Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pagi itu kampung kami macam hari raya. Atau mungkin lebih 'meriah' lagi.

Semua orang keluar dari rumah. Berbeza dengan hari raya, penduduk kampung kami keluar rumah pada pagi itu dengan pakaian yang dipakai semasa masuk tidur kelmarin.

Dan yang lebih berbeza ialah hampir semua penduduk kampung kami keluar rumah dengan muka bengis dan bersenjata. 

Ada yang bawa lembing pusaka yang masih berbalut kain kuning dan berbau kemenyan. Ada yang memegang parang berkilat di kedua-dua belah tangan.

Selebihnya mereka memegang apa yang sempat dicapai tangan. Cangkul, sabit, batang kayu dan sebagainya.

Kami - yang sejak kecil dibuai dengan kisah kegagahan ilmu tempur Melayu - memandang ke langit. Kami menunggu munculnya parang terbang.

Kami yakin hari itu kami akan dapat menyaksikan sendiri kehebatan salah satu ilmu mistikal Melayu yang selalu disebut-sebut orang.

Hapah tak ada. Sampai ke sudah!

Baru cerah-cerah tanah

Haji Jilah dan Mat Yassin selaku orang tua mengepalai kumpulan orang kampung. Haji Jilah bersenjata parang panjang, manakala Mat Yassin hanya bersenjatakan pisau yang agak kami berukuran enam inci.

Mat Yassin ialah tauke sate yang terkenal. Sate Mat Yassin yang dijual di Planet Hotel sangat terkenal. Kalau kamu orang Kuantan, tanya datuk kami tentang sate Planet Hotel.

Kami Mat Yassin dalam tergesa-gesa semasa keluar dan hanya sempat mencapai pisau pemotong daging satenya pada hari berkenaan.

Di belakang mereka ada Geger, Mat Diah, Mat Jais, Mat Tahir, Lan Nger, Ali Yatim, Din Handsome, Mie Gondok, Zubir dan juga Mie Pak Teh.

Yang lain kami tak ingat kerana waktu itu awal pagi. Lebih kurang pukul 6. Kampung kami tidak ada lampu jalan dan bukan semua rumah ada letrik. Jadi suasana agak gelap.

"Kita bunuh!" perintah Haji Jilah. Serentak dengan itu seluruh kampung menyerang babi berkenaan.

Sophie’s World

Oh! Kami lupa nak bagitau. Pagi itu ketika mahu turun ke sekolah sekumpulan kanak-kanak terserempak dengan seekor babi sedang tidur. Bukan babi hutan, tapi babi peliharaan.

Memang di hujung kampung kami ada satu kampung Cina dan Ah Hock - salah seorang penduduk kampung itu - ada memelihara sekawan babi.

Jika kamu kenal Joe Malady maka tapak rumah keluarga beliau sekarang ini asalnya adalah tapak kandang babi Ah Hock.

Lepas parah, menyerah

Di kampung Cina itu juga ada seorang lelaki yang kami gelar sebagai Samba Capek. Nama sebenar beliau kami tidak tahu dan beliau memang satu figur yang dikenali di bandar kami. Tapi itu cerita lainlah.

Kanak-kanak yang terkejut tadi pun menjerit dan bertempiaran lari. Daripada kekecohan itulah penyebab kampung kami bergegar pagi itu.

Terjerit, terkencing dan terberaklah babi berkenaan apabila diserang semasa dia sedang tidur. Berlari keliling kampung dan dikejar. Apabila telah terlalu parah, dia hanya duduk menyerah.

Red

Matahari sudah naik. Pukul 7.30 pagi. Dari jauh kami lihat Ah Hock berlari laju sambil mengheret basikal. Di belakang basikal itu ada sangkar babi.

Dulu, untuk mengangkut babi, sebuah sangkar dari rotan dianyam berbentuk silinder sekira-kira saiz seekor babi dewasa. Sama ada diangkut dengan lori atau apa pun, maka babi hendaklah dimuatkan dalam sangkar itu.

Kami memang sudah terbiasa melihat Ah Hock selang sehari membawa ternakan tersebut dengan basikalnya. Mungkin untuk disembelih dan dihantar ke pasar.

Ah Hock sampai dengan air mata berjujuran. Nyonya Hock ada di samping beliau.

Yellow

"Jangan pukul! Jangan pukul!" rayu Nyonya Hock, sementara Ah Hock sendiri hanya diam sambil mendepangkan tangan cuba menghalang orang kampung daripada menambah luka pada babi berkenaan.

"Dia terlepas... saya dah kunci kandang. Mungkin cucu saya buka. Dia memang suka main dengan anak babi," kata Ah Hock menerangkan keadaan.

Banyak anjing berkeliaran

Suasana sudah agak tenang walaupun Mat Diah dan Mat Tahir masing-masing kelihatan masih tidak berpuas hati. Namun bila Haji Jilah mengarahkan semua orang agar bertenang, semua akur.

"Aok tak patut buat macam ni," kata Ah Hock, "ini mata pencarian saya. Aok pukul, aok tikam sampai separuh nyawa padahal kalau aok bagitau saya, saya boleh datang ambil." Suara Ah Hock tersangkut-sangkut menahan tangis.

Nyonya Hock dah tak berkata apa-apa, hanya duduk di samping babi berkenaan sambil mengelap darah yang mengalir dari luka-luka pada tubuh haiwan itu.

Semua orang diam. Yang kedengaran hanya nafas babi berkenaan.

"Aok memang haram makan babi, tapi naya sampai ginimer haram jugak," kata Ah Hock. Kami syak beliau akan bersyarah lagi.

"Aok semua ni, kalau pandang babi tak berdosa, kalau aok nak tahulah. Kalau pegang boleh samak. Bukan payah sangat. Ambik tanah ambil air, basuh. Dapat pahala pulak tu. Ni sampai nak berperang dengan babi. Benci sangat ke babi. Tengok gambar babi pun loya."

Lama juga Ah Hock bersyarah dan orang kampung kami semua mendengar dengan baik.

Hubungan orang kampung kami dengan orang kampung Cina memang baik. Tak pernah berlaku apa-apa yang boleh merosakkan hubungan itu, kecuali hal babi berkenaan.

Setelah kejadian itu hubungan menjadi sedikit dingin. Anjing-anjing dari kampung Cina giat berkeliaran di kampung kami selepas peristiwa.

Orang kampung kami - walaupun marah - terpaksa menahan diri daripada mengapa-apakan anjing-anjing berkenaan.

Bimbang disyarah Ah Hock lagilah agaknya.

Dan kami tidak lagi ke kampung mereka untuk membeli jambu batu dan tembikai yang dijual bawah harga pasaran.

Entah kerana malu atau kerana baru tahu selama ini pekebun kampung Cina menggunakan baja tahi babi.

Selamat menyambut tahun babi kepada semua yang sudi membaca.

Artikel kali ini dihiasi oleh karya pelukis Chang Yoong Chia. Pameran solo beliau berjudul Second Life sedang berlangsung di Balai Seni Negara.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis, penyair, dan pencinta amatur.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS