementara itu banjir lain berlaku pada tahun 1931 yang dinamai “bah seminggu air duduk di atas daratan” memandangkan air menggenangi Kelantan selama tujuh hari iaitu mulai 17 Disember 1931. Bah besar ini sekali lagi berlaku pada tahun 1939 tetapi hanya untuk tiga hari sementara ketika pendudukan Jepun, bah besar berlaku selama lima hari iaitu antara 13 Disember 1942 dan surut pada 20 Disember 1942.

Apakah kaitan insiden banjir di atas dengan topik ‘Islam Kelantan’ akan diterangkan kemudian.

Salah satu masalah sosial yang paling besar di Kelantan ketika pemerintahan Sultan Muhamad IV dan Sultan Ismail ialah gejala pelacuran. Sarjana yang banyak mengkaji hal ini adalah Haryati Hasan dan Khazin Mohd Tamrin, seperti dipersembahkan oleh mereka dalam “Laporan MAIK Mengenai Masalah Sosial di Kelantan Sebelum Perang Dunia Kedua”.

Masalah sosial

Kita dapat merenungi kaedah ‘Islam Kelantan’ menangani pelacuran pada waktu itu adalah berbentuk hukuman, dan sama sekali bukan berbentuk didikan atau pun pertolongan agar dapat membangunkan maruah dan keberdayaan wanita. Hal ini terlihat pada Notis Nombor 26 Tahun 1916: Perkara Yang Berkenaan Dengan Laki-Laki dan Perempuan Jahat yang dikeluarkan atas perkenan Sultan Muhamad IV. Notis ini memberi kuasa penuh kepada Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu tanpa waran ‘dengan kuasa sendiri’ atau "dengan pertolongan mata-mata" untuk menangkap laki-laki dan perempuan berkhalwat.

Sementara itu dalam Notis Nombor 3 Tahun 1919: Hukuman di Atas Perempuan Jahat dan Segala Orang Yang Menjadi Barua menetapkan satu hukuman yang aneh, iaitu “hukuman halau akan dia kepada tempat yang jauh satu batu daripada tiap-tiap bandar dan tempat-tempat yang tersebut di dalam senarai” dan “ditegah masuk ke kota-kota tersebut dalam tempoh tidak lebih daripada lima tahun”.

Hal ini meletakkan para wanita yang diusir ini dalam keadaan sulit. Jika mereka dihalau dari Kota Baharu, mereka akan berpindah – katakan ke Selihong dan melacur pula di situ; atau jika mereka ditangkap dan dihukum di Pasir Putih – mereka akan terpaksa ke Kedai Banggol untuk menjaja tubuh.

Pokoknya hukuman-hukuman di atas hanya membibitkan masalah sosial yang lain pula. Inilah cara aneh ‘Islam Kelantan’.

Sekali pandang hukuman di atas dianggap elok dan terpakai. Akan tetapi, dari sudut pandang lain harus ditegaskan; ia hanya memaparkan kebankrapan idea para ulama tatkala itu, yang mesti diungkit di sini – terdapat banyak pondok di Kelantan – tanpa mereka, ulama sedikit pun mencuba untuk menganjurkan program pemberdayaan yang boleh mengeluarkan wanita dari lembah pelacuran. Oleh sebab wanita Kelantan sangat terkehadapan dan rajin dalam perniagaan, sedikit aneh tiada program untuk membantu mereka memulai perniagaan sebagai contoh. Saya masih belum menemui bahan untuk menghujahkan para agamawan berusaha menangani aspek ini. Seolah-olah aspek yang diketepikan adalah, sebahagian besar wanita itu melacur kerana diceraikan akibat perkahwinan yang gagal kerana bawah umur dan juga kemiskinan.

Satu lagi kes yang menarik untuk dilihat ialah bagaimana Orang Asli di Kelantan sudah mulai berdepan dengan masalah tanah adat. Kita mengetahui bahawa Herbert Deane 'Pat' Noone dalam tahun 19030-an, dari Jabatan Muzium waktu itu telah mengahwini seorang wanita suku Temiar, bernama Anjang. Hayat beliau bersama Orang Asli telah mendorong beliau melihat keadaan mereka yang sangat buruk ekoran kegiatan perlombongan dan pembalakan.

Oleh sebab itu Noone menulis "Settlement and welfare of the Ple-Temiar Senoi of the Perak-Kelantan watershed" yang membuka jalan kepada polisi melindungi Orang Asli dan hutan simpan oleh British pada waktu itu. Usaha Noone membolehkan penggubalan Perak Aborigines Enactment dan kemudiannya Aboriginal Peoples Ordinance of 1954.

Ketika pemerintahan Sultan Muhamad IV Syarikat Pembangunan Duff Graham yang tiba di Kelantan pada 1903 telah diberikan konsesi oleh Sultan Kelantan, iaitu melibatkan dua kawasan di perbatasan Perak-Kelantan dan Legeh. Sementara ketika pentadbiran Sultan Ismail pula, Kelantan mendapat manfaat dari kegiatan perlombongan milik Southern Mining Company yang beroperasi di Temangan, Kelantan.

Penerokaan tanah Orang Asli

Penerokaan tanah perlombongan dan perladangan ini, meliputi tanah yang diduduki Orang Asli merupakan satu lagi mercu tanda yang dapat dilihat kesannya hari ini, Walter Armstrong Graham dalam buku Kelantan: A State of the Malay Peninsula: A Handbook of Information terbitan 1907 menjelaskan keadaan ini:

“HH the present Raja, shortly after his accession, gave away amongst his friends and relatives the mining rights over almost the whole mineral-bearing area of the State. These gifts took the form of concessions, good for thirty years and upwards, conveying to the recipients the maximum of privileges while imposing the minimum of liabilities, so that when, four years ago, the reorganisation of the State was seriously undertaken by His Siamese Majesty's Government, it was found that the control of affairs, so far as mining was concerned, had passed in a great measure beyond the reach of the Government.”

Petikan di atas menunjukkan peranan baginda Sultan Muhamad IV dalam hal pemberian konsesi perlombongan. Meskipun Graham adalah seorang British yang sendeng kepada kerajaan Siam, maklumat yang diketengahkan Graham ini memadai untuk memahamkan kita isu yang kita depani hari ini, iaitu nasib Orang Asli. Tambahan pula jika kita merujuk silang dengan laporan yang ditulis Herbert Deane 'Pat' Noone mengenai masalah Orang Asli yang terkesan dek penjarahan tersebut sehingga melarikan diri ke kawasan yang lebih pedalaman.

Tidak mustahil juga, meskipun ini hanyalah hipotesis, ‘bah air merah’ 1926 itu berlaku kerana kegiatan perlombongan dan perladangan yang tidak terkawal. Ini kerana, paling tidak kita mempunyai maklumat yang bah tersebut berlaku kerana banyak tanah bukit di sebelah hulu yang berbatu lada telah runtuh lalu menghilir ke muara Sungai Kelantan.

Rumusannya, kita dapat melihat ‘Islam Kelantan’ yang mulai tumbuh dalam tahun 1930-an itu mengesampingkan wanita lemah, meminggirkan hak dan kesejahteraan Orang Asli, menidakkan warisan budaya (meskipun laga lembu, mak yong dan menora masih ada) serta berbumbukan hal-hal fikah yang amat ranting. Kita juga melihat di tengah-tengah semarak pondok dan pengajian agama (termasuk penerbitan), tiada usaha yang bersungguh-sungguh untuk mengangkat dan memberdayakan gologan marjinal.

‘Islam Kelantan’ ini bertentangan dengan ‘Islam Muhammadi’ yang dibawa oleh Rasulullah SAW yang menjuarai wanita, mengangkat hak minoriti seperti orang Badwi dan menekankan akhlak serta tunjang akidah (bukan semata-mata syariah).

Inilah yang diwarisi Kelantan hari ini dari masa lalu. Inilah sebab-musababnya kita perlu menekuni dan mempelajari sejarah. Malah, mengulang kaji semula sejarah kita.


FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Bahagian 1: Rusia, yang hilang di Kota Bharu

Bahagian 2: Mufti sultan yang mendoakan penjajah

Bahagian 3: Jenazah Tok Janggut yang diterbalik

Bahagian 4: 3 bulan sesudah Tok Janggut dibunuh

Lihat Komen
ADS